Untuk part I, (https://iiumc.com/peritnya-fitnah-dan-manisnya-sabar/).
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat admin dan sidang pembaca IIUMC semua.
Terima kasih saya ucapkan kepada admin sekiranya sudi menyiarkan kesinambungan kisah saya kali ini kerana ia adalah bahagian yang terakhir yang ingin saya kongsikan.
Saya Audra (bukan nama sebenar). Bagi yang pernah mengikuti kisah saya sebelum ini dalam Peritnya Fitnah dan Indahnya Sabar saya ucapkan terima kasih kerana sudi membacanya dengan sabar.
Setelah saya membaca komen pembaca yang bertanyakan tentang Fakhri (bukan nama sebenar) saya memutuskan untuk menyambung kisah saya.
Barangkali kisah saya mengenai Fakhri terlalu ringkas, sebenarnya banyak yang saya hendak ceritakan tentang Fakhri selepas peristiwa itu tetapi terbatas dengan masa dan keadaan.
Maka dikesempatan ini saya ceritakannya.
Saya mulakan cerita saya dengan memetik ungkapan daripada Maclemore
“Just because you miss someone, doesn’t mean you need them back in your life. Missing is just a part of moving on”
Benar, adakalanya saya masih teringat masa lalu tapi tak lebih daripada sebahagian kenangan yang saya masih simpan kerana ianya pernah hadir dalam hidup saya. Yang penting saya bahagia dan bersyukur dengan kehidupan saya yang sekarang.
Sebenarnya saya dan Fakhri (bukan nama sebenar) pernah bersua kembali di Malaysia dalam satu majlis ‘reunion’ anjuran bekas-bekas pelajar Universiti kami suatu masa lalu.
Ketika itu saya baru berkahwin dan hadir dengan beberapa orang rakan yang satu pengajian dahulu.
Saya masih ingat ketika melangkah masuk ke dalam dewan saya nampak Fakhri duduk di meja bahagian depan sekali.
Kami berpandangan dan saling berbalas senyuman walaupun terasa janggal bagi saya. Saya juga berasa lega dan bersyukur kerana kak sca tidak hadir dalam majlis tersebut.
Ketika rakan-rakan leka berbual mengenai kenangan lama ketika menuntut di luar negara dulu. Saya perasan kelibat Fakhri sudah tiada. Fakhri telah pulang awal.
Mengapa dan kenapa? Hanya Fakhri sahaja yang tahu jawapannya. Dan rupa-rupanya itulah kali terakhir saya bersua muka dengannya.
Sehinggalah ketika saya berkursus di suatu tempat. Saya bertemu dengan seorang senior lama yang merupakan kawan baik Fakhri. Ketika itulah banyak kisah dan rahsia Fakhri yang saya ketahui darinya.
Astaghfirullahalazim, saya benar-benar terkejut mendengar kisah Fakhri. Saya berdoa semoga Allah mengampunkan dosa saya jika benarlah kerana saya Fakhri jadi begitu.
Sepulangnya Fakhri ke Malaysia dia cuma belajar sekerat jalan sahaja. Hidup Fakhri mula tidak terurus, selalu keluar malam dan kerap ponteng kuliah.
Apa yang paling menyedihkan, Fakhri terjebak dengan benda yang memabukkan dan yang bahan yang terlarang.
Malah dia pernah mengaku pada senior saya ini yang dia lakukan semua itu sebab kecewa dan ingin melupakan saya. Allahu.
Sungguh saya tak faham mengapa Fakhri mahu menghancurkan hidupnya.
Bunga bukan sekuntum, sekali petik sahaja pasti ramai yang sudi jadi pengganti. Fakhri ada segala- galanya, ketinggian, paras rupa, tutur kata yang sopan. Berkeyakinan, ada bakat dalam sukan, seni dan muzik tapi kenapa Fakhri sia-siakan semua itu.
Sebagai satu ikhtiar untuk Fakhri berubah keluarga Fakhri menghantarnya ke sebuah negeri untuk pemulihan dan mendalami ilmu agama.
Setelah beberapa lama disana Fakhri pun semakin pulih dan mahu menyambung pengajiannya semula. Barangkali apabila kita mendekatkan diri pada Tuhan, kita semakin memahami tujuan hidup kita yang sebenar.
Menyedari saya terkejut dan bersedih mendengar kisah Fakhri, senior saya meminta saya supaya tidak perlu rasa bersalah. Fakhri sudah cukup matang untuk membuat setiap keputusan dalam hidupnya.
Jika dulu Fakhri pernah hanyut, mengikut hati dan emosi tapi sekarang dia sudah sedar dan berubah menjadi lebih baik.
Sejujurnya ketika itu saya mahu menghubungi Fakhri mungkin kerana perasaan rasa bersalah padanya tetapi senior saya menghalang. Memang benar katanya yang Fakhri sudah ada kehidupan baru begitu juga saya.
Fakhri juga telah memaafkan saya jadi mengapa saya perlu muncul lagi dalam hidupnya lagi. Bukankah akan menambah luka yang lebih dalam dalam hatinya.
Sebenarnya Fakhri sudah beberapa kali ingin menghubungi saya tetapi tidak kesampaian kerana berasa malu kerana dia pasti yang lambat laun saya akan mengetahui segala kisah buruknya.
Oleh sebab itulah, Fakhri membawa diri di negeri orang supaya jauh daripada mereka yang mengenali dirinya.
Ketika itu juga kehidupan saya sudah semakin baik. Keluarga mertua sudah semakin mengenali saya.
Kak Ipar juga sudah boleh menerima penjelasan saya mengenai fitnah yang dilemparkan pada saya suatu masa dulu dan memahami situasi saya ketika itu.
Suami juga sudah lama mengetahui kisah sebenar saya ketika kami mula-mula bertemu dulu. Oleh sebab itu, suami percaya kepada saya cuma tak mampu menyakinkan keluarganya ketika itu.
Tahun- tahun pun berlalu, sehinggalah saya diberitakan yang Fakhri jatuh sakit. Ketika itu dia sudahpun berumahtangga cuma belum dikurniakan cahaya mata.
Rupa-rupanya sudah beberapa bulan Fakhri terlantar di hospital dan akhirnya dia menghembuskan nafas yang terakhir disana.
Fakhri pasti seorang insan yang baik sebab itulah kesakitannya diangkat dan dijemput menemui Tuhan di usia yang muda.
Mendengar khabar pemergiannya, saya menitiskan air mata. Petang itu juga saya menelefon suami memaklumkan berita ini.
Ketika itu kami berhasrat untuk menziarahi jenazahnya tetapi keadaan tidak mengizinkan memandangkan suami tidak mendapat pelepasan kerana harus menghadiri seminar selama beberapa hari.
Untuk saya pergi sendiri sejauh itu sendirian sudah tentu tidak mungkin
Saya hanya mampu berdoa dikejauhan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Fakhri dan menempatkannya dikalangan mereka yang dikasihiNya.
Semoga isteri Fakhri juga mendapat ganjaran pahala yang besar atas kesabaran menjaganya dan diberikan ketabahan dalam menempuh hidup.
Walaupun begini pengakhiran hidup Fakhri, saya yakin Fakhri telah menemukan kebahagiaan yang dicariya sehinggalah ke sisa-sia terakhir hidupnya bersama isteri yang tercinta.
Sejujurnya saya memandang semua perkara yang berlaku adalah satu ketetapan takdir yang telah ditentukan. Selain kita berusaha dan berikhtiar kita jangan lupa yang kita perlu menjalani takdir hidup masing-masing.
Disebalik keperitan hidup pasti tersimpan pelbagai hikmah yang tidak kita sedari. Fitnah dan ujian yang datang juga adalah untuk menjadikan kita semakin kuat dan tidak mudah melatah dalam menempuh hari-hari akan datang.
Buat akhirnya, saya doakan kita semua sentiasa diberi kebaikkan dalam hidup. Sentiasalah berbuat baik walaupun kita tidak dilayan dengan baik. Menegurlah dengan berhikmah bukan dengan sumpah seranah.
Sekiranya ada tersalah kata, terguris rasa saya pohon maaf dengan seikhlas hati dan selamat menjalani ibadah puasa buat semua.
Sekian.
– Yang Ikhlas, Audra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit