Perit

Assalamualaikum. Terima kasih jika disiarkan dan dibaca.

Kami sepasang suami isteri awal 30-an dalam sebuah perkahwinan berusia 5 tahun.

Seperti nasib kebanyakan ramai orang dizaman ini, nasib kami juga sama. Tidaklah terlalu parah menderita, tapi kami diduga. Hidup berdua tanpa yang ketiga.

Demi Allah, kami hidup bahagia hampir sempurna, bahagia dengan segala nikmat yang ada.

Tanpa cahaya mata bukan bermakna kami hidup dalam gelap gelita sedang sinar dari yang Esa tak pernah kurang untuk kami terus bergembira.

Namun, normalisasi dalam berumahtangga kami sememangnya menginginkan cahaya mata sebagai penyeri.

Kami ikhtiar sejak 4 tahun lalu dengan berbagai cara moden dan tradisional. Kami ikhtiar dalam keadaan tenang (no rushing) sebab kami percaya segalanya sudah dalam ketentuan Tuhan.

Alhamdulillah setakat hari ini, syukur dalam diri aku selalu menggunung. Aku isteri yang cukup bahagia.

Ali (suami bukan nama sebenar) suami cukup sempurna. Bukanlah kaya raya, bukan juga orang ternama. Hanya orang biasa yang mengjiwai watak seorang suami dengan jayanya.

Dari hari pertama, hingga kehari ini watanyan tidak berubah. Kerja rumah 98% adalah tugas hakiki yang dia sendiri jadualkan untuk dirinya.

Kalau rajin, aku bantu mana yang ada contoh basuh baju/pinggan. Itupun dia tak lekang dengan ucapan terima kasih dan pujian bila aku hulur bantuan sebesar kuman. Ali begitu komited sebagai suami.

Persis suami kiriman tuhan. Sememangnya Rasullullah selalu jadi ikutan. Dia bukan suami penunggang agama, tapi hidup bertunjangkan agama. Begitu sempurna. Demi Allah aku terlalu sayang padanya.

Namun, dalam usaha kami untuk memiliki penyeri rumah tangga, hasil ujian kebelakangan ini menunjukkan Ali mungkin punca kami masih lagi hidup berdua.

Walaupun tidak pernah merokok, dan sangat mengamalkan healthy life, Ali disahkan mengidap Asthenozoospermia (low quality sperm count).

Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, 3 kali ujian dijalankan dan keputusannya tidak berubah.

Kenyataan ini, banyak mengubah hati aku. Bukan rasa cinta yang berubah, tapi rasa hati yang tak mampu aku tafsir. Tak mampu aku luah secara zahir.

Kalau dulu, hampir setiap bulan bila aku gagal hamil (period) air mata akan berderai dan bahu Ali lah jadi sandaran.

Tapi sejak kami dapat pengesahan dari Dr, aku cuba lebih kuat. Aku tak sanggup lukakan hati Ali suami kiriman Tuhan ini.

Hancur betul hati ini tiap kali dia minta maaf bila aku belum hamil. Aku menangis bukan kerana belum hamil, tapi kerana rasa bersalah dia terlalu jelas dari kaca mata.

Satu malam, dalam sembang santai kami, terlafaz dalam bibir yang cukup ikhlas,

“abang kesian tengok isteri abang selalu kecewa, jika rezeki sayang untuk ada anak bukan bersama abang, abang terima seadanya, sayang layak bahagia” menangis la aku semahu mahunya malam itu.

Aku lemah tanpa bicara. Keesokannya, aku whats app Ali dengan penuh semangat.

“…..apalah maknanya anak tanpa suami yang paling saya cinta ini. saya masih ada lebih 1001 alasan untuk bersama abang sehingga hujung nyawa, walaupun selamanya berdua. I love you lillahitaala”

Diiringi emoji senyum gelak ketawa love dan sebagainya walaupun aku menaip dalam air mata.

Sejak itu aku terus didik diri, untuk lebih tabah dan kuat. Tiada lagi drama nak baby ke apa. Aku cuba jaga hati Ali sebaiknya. Bila aku gagal hamil lagi dan lagi, aku tunjuk muka ceria tanpa air mata.

Semangat membara positif sentiasa. Namun dalam perkahwinan yang sudah makan tahun ini, kami sedar masing-masing menangis sendiri. Dibalik senyuman gairah aku, ada air mata yang mencurah-curah.

Dibalik gelak tawa Ali dengan jenaka, ada kekecewaan yang semakin hari semakin parah. Lagi perit, bila kami masing-masing sedar kami berdua hanya berpura-pura tidak ada apa-apa yang berlaku.

Masing-masing memendam rasa tanpa bicara. Bekorban tanpa paksaan. Yang ada, kami menangis dalam qiam dan solat jemaah yang ada.

Bait-bait doa yang dibaca, semamngnya tak mampu nak kawal hati ini untuk terus senyum dalam bahagia.

Dia? Tetap senyum usai solat, dihadiahkan pelukan dan ciuman tenang dan mendamaikan. Aku sering kali rebah dalam pelukan, berendam air mata tanpa kata yang perlu kami bicara. Kami cuba kuat sedayanya.

Sekarang, kami dalam proses peringkat yang lebih serius untuk ada anak (iui/ivf).

Setiap kali bincang aku buat santai-santai sambil gelak-gelak. Tapi bila pandang wajah suami, aku terlalu mendalami hatinya. Aku terlebih faham, dan akhirnya kecundang.

Berderai juga air mata yang tak mampu aku kawal dengan waras. Dari dulu aku memang tak berniat untuk ikhtiar sejauh ni, sebab aku tahu prosesnya memerlukan banyak pengorbanan itu. Aku tahu itu. Tapi kami tiada pilihan.

Rasa hati ini tak mampu dibicarakan pada sesiapa. Membayangkan perasaan sendiri pun boleh buat air mata aku gugur dimana saja aku berada. Anytime. Anywhere.

Apatah lagi, nak bicara soal perasaan ini pada sesiapa pun. Mengenangkan Ali juga faham apa yang aku rasa, itu lebih pedih dari rasa sedia ada.

Aku terus bina kekuatan dalam setiap sujud yang datang. Terus menadah tangan, menangis didepan Tuhan.

…….. Rabb, saat aku lemah tiada daya dan upaya Engkau maha kaya. Engkau ada segalanya. Hanya padamu aku mengadu rasa…

Ucapan yang sama dalam setiap doaku ketika solat sendiri, dan setiap kali itu air mata jatuh tanpa henti.

Kami tak pernah minta semua orang faham kami. Cukup jangan masuk campur urusan kami. Itu dah lebih dari terbaik.

Minggu lepas, dalam majlis perkahwinan adik aku, sedang kami asyik bergambar (dengan gembira bersama anak-anak sudara) ada seorang pakcik jiran mak aku cakap sambil seloroh,

“harap anak orang jela, benih sendiri tak dapat tuai lagi. Tak power suami engko ni” di depan banyak orang. Aku masih lagi pura-pura sibuk sambil melayan seloroh senyum kambing, malas nak layan.

Ali pun diam tak sahut apa-apa walaupun dia seorang yang peramah dengan jiran. Pakcik tu ulang lagi ayat yang bunyi lebih kurang sama.

Jawab makcik yang lain.

“tahu sangat dia orang power tak power, bukan kuasa kita” Dengan tegas.

Aku tak mampu pandang Ali, buat tak tau jer. Terus ambil gambar senyum gelak tawa. Aku tahu Ali terasa dengan seloroh pakcik tu. Aku juga tahu Ali tahu apa yang aku rasa, again kami sama-sama memendam rasa. Balik rumah pun kami takde sembang pasal tu walaupun masing-masing tahu gurauan pakcik tadi meninggalkan luka parah dalam hati kami semua.

Seminggu berlalu,seloroh pakcik tu masih terngiang-ngiang dalam ingatan aku. Cuma ada aku mengadu pada Tuhan disaat lemahnya iman.

Jika benar pakcik tu sengaja mengaibkan kami berilah dia pengajaran agar dia lebih memahami.

Pesan aku, mak ayah kita (golongan lebih tua) mungkin tak main fb. Takda pendedahan tentang sensitiviti orang takde anak ni.

Kita yang ada kesedaran ni, pesan pada mak ayah yang kita sayang. Jangan disebabkan mulut mak ayah kita melukakan hati orang, Allah uji anak-anaknya nanti. Naudzubillah.

Aku tak minta banyak, cukup doakan aku mampu kawal air mata jer. Itu pun dah dikira berjaya snagat untuk aku. hehe. Untuk Ali, doakan dia bebas dari rasa bersalah.

Perasaan tak ada anak, tidak seperit rasa kesal bila orang yang kita sayang, ada bendung rasa bersalah yang cukup dalam pada kita.

Demi Allah, aku terima ujian ini. Takde siapa yang perlu disalahkan, ini hanya ujian Allah, untuk kami lebih sabar dan bertaqwa.

– Suraya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *