Perempuan Selalu Betul?

“Women are always right”

Cikgu Suraya: Kelas… 20 darab 4 berapa?

Abu: 5 cikgu!

Ayu: 80 cikgu!

Cikgu Suraya: Betul Ayu!

Abu: Yalah ambil-ambil. Perempuan mana pernah salah!

‘Perempuan selalu betul’

Frasa buat kaum lelaki melepaskan diri dan frasa yang jelas bertentangan dengan hakikat menjadi srikandi.

Mari kita kupas dan sedarkan diri kita dengan apa yang terjadi kini.

1. Salah guna frasa

2. Hakikat frasa

Pertamanya, mari kita berbincang tentang isu pertama.

SALAH GUNA FRASA

Jika berlaku perdebatan antara kaum lelaki dan perempuan, dihujungnya, pasti pihak lelaki akan mengeluarkan frasa “perempuan selalu betul” sebagai salah satu senjata untuk mematikan hujah sang lawan (menyelamatkan diri).

Dengan berkata begitu, poin-poin, isu-isu, statistik dan pelbagai lagi bukti yang dikemukakan oleh pihak perempuan dalam perdebatan tersebut terlihat seperti tidak valid dan menjadikan perdebatan tersebut terus mati.

Pihak lelaki akan menggunakan frasa tersebut sebagai jalan keluar daripada terus berdebat dan akhirnya mengeluarkan satu lagi frasa “lelaki kena selalu mengalah”,

Bagi menunjukkan bagaimana mereka sanggup mengalah (melepaskan diri daripada untuk menyelesaikan masalah) dan tidak lagi berhujah demi membenarkan pihak perempuan menang.

Kononnya mahu menunjukkan sifat gentleman walaupun hakikatnya mereka sudah hilang idea (atau sudah malas mahu membantu menyelesaikan sesuatu.

Secara tidak langsung, perkara ini memberikan gambaran seolah pendapat dan fakta yang dikemukakan seorang perempuan adalah tidak valid, dan tidak patut dijadikan bahan dalam perdebatan.

Pihak lelaki memilih untuk menafikan fakta, mengalih fokus daripada topik utama, dan menolak apa yang cuba disampaikan berbanding cuba menerima.

Apabila pihak lelaki sudah kehilangan idea, mereka bakal menggunakan dua frasa ini untuk menolak pendapat dan fakta ada.

Dalam kata mudah, mereka memilih untuk berada dalam keadaan state of denial instead of mengakui apa yang cuba dihujahkan, dengan mengangkat diri mereka sebagai hero diakhir perdebatan.

“Oh, saya lelaki. Awak perempuan. Saya akan cakap yang saya mengalah dihujungnya nanti bila saya sudah hilang idea. Langkah selamat. Orang pasti akan setuju dengan saya.”

Bagaimana, dan mengapa wujudnya frasa “women are always right ini”?

Saya percaya, frasa ini datang daripada negara barat (mestilah, kan ianya frasa bahasa Inggeris). PENDAPAT saya, tujuan asal frasa ini diwujudkan hanyalah untuk mengelakkan suami isteri, atau kekasih daripada terus bergaduh dan bergaduh.

Jadi, untuk mengelakkan perkara ini berlarutan, para suami dinasihatkan untuk mengalah saja dengan sang isteri, dan akhirnya dapat mengakhiri apa jua pergaduhan yang mereka alami.

Begitu juga dengan masyarakat kita. Suami digalakkan untuk diam saja ketika isteri membebel untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Katakan ya pada apa saja yang isteri mahukan. Dan minta maaf saja jika isteri anda marahkan anda.

Maka, wujudlah frasa “perempuan tidak pernah salah” dan “lelaki selalu salah”.

Namun akhir-akhir ini, frasa-frasa ini seperti sudah disalah guna. Pihak lelaki, tak kira usia, tak kira dalam situasi apa, bakal menggunakan ‘cheat’ ini untuk menafikan fakta yang dibawa wanita.

Apa saja yang dihujahkan, pasti dibalas dengan “ya, perempuan selalu nak menang, ya, saya salah” tanpa mereka cuba untuk menerima isu yang cuba disampaikan.

Jalan yang mudah, bukan?

Kenapa tidak terus kemukakan hujah, dan berbalas fakta? Kenapa terus mengalah? Bukankah berkongsi pengetahuan itu lebih baik daripada diam dan menyembunyikan diri?

Atau anda sememangnya sudah ketandusan kata-kata, dan tidak mampu lagi berhujah?

Oh. Alangkah bagusnya jika semua peguam lelaki memilih untuk mengalah pada peguam perempuan. Alangkah bagusnya jika mat rempit menyerah diri dan mengaku salah pada polis perempuan.

Alangkah bagusnya jika perogol lelaki mengaku salah pada mangsa perempuan.

Eh?

Itu tentang salah guna frasa ‘women are always right’ untuk melarikan diri daripada terus berhujah.

Kita bergerak ke topik kedua.

HAKIKAT FRASA WOMEN ARE ALWAYS RIGHT.

Betulkah perempuan selalu betul?

Tak. Hakikatnya, kaum wanita selalu dipersalahkan dalam apa jua keadaan.

1. Rumah kotor

“Bini kau mesti pemalas kan. Itu pasal tak reti nak kemas rumah.”

“Mana anak perempuan kau? Tak reti nak tolong buat kerja rumah?”

2. Kerja rumah

“Jadi perempuan kenalah pandai masak!”

“Jenab! Kenapa kau tak basuh pinggan abang kau ni? Meh basuh pinggan ni!”

“Tolonglahlah sapu bilik abang kau tu. Jadi perempuan janganlah malas sangat.”

3. Terlanjur

“Minah tu tak reti jaga anak perempuan dia. Itu pasal terlanjur tu. Jalal tu dah namanya jantan, biasalah kalau miang!”

4. Mengandung luar nikah

“Itulah pasal. Gatal sangat nak mengangkang! Kan dah bunting!”

5. Mengandung awal

“Kau ni minah. Tak nak merancang dulu ke?”

6. Tiada anak

“Bini kau mandul kot. Kau kahwin lain jelah.”

7. Merancang kehamilan

“Awak telanlah ubat tu ya Piah. Abang malas nak beli-beli benda tu. Malulah.”

8. Terhamil

“Kenapa awak tak makan ubat? Kan dah mengandung!”

9. Suami kahwin lain

“Itulah kau Kiah. Tak jaga badan. Itu pasal laki kau cari lain.”

10. Orang ketiga

“Celaka punya perempuan! Kau goda laki aku! Laki aku punyalah suci, tak pernah nak curang dengan aku selama ni! Bila kenal je kau, tak reti nak ingat anak bini! Dasar perempuan perampas!”

11. Anak perangai setan

“Dah maknya sibuk bekerja. Siapa yang nak mengajar anak? Itu pasal jadi setan!”

12. Isteri bekerja

“Bini kau tu kuat sangat bekerja sampai makan minum kau tak terjaga. Apa guna ada bini kalau makan kena masak sendiri?”

13. Isteri tidak bekerja

“Duduk rumah goyang kaki saja. Tolonglah laki kau cari duit sikit!”

14. Isteri asyik beranak

“Kau tak reti merancang ke Peah? Asyik mengandung saja. Tak kesian ke anak-anak kau yang kecil-kecil tu? Tak cukup perhatian je aku tengok.”

15. Rogol

Yang ni, fikir-fikir sendirilah ya.

16. Andartu vs Terutu (Teruna Tua)

“Limah-Limah. Bila nak kahwin? Dah 25 kan?”

“Ala takpa dia lelaki. 40 tahun pun laku lagi.”

17. Syurga

“Syurga kau tu bawah tapak kaki suami kau. Sabarlah. Janganlah lapor polis yang laki kau pukul kau. Kau nak nusyuz ke?”

18. Gugur

“Kau makan apa sampai gugur ni? Buat kerja berat? Ke sebab rahim kau tak kuat?”

19. Jantina anak

“Kahwin sorang lagilah Daud… mana tahu dapat anak lelaki…”

20. Kemalangan/Tak reti bagi signal

“Ini mesti driver perempuan ni.”

Dan bermacam lagi.

Jadi, adakah benar frasa perempuan tak pernah salah?

Tidak. Perempuan selalu dipersalahkan. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Malah, kaum perempuan sendiri suka mengecam perempuan yang lain. Langsung tiada semangat kewanitaan.

Wanita seperti ini mengecam kaum sendiri hanya untuk menaikkan darjat sendiri. Mereka sanggup hina wanita lain hanya untuk mendapatkan perhatian lelaki.

Contohnya boleh dilihat pada confession Puan M baru-baru ini. Tentang bagaimana Puan M menyalahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 hanya untuk menafikan kesalahan suaminya yang ternyata seorang pedofil.

Memalukan.

Sampai bila anda mahu merosakkan masa depan kaum sendiri?

Ubahlah bermula sekarang. Ubah diri kita. Jangan duduk ditakuk lama.

Anak perempuan dilatih untuk mahir serba-serbi. Harus belajar tinggi, pandai di dapur, cantik, bekerja, mampu tanggung diri sendiri dan bermacam lagi. Sedangkan anak lelaki, cukup dengan bekerjaya. Tinggal cari bini untuk dijadikan hamba.

Mengapa kita terus memilih untuk jadi begini?

Lelaki sedari beratus abad yang lalu memang dibesarkan untuk mempunyai ego yang tinggi. Mereka dididik dengan prinsip yang perempuan itu lemah, beremosi, kurang akal, dan tidak layak menjadi ketua.

Lelaki dianggap superior, dan wanita patut mencium kaki mereka. Kita takkan mampu mengubah pegangan patriaki yang sudah lama berakar.

Ya, zaman sudah berubah. Lelaki sekarang lebih sedar tentang kesama-rataan kemampuan wanita. Namun masih ramai yang mahu menafikan.

Jadi, siapa yang mahu membela kaum wanita? Semua pihak. Islam adalah satu-satunya agama yang mengangkat martabat wanita. Sekurang-kurangnya, hormatlah wanita atas tiket keislaman anda.

Anda, seorang wanita. Anda, seorang bapa. Anda, seorang abang. Anda, seorang adik. Anda, sebagai manusia.

Letakkanlah sesuatu pada tempatnya. Jadilah manusia yang adil. Jangan hanya sebab ego, anda memilih untuk menafikan keadilan.

– Pemerhati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *