Perihal Pengurusan dan Kekemasan

Salam semua. Sebenarnya saya tak tahu nak letak tajuk apa yang sesuai. Sekadar nak meluah selepas tengok fb story kawan yang berbuka bersama keluarga besarnya. Tidak pasti rumah ibubapa dia atau keluarga mentua.

Cantik rumahnya dalam video pendek tu, besar dan luas. Elok tersusun. Bila tengok rumah macamtu, selalu terdetik dalam hati, kenapa rumah keluarga saya tak seperti itu.

Sekitar tahun 2018, ada confessor pernah sebut pasal hoarders. Bila seorang dah submit post, maka yang lain-lain pun share pengalaman yang sama.

Pada masa tu, saya pun dah siap karang confession nak submit kepada IIUM Confession, tapi tak jadi. Sekadar luah dalam Word, simpan dalam Drive.

Bila baca berkali-kali, saya tak rasa hoarder adalah perkataan yang tepat untuk describe pasal rumah parents saya. Memang rumah kami messy, banyak barang, tapi masih functional. Ada ruang untuk tidur, solat dan dapur. Tapi saya tahu, ada something wrong runs in the family.

Sekarang ni, bila dah banyak social media platform, orang ramai share info dan short video pasal mental illness sebagai awareness seperti, narsisistik, MDD, bipolar, autism, dyslexia, ADHD dan lain-lain.

Sebelum ni saya cuma ingat ADHD untuk budak-budak lelaki hiperaktif yang melompat berlari sana sini susah nak kawal.

Lama-lama saya terbaca ADHD bukan sekadar hiperaktif, tetapi juga ada jenis inattentive. Selain messy, unorganised, patient juga jenis pelupa, selalu tak punctual, buat kerje last minute, cakap melompat-lompat topik (tapi berkaitan sebenarnya – associative thinking).

Saya cuba jawab soalan online dan result menunjukkan saya berpotensi utk ADHD. Dalam website tu ada pesan, pergi jumpa doktor untuk pengesahan diagnose. Saya pergi ke klinik swasta untuk doktor membuat referral letter ke hospital.

Beberapa sesi yang dijalankan dalam tempoh beberapa bulan, saya dapat berjumpa dengan dua orang doktor. Kedua-dua mereka kata saya ada trait seperti ADHD, tapi saya bukan ADHD. Lagipun, saya boleh belajar masuk universiti dan mempunyai pekerjaan yang baik.

Sebenarnya, ramai saja orang ADHD yang berjaya. ADHD ni spectrum, tak semestinya menjejaskan intelligence pesakit. Bila saya argue dengan doktor, katanya kalau saya pergi diagnose ke hospital lain, memang ada doktor boleh kata patient tu ADHD dan ambil ubat.

Tapi di hospital tersebut, mereka takkan semudah tu nak confirmkan diagnose pesakit. “Ada je CEO, businessman dan lain-lain yang ADHD.

Kalau you didiagnose ADHD, bukannya boleh baik. You dah dewasa. Boleh urus diri. It’s just a label.”

Sepatutnya orang akan lega kalau doktor mengesahkan tiada penyakit, tapi saya masih rasa belum ada closure. Doktor takde buat apa2 test selain berbual dengan saya.

Perasan dengan perubahan riak muka saya, doktor tanya, “Kenapa, you tak puas hati ke?” “Kalau saya ada ADHD, maybe saya inherit daripada ibu saya”.

Akhirnya saya membuka cerita mengenai ibu saya. Rumah kami jarang nampak kemas. Tapi bukan tak boleh kemas langsung macam org hoarders. Bila recall, rumah adik beradik saya dan mak saya pun lebih kurang.

Ada saja timbunan barang di rumah. Termasuk juga sifat compulsive buying, beli barang banyak-banyak buat stok. Doktor kata tu hanya masalah pengurusan.

“So you nak kata, mak you, adik-beradik you, makcik-makcik you semua ada ADHD?”

“Taklah. Ada je ahli keluarga yang lain tak macamtu”, jawab saya.

Bila balik rumah dan teringat balik conversation, baru saya terfikir, doktor tu perli saya ke tadi? Lagi satu masalah orang ADHD ni, mereka tak perasan social cue orang lain.

Saya pernah beberapa kali ditegur oleh kawan2, contoh ayat mereka, saya ni “lambat pikap”. Bila saya minta penjelasan, mereka jawab “tak sampai maksud rupanya”, “baru perasan ke dia macamtu”.

Walaupun doktor kata saya bukan adhd, tapi saya tahu saya tidak seperti orang dewasa yang lain.

Tertinggal hp, kunci kereta, kunci rumah, wallet, brooch tak pakai, lupa tutup iron, lupa tutup paip, lupa tutup sliding door, tutup kipas lampu sblm keluar rumah, itu semua perkara biasa dah berlaku bertahun-tahun.

Selalu juga kena marah dengan keluarga dan housemates. Disebabkan selalu lupa barang, saya perlu buat checklist bertulis dan tampal di tempat saya boleh nampak sebelum pergi kerja.

Pernah sekali, saya dah beberapa kali lambat pergi pejabat minggu tu, jadi saya pun bernekad nak keluar sebelum 7 pagi pada hari Jumaat.

Masa saya mengambil barang-barang, saya terpandang kaki meja makan, macam teringat ada sesuatu yang perlu saya buat, tapi saya check handphone,charger, wallet semua dah ada. Saya pun keluar turun bawah.

Bila kereta dah start gerak 30 saat, baru saya teringat, saya tertinggal bekal bawah tudung saji atas meja makan.

Saya cadang selepas habis waktu kerja, saya nak balik kampung terus sampai Ahad. Nanti basi pula makanan. Housemate pula memang dah balik kampung. Terus saya pusing dan masuk parking semula.

Kereta saya tinted, saya tinggalkan handbag di bawah seat dan ambil kunci sahaja. Parking tak ramai orang, ada CCTV.

Selepas 10 langkah dari kereta menuju ke lif, saya baru perasan, saya mengambil kunci pejabat, bukan kunci rumah. Kena patah balik kereta. Lepas tu baru naik atas semula untuk ambil bekal di rumah.

Out of sight, out of mind, omputeh kata. Bila masuk rumah, tengok2, langsir di sliding door tak diikat, bergelap rumah tanpa cahaya.

Walaupun ada checklist, tapi bila nak kejar masa, kadang-kadang tak sempat nak tengok. Bekal tu pun bukan rutin saya, so tiada dalam checklist. Itula jadinya. Plan asal nak elakkan jammed, akhirnya lambat juga.

Harini, dah masuk 2 minggu saya masih tak ingat kat mana saya letak bekas kosmetik. Saya ingat saya ada bawa balik ke kampung, tapi bila cari, tak jumpa.

Nasib baik saya ada simpan lipstik spare dan compact powder lama yang dalam handbag. Saya baru belanja RM200 tiga hari lepas untuk beli semula alat-alat kosmetik nak guna masa hari raya nanti.

Penat jadi orang pelupa. Rugi masa dan duit. Tapi bukan kita minta jadi begini.

Oh ya, saya lupa nak introduce diri. Saya berumur pertengahan 30an, bekerja profesional di sektor awam, masih belum berkahwin. Duduk di rumah sewa.

Saya pernah in a relationship sejak 20an, tapi semua tak menjadi. Pernah jumpa calon yang baik, saya pula tiba-tiba overthinking dan terus minta putus padahal tak pernah gaduh. Anggap jela takde jodoh, kan.

Masa saya awal 30an, saya suka kat seseorang. Melalui orang tengah, kami dapat berkenalan secara online.

Bila saya stalking fb dia, saya terjumpa satu post lama dia. Katanya ibu dia memang sangat particular bab kebersihan. Dia kata mereka adik beradik diajar oleh ibunya supaya tidak ada tahi cicak dalam rumah pun.

Rasa seram pula baca, tapi saya anggap sajala tu cabaran. Kami bersembang online beberapa kali, tapi akhirnya masing-masing senyap.

Kami tiada chemistry. Tahun depannya tu, saya dapat update di fb yang dia dah berkahwin. Ada hikmahnya, mungkin saya tidak boleh masuk dengan keluarga dia. Malu juga kalau keluarga dia tengok rumah kami.

Daripada dulu saya memang follow iiumc dan teringat satu post ni, https://iiumc.com/mencari-jodoh-dari-kaca-mata-lelaki/

Mula-mula baca post ni, memang saya terasa dan down. Confessor ni pun antara lelaki yang menilai perempuan melalui rumah keluarganya.

Dalam post lain berkaitan hoarders, ramai netizen akan suruh confessor duduk berjauhan dengan keluarga. Tapi mereka lupa, jauh mana pun duduk, orang akan datang juga rumah keluarga induk untuk urusan seperti perkahwinan, kematian, dan majlis kesyukuran.

Dalam apps jodoh, saya tengok ramai lelaki letak kriteria nakkan perempuan pandai mengemas. Saya takut tak mencapai expectation.

Though ramai je orang ADHD mendapat pasangan yang supportive macam watak Lee Jun-ho melayan Woo Young-woo yang autistik.

Saya bukan level pengotor yang tinggalkan mangkuk megi bawah katil sampai berkulat. Saya pun tak suka orang makan dalam bilik tidur.

Bila dah duduk dengan housemate, baru saya belajar untuk sapu rumah setiap hari, mop rumah pada hujung minggu.

Saya pernah ditegur oleh housemate masa belajar dulu untuk lap dapur gas selepas memasak. Ibu saya pun jarang bersihkan selepas masak.

Bukan tak pernah, tapi jarang sangat.

Melalui komen-komen netizen pasal post hoarder dulu, saya baru tahu rupanya kena basuh bakul sampah, which is perkara ni tak dibuat di rumah keluarga saya. Kalau dah teruk sangat, kami buang je terus ganti baru.

Di pejabat, biasalah orang perempuan letak barang-barang hiasan di atas meja. Saya pun begitu, tapi letak saja terus.

Bila saya tengok rakan sekerja sediakan “rumah” untuk barang-barangnya, saya pun tiru beli bekas yang bersesuaian. Bagi saya, dah kemas dah tu. Cukuplah syarat 5S di pejabat.

Selain kutip sampah, kadang-kadang akak cleaner akan lap meja office kami. Bila dia sudah selesai kerjanya, saya dapati, bekas pen, kotak tisu dan barangan lain diatur lebih kemas daripada yang saya buat. Tak terfikir nak susun macamtu.

Saya mampu buat kerja teknikal yang hanya saya seorang sahaja boleh lakukan daripada 230 staf di organisasi tempat saya bekerja, tapi cleaner level SPM lagi pandai mengemas dan mengatur meja pejabat saya.

Sebelum keluarga kami mengadakan kenduri arwah nenek dulu, kami pernah upah helper untuk bersihkan rumah. Selalu saya sental lantai dan sinki saja, tapi saya lihat dia turut bersihkan batang paip dan lain-lain. Saya tak “nampak” kekotoran yang orang lain “nampak”.

Orang selalu cakap, nak mengemas tu, common sense saja. Saya pula perlu belajar cara nak membersih, nak mengatur barang. Apa yang boleh dibuang terus atau dihantar recycle.

Saya amat berterima kasih kepada Dr Hani Mynis kerana menghasilkan buku dan tubuhkan group fb yang ahli-ahlinya sangat supportive. Saya banyak belajar dari situ.

Cuma, apa yang saya buat di rumah sewa, tak dapat dilaksanakan semuanya di rumah ibu. Ibu pun ada pantang larang di rumahnya sendiri.

Tak boleh buang barang dan tukar susun atur susunan perabot. Walaupun orang lain nampak tak kemas, tapi jangan sentuh barangnya.

Seperti yang saya cerita tadi, saya suspect ibu pun ADHD, kerana bila dia berbual, unconsciously dia akan memintal-mintal rambutnya.

Kadang-kadang dia hayunkan kaki bila duduk di kerusi yang tinggi. Fidgety.

Ada inside joke antara kami sekeluarga, kalau bagi ibu simpan barang, confirm dah tak jumpa dah sebab ibu selalu lupa. Dulu ibu boleh kemas bilik tidur saya, tapi dia biarkan baju kotor berlonggok di lantai bilik tidurnya. Kami sama-sama clutter blindness.

Setiap kali nak raya, ibu akan jadi stress bila adik beradik saya yang lain “arahkan” ibu untuk buang barang-barangnya.

Selalu mak-mak yang marah anak-anak bila rumah tak kemas. Ini terbalik pula. Kasihan ibu. Tapi tak tahu nak buat macam mana melainkan diri sendiri nampak clutter tu dari kaca mata orang lain.

Barang buruk dan rosak dah 30 tahun masih disimpan atas alasan dulu susah nak beli. Kami dah cuba buang, tapi dikutipnya semula. Bila kemas bersama-sama baru boleh barang lama. Itu pun ada barang yg ibu masih susah nak lepaskan.

Ibu saya bukan pemalas. Pernah saya pulang ke kampung sampai lewat petang, ibu tengah buat kuih. Rajin ibu mencuba resepi baru yang diambil dari youtube.

Tapi pinggan makan tengahari tadi belum dibasuh di sinki. Baju bersih ambil dari jemuran dah seminggu atas sofa belum dilipat. Antara simptom ADHD adalah executive functions otak yang lemah, di mana kita tak tahu mana tugas yang perlu diberi keutamaan.

Tapi doktor kata kami bukan ADHD. Katanya, ADHD dikesan daripada kanak-kanak. Ibu saya yang lahir 50an, adakah sudah didedahkan dengan ADHD ketika zaman 60an? Tidak. Saya pun baru dengar dalam 10 tahun kebelakangan ni saja.

Saya sebenarnya masih ada appointment dengan doktor tidak lama lagi. Setiap kali pertemuan hanya 15 minit sahaja, itu pun sekadar doktor nak yakinkan saya normal. Ok, anggap jela saya normal.

Saya ada deadline harini, tapi saya perlu taip confession ni supaya keluar daripada otak saya dulu, baru saya boleh fokus perkara lain.

Saya sudah taip sampai 4 page di Google Docs. Cukuplah sampai sini. Raya nanti, masuk rumah orang butakan mata, keluar rumah bisukan mulut. Terima kasih jika baca sampai habis.

– Ye Xi Wu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *