Assalamualaikum pada pembaca sekalian… Aku tak tahu nak mula dari mana tapi, cukup sekadar kalian tahu yang aku baru sahaja kehilangan seorang yang sangat aku sayangi, iaitu atuk aku. Kehilangan yang terlalu pantas untuk dicerna oleh aku sebagai antara cucu yang paling rapat dengan beliau. Aku ada tiga orang beradik dan ibu, aku tidak mempunyai ayah, beliau meninggal dunia 8 tahun yang lalu. Jadinya, kami empat beranak berpindah ke kampung untuk tinggal bersama dan menjaga atuk setelah ayah kami meninggal. Maka, bermula lah tanggungjawab kami menjaga makan, minum dan pakai beliau. Sejak dari itu, aku semakin rapat dengan atuk dan sentiasa mengusik beliau dengan gurauan manja aku.
Aku, bersekolah di sekolah asrama yang cukup dikenali tapi beratus kilometer dari rumah. Aku cuma akan balik rumah kira-kira 10 kali dalam setahun termasuk cuti akhir tahun. Setiap kali aku nak balik asrama, atuk sentiasa menghulur belanja dan mengambil berat tentang bagaimana cara aku nak balik.. Biasanya memang aku naik bas memandangkan kami tiada kemudahan kereta. Aku sentiasa menitiskan air mata bila cium tangan beliau kerana sayu melihat cara layanan beliau.. Maklumlah, aku sudah tiada bapa untuk mengambil berat berkaitan dengan hal persekolahan aku. Tiap kali aku mengalami peperiksaan ataupun masalah, aku, sentiasa mengadu pada beliau… Entahlah.. Mungkin respon dari dia dan kasih sayang yang x pernah kurang membuat kan aku selesa untuk mengadu segalanya pada beliau.
Semasa aku, mendapat tawaran menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri sembilan, beliaulah antara orang yang sangat gembira… Selalu memanggil aku dengan gelaran lawyer memandangkan aku belajar jurusan syariah dan undang-undang.
Pernah sekali, ketika aku di universiti, aku mendapat mesej dari kakak yang menyatakan untuk aku terus berdoa agar Allah memudahkan urusan atuk, dan meminta aku untuk meredakan segala kesalahan beliau… Atuk sakit. Aku, menangis teresak-esak kerana aku tak x boleh balik rumah kerana sedang menghadapi peperiksaan. Aku hanya mampu membacakan surah Yasin buat beliau dengan niat Allah mudahkan urusannya.. Beberapa hari selepas tu, ibu memberi tahu atuk sudah sihat kembali.. Syukur alhamdulillah…x berhenti aku panjatkan kesyukuran atas nikmatnya yang banyak.
Kemudian dalam waktu aku sedang bercuti, tiba2 beliau mengalami demam panas dan mula tidak sedarkan diri, aku menangis melihatkan tubuh tua yang tidak bermaya atuk… Ahli keluarga bersepakat untuk tidak membawa atuk ke hospital memandangkan keadaannya yang kelihatan tenat… Aku duduk di sisinya dan mengaji pelbagai surah dengan harapan beliau kembali sedar dan sihat semula. Disebabkan keadaannya yang kelihatan kritikal, keluarga memanggil seorang ustaz untuk melihat keadaan beliau. Ketika itu, ustaz memberitahu bahawa sudah ada antara tanda yang menunjukkan beliau akan pergi menghadap Illahi.. Atuk seperti sedang menghadapi sama ada 100 hari menjelang kematian ataupun 40 hari menjelang kematian… Tidak dapat beliau pastikan.. Dalam tempoh beliau sakit x pernah jemu aku cuba mengejutkannya, mengaji di sisinya dan mendoakannya.. Sehinggalah beliau tiba2 kembali sihat dan ceria seperti selalu.
Selepas peristiwa sakit atuk, aku sentiasa memerhatikan beliau dari jauh segala gelagatnya.. Melihatkan keceriaan beliau, aku langsung menidakkan kata ustaz yang beliau mungkin akan pergi tak lama lagi. Tidak, aku x mampu kehilangan beliau.. Bayangkan, daripada celik mata bangun pagi, aku sentiasa mengusik beliau dengan mencuitnya, membuatkan beliau mengeluarkan rotannya untuk memukul aku yang nakal, mengadu dengannya bila dimarahi ibu, mengadu padanya bila sakit, memasak makanan kegemarannya dan membantu atuk menguruskan aktiviti harian seperti mandi dan solat beliau…sudah pastinya aku terlalu menyayangi atuk. Pernah sekali aku bertanya padanya tentang warna baju raya beliau untuk tahun ini, dan beliau menyatakan warna putih lengkap dari atas hingga ke bawah.. Namun, aku anggapkan ianya sekadar gurauan dan tak memandang itu sebagai ‘hint’ darinya.. Ya, aku leka..
Tiba pada hari Jumaat, Ramadan ke sembilan, sewaktu adik memandikan atuk seperti biasa, ibu ingin membantu atuk untuk mengambil wuduk, namun atuk memberitahu bahawa beliau tidak larat… Maka, ibu memberi beliau duduk. Ketika ingin memakaikan kain pada beliau, atuk kelihatan tidak bermaya dan terlentok kepalanya di sebelah kiri tanpa sebarang respon.. Ibu menjerit dan kami semua adik beradik berlari mendapatkan beliau. Ibu menangis teresak-esak sambil memeluk dan mencium atuk… Aku memegang tangannya dengan menggigil dan tangisan, cuba untuk membantu beliau.. Ya, aku nampak wajahnya yang ketika itu nazak.. Aku mengurut dadanya dan mengejut beliau.. Kesemua kami berusaha untuk mengejutkan beliau. Aku ternampak tapak tangannya yang kebiruan, tanda beliau kekurangan oksigen.. Kami berikan pam yang selalu beliau gunakan dengan harapan dia mampu bernafas seperti biasa, atuk tidak mampu menyedut gas itu malah, gigi palsu yang di pakai beliau jatuh di lantai.. Aku sedar, beliau sedang menghadapi sakaratul maut… Kami membaringkan tubuhnya di atas katil dan menyuapkan air zam zam ke mulutnya… Aku dan ibu tidak putus-putus membisikkan kalimah suci lailahaillallah di telinganya… Tangan aku juga mengelap peluh di muka dan dadanya yang meleleh.. Ya Allah, walaupun dia tidak menjerit, tapi itu cukup menjelaskan bahawa sakitnya beliau ketika itu.. Suapan air zam zam dari pakcik aku terhenti bila aku melihat dadanya tidak bergerak seperti orang yang bernafas, kepalanya terlentok… Aku terlalu sedih dan menangis. Aku cium dahinya yang sejuk itu lama… X mampu aku ungkapkan sakitnya kehilangan beliau.
Ketika jenazah telah pun dikafankan, aku mencium wajahnya buat kali terakhir.. Aku menangis selepas mencium dahinya mengenangkan jasanya membesarkan sepuluh anak beliau tanpa isteri di sisi… Mengasihi kami tiga beradik dan ibu, menggantikan tempat ayah, dan menceriakan hari-hari aku sepanjang bersamanya. Aku, bersyukur kerana aku berpeluang berada di sisinya ketika akhir nafasnya. Menyaksikan beliau pergi dengan tenang. Selepas ketiadaan beliau, aku x mampu melalui hari aku dengan baik kerana rutin aku yang suka bergurau dengannya tiada lagi, tiada rotan, dan tiada nasihat dan kata semangat darinya, tiadalah raya dengannya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Namun, boleh aku katakan ini adalah Ramadan aku yang terindah kerana beliau pergi ketika hari Jumaat, 9 Ramadan, yang sememangnya menjadi idaman ramai orang.. Aku cuba reda akan kepergian beliau, tapi aku sangat memerlukan masa untuk menerima hakikat yang sangat pantas berlaku ini..
Ya Allah, terima kasih kerana meminjamkan insan yang menyayangi aku sehingga ke akhir hayat nya.. Terima kasih juga kerana mengizinkan aku berada di sampingnya ketika ajalnya… Ampuni lah dosa2 beliau sepanjang 86 tahun beliau hidup di dunia, terimalah segala amalan beliau.. Jadikanlah beliau antara orang yang tergolong dalam golongan orang yang beriman bersama dengan ayah, sayangilah dan kasihanilah dia sebagaimana beliau menyayangi dan mengasihi kami semasa hayatnya, tempatkanlah atuk di sisi mu bersama dengan para anbiya’ agamamu ya Allah.
To all readers, thank you sudi baca luahan ini.. Maafkan penulisan yang tidak seberapa ini.. Dan doakan lah aku terus tabah dan doakan lah ayah dan atuk bahagia di sisi Allah subhanahu wataala. Terima kasih.
– Srikandi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit