Perginya Sebuah Permata

Sakit kehilangan orang yang tersayang masih berbekas di hati. Walaupun sudah hampir 2 tahun. Namun segala yang berlaku bagi aku ibarat mimpi. Insan yang selalu menjadi idola di hati, kini pergi menghadap ilahi.

Pada suatu petang, aku dikejutkan dengan satu panggilan dari ayahku. Beliau mengajakku untuk ke kuala lumpur dengan segera, kerana abangku terlibat dengan kemalangan.

Bingkas aku bangun dari tempat tidurku dan memaklumkan majikanku untuk memohon cuti. Ayahku ada berkata ‘kalau cek tak buleh mai, Ata pi sendiri tak pa’.

Aku usahakan juga untuk memohon cuti, alhamdulillah diluluskan walaupun secara panggilan telefon sahaja. Aku segera ke jeti kuah untuk membeli tiket feri. Tiada apa-apa yang luar biasa. Seusai sampai sahaja aku di jeti kuala kedah, Ata datang dan menjemputku.

Kami berbual tentang keadaan abang sulungku. Namun, tiada keresahan yang terpancar di wajah Ata. Dia kelihatan tenang sambil memandu.

Setibanya kami di rumah, ayah menyuruhku untuk berehat seketika sebelum kami memulakan perjalan selepas isya.

Aku melabuhkan punggung di katilku, dan berehat seketika. Aku kemudian bangun untuk pergi ke kedai, membeli makanan untuk dibawa di dalam perjalanan.

Terlihat, Ata di dalam bilik sedang mengira wang untuk perjalanan kami. Ibuku tidak mengikut kami kerana dia sedikit istimewa. (nanti aku ceritakan jika ramai yang ingin tahu). Selesai persiapan kami, kami terus bergerak untuk ke kuala lumpur.

Sempat ayahku singgah sebentar di 7-eleven untuk membeli pengecas telefon untukku. Katanya mudah untuk mengecas di dalam perjalanan.

Tibanya di gurun, tempat kegemaran Ata. Dia mengajak aku untuk berhenti di situ untuk makan malam. Berselera betul dia menjamah lauk yang dipilih. Nasi putih, ayam kurma dan teh tarik. Masih segar di dalam ingatanku, semua yang dia makan pada malam itu.

Kami meneruskan perjalanan kami. Ata mengatakan bahawa dia rasa kurang enak di bahgian dada dan ingin berehat. Aku meminta izin untuk memandu sambil mengenakan earfon (sehingga ke hari ini aku menyesal akan perbuatan ini).

Kami menghampiri ipoh, Ata menerima panggilan dari abang keduaku, mengatakan keadaan abang sulungku agak kritikal dan perlu menjalani pembedahan segera.

Ata kemudiannya agak panik dan memberitahu abangku untuk mencari pandangan kedua dari doktor lain.

Selepas habis perbualan itu, Ata mula memegang dadanya dan mengatakan bahwa dia sepertinya sakit. Dia lantas menyuruh aku untuk keluar dari highway dan cari hospital berdekatan.

Mujur aku belum terlepas simpang keluar ipoh. Aku segera keluar dari highway dan cuba mencari hospital terdekat.

Tapi aku berada dalam kesukaran yang amat. Aku tidak tahu di mana hospital berdekatan. Ata semakin sakit, Ata memberitahu aku supaya aku cepat. Aku terus menggelabah.

Sebelah tangan memegang telefon, sebelah lagi memandu. Tiba di lampu isyarat, ayahku arahkan agar aku langgar saja lampu kerana dia berada dalam kesakitan yang maha dahsyat.

Tidak pernah seumur hidup aku, melihat Ata dalam keadaan yang sebegitu. Jikalau dia sakti sekalipun, biasanya dia tidak akan cerita kepada kami. Tapi kali ini berbeza, dia kesakitan yang teramat sangat.

Tibanya kami di sebuah hospital swasta, aku terus membawa Ata ke bahgian kecemasan. Mereka memasukkan ayah ke pusat rawatan pesakit luar dan mengesahkan Ata sedang mengalami serangan jantung. Menitis air mata aku melihat Ata dalam kesakitan.

‘doktor, nurse, tolong saya, saya sakit sangat’. Tangis Ata. Seorang nurse datang padaku dan bertanya tentang kewangan kami. Semestinya kami tidak mampu, dan Ata tiada insurans.

Mereka kemudian memindahkan Ata ke hospital raja permaisuri bainun. Di sinilah bermulanya hari yang paling panjang dalam hidup aku.

Setelah dpindahkan, aku hanya dibenarkan untuk menunggu di luar. Ata dimasukkan ke zon merah. Aku keseorang di luar. Ketakutan, kesedihan. Aku mula menelefon semua saudara dan adik-beradik untuk segera datang. Pada jam lebih kurang 3 pagi,

Ada seorang jaga memanggil aku, untuk masuk dan melihat keadaan ayah (this was before covid).

Aku masuk ke dalam kawasan zon merah, sambil melihat ayahku terbaring dan disandarkan di katil. Memakai seperti satu bekas dimasukkan di kepalanya. Aku pergi menghampiri ayahku.

Aku memegang tangannya, dia tersedar. Aku melihat matanya dalam penuh tangisan. Walaupun pada saat itu, Ata masih lagi tidak ingin aku risau. Dia cuma cakap ‘Ata okey, cek jangan risau’. Andainya aku tahu itu kali terakhir aku akan bercakap dengan Ata, pasti!

Aku akan berborak dengannya dengan lebih panjang. Namun, aku cuma cakap, moga Ata sembuh. Aku senyum padanya dan berlalu pergi.

Subuh tiba, aku pergi ke masjid bersebelahan hospital untuk solat. Selesai sahaja solat, aku menerima panggilan dari doktor mengatakan bahawa mereka akan menjalankan pembedahan pada ayahku dan dia juga sudah menandatangani borang persetujuan.

Aku bergegas untuk ke zon merah semula supaya dapat bercakap dengan ayahku buat kali yang terakhir. Namun, doktor memberitahu mereka dalam proses menyiapkan Ata untuk pembedahan, dan aku boleh bercakap dengannya selepas ini.

Tapi rupanya aku tersilap, prosedur mereka itu membataskan aku untuk bercakap dengan Ata buat kali terakhir. Kerana Ata terus ditidurkan untuk pembedahan itu.

Adik beradik dan saudara mara mula tiba di hospital, ibuku dirumah ditemani makcik-makciku. Tiada siapa yang dapat berehat dan menjamah sebarang makanan kerana risau memikirkan Ata.

Pada jam lebih kurang 1 petang, pembedahan selesai dijalankan. Namun, keadaan abah masih tidak bertambah baik.

Doktor ada menyarankan beberapa perkara yang boleh kami lakukan. Namun aku sendiri sudah terlupa apakah perkara itu. Yang aku ingat, selepas solat asar, doktor memaklumkan, keadaan Ata semakin tenat. Banyak organnya sudah gagal berfungsi.

Dan sepertimana ketakutan bagi semua anak di dunia, doktor itu mengatakan bahwa Ata mungkin akan pergi tidak lama lagi. Kami bergegas masuk ke wad kecemasan, untuk melihat Ata. Aku memegang kaki Ata, sudah sejuk.

Wajah Ata tidak lagi menghasilkan senyuman yang aku rindu. Tangan Ata mulai sejuk. Tiada lagi kedengaran ayat ‘Ata kan ada’. Yang ada cuma tangisan dan esakan dari kami adik beradik.

Memenuhi seluruh pelosok ruang wad itu. Pada jam lebih kurang 6 petang, Ata disahkan meninggal dunia. Hancur hati kami adik beradik. Aku lebih sedih kerana aku tidak menggunakan masa terakhir yang kami ada bersama untuk berborak.

Aku menemani Ata di dalam van jenazah, perjalanan yang sayu dan sangat panjang. Tibanya di rumah, kelihatan ibuku sudah dimaklumkan tentang pemergian Ata. Namun riak wajahnya belum menunjukkan sebarang reaksi. Mungkin hanya Allah yang tahu perasaannya.

Keluar suaminya dari rumah dalam keadaan bernyawa, pulang sebagai mayat. Allah. Kesemua urusan jenazah aku usahakan untuk hanya kami yang lakukannya. Baik dari mandi, kafan, solat dan talkin.

Semasa Ata sampai di rumah pada tengah pagi, imam menasihatkan agar kami bergilir-gilir untuk menemani jenazah pada malam ini, kerana jenazah akan disimpan selepas jumaat. Kami pun bergilir menemani jenazah Ata malam itu.

Seperti mana Ata menemani kami saat kami tidur waktu kecil dulu. Kini giliran kami pula. Sesudah subuh, ramai orang datang dan menziarahi Ata. Ata sememangnya seorang guru yang disenangi rakan dan taulan.

Pada jam 10 pagi, kami membawa Ata ke surau tepi rumah untuk memandikan dia. Surau yang dia usahakan bina bersama rakan-rakanya. Di surau ini jugalah dia dimandikan. Semasa memandikan Ata, bercucuran air mata mengalir di pipi.

Menggosok tangannya yang keras, kerana bertungkus lumus mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Tangan itu aku gosok penuh lembut.

Tangan inilah yang mendidik aku sehingga kini aku menjadi manusia yang berguna. Tangan inilah yang menampar aku kerana aku membuat salah.

Terima kasih Ata. Suasan menjadi semakin sayu ketika saat hendak mengkafankan Ata.

Kami tarik kain kapan itu dan ikatnya dengan penuh kemas. Persiapan Ata untuk bertemu Allah. Sepertimana Ata menyiapkan kami semasa kecil, memakaikan pakaian yang segak untuk kami.

Begitulah kami lakukan untuk Ata. Aku kucup sepuasnya wajah Ata sebelum kain kafan ditutup. Ata kemudiannya dibawa ke masjid berdekatan untuk disolat. Alhamdulillah, abangku yang mengimamkan solat itu. Aku tidak melepaskan peluang untuk berdoa.

Puas aku menangis di dalam doa supaya diaminkan para jemaah. Moga Allah ampunkan setiap cebis dosa Ata, dan menerima segala amalannya.

Tibanya di tanah perkuburan, kami 5 beradik berserta orang-orang kampung memasukkan Ata ke dalam liang dan menutupnya.

Akulah yang membaca talkin untuk Ata, seperti mana Ata membacakan bed time story untukku, kali ini, aku membacakan talkin untuknya, buat kali yang terakhir.

Sekian sahaja coretan untuk kali ni, insyallah di masa akan datang aku akan ceritakan tentang kisah Ata selepas pengebumian. Doakan Ata semoga sentiasa dirahmati di sana.

– PRITA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *