Assalamualaikum w.b.t. Terlebih dahulu aku ingin ucapkan terima kasih pada pihak ‘admin’ jika luahan kali kedua ini disiarkan. Ini adalah kesinambungan daripada ‘confession’ aku yang pertama yang aku nak tambah sedikit sebanyak.
Untuk yang mengikuti luahan aku yang pertama, sepatutnya ingat aku ada beritahu 3 faktor kenapa aku minat untuk bekerja di sektor awam. Antara faktor yang aku sebut adalah faedah dan ganjaran yang ditawarkan untuk penjawat awam. Secara spesifiknya yang paling menarik adalah skim pencen. Lebih-lebih lagi gaji yang ditawar kepada penjawat awam sekarang adalah tinggi berbanding dahulu. Bila gaji (akhir) tinggi, bayaran pencen pun tinggi. Bayaran pencen itu akan di bayar untuk sepanjang hayat pesara. Walaupun simpanan dari caruman KWSP juga tinggi untuk pekerja swasta (bergantung pada individu), tapi jika tidak diguna secara berhemah, duit itu akan habis awal sebelum tiba waktunya.
Tapi macamana aku nak cerita pun, nasi sudah jadi bubur. Menangis air mata darah pun masa yang lepas tidak boleh diulang semula. Aku kena pasrah dan redha yang aku tidak boleh masuk ke sektor awam disebabkan rekod mahkamah aku.
Ada yang komen rezeki tidak pernah salah alamat. Mungkin ini yang terbaik untuk aku. Antara hikmah yang aku fikir adalah, aku jumpa isteri aku adalah di tempat kerja sekarang (sektor swasta). Maksudnya jika aku dapat masuk ke sektor awam pun dulu (selepas berjaya dalam temuduga gred 41), tentu aku takkan dapat kenal isteri aku. Aku mula bekerja di syarikat sekarang iaitu kira-kira setahun selepas keputusan temuduga kerajaan itu keluar.
Lagi satu, mungkin aku kurang sesuai di sektor awam berdasarkan faktor ‘budaya’. Kerja kerajaan dan isu mengular memang tidak dapat dipisah untuk dikaitkan. Dulu, aku pernah bekerja sementara di sebuah badan berkanun. Secara tidak langsung, dapatlah tengok ‘perlakuan’ beberapa kakitangan tetap di situ. Aku taknak ulas apa yang aku nampak. Cukuplah aku katakan, ‘perlakuan’ seperti itu amat susah untuk dilihat di sektor swasta. Mungkin aku tidak boleh pukul rata kepada semua jabatan kerajaan. Tapi tanya la sesiapa yang ada pengalaman bekerja di sektor awam dan swasta, pasti nampak perbezaan apa yang aku cuba sampaikan mengenai isu ‘mengular’. Mungkin ada juga staf swasta yang mengular, tapi aku boleh katakan ia adalah kes terpencil.
Jika ada boss yang tak efektif yang hanya membiarkan perlakuan mengular kakitangan di bawahnya, ataupun dakwaan boss itu sendiri mengular, adakah memang benar penjawat awam berjawatan tetap memang kebal dan isu-isu seperti mengular ini tidak memberi kesan kepada jawatannya? Jika benar, mungkin aku tidak beberapa sesuai di sektor awam. Sebab dari pengalaman sendiri, aku tak dapat elak dari rasa ‘pedih’ melihat seseorang kakitangan asyik mengular. Bukannya mengular sikit-sikit, tetapi mengular banyak.
Itu sahaja setakat ini. Apa-apa pun aku minta maaf jika ada pandangan aku yang kurang tepat. Aku hanya sampaikan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri sahaja. Yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari diri aku sendiri.
InsyaaAllah rezeki di mana-mana. Terima kasih.
– Pencari Hidayah Tuhan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit