Perempuan Sukar Mencari Lelaki Berkualiti

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Admin dan semua pembaca.

Saya Maria, nama samaran, berumur lewat 30an, bujang dan merupakan penjawat awam. Penulisan saya ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri, pembacaan confessions dan pemerhatian yang berlaku pada orang-orang di sekeliling saya.

Mungkin sesetengah pembaca tidak bersetuju kerana tidak pernah mengalami perkara tersebut atau mempunyai pandangan yang berbeza.

Post ini panjang dan mungkin berat sikit isunya, jadi pembaca yang tidak berminat, boleh berhenti membaca setakat perenggan pengenalan ini. (Jangan suruh saya melukis, saya tak reti).

BANCIAN 2020

Statistik penduduk dalam laporan bancian penduduk 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan. Saya download file PDF tersebut dan meneliti beberapa perkara.

Jantina: 17 juta lelaki, 15.5 juta perempuan. Nisbah 110 lelaki kepada 100 perempuan.

Jumlah belia 15-40 tahun: 14.8 juta (45.5% daripada populasi penduduk)

Taraf perkahwinan (umur 15 tahun ke atas): 8.4 juta bujang (34%), 13.7 juta sudah berkahwin (55.5%), 3.8% balu/ duda, 1.6% berpisah/ bercerai.

Jika dibandingkan antara bancian 2010 dan 2020, peratusan bujang menurun daripada 2010 sebanyak 1.1% pada tahun 2020, tetapi perlu diberi perhatian juga kepada peratus perkahwinan yang menurun 4.1% dan perceraian meningkat 0.8%.

Saya mencari maklumat terkini kerana isu yang dibangkitkan daripada laporan bancian 2010, menarik perhatian saya,

https://www.sinarharian.com.my/article/72038/LAPORAN-KHAS/Dilema-5-juta-bujang-senja-Malaysia

Dan juga https://www.sinarharian.com.my/article/72031/LAPORAN-KHAS/Lebih-1-juta-wanita-Selangor-30-tahun-ke-atas-masih-bujang .

Dalam laporan berita yang pertama, didapati jumlah perempuan bujang yang berumur 30 tahun ke atas adalah 4.8 juta, manakala lelaki kelompok yang sama hanya 739,000 orang.

BILANGAN ORANG BUJANG

Laporan bancian 2020 hanya menunjukkan bilangan orang bujang. Saya tidak pasti sekiranya ada lampiran lain yang di luar daripada pengetahuan saya.

Jadi saya tidak mendapat maklumat mengenai peratusan jantina, kaum, agama dan taburan umur golongan yang masih bujang daripada bancian 2020.

Walaupun peratusan bujang menurun 1.1%, perlu diingatkan bahawa populasi penduduk Malaysia 2020 adalah 32.4 juta. Mengikut pengiraan saya, daripada jumlah tersebut, 24.69 juta penduduk berumur 15 tahun ke atas yang boleh berkahwin (15-64 tahun, 69.3%; 65 tahun ke atas, 6.8%),

Manakala pada tahun 2010, golongan umur yang sama adalah sebanyak 22.49 juta (15-64 tahun ke atas, 67.3%; 65 tahun ke atas, 5.0%).

Bermakna, 35.1% bujang pada 2010, adalah seramai 6.97 juta (berusia 15 tahun ke atas), dan peratusan bujang 34% (15 tahun ke atas) pada tahun 2020 adalah seramai 8.395 juta, atau 8.4 juta seperti yang dilaporkan dalam laporan bancian mukasurat 19.

Ini menunjukkan peratusan menurun tetapi sebenarnya jumlah makin bertambah, selari dengan penambahan penduduk. Saya dan rakan-rakan yang dikira sebagai bujang tahun 2010, masih lagi bujang pada tahun 2020.

Mengambil statistik tahun 2010 dalam laporan berita, sekiranya 739,000 lelaki dipasangkan dengan perempuan bujang umur 30an, masih ada 4.06 juta perempuan tetap berstatus bujang.

Bilangan lelaki tidak ramai yang membujang selepas melepasi umur 30 tahun, kerana mereka mempunyai pilihan untuk berkahwin dengan kelompok perempuan umur 16-29 tahun ataupun janda/ ibu tunggal yang biasanya tidak meletakkan hantaran tinggi atau tiada hantaran langsung.

Di sini kita boleh lihat, walaupun bilangan lelaki ramai, tetapi pada hakikatnya, tidak ramai calon lelaki yang masih bujang.

Perempuan 30an dan ke atas juga boleh memilih samada mencari pasangan muda, duda atau berpoligami.

Kebanyakan kami masih membujang kerana tidak mahu menanggung risiko berkahwin dengan duda atau menjadi isteri ke 2, 3 atau 4. Yang berani, akan cari bakal suami bukan sebangsa, malah, calon dari luar negara.

GROUP “CONFESSION” MENJADI TEMPAT LUAHAN PERASAAN

Kebanyakan perempuan meluahkan perasaan secara anonymous tanpa mendedahkan dan mengaibkan ahli keluarga dan diri sendiri dalam platform sebegini kerana boleh mendapatkan pandangan daripada netizen pelbagai background.

Malah ada juga lelaki yang mengaku pernah terlibat atau membuat perbuatan tersebut. Jadi confessions mereka mungkin tidak termasuk dalam statistik rasmi mana-mana organisasi, contoh kes rogol sewaktu kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

(Saya dan netizen lain masih menunggu luahan perasaan lelaki yang telah merosakkan anak dara orang tapi terlepas dan berkahwin lain seolah-olah tiada apa2. Tapi bak kata netizen, golongan ni takkan mengaku sebab mereka rasa tak bersalah pun.)

CIRI-CIRI LELAKI YANG DISEBUT DALAM CONFESSIONS

Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan confessions daripada perempuan yang mempunyai masalah sehingga mengganggu ketenteraman hidup dan ketenangan hati mereka, adalah disebabkan lelaki yang mempunyai ciri-ciri di bawah:

1. Tidak solat dan/ atau tidak berpuasa dan/ atau tidak tahu mengaji al-quran

2. Berjudi dan/ atau main nombor ekor

3. Culas bab nafkah isteri dan anak, membiarkan isteri menjadi breadwinner tanpa alasan munasabah

4. Culas nafkah anak selepas perceraian

5. Tidak bertanggungjawab (mengutamakan hal yang tidak penting seperti upgrade aksesori kereta/ beli rokok berbanding perbelanjaan rumah)

6. Mengongkong isteri yang berpendapatan dan berpendidikan tinggi daripadanya

7. Curang sehingga peringkat berzina

8. Ketidakadilan dalam poligami

9. Pemalas/ Pengotor dalam pengurusan kebersihan rumah

10. Masih mengamalkan budaya patriarki sedangkan isteri bekerjaya

11. Kecelaruan identiti/ mengamalkan nafsu songsang (tidak mahu berkahwin)

12. Berkahwin sekadar untuk mempunyai isteri di mata masyarakat tetapi ada kekasih gelap lelaki

13. Menganggur/ malas cari kerja (biawak hidup)

14. Ketagihan bermain games yang keterlaluan

15. Ketagihan dadah dan bahan terlarang

16. Ketagihan bahan lucah dan mela@ncap walaupun mempunyai isteri

17. S3xual h@rrassment secara verbal dan fizikal

18. S3xual grooming

19. Menghantar gambar private part dan phone s3x

20. Merogol perempuan tetapi berlakon alim di depan orang ramai sehingga mangsa tidak ada kekuatan untuk membuat laporan

21. Membiarkan campur tangan keluarga dalam rumahtangga (tidak mempertahankan keselesaan dan maruah isteri)

22. Anak mak (mengutamakan ibu tanpa mengambil kira perasaan isteri)

23. Menyertai dating/ jodoh apps dengan niat bersuka-suka

24. Menipu status perkahwinan dengan tujuan untuk mengorat perempuan lain

25. Hobi pelik yang di luar norma penerimaan masyarakat

26. Berkahwin dengan perempuan lain (terutamanya anak dara) dan meninggalkannya terkontang-kanting gantung tak bertali selepas berbaik semula dengan isteri pertama

27. Terjebak dalam penzinaan sebelum berkahwin

28. Membiarkan isteri tinggal di rumah keluarga dalam keadaan tidak selesa sedangkan mempunyai rumah sendiri, tetapi rumah itu disewakan, kononnya untuk pelaburan

29. Kurang ilmu sebelum berumahtangga

30. Tidak dapat mengawal perasaan sehingga menjadi kebiasaan untuk bercakap kasar dan memukul/ membuli dengan niat mendatangkan kecederaan fizikal atau penderaan mental kepada mangsa

Sekadar menyebut beberapa kategori berdasarkan kekerapan confessions yang mempunyai kes yang hampir sama. Saya sendiri pernah menghadapi masalah dengan lelaki sebegitu, tetapi saya tidak post confession.

ANTARA FAKTOR LELAKI TIDAK BERKUALITI (BERDASARKAN CONFESSIONS)

1. Didikan keluarga yang merajakan kaum lelaki

2. Lelaki narcissistic personality disorder dan masalah mental/ peribadi yang lain

3. Trauma semasa kanak-kanak/ remaja (mangsa liwat akhirnya menjadi pemangsa)

4. Rasa rendah diri dengan pasangan daripada segi pendidikan dan pendapatan

5. Sekali buat, tak kena tangkap dan berulang lagi perbuatannya

6. Galakan daripada rakan yang sama perangai

7. Rasa bangga bila dapat berkawan dengan lebih daripada seorang perempuan tanpa niat untuk menghalalkan hubungan

8. Tiada usaha untuk meningkatkan kualiti dari segi agama, gaji dan gaya hidup

9. Ibubapa menyebelahi anak lelaki kerana nak menjaga nama baik keluarga

10. Ibu yang tidak pandai berdikari walaupun masih sihat dan terlalu mengharapkan anak lelaki kerana sudah hilang kebergantungan kepada bekas/arwah suami

Jika diperhatikan, kebanyakan lelaki ini adalah kombinasi lebih daripada dua jenis, iaitu yang kurang didikan agama, kurang iman, kurang kelayakan akademik, kurang pendapatan, kurang literasi kewangan, kurang ‘common sense’, kurang bersosial dengan golongan lain, dan kurang budi bahasa.

Dengan erti kata lain, LEMAHHH.

Ok.. Sebenarnya…. kami tidak minta pasangan yang sempurna, kerana kami juga sedar mempunyai banyak kekurangan. Golongan perempuan juga tidak terkecuali membuat kesilapan. Hubungan lelaki dan perempuan seharusnya saling melengkapi.

Cuma.. bagaimana kami hendak hormat kalau lelaki calon suami kurang kriteria untuk membimbing kami? Ada sesetengah perempuan tetap meneruskan perkahwinan walaupun sudah nampak ‘red flags’ daripada calon suami semata-mata hendak menamatkan status bujang.

Apa yang kami harapkan, kalau kurang harta, harap lebihlah dari segi agama.

Ada juga lelaki yang hanya berkelulusan SPM, tetapi rajin mengusahakan kandang kambing atau berniaga produk makanan, lelaki golongan ini mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada graduan perempuan yang bekerja makan gaji di pejabat.

Biarlah ada kelebihan yang menutup kekurangan lain yang ada. Sekurang-kurangnya ada faktor yang membuatkan lelaki tersebut menjadi ketua keluarga yang layak dihormati.

Selain confessions daripada isteri, terdapat banyak juga confessions adalah hasil luahan anak perempuan yang kecewa dengan bapanya.

Anak perempuan zaman sekarang sudah pandai menilai.

Sebab itu, mereka menyokong ibu mereka untuk bercerai daripada tinggal dengan bapa yang tidak bertanggungjawab. Bagi isteri yang masih bertahan, mereka anggap semua itu sebagai ujian dalam perkahwinan.

CABARAN PEREMPUAN BUJANG MENCARI CALON SUAMI

Saya mengakui lelaki baik itu wujud, saya pun pernah berjumpa tetapi kami tidak berjodoh kerana matlamat hidup berbeza (macam citer Twenty Five Twenty One). Dan saya akui juga wujudnya isteri yang berzina dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suami.

Playgirls yang mempermainkan hati dan perasaan lelaki pun ada. Tetapi yang difokus di sini adalah lelaki yang tidak berkualiti hasil luahan perasaan para wanita. Jika lelaki tidak puas hati, mereka boleh buat satu post lain.

Sebab dah banyak sangat lelaki berperangai sebegini menyebabkan ramai perempuan berkahwin berpesan kepada kami yang bujang,

“Dah kawen nanti, jangan percaya sangat kat suami 100%”, “Check hp suami”, “Baik cerai daripada tanggung biawak hidup”. Sedangkan yang kami belajar, isteri perlu taat dan patuh kepada suami.

Apabila isteri meluahkan confessions mengenai sikap toksik suami, para netizen mencadangkan isteri memohon perceraian. “Seumur hidup itu lama”, kata mereka. Siap ada support group.

Tidak hairanlah jumlah perceraian makin meningkat dan sesetengah bujang perempuan memang tidak berminat nak berkahwin.

Apa perasaan lelaki apabila bekas isteri hantar confessions mengatakan dia telah bercerai dan telah move on, semua netizen mengucapkan tahniah kerana keluar dari perkahwinan toksik? Malu atau tiada perasaan?

Kami yang bujang teringin nak bertemu jodoh, tapi kenapa perempuan berstatus bekas isteri rasa lagi bahagia selepas bercerai? Bukankah perkahwinan itu untuk ketenangan jiwa? Kadang-kadang takut nak berkenalan dengan duda kerana risau ada sejarah tak baik dalam perkahwinan lama.

Poligami, mungkin keluar daripada pilihan, kerana sekalipun lelaki itu mampu, para isteri pertama takkan setuju dengan perkahwinan kedua dan seterusnya. Jika hubungan halal sekalipun, isteri kedua dan lain-lain tetap dilabel penyondol. Baik jangan cari masalah.

Masalah lain yang dihadapi oleh perempuan bujang adalah perbezaan pendapat dengan calon suami. Sesetengah lelaki melihat ibunya menanggung perbelanjaan rumah. Apabila dia hendak berkahwin, dia menetapkan syarat kepada bakal isteri untuk berkongsi belanja.

Kita faham belanja mengikut kemampuan suami, tetapi sepatutnya nafkah tempat tinggal, makan minum, pakaian perlu ditanggung oleh suami. Isteri hanya membantu mana yang kurang.

Tetapi mana yang suami akan ikut, cara hidup yang ditunjukkan oleh ibu bapa atau nasihat ustaz mengenai nafkah? Nilai yang diterapkan keluarga turut memainkan peranan membentuk pemikiran lelaki sebegini.

Pelbagai masalah yang dilaporkan dalam rumahtangga seolah-olah memperlihatkan kursus perkahwinan kurang memberi kesan kepada lelaki untuk menjadi seorang ketua keluarga yang baik.

Mungkin kerajaan boleh mengambil contoh latihan ketenteraan yang wajib seperti di Korea Selatan tapi kita tukar jadikan kursus untuk membentuk bakal imam.

Cikgu dan ustaz ustazah ajar, mereka tak nak dengar di sekolah. Biar kenakan hukuman macam tentera baru lelaki macamni insaf agaknya. (Kita pun dah dekat akhir zaman dah nih.)

Lagi satu, saya berharap kerajaan juga memandang serius dengan peningkatan jumlah penduduk yang tidak berkahwin dengan memperbanyakkan pusat penjagaan orang tua khas untuk golongan wanita sahaja.

Kami golongan bujang perempuan M40 dan T20 dahlah tidak layak mendapat bantuan khusus, tetapi cukai tetap kena bayar. Dahlah sunyi, dipinggirkan pula. Sekurang-kurangnya jika kerajaan prihatin, kebajikan kami tetap dijaga apabila kami tinggal sebatang kara nanti.

PENUTUP

Walaupun kebanyakan perempuan zaman sekarang boleh hidup tanpa lelaki dengan mempunyai harta dan kerjaya yang baik, kita tidak boleh menolak fitrah yang kami memerlukan kaum Adam sebagai pelindung dan penjaga kaum Hawa (Surah An-nisa’ 4:34).

Yang dimaksudkan di sini, bukan sahaja sebagai pasangan, tetapi juga ahli keluarga lelaki yang baik. Apa yang kami mahukan, pihak lelaki tolonglah berubah sikap dan mentaliti. Jadilah lelaki berkualiti yang boleh dibanggakan oleh masyarakat.

Bagaimanapun, masyarakat juga perlu bersedia dan menerima dengan hati terbuka mengenai realiti penambahan golongan bujang perempuan dan janda/ ibu tunggal. Bagilah sokongan dan doakan kami menemui kebahagian hakiki.

Post ini dibuat untuk membantu perempuan bujang di luar sana. Sekiranya menghadapi soalan berkaitan dengan jodoh pada hari raya nanti, don’t worry, you are not alone. Berjuta lagi perempuan di Malaysia menghadapi nasib yang sama.

Ini adalah masalah sejagat, termasuk negara maju seperti Jepun (DOI: 10.1080/10357823.2017.1371113.), China (DOI: 10.1177/0192513X20943919) dan Korea Selatan (DOI: 10.1163/15685314-04403004). Mungkin ada pihak lain boleh membuat kajian lebih lanjut secara saintifik mengenai hal ini.

Ini cuma bacaan santai. Terima kasih kerana sudi membaca sehingga habis. Selamat menunaikan ibadah puasa.

– Maria AlQibtiyyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *