Perihal Rezeki dan Suratan Takdir

Assalamualaikum w.b.t. Terlebih dahulu aku hendak sampaikan penghargaan jika luahan ini disiarkan oleh pihak ‘admin’. Aku adalah seorang individu lelaki berusia awal 30-an. Tidak terfikir langsung untuk aku mendedahkan kisah aku ini di medium seperti iium confession (walau ianya tidak perlu mendedahkan identiti). Tapi aku sekarang bersedia untuk bercerita, yang mana ia mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain dan diharap ia boleh mengurangkan ‘beban’ yang terpaksa aku tanggung seumur hidup aku.

Beberapa tahun lepas, aku telah berjaya dalam temuduga kerajaan gred 41. Status jawatan adalah tetap. Tapi aku tak boleh masuk dalam perkhidmatan awam sebab nama aku sangkut – iaitu sangkut pada rekod mahkamah. Dulu pada usia remaja iaitu ketika aku berusia 19 tahun, aku ada melakukan kesilapan yang mana aku telah ditangkap dan disabit. Hakim pada waktu itu telah menjatuhkan hukuman pada aku.

Disebabkan ada sabitan mahkamah itulah menyebabkan aku tidak boleh masuk dalam perkhidmatan awam. Adakah ini sistemnya yang mana jika seseorang pernah melakukan kesilapan, dia akan terus dihukum untuk sepanjang hayatnya – walau individu itu sudah tidak melakukan kesilapan yang sama dan telah memperbaiki kehidupannya? Dalam kes aku, aku telah sambung belajar sehingga memperoleh segulung ijazah dan berazam tidak akan sesekali mengulang kesilapan dulu. ‘Benda itu’ (kesilapan lama) telah berlalu 12 ke 13 tahun lepas. Tapi itulah, jika itu ‘sistem’nya, aku redha. iaitu seseorang yang disabit bersalah oleh hakim (tidak kira besar atau kecil) akan ‘dihukum’ buat selama-lamanya di dunia. Untuk makluman, aku tidak pernah masuk penjara mahupun kena hukuman sebat.

Aku memang minat untuk bekerja dalam sektor kerajaan memandangkan kedua-dua ibubapa aku, ‘sibling’, dan saudara mara banyak merupakan pesara kerajaan dan penjawat awam. Jadi sejak kecil aku telah terdedah dengan persekitaran ‘perkhidmatan awam’. Antaranya aku telah dibesarkan di kuarters kerajaan. Selain itu, aku tahu bekerja dalam sektor kerajaan mempunyai pelbagai faedah dan ganjaran. Minat untuk berkhidmat untuk negara juga merupakan salah satu faktor pencetus kepada hasrat aku ingin masuk dalam perkhidmatan awam.

Walaubagaimanapun, seperti yang telah aku ‘mention’ sebelum ini, aku redha. Mungkin itu suratan hidup aku yang terpaksa aku pikul sepanjang hayat walau itu adalah kisah lampau yang telah lama berlaku dan tidak sesekali akan aku ulangi.

Diharap pengakuan aku ni sedikit sebanyak ada ‘output’ yang boleh dikongsi. Sebelum ini, hanya keluarga terdekat termasuk isteri aku saja yang tahu kisah aku ini.

Apa-apa pun seperti semua sedia maklum ada pelbagai cara untuk mencari rezeki dalam hidup samada bekerja di sektor swasta atau bekerja/berniaga sendiri. Cuma minat untuk bekerja dalam sektor awam yang aku mesti ketepi dan lupakan dalam hidup ini.

Sekian, terima kasih.

– Pencari hidayah Tuhan

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *