Aku melewati zaman kanak-kanak dan remaja yang suram, kelam tanpa warna. Dari kecilku tiada secebis pun kenangan indah bersama ibu – yang tersimpan hanyalah kebengisan dan renungan matanya yang tajam menusuk hati.
Berkali-kali aku terpaku, tertanya-tanya dalam diam; apakah dosaku hingga suara ibu selalu membentak, hingga tangannya selalu menyentak kasar tubuh kecilku?
Aku lahir dari benih cinta yang sah antara ayah dan ibu – dalam rumahtangga yang sempurna, cukup segala keperluan, tidak pernah dirundung kemiskinan atau kesempitan… namun mengapa hidupku seperti terhukum, bagaikan pesalah yang saban waktu menanti dijatuhkan hukuman, tak kira sebesar mana mahupun sekecil apa khilafku.
Kala teman-temanku berbicara tentang lembutnya belaian seorang ibu, tentang mesranya kasih seorang bonda – aku hanya mampu menunduk, bisu dalam pilu.
Maaf, aku tidak pernah merasa hangatnya pelukan itu, aku tidak pernah mengerti rasanya disayangi seorang wanita bergelar ibu. Aku tidak pernah tahu bagaimana rasanya memiliki, apatah lagi menyayangi seorang ibu. Aku adalah anak yang asing dari kasih seorang wanita yang seharusnya menjadi syurga pertamaku.
Aku dahulu pada awalnya pernah membesar sebagai anak kecil yang riang, penuh celoteh dan keyakinan melimpah. Setiap tawa kecilku disambut hangat oleh senyuman ayah, menjadi sinar paling indah dalam hidupku. Namun sayangnya, senyum itu tak mampu bertahan lama.
Aku ditelan arus dingin layanan ibu; tengkingan tajam, sindiran pedih, bentakan yang merobek hatiku perlahan-lahan, hingga tanpa sedar jiwaku layu dan surutlah segala keyakinan dan keberanianku.
Langkahku meniti remaja dalam diam yang panjang, menjadi pemalu yang terpaku, terkurung dalam ruang introvert yang sunyi. Keyakinanku remuk berkeping-keping; hari-hariku dipenuhi kekosongan yang tak mampu aku tafsirkan, tersesat dalam kebingungan yang panjang. Aku hilang, dan semakin jauh dari diriku yang dulunya pernah ceria.
Pahaku penuh lukisan lebam, jejak-jejak amarah ibu yang terpendam. Pantang aku tersilap sedikit, jemari ibu yang seharusnya membelai, menjadi cengkaman tajam yang mencubit pahaku hingga kulitku menangis tanpa suara.
Aku dipaksa menutup mulut rapat-rapat, menahan esak yang membara di dada kecilku, agar tangisan itu tidak sampai ke telinga sesiapa.
Bayangkan, betapa pedihnya jemari yang merobek lembut kulit pahaku yang masih mentah, baru beberapa tahun mengenal indahnya dunia. Sakitnya hanya Allah yang maha tahu. Perit yang menikam, tangisan yang tersimpan, tersekat di kerongkong menjadi beban yang aku pikul sendirian.
Belum sempat hilang kesan lebam lama, ibu menambah cubitan baru di tempat yang sama, meninggalkan corak-corak hitam, biru, merah, dan cokelat di pahaku yang putih bersih.
Warna-warna ini bukan sekadar lebam biasa, tetapi warna derita yang terus menghantui jiwa kecilku hingga ke hari ini – lukisan pahit yang tak mungkin terhapus oleh waktu. Seringkali tubuhku rebah, demam datang singgah silih berganti.
Bila doktor yang merawatku lembut bertanya, tentang lebam biru yang menghiasi pahaku, ibu dengan pantas berdusta, katanya aku terjatuh sendiri. Dan doktor itu hanya mengangguk, menerima tanpa suara, tanpa curiga.
Mungkin pada zaman itu, kesedaran tentang luka di hati kanak-kanak masih samar. Seorang doktor pun mampu melihat sengsara di depan matanya tanpa mampu bertindak, membiarkanku pulang dengan tangisan yang tersembunyi.
Kini ibu semakin tua, tubuhnya kian lemah dan tak berdaya. Tidak pernah tumbuh walau sezarah kebencian mahupun dendam di hatiku terhadap segala luka yang ibu tanamkan dalam jiwaku sejak kecil hingga remaja. Yang ada hanyalah sebak dan pilu, mengenang semua ini dalam diam, bukan kerana dendam tetapi kerana kasih yang tak pernah padam.
Aku tetap menjaga ibu, menunaikan setiap pintanya semampu aku. Tidak pernah sekalipun aku meninggikan suara pada ibu, kerana dalam hati ini aku masih seorang anak kecil yang ingin sentiasa meraih redha seorang ibu. Ada dosa yang terus menghantuiku, selagi ada permintaan ibu belum dapat aku tunaikan.
Setiap kali aku menyapu ubat di paha ibu yang semakin nyata urat-urat tuanya, pedihnya membawa ingatanku kembali ke peritnya cubitan ibu dahulu – cubitan yang mencengkam jiwa lebih dalam daripada mencengkam kulitku.
Setiap kali tanganku mengurut belakang ibu yang kini lemah, aku masih terasa pedihnya hayunan tangan ibu yang tiba-tiba hinggap kuat ke belakangku – hanya kerana pecahnya sebiji telur yang terlepas dari genggaman tangan kecilku.
Waktu itu aku terpinga-pinga, bingung mencari jawapan, sedangkan ibu jelas puas setelah sekuat hati melibas belakangku… menghukum kesilapanku yang tak disengajakan.
Kini, setiap kali ibu membelai lenganku tanpa sepatah kata, aku tahu, aku melihat sesal yang tak mampu ibu ucapkan, tapi aku hanya kaku, kosong – tak mampu merasa apa-apa.
Aku tidak pernah berdendam, tetapi hatiku selalu berbisik pilu, “Tak perlu lagi belaian ini ibu. Aku amat dahagakan kelembutan ini ketika kecil dahulu, bukan sekarang, saat ini hatiku telah mati rasa.”
Namun, dalam diam, bibir ini tetap melafazkan terima kasih buatmu ibu, kerana melaluimu aku mampu menghirup udara dunia, kerana tanganmu, walau kasar, telah membentukku menjadi insan yang berdiri teguh di puncak kejayaan.
Meski perjalanan itu sarat dengan luka, dihiasi duri-duri tajam yang mencarik jiwa, dan api kemarahanmu yang tak pernah padam, aku tetap mengharunginya.
Kekasaranmu ibu, tanpa aku tahu salah apa yang mengundangnya, kata-kata kasar menikam, “anak tak guna” “bodoh,” “dungu,” “bengap,” “penakut”, “tak boleh harap,” “tak macam anak-anak lain” bagaikan belati tajam, tetapi Allah masih sudi, memimpin langkahku dengan rahmat-Nya, membuka lorong mudah ke puncak kejayaan, hingga aku dapat mengecap nikmat dunia.
Pepatah tentang masinnya mulut seorang ibu, mulai samar di benakku, kian tenggelam dalam derita yang berbekas, membuat aku bertanya, apakah pepatah itu masih relevan untuk situasi seorang anak seperti aku?
Bukanlah aku mendabik dada, tapi ibu, aku dewasa sebagai insan yang tidak bodoh, tidak dungu, tidak bengap, dan jauh sekali tidak boleh diharap. Pantang ibu berbisik hasrat, sepantas itu aku berlari mencuba menunaikannya. Baru terlintas di bibir ibu ingin merasa sesuatu, aku gelisah mencari hingga kudratku rebah.
Tiada nikmat yang lebih indah, selain melihat redup mata ibu puas, setiap kali hajatnya aku penuhi. Itulah bahagiaku, itulah syurgaku di dunia
Buat semua anak-anak yang senasib denganku, yang merasa diri asing dalam keluarga sendiri, yang seringkali terasing dan sendiri, kita mungkin anak-anak yang nasibnya tak indah, tetapi Allah tetap sediakan sinar cahaya, membawa kita perlahan ke jalan-Nya.
Andai tiada alasan untuk kita tersenyum di dunia, pintalah dengan linangan air mata, moga Allah izinkan kita tersenyum bahagia di syurga-Nya.
Kepada yang masih memiliki ibu, biar sejauh mana resahmu, seburuk mana tingkah lakunya, tataplah wajahnya dengan penuh kasih, kerana setiap nafasmu hari ini terlahir dari kesakitan perjuangannya melahirkan.
Dan buat semua yang bergelar ibu, janganlah dibunuh jiwa anak-anakmu, kerana mereka layak dipeluk dengan kasih sayang, dibelai lembut, bukan dikasari bagai sang pendosa.
Usah dibezakan kasihmu antara mereka, kerana setiap mereka punya hati yang sama rapuh, sama dahagakan cinta. Jangan diukir derita di hati kecil mereka, kerana luka itu akan menghantui sepanjang usia.
– Senjalara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit