Perempuan Psiko Jadi Jiran Aku II

Untuk part I, (https://iiumc.com/perempuan-psiko-jadi-jiran-aku/).

Assalamualaikum dan hi kepada semua pembaca IIUM Confessions. Kenalkan aku sekali lagi Ira, penulis kepada kisah yang pernah buat korang semua tak senang duduk: “PEREMPUAN PSIKO JADI JIRAN AKU.”

Pertama sekali, aku nak minta maaf sebab ambil masa yang agak lama untuk kembali bercerita. Banyak benda jadi. Banyak yang aku kena hadap secara fizikal, mental, dan emosi. Sampai satu tahap, aku sendiri terpaksa berhenti sekejap untuk bernafas.

Tapi hari ni aku kembali. Bukan sebab aku dah lupa. Tapi sebab aku rasa korang perlu tahu kesudahannya.

Bila aku duduk fikir balik aku sebagai seorang ibu dan seorang wanita, aku sedar yang aku tak sepatutnya terlalu terbuka. Tak sepatutnya terlalu mudah rasa simpati. Kalau nak kasihan sekalipun biarlah berpada-pada.

Sebab kadang-kadang, manusia yang nampak paling baik di mata rupanya yang paling beracun dalam diam.

Memang semua ni salah aku. Aku yang buka ruang. Aku yang benarkan dia datang dekat dengan keluarga kecil aku. Aku yang bagi dia peluang untuk masuk dalam hidup kami walaupun aku tak tahu siapa dia, dari mana dia datang atau apa yang dia bawa.

Sekarang masa aku tulis semua ni segalanya nampak macam dah selesai. Tapi dalam hati aku benda tu takkan pernah habis.

Aku tak akan pandang ringan apa yang dah terjadi. Aku mungkin tak nampak luka dekat luar, tapi luka dalam tu… Allah saja tahu.

Dan sebelum aku sambung cerita aku nak pesan satu benda terutama sekali untuk korang yang perempuan.

Tolong…jangan cepat percaya. Jangan cepat baik sangat dengan orang yang kau baru kenal. Mulut manis tak semestinya ikhlas. Lembut tak semestinya jujur. Kadang-kadang musuh tu datang dengan senyuman paling manis dalam dunia.

Aku tahu aku lah puncanya. Aku lah si bodoh yang undang bahaya pada anak-anak aku sendiri. Dan sampai sekarang aku masih belajar nak maafkan diri aku sendiri.

Jadi aku tulis semua ni bukan sebab nak cari simpati. Aku cuma tak nak ada orang lain buat silap yang sama bodoh macam aku.

Berbaik sangat dengan orang yang kau tak kenal. Yang kau tak tahu asal-usul dia, tak tahu apa yang dia bawa dalam hidup dia.

Bukan aku kata jangan buat baik langsung. Boleh…tapi berpada-padalah. Jangan serah hati dan percaya bulat-bulat dekat orang yang kau baru kenal. Orang yang mulut manis belum tentu hatinya putih.

Sebab niat manusia…Kadang-kadang tak nampak pada wajah. Tapi nampak bila dah terlambat.

Wallahualam.

Okay aku sambung semula part lepas Fara blah malam tu. Malam yang aku sumpah takkan lupa sampai bila-bila.Yang paling pelik seminggu selepas tu aku langsung tak nampak bayang dia.

Dia tak balik langsung. Rumah tu sunyi gila. Pintu pagar rumah dia terbuka luas sepanjang minggu tu, macam dia sengaja biar terbuka. Macam nak bagitahu satu dunia, “aku dah tak balik dah sini.”

Tapi hah ada tapinya ya.. dalam seminggu tu jugaklah ada benda misteri jadi dekat aku.

Ada satu petang ni laki aku ternampak ada satu bekas yang bertutup kain merah betul-betul kat luar pagar luar rumah aku. Bukan kat tepi, bukan tersorok tapi tepat depan pagar. Macam sengaja nak bagi kami nampak.

Laki aku tu bijak and of course lah dia takkan pegang. Tapi bekas tu memang nampak sangat mencurigakan. Kenapa aku cakap macam tu? Sebab dari celah-celah bekas tu, boleh nampak asap berkepul-kepul keluar macam baru je seseorang letak kat situ.

Tanpa banyak cakap, dia sepak bekas tu ke sisi. Terdorong jatuh, kain merah yang menutup pun terlerai.

Ada sesuatu yang pelik keluar dari dalam. Dengan hati-hati, dia mula menguis-nguis, cuba tengok isi di dalamnya. Sempat lagi dia toleh dan pesan, “Jangan datang dekat.”

Dari tempat aku berdiri, nampak jelas dua ekor lipas besar yang dah mati, dan lipas-lipas kecil berpusu-pusu keluar dari dalam bekas tu.

Ada juga helaian surat khabar dan sekeping gambar yang kabur terkeluar sekali dari bekas tu. Suami aku terus menjerit sambil mengucap, tak percaya dengan apa yang dia baru tengok.

Gambar aku yang diambil secara sembunyi, tapi tak berapa jelas, diselit sekali dengan sekeping nota dalam tulisan Jawi ditulis atas surat khabar Cina. Nota tu pun kabur, susah nak baca sangat.

Jantung aku terus berderau bila tengok semua tu. Dalam hati dah boleh agak, siapa lagi kalau bukan dia. Menggigil aku dibuatnya. Aku jadi takut gila. Takut yang kau tak boleh nak bincang atau fikir logik dah. Tak payah teka-teka lagi dah, memang confirm kerja perempuan gila tu.

Beberapa Hari Selepas Kejadian Itu…

“Gila betul lah perempuan tu! Maaf sangat-sangat, Ira. I memang tak tahu langsung penyewa tu perangai dia macam tu…”

Fauziah, tuan rumah kepada si Farah psiko tu. Dia sanggup datang dari jauh lepas tahu apa yang jadi dekat aku. Tak habis-habis dia minta maaf dia rasa bersalah sangat dengan apa yang jadi dekat aku.

Aku cuma senyum nipis. “Kak Ziah, jangan salahkan diri…benda ni bukan salah akak. Saya pun tak sangka semua ni boleh jadi. Kita tak tahu siapa manusia tu sebenarnya.”

Dalam hati, trauma tu masih bersisa. Tapi aku tahu bukan dia yang patut tanggung semua rasa takut aku ni.

Kalau aku sendiri yang jadi tuan rumah pun, aku takkan sangka perempuan muka acah baik macam Fara tu sebenarnya psiko. Jenis yang pandai berlakon, lemah-lembut, muka alim gila.

Fauziah pun bukannya kenal rapat. Dia cuma jumpa Fara beberapa kali je tu pun masa urusan sewa rumah. Tengok elok, sopan, terus dia setuju nak sewakan. Siapa sangka rupa boleh menipu macam tu sekali?

“”Bertudung labuh, nampak alim. Lagipun perempuan… so I pun okay je lah masa tu. Memang tak terfikir langsung benda lain. Tapi I tak sangka, Ira. Tak sangka dia psiko macam tu sekali. Teruk you kena, sampai dia sanggup hantar macam-macam dekat you!”

Fauziah berhenti sekejap. Suaranya makin perlahan, macam ragu-ragu nak tanya.

“Pasal patung yang you cerita dia bagi tu…you buang kat mana?”

**

Satu hari aku dikejutkan dengan satu bungkusan yang tiba-tiba muncul depan pintu rumah. Tak ada siapa tekan loceng. Tapi elok je parcel tu tersandar kat pagar.

Aku mula rasa pelik sikitlah kan sebab yelah aku tak ada pun order apa-apa. Tapi dalam hati, aku dah boleh agak siapa yang punya kerja.

Memang tak lain, confirm laki aku. Siapa lagi suka buat surprise pelik-pelik macam ni?

Tersenyum sorang-sorang aku dibuatnya. Dalam hati sempat sweet jugak laki aku ni. Tengah sibuk pun sempat nak buat kejutan untuk aku.

Tanpa fikir panjang aku bawa masuk bungkusan tu. Tak beritahu apa-apa pun dekat dia. Nak tengok dulu apa ‘hadiah cinta’ dia bagi kali ni.

Dengan perlahan, aku koyakkan balutan parcel tu.

Dan…tadaa…

“”Patung? Patung apa… ni?!”

Aku terjerit besar sebab terkejut bukan main. Spontan aku baling patung tu jauh-jauh ke sudut ruang tamu. Terdengar bunyi pelik dan diikuti dengan satu suara…ya, suara dari dalam patung tu.

Suara tu macam nyanyian. Perlahan dan mendayu-dayu tapi cukup jelas untuk buat bulu roma aku meremang tengah hari tu. Suara seorang perempuan menyanyi, seolah-olah sedang mendodoikan seseorang.

Tapi bukan suara biasa. Suara tu aku tak tahu nak explain macam mana. Memang seram dan rasa dingin semacam bila dengar. Suara tu macam dah dirakam dan disumbat dalam dada patung tu sendiri.

Patung tu… asalnya berwarna krim. Tapi sekarang, penuh dengan kesan merah pekat macam darah. Bau dia? Ya Tuhan… busuk, tengik, macam bangkai yang dah lama tak terusik.

Yang buat aku makin kaku…dua anak mata patung tu dah tercabut. Kosong. Hitam berlubang. Macam ada seseorang yang sengaja korek keluar mata tu dengan penuh rasa benci.

Dada patung tu pulak…dirobek. Koyak rabak, benang tercabut sana sini. Dan dari belahan tu, aku nampak ada sesuatu di dalamnya. Aku yakin benda tu lah yang berbunyi tadi.

Benda yang sengaja disumbat dalam badan patung tu untuk mengeluarkan bunyi dan suara seram yang aku dengar tadi.

Menggigil aku tengah hari tu. Memang aku betul-betul takut. Rasa bimbang tu makin menjadi-jadi…aku takut kalau ada unsur syirik, benda kotor yang boleh ganggu keluarga aku.

Tak tunggu lama, aku terus ke bilik stor. Tangan masih menggigil, hati macam nak meletup. Aku selongkar rak lama, cari apa-apa kain buruk yang boleh aku guna.

Jumpa satu helaian kain lusuh. Terus aku capai dan kembali ke ruang tamu. Dengan nafas turun naik, aku tutup patung tu habis-habisan. Aku memang tak sanggup nak tengok mata yang kosong, kesan ‘darah’, bau bangkai, dan suara seram tu.

Ya, suara tu. Masih kedengaran. Patung tu… masih menyanyi…

Memang aku tak tunggu lama. Terus aku capai telefon dan call suami aku. Suara aku dah tak stabil masa tu dan aku terus minta dia balik cepat lepas habis kerja. Aku pesan, jangan singgah mana-mana. Terus balik.

Aku ceritakan semuanya. Dari parcel misteri tu, sampai ke patung mengerikan yang masih menyanyi tanpa henti.

Dia terdiam sekejap di hujung talian. Lepas tu mengucap panjang.

“Allahu… Ira, tolong hati-hati ya. Kunci semua pintu, jangan bukak pada sesiapa. Tengok anak-anak. Jangan tinggal diorang sorang-sorang.”

Aku angguk, walaupun dia tak nampak. Pandangan aku jatuh ke arah patung yang dah diselubung kain lusuh tu… tapi suara nyanyiannya masih kedengaran. Suara yang perlahan, tapi cukup untuk buat hati aku rasa macam dicekik perlahan-lahan.

Korang bayangkan jela sendiri…macam mana perasaan aku masa tu, nak hadap patung bodoh tu dalam rumah aku. Dengan anak kembar aku sekali. Aku dah tak mampu nak bangun, apatah lagi nak berjalan melepasi benda tu.

Tangan aku sejuk. Lutut menggigil. Aku peluk anak-anak aku, bawa masuk ke bilik utama. Tutup pintu, kunci dan kembali tersandar dengan anak-anak aku macam orang tak ada harapan dah hahaha.

Tapi dari dalam bilik…suara tu masih kedengaran. Lagu tu. Lembut…tapi menakutkan. Seolah-olah patung tu tahu aku tengah bersembunyi.

Tapi Alhamdulillah… satu benda aku boleh syukur. Anak-anak aku tak sempat nampak patung tu. Sekurang kurangnya mata kecil diorang tak perlu trauma macam aku sekarang.

Terlampau ngeri untuk anak-anak aku yang kecil tu kalau mereka nampak semua tu. Aku tengok jam kat telefon rasa macam masa langsung tak bergerak. Dalam hati aku berdoa sungguh-sungguh. Semoga suami aku cepat-cepat balik. Aku tak minta banyak…aku cuma nak rasa selamat semula.

Aku nak menangis, sumpah aku nak sangat menangis. Tapi aku tahan. Aku tak boleh tunjuk lemah depan anak-anak aku.

Tepat jam 2 lebih petang, suami aku sampai. Bersama seorang lelaki.

Aku tak mampu cakap apa-apa. Cuma rasa syukur tu membuak dalam dada. Syukur Ya Allah dia dapat balik awal.

Dia peluk aku kejap, lepas tu bisik, “I tak fikir panjang. Terus minta halfday. Tak boleh kerja elok bila fikirkan you dengan anak-anak kat rumah sorang-sorang.”

Waktu tu perasaan aku bercampur-baur. Penat, takut, lega semua bercampur jadi satu.

Benda yang aku ceritakan tu bukan benda biasa-biasa bagi suami aku. Sebab tu bila dia balik tadi dia tak datang sorang. Dia bawa sekali kawan pejabat dia yang juga seorang ustaz dan perawat sambilan.

Sebaik saja masuk rumah, muka suami aku terus berubah.

“Busuknya! Macam bau bangkai!”

Dia tutup hidung dengan tangan dan langkah perlahan ke arah aku. Setapak demi setapak dia hampiri tempat aku letak patung tu. Dengan hujung kaki, dia cuba kuis kain yang aku gunakan untuk tutup benda tu.

Yang buat aku lagi tak sedap hati masa aku buka parcel tu tadi, langsung tak ada bau. Ada sikit busuk, tapi tak seteruk ni. Tapi bila suami aku masuk je rumah, bau tu datang tiba-tiba. Bau yang terlampau busuk, sampai nak tarik nafas pun rasa macam tekak dicekik.

Sumpah aku tak boleh nak gambarkan dengan kata-kata. Busuk dia lain macam. Mencucuk hidung. Macam ada sesuatu yang memang sengaja nak bagi kami rasa takut.

Satu rumah dipenuhi bau busuk yang teramat sangat. Menyakitkan hidung. Bau dia bukan macam sampah atau najis, tapi lebih teruk dari tu. Macam bangkai yang dah berminggu, bercampur bau darah basi dan sesuatu yang tak boleh aku nak jelaskan.

Anak-anak aku tiba-tiba menangis dengan sangat kuat. Menjerit, meraung macam kesakitan. Mungkin sebab terhidu bau tu atau mungkin juga mereka ‘rasa’ sesuatu yang tak mampu mereka faham. Orang dewasa pun dah rasa nak pengsan, nak muntah inikan pula budak-budak kecil.

Amin, kawan suami aku yang juga seorang perawat sambilan hanya menggeleng perlahan sambil merenung patung tu.

Dia melangkah perlahan, berdiri dekat dengan patung tu. Tanpa sentuh, dia perhati lama. Wajahnya tenang, tapi jelas terganggu.

“Kalau ada lada hitam kat dapur ambik sekarang,” katanya pada suami aku. Suaranya serius, tapi terkawal.

Lepas tu dia pandang aku, mata dia lembut tapi tegas.

“Kak…bawa anak-anak keluar sekejap. Duduk dalam kereta. Jangan ada sesiapa dekat patung ni, ya. Benda ni… bukan biasa.”

Dijadikan cerita memang tak ada langsung stok biji lada hitam dekat dapur aku. Tak tahu macam mana boleh habis, padahal biasanya mesti ada.

Tapi Amin tak panik. Dia terus ke dapur, capai beberapa ulas bawang putih. Dicincangnya halus-halus, penuh cermat.

Kemudian seperti yang suami aku (ceritakan kembali pada aku) Amin mula bacakan beberapa potong ayat suci sambil pejam mata, seolah-olah merasai sesuatu yang tak dapat dilihat dengan mata kasar.

Masa tu aku dah tak ada dalam rumah. Aku dah dalam kereta dengan anak-anak dan cuba tenangkan mereka yang masih teresak-esak. Tapi hati aku tetap di dalam rumah. Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Jantung aku berdegup laju memikirkan apa yang sedang dan bakal jadi.

Lepas selesai bacaan, Amin merenjis cincangan bawang putih tu perlahan-lahan ke arah patung yang dah diselubung kain tu.

Kemudian dengan batang penyapu, dia mula kuis kain penutup tu. Perlahan. Hati-hati. Seolah-olah tak nak ‘kejutkan’ apa-apa yang mungkin sedang bersembunyi di bawahnya.

Dan waktu kain tu mula terbuka…suami aku cakap dia terus mengucap panjang bila nampak keadaan patung tu dengan mata kepala sendiri. Katanya dengan bersumpah, itu adalah benda yang paling mengerikan yang dia pernah tengok seumur hidup.

Patung tu bukan sekadar rosak atau comot. Tapi macam sengaja diseksa. Dicacatkan. Dan yang buat dia makin tak sedap hati bila Amin sendiri periksa kesan merah pekat pada patung tu dan dia angguk perlahan.

“Itu darah,” kata Amin. “Bukan cat. Bukan pewarna. Memang darah… dan memang sengaja dicalit.”

Suami aku terduduk masa tu. Tak mampu nak cakap apa. Katanya, waktu tu dia rasa nak lari keluar rumah dan peluk aku dengan anak-anak kuat-kuat.

Kata suami aku lagi, part paling seram bukan darah, bukan mata kosong patung tu. Yang betul-betul buat darah dia mengalir laju bila Amin mula renjis bawang putih tu dekat patung tak guna tu dan tiba-tiba tanpa amaran, patung tu bergerak.

Macam robot rosak. Tersentak-sentak, kepala terangguk perlahan, tangan bergoyang ke sisi. Bukan macam patung biasa. Ada ‘sesuatu’ yang buat ia hidup sekejap.

Dan masa tu jugak suara tu keluar semula tapi kali ni, lebih jelas dari sebelum ni. Suara perempuan yang menyanyi dengan perlahan. Macam jampi, macam bisikkan halus yang menyelinap terus ke dalam kepala.

Amin terus berhenti. Dia pandang suami aku dengan wajah tegang.

“Dia syok dekat anak-anak kau, Arif.” Suara Amin berubah serius.

“Bahaya budak perempuan ni. Yang dia hantar ni baru permulaan. Tujuan dia cuma nak takutkan kau dan isteri kau dulu.”

Amin tunduk sekejap, kemudian pandang tepat pada suami aku.

“Mana je kau dan isteri kau lari… dia tetap akan cari. Benda ni bukan biasa.”

Berdebar-debar aku dengar semua yang suami aku ceritakan kembali. Sumpah weh memang tak masuk akal….tapi dalam masa yang sama aku tahu semua ni bukan kebetulan.

Kenapa kena jadi macam ni? Kenapa sampai seret anak-anak aku sekali?

“Perempuan?” Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut suami aku. “Fara ke?” nama tu terus muncul dalam kepala dia, automatik. Tak perlu fikir panjang.

Sama macam aku. Tak payah teka siapa dah. Siapa lagi kalau bukan dia? Tak ada orang lain dalam dunia ni yang sanggup buat benda sekeji tu.

Memang sah kerja Fara. Perempuan tak guna. Psiko. Gila.

Petang tu selepas selesai semua yang patut, Amin ambil semula patung tu. Perlahan-lahan dia masukkan kembali ke dalam kotak asal parcel yang aku terima tadi.

Tak ada siapa berani pegang. Amin sendiri guna sarung tangan dan baca sesuatu sepanjang dia kemas semula benda tu.

Sebelum dia keluar rumah, dia sempat pandang aku dan suami. Wajah dia serius.

“Ini belum selesai.”

Lebihan bawang putih yang masih ada tadi digunakan Amin untuk merenjis tadi turut dimasukkan ke dalam kotak tu. Perlahan-lahan, penuh berhati-hati, seolah-olah dia tahu kotak tu bukan sekadar menyimpan patung tapi sesuatu yang jauh lebih gelap.

Sambil tutup kemas kotak tu, Amin pandang suami aku.

“Patung ni wajib dibakar. Segera. Jangan tunggu esok, jangan tunggu malam. Sekarang juga.”

Amin tawarkan diri untuk bantu. Katanya dia tahu cara dan dia tak sanggup biarkan benda tu terus ‘hidup’ lebih lama. Tapi dalam masa yang sama, dia minta satu perkara penting.

“Hantar bini dengan anak-anak ke rumah mak ayah aku dulu. Diorang boleh jaga sementara. Mak aku pun perawat.”

Suami aku angguk. Dia tahu benda ni dah tak boleh buat main-main. Amin bersuara lagi, kalini suaranya serius, tegas tapi masih tenang.

“Dan satu lagi jangan sesekali masuk semula rumah ni sebelum urusan bakar tu selesai. Bini kau dah pegang patung tu. Bila kita sentuh, ada ‘badi’ yang boleh ikut. Kalau lambat dilupuskan, makin susah nak padam kesan dia. Benda ni degil.”

Dada aku makin sesak. Perasaan takut bercampur dengan bersalah. Aku tak tahu yang aku pegang benda beracun tu tadi. Aku cuma…tak tahu.

Bila aku dengar Amin sebut pasal “badi”, automatik mata aku terus pandang ketiga-tiga anak kembar aku. Jantung aku jatuh. Terus rasa sejuk seluruh badan.

Aku pegang mereka tadi. Aku peluk, aku dukung, aku usap rambut mereka dan aku peluk kuat-kuat sebab aku ingat aku lindungi mereka.

Tapi rupa-rupanya, aku mungkin bawa badi tu sendiri dekat anak-anak aku. Ya Allah…kenapa aku tak fikir sejauh tu? Kenapa aku tak sedar? Macam mana kalau ada benda yang dah lekat pada mereka?

Kalau jadi apa-apa sumpah, bukan Fara je aku tak maafkan…dengan diri aku sendiri pun aku tak akan pernah maafkan.

Dengan suara yang dah mula bergetar, aku tanya Amin. Perlahan, tapi penuh rasa bersalah.

“Ada apa-apa effect tak dekat anak-anak saya? Saya…saya peluk mereka lepas saya pegang patung tu.”

Amin pandang aku lama. Muka dia tenang, tapi aku tahu dia sedang fikir banyak perkara.

“InshaAllah…kalau benda tu belum sempat ‘masuk’, kita masih boleh halang. Tapi akakkena kuat. Sekarang kita kena jauhkan anak-anak dulu sebelum apa-apa lebih buruk jadi.”

Amin pandang aku lama sebelum dia bersuara dengan nada yang tenang.

“Akak tak perlu risau sangat benda ni masih boleh ditawarkan.”

Aku kerut dahi. Tak faham. Ditawarkan? Apa maksud dia?

Dia nampak reaksi aku, lalu terus jelaskan.

“Badi tu masih baru. Belum ‘melekat’ penuh. Kita boleh hilangkan, boleh bersihkan. Tapi kena cepat. Tak boleh lambat. Hari ni juga Ira kena jumpa perawat yang lebih arif. Jangan tunggu malam. Jangan tangguh.”

Aku angguk perlahan. Tapi hati masih sesak. Aku pandang anak-anak aku yang tengah lena keletihan dalam kereta. Mata mereka sembab, suara mereka dah serak menangis tak henti sejak bau busuk tu muncul.

“Effect pada anak-anak tu setakat ni cuma menangis berpanjangan je. Lagi-lagi lepas mereka hidu bau tu. Bau tu bukan sekadar busuk, kak. Benda tu datang dengan niat. Anak-anak kecil memang lebih cepat ‘rasa’ dulu dari kita.”

Aku telan air liur. Sekurang-kurangnya belum ada apa-apa yang lebih teruk. Tapi sekarang, satu je dalam kepala aku, aku tak akan tunggu lagi. Aku akan buat apa saja untuk pastikan anak-anak aku selamat.

Petang tu juga suami aku terus pandu kereta bawa aku dan anak-anak ke rumah orang tua Amin, sepasang suami isteri yang katanya dah lama jadi perawat. Dalam kereta, suasana sunyi. Hanya bunyi esakan halus dari anak-anak yang sesekali terjaga dari tidur.

Aku duduk diam di tempat penumpang hadapan. Hati aku tak pernah rasa seberat ni. Kepala penuh dengan macam-macam kemungkinan buruk. Tapi aku tahu…aku tak boleh jadi lemah sekarang.

Suami aku genggam tangan aku kejap, seolah-olah nak tenangkan. Tapi dari wajah dia aku tahu dia pun sama takut. Sama risau.

Lepas hampir 40 minit perjalanan, kami pun sampai.

Rumah tu terletak agak ke dalam, jauh dari jalan utama. Rumah kampung yang sederhana dengan suasana yang sangat tenang.

Pintu rumah terbuka perlahan sebaik saja kereta berhenti. Seorang wanita bertudung putih labuh berdiri di muka pintu wajahnya lembut dan di sebelahnya, seorang lelaki berjanggut putih dengan tasbih di tangan.

“Amin dah cerita semua,” kata wanita itu perlahan.

Aku angguk. Tak mampu jawab apa-apa. Cuma terus capai anak-anak aku, peluk mereka erat.

“Masuklah… anak-anak ni bukan sembarangan. Sebab tu ada yang nampak mereka.”

Sebaik masuk ke dalam rumah aku terus duduk di ruang tamu yang beralas tikar mengkuang. Bau limau purut dan daun bidara menyambut kami, terasa segar tapi menyengat, seolah-olah rumah ni sentiasa bersedia menghadapi ‘tetamu’ yang bukan manusia.

Mak Amin peluk aku sekejap. Lembut. Tenang.

“Aku tahu hati kamu kacau. Tapi kamu kuat, nak. InsyaAllah, anak-anak kamu takkan disentuh.”

Abah Amin pula minta suami aku duduk di sisi anak-anak. Mereka bertiga masih tidur, letih sangat. Tapi wajah mereka nampak lesu, tak setenang biasa. Dahi berpeluh, nafas sedikit laju.

Perlahan-lahan, abah Amin duduk bersila depan mereka. Dia mulakan dengan bacaan Al-Fatihah, disusuli ayat-ayat ruqyah yang mengalir lembut tapi penuh makna. Setiap bacaan terasa menusuk ke jantung aku.

Tiba-tiba, salah seorang anak kembar aku menggeliat kuat. Matanya terbuka, tapi tak fokus. Suara abah Amin makin kuat, dan masa tu Aina tiba-tiba menangis teresak-esak. Suara dia kedengaran lain. Lebih dalam, lebih berat. Bukan macam suara budak biasa.

Mak Amin cepat-cepat letakkan sehelai daun bidara yang telah direndam di atas dahi salah seorang anak aku. Anak aku menjerit kecil, tapi perlahan-lahan… dia diam semula. Matanya pejam, peluh menitik di pipi.

Abah Amin berhenti baca, lalu pandang aku dan suami.

“Satu daripada mereka dah ‘ditegur’. Tapi belum masuk. Belum duduk. Alhamdulillah…masih awal.”

Aku pegang dada aku. Rasa sesak. Rasa nak rebah.

“Tapi kenapa….kenapa anak saya?” suara aku serak.

Abah Amin diam sekejap. Dia pegang hujung tasbihnya, renung wajah Aina yang masih terbaring.

“Sebab ada sesuatu pada anak-anak kamu. Sesuatu yang orang luar nampak sebagai ‘cahaya’. Dan ada yang… cemburu.”

Rawatan itu berlanjutan hampir satu jam. Suara ruqyah tak pernah putus, berselang-seli dengan renjis air bidara dan helaian doa yang mengalir lembut dari bibir abah Amin.

Ketiga-tiga anak aku mula kembali tenang tidur mereka lebih lena, wajah mereka tak lagi tegang seperti tadi. Alhamdulillah, tiada tanda mereka ‘dijangkiti’ secara terus. Cuma disentuh, belum didiami.

Selesai semuanya, mak Amin datang hulur air suam bercampur madu dan habbatus sauda pada aku dan suami.

“Minum ni, bagi tenang sikit badan. Banyak benda kita tak nampak, tapi tubuh rasa semuanya.”

Aku mengangguk perlahan. Dalam hati, hanya Allah tahu rasa syukur aku waktu tu. Anak-anak masih selamat. Aku masih bernafas. Kami masih ada harapan.

Sebelum berangkat pulang, abah Amin duduk bersila di depan kami dan bersuara lembut tapi penuh makna.

“Jangan simpan rasa marah terlalu lama. Tapi jangan lupa berjaga. Kadang-kadang niat jahat orang tu tak hilang dengan masa. Tapi dengan doa dan jarak yang jelas.

Rumah kamu…kalau boleh jangan masuk lagi malam ni. Bagi bersih betul dulu. Biar Amin atau orang yang tahu urus. Bau tu pun belum tentu hilang, dan kadang-kadang bau bukan sekadar bau.”

Aku dan suami hanya mampu angguk. Terdiam, tapi terima sepenuh hati. Kami ucap terima kasih, peluk mak Amin erat dan bersalam dengan abah Amin. Hati masih berat tapi lega.

Waktu kami singgah semula ke rumah sendiri, Amin dah tunggu di luar. Berpeluh, baju dia ada kesan tanah dan bau asap yang kuat. Di tangannya cuma sarung tangan getah dan sebotol air mineral.

“Setel,” katanya ringkas.

“Kau bakar?” soal suami aku.

Amin angguk perlahan.

“Aku tak bakar sorang. Aku bawa ke tempat lapang dekat tanah kosong yang tak ada lalu lalang. Aku bakar masa matahari betul-betul atas kepala. Lama dia nak terbakar. Asap dia tebal, hitam, bau dia…ya Allah, tak macam bau benda biasa.”

Aku dan suami saling berpandangan.

“Tapi alhamdulillah, dia hancur habis. Sampai habuk. Tak tinggal kesan. Aku dah tabur garam, lada hitam, dengan ayat kursi keliling tempat tu.”

Amin kemudian pandang aku. Matanya serius.

“Tapi kak lepas ni jangan pegang apa-apa barang pelik yang akak tak pasti. Jangan ambik, jangan buka. Jangan percaya kejutan-kejutan yang bukan dari tangan yang akak yakin. Si Polan belum habis main. Tapi akak boleh pilih untuk jangan terus jadi sasaran.”

Aku tunduk. Air mata dah bergenang, tapi aku tahan. Aku tak nak nampak lemah depan anak-anak dan suami. Tapi hati aku remuk. Trauma tu masih hangat.

Suami aku salam dan peluk Amin.

“Terima kasih, bro. Aku takkan lupa ni.”

Kami bergerak balik ke kereta. Anak-anak masih lena, letih sangat. Masa tu, suasana senyap. Tak ada bunyi cengkerik pun. Angin pun macam tak bergerak.

Suami aku pandang dan terus bersuara, “Kita tak balik rumah malam ni.”

Aku angguk. Tak perlu berbincang panjang. Hati aku pun belum tenang. Anak-anak masih belum betul-betul pulih, dan aku sendiri masih rasa macam bau patung tu melekat kat kulit aku.

Kami terus ke rumah adik aku, Azie rumah teres dua tingkat, tak jauh dari kawasan rumah kami. Alhamdulillah, Azie memang jenis terbuka, tak banyak soal, dan tahu bila masa untuk diam bila keadaan dah cukup tegang.

Dia peluk aku lama, tenangkan aku. “Kak Ira boleh duduk sini lama mana kakak nak. Rumah ni rumah kakak jugak.”

Malam tu kami anak-beranak tidur dalam satu bilik. Setiap kali anak aku terbatuk atau bergerak sikit, aku terus tersedar. Trauma tu belum pergi.

Masa semua dah lena, aku terduduk di penjuru katil. Pandang siling. Dalam hati aku cuma ada satu persoalan…sampai bila semua ni nak berakhir? Dan yang aku paling takut… kalau Fara belum habis dan kalau….dia datang lagi.

Beberapa hari selepas kejadian tu, lepas keadaan anak-anak aku makin stabil dan suami pun rasa yakin untuk jaga rumah sendiri semula kami pun mula balik.

Balik ke rumah yang pernah jadi saksi macam-macam gangguan. Rumah yang dulu tenang, tapi pernah diselubungi rasa takut dan bau busuk yang tak masuk akal.

Sebelum masuk, suami aku dah siap-siap pasang surah Al-Baqarah. Air ruqyah dah disembur keliling rumah, tingkap dibuka luas, dan setiap sudut rumah kami baca doa masuk rumah.

Aku pandang ruang tamu perlahan-lahan. Masih rumah yang sama. Masih dinding yang sama. Tapi perasaan tu tak lagi sama.

Ada sesuatu dalam diri aku yang berubah. Dulu aku lalai. Sekarang aku belajar untuk berjaga. Aku belajar untuk lindungi keluarga aku dengan mata hati, bukan sekadar simpati.

Hari-hari selepas tu jadi fasa healing untuk kami. Pelan-pelan, aku kemas rumah semula.Tukar langsir. Lap setiap sudut. Ganti aura baru. Bakar wangian.

Aku tak nak hapuskan kenangan tapi aku nak bangunkan semula tempat ni jadi tempat selamat untuk anak-anak aku.

Dan dalam hati aku, aku tahu…Ini bukan pengakhiran. Tapi ini permulaan baru…kali ni dengan lebih berhati-hati.

Tapi langit tak selalu cerah. Dan ketenangan itu rupanya cuma waktu rehat sebelum badai yang baru.

Beberapa minggu selepas kami pulang ke rumah, semuanya nampak tenang. Anak-anak aku dah mula ketawa semula. Suami aku dah boleh keluar bekerja tanpa risau.

Aku pun kembali sibuk menguruskan rumah seperti biasa. Tak ada bau pelik. Tak ada suara aneh. Tak ada mimpi buruk. Rumah tu macam dah disucikan. Aku rasa normal macam hari-hari biasa sebelum kejadian tu berlaku.

Satu pagi tengah aku menyapu halaman rumah mata aku tertangkap akan kelibat seseorang yang aku berdoa taknak dia muncul langsung dalam hidup aku.

Korang tahu dia buat apa? Dia hanya berdiri tegak dengan bertudung dan berbaju hitamnya. Tak senyum langsung. Muka dia kelat macam pendam dendam kesumat dekat aku. Aku nampak tangan dia macam pegang sesuatu…macam tengah pegang beg plastik hitam.

Aku mundur ke belakang. Terasa lutut longgar dan cepat-cepat aku masuk ke rumah dengan kelam kabutnya.

Dan suara dia kedengaran perlahan hampir macam bisikan.

“Ira… buka la. Aku tak datang nak gaduh pun. Aku rindu…”

Aku tak buka pintu pagi tu. Dan aku tak akan buka. Walau macam mana pun dia pujuk, merayu, atau tenung aku dari luar rumah.

Dia jerit nama aku macam orang tak waras.

“Iraaaaa! Keluarlah! KELUAR LA KAUUUUU!!!”

Anak-anak aku yang tengah main dalam rumah terus menangis. Jiran-jiran dah mula buka tingkap, ada yang berani keluar pagar untuk tengok adegan gila pagi tu.

“Aku tahu kau nampak aku. Tapi kau tak nak tengok aku. Kenapa? Kita kan dulu baik.”

Jiran-jiran dah mula pegang telefon. Ada yang rakam. Ada yang nak call polis. Tapi Fara langsung tak peduli. Dia tenung rumah aku macam nak tembus dinding.

“Kalau aku tak boleh masuk hidup kau, aku akan tarik kau masuk dalam hidup aku. Sorang-sorang. Aku akan ambil balik semuanya.”

Tak lama lepastu dia berhenti. Suasana jadi senyap kejap. Aku nampak dia tertunduk dan lepastu tu dia jalan pergi perlahan-lahan seolah-olah dia dah menang.

Dan sejak dari pagi tu hari-hari dia datang. Kadang-kadang awal pagi.Kadang tengah malam dan kadang-kadang tengah hari masa aku gantung baju.

Dia tak jerit. Tak ugut. Tapi dia muncul sambil berdiri jauh tengok rumah aku. Dia dah macam bayang-bayang. Mana aku pergi, dia akan ada. Macam hantu yang bukan hantu.

Aku dah pernah call polis. Buat report. Tapi dia tak buat apa-apa yang “mengancam” katanya. Dia cuma berdiri. Tak masuk kawasan rumah. Tak langgar undang-undang.
Tapi otak aku makin hari makin remuk.

Ya Allah macam mana nak jelaskan benda yang menakutkan tu tak semestinya datang dalam bentuk tumbuk atau tikam?!

Kau nak tunggu aku kena cekik depan mata baru nak kira tu ‘mengancam’?

Dia berdiri depan rumah aku hari-hari. Intai anak aku. Hantar barang-barang pelik. Hantar gambar tak sepatutnya. Tapi semua tu tak cukup ke untuk orang percaya aku tengah kena ganggu?

Kadang-kadang aku rasa aku ni macam tengah gila sorang-sorang. Polis buat muka simpati je, tapi habuk pun tak gerak. Sistem dorang ni buat aku rasa kalau aku mati esok, baru semua orang nak buka mata.

Lastnya laki aku ajak pindah ke rumah baru yang jauh dari daerah itu. Tempat lama tu terlalu banyak kenangan gelap yang aku tak sanggup simpan. Tapi tahlah walaupun aku dah pindah dan dah jauh dari tempat semua tu berlaku aku tetap rasa dia belum benar-benar pergi.

Kadang-kadang, bila aku tengah sidai kain, aku rasa macam ada seseorang tengah perhati. Bila aku tengok anak aku tidur malam-malam, aku selalu peluk mereka dengan erat. Sebab entah kenapa aku masih takut.

Takut kalau satu hari, Fara datang semula.

Sejak hari terakhir Fara berdiri depan rumah lama aku sambil dia menangis, marah dan meracau dia tiba-tiba hilang. Bukan sehari dua. Tapi benar-benar hilang.

Tiada lagi suara dia panggil nama aku. Tiada lagi bayang dia luar pagar. Tiada apa-apa. Sunyi sangat lepas dia tak ganggu hidup aku hari-hari macam sebelum ni.

Suami aku kata dia mungkin dah pindah jauh. Mungkin masuk hospital. Atau…mungkin dah tak ada.

Tapi tak ada siapa tahu pasti. Tak ada bukti dia mati, tak ada bukti dia hidup.

Wallahualam.

– Ira Cantik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Ya Allah, permudahkanlah hidup keluarga kecil ini, jauhkanlah mereka dari orang yang mempunyai hasad dengki, lindungilah mereka. Aamin.

    Allahu, meremang lah saya baca part I & II. Semoga Puan Ira, suami & anak-anak, kuat hadap semua ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *