Assalamualaikum, salam Ramadhan, salam sejahtera buat semua pembaca IIUM Confession.
Terima kasih kepada admin sekiranya sudi menyiarkan cebisan kisah hidup saya. Maafkan saya sekiranya coretan ini terlalu panjang dan diharapkan anda sudi membacanya.
Saya Audra (bukan nama sebenar). Graduan lulusan luar negara, Alhamdulillah, sudah berumahtangga, kerjaya yang baik dan telah mempunyai cahaya mata penyejuk mata. Dari segi personaliti orang selalu cakap saya seorang yang lurus. Entahlah.
Apa yang saya ingin saya coretkan untuk tatapan para pembaca ialah saya pernah mengalami bahana fitnah selama bertahun-tahun.
Walaupun kepahitan fitnah semakin pudar tapi parutnya tetap berbekas sehingga kini.
Semuanya bermula ketika saya menjadi pelajar Universiti di sebuah negara empat musim bertahun-tahun yang lalu.
Ketika itu saya terlalu naif dengan selok belok kehidupan Fokus saya hanya untuk belajar, mendapat keputusan yang bagus serta mendapat pekerjaan yang baik supaya dapat berbakti kepada keluarga saya.
Pada waktu cuti semester Universiti pula, saya merancang untuk ingin menjelajah segenap pelusuk negara yang indah itu.
Ketika seawal minggu kedua saya tiba, seorang senior yang bernama Fakhri (bukan nama sebenar) menyatakan hasrat ingin berkawan dengan saya.
Pada mulanya saya menolak. Namun setelah berkali-kali dia menyatakan hasratnya barulah saya terima. Tapi dengan syarat kami hanya berkawan dan jika ada jodoh perlu mengenali hati budi dan tidak perlu terburu-buru serius kerana saya baru sahaja di Tahun Pertama.
Fakhri merupakan senior rebutan dikalangan junior dan senior ketika itu. Berwajah tampan, tinggi, lembut tutur kata dan mahir dalam alat muzik.
Ditakdirkan ayah Fakhri sakit dan dia pulang ke Malaysia. Ketika itu saya sudah mengenali Fakhri lebih kurang hampir setahun lamanya. Sepanjang tempoh itu, Fakhri menyatakan dia sanggup menunggu saya sehingga tamat belajar.
Tiba-tiba, ketika ketiadaanya itu segala kisah buruk Fakhri disampaikan kepada saya. Kononya, Fakhri adalah kasanova terhebat. Dulu ramai teman wanita. Bahkan saya dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada Fakhri.
Diatas kedangkalan fikiran saya ketika itu, saya memohon maaf dan meminta supaya hubungan kami diputuskan. Alasan saya mahu fokus pada pelajaran. Tambahan pula saya dan Fakhri belum ada apa-apa ikatan istimewa. Ketika itu ayahnya sudah sembuh.
Walaupun Fakhri telah menjelaskan memang benar dia suatu ketika dahulu ramai wanita dan suka berpoya-poya.
Tapi setelah menjadi senior dia sudah matang dan berubah menjadi lebih baik. Malangnya saya tidak mempercayainya dan bertegas untuk memutuskan hubungan.
Fakhri sangat kecewa dan tanpa saya duga, dia mengambil keputusan untuk menukar tempat pengajian dan menuntut di Malaysia dan kami tidak berhubung lagi.
Maka bermulalah gelombang fitnah dan syaitan pun bersorak. Tersebar fitnah kononnya saya suka mempermainkan perasaan orang. Suka bertukar pasangan. Gelaran Playgirl diberikan kepada saya.
Saya tertanya-tanya adakah Fakhri yang mereka-reka fitnah tersebut. Saya dibesarkan dalam keluarga yang telah memberikan didikan agama yang baik. Oleh itu, saya tidak pernah keluar berdua dengan Fakhri ditempat yang sunyi.
Pernah dulu ketika musim dingin disebuah cafe. Fakhri meminta untuk memegang tangan saya, tapi saya tidak benarkan walaupun berada di negara orang yang bebas berbuat apa sahaja.
Saya selalu teringat pesan keluarga saya agar menjaga diri. Dan akhirnya, Fakhri akur dan tidak pernah cuba menyentuh saya sepanjang perhubungan kami.
Setelah saya putus dengan Fakhri pun jika ada permintaan untuk menjadikan saya teman istimewa saya tolak dengan baik. Saya tegaskan yang tujuan saya ketika itu cuma ingin menuntut ilmu sahaja dan jika benar serius perlu menunggu saya tamat belajar.
Jujurnya saya cuma gadis biasa. Teman -teman sahaja pernah menyatakan saya mempunyai air muka yang lembut, comel dan manis. Jauh rasanya untuk setanding dengan mereka yang cantik dan rupawan.
Rupanya-rupanya penyebar fitnah tersebut bukanlah calang-calang orang. Saya namakannya dia sebagai Kak Sca (bukan nama sebenar).
Senior saya yang boleh saya umpamakan sebagai wanita lindungan Ka’bah dari segi penampilan luarannya. Cuma agak kasar daripada pertuturannya sahaja.
Pernah berlaku dihadapan saya dan rakan, Kak Sca mengumpat, mencela dan merendahkan pelajar-pelajar yang dia tak suka. Terkejut saya, kerana pertuturan Kak Sca tidak mencerminkan imej muslimah yang dibawa.
Benarlah kata orang, fitnah itu dimulai pembenci, disebarkan oleh si bodoh dan dipercayai oleh si dungu. Kak Sca bukan setakat menfitnah saya tapi juga menghasut orang yang tidak mengenali saya baik lelaki ataupun perempuan akan jangan berkawan dan membenci saya.
Sindiran, herdikan, umpatan,
Saya tidak menyangka yang saya mampu bersabar dan lalui semua itu tanpa menjejaskan pelajaran saya. Walaupun hampir saban malam saya menangisi nasib diri. Sudahlah jauh daripada keluarga dan diperlakukan begini pula oleh Kak Sca.
Saya mengetahui Kak Sca penyebar fitnah tersebut, apabila satu kumpulan pelajar bersemuka dengan saya. Mereka menyatakan kesal kerana mempercayai fitnah kak Scha.
Mereka pernah membenci saya kerana hasutan beliau tetapi mereka sedar yang mereka silap setelah mereka mengenali diri saya.
Rupa-rupanya, punca Kak Sca membenci saya adalah kerana Fakhri. Kak Sca sudah lama mengenalinya. Selalu memuja dan cuba mendekati Fakhri sekian lamanya tetapi Fakhri memilih saya.
Saya agak terkejut kerana saya menyangkakan pilihan Kak Sca sudah tentulah senior yang aktif keagamaan ataupun usrah sesuai dengan penampilan Kak Sca. Cerita ini saya ketahui dari rakan Kak Sca dan minta saya merahsiakannya.
Saya cuba berhadapan dengan Kak Sca tetapi tidak mampu. Kak Sca berada di kedudukan tertinggi dimata pelajar, kerana beliau kelihatan alim dan mahir ilmu agama.
Sekiranya saya bergaduh dengan Kak Sca pastilah nasib saya akan lebih buruk. Saya bertahan sehingga Kak Sca tamat pelajaran dan pulang ke Malaysia.
Sementelah itu, berkat doa ibu bapa, saya berjaya menamatkan pelajaran dan mendapat keputusan yang baik dan diterima bekerja di sektor awam tidak lama kemudian. Ketika itulah takdir menemukan saya dengan suami.
Malangnya bahana fitnah tidak terhenti disitu sahaja. Kak Sca rupanya mengenali keluarga mentua saya. Maka kembali bertebaranlah fitnah dikalangan keluarga mertua tentang perihal saya diluar negara.
Mak mentua dan ipar-ipar membenci saya dan tidak merestui perkahwinan kami. Tetapi kerana suami terlalu menyayangi saya maka mereka terpaksa menerima saya sebagai sebagai ahli keluarga mereka.
Tidak sekali pun saya ingin saya kenang setiap tutur kata kesat ibu mertua dahulu kepada saya ketika suami tiada.
Dihadapan ipar-ipar saya pernah dimalukan kononnya jahil agama. Secara terangan ibu mertua beritahu pada saudara mara suami yang beliau tidak sukakan saya.
Pernah suatu ketika, setahun setelah kami berkahwin. Saya disuruh membuat kerja-kerja berat sehingga pinggang saya sangat sakit.
Ketika itu, suami diluar negara dan saya sedang berbadan dua. Keesokannya saya pulang kerumah ibu bapa saya dan beritahu mereka saya tak sihat dan mahu berehat beberapa hari.
Banyak perkara yang saya rahsiakan daripada suami tentang perlakuan ibunya. Suami saya sangat menyayangi ibunya dan saya tidak sampai hati memberitahunya semua perkara tersebut.
Saya bertahan dan bersabar kerana ingin memenangi hati ibu mertua dan keluarga suami.
Walaupun saya pernah rasakan perbuatan bersabar itu seperti memperbodohkan diri sendiri. Seolah membiarkan orang memijak maruah saya sesuka hati tapi saya yakin suatu hari nanti mereka akan berubah.
Sungguhpun banyak perkara yang saya rahsiakan, akhirnya diketahui juga oleh suami.
Pernah juga saya berbalah dan merajuk dengan suami kerana perkara ini. Tetapi dia memujuk saya bersabar dan jangan sesekali meninggalkan dia dan segala keperluan saya diberi melebihi daripada apa yang sepatutnya.
Segala perlakuan buruk mertua juga saya simpan daripada ibu bapa saya kerana mereka menyangka mertua seorang yang baik.
Keluarga suami terkenal dengan kemurahan hati membantu orang yang kesusahan di tempat mereka.
Setelah hampir setahun lebih saya menanggung semua ini. Akhirnya, mereka menyedari mereka tersalah menilai saya. Mereka mula melayani saya dengan baik. Ipar-ipar mengambil berat tentang saya.
Dan saya juga berusaha memaafkan mereka diatas kejahilan mereka mempercayai fitnah Kak Sca. Barangkali mereka sudah boleh membezakan fitnah dengan realiti sebenar.
Benarlah janji Allah akan menghakimi makhluknya yang berbuat zalim. Mungkin juga peringatan dan ujian buat Kak Sca. Kak Sca ditimpa tiga penyakit serentak dan memerlukan pembedahan segera.
Keadaan Kak Sca ketika itu kurus kering dan menyedihkan. Walaupun ketika itu Kak Sca dan suaminya bergaji besar tapi semuanya tidak dapat membantu mengurangkan beban kesakitan Kak Sca.
Mendengar berita Kak Sca daripada seorang teman ketika itu. Walaupun sangat buruk apa yang pernah dilakukannya pada saya dan saya pernah berniat tidak akan memaafkan sampai bila-bila perbuatannya.
Tapi atas dasar saya kasihan pada keluarga, anak-anak Kak Sca, terlintas dihati saya untuk berdoa. Jika benarlah Kak Sca sakit disebabkan doa saya dahulu.
Maka dengan seikhlas hati saya maafkan atas dosa-dosanya dan mohon Allah sembuhkan penyakitnya walaupun Kak Sca tidak pernah memohon maaf daripada saya.
Diakhir-akhir ini, saya mendapat khabar Kak Sca semakin pulih. Barangkali berkat usaha keluarganya mendapatkan rawatan terbaik untuknya.
Sehingga kini, jauh disudut hati, saya doakan agar Kak Sca dipermudahkan urusan dan bertambah sihat. Jujurnya saya masih belum melupai apa yang Kak Sca pernah buat pada saya tapi saya telah memaafkanya.
Mungkin dulunya, saya juga pernah menyakiti hati Fakhri dan mungkin juga ini balasan kepada saya. Bukankan semua manusia pernah melakukan dosa dan sebaik-baik manusia ialah mereka yang sedar dengan dosa mereka dan bertaubat.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua.
– Nukilan hati Audra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit