Assalamu’alaikum. Aku AS, seorang perempuan dan kini menetap di Selatan Tanah Air. Sebagai pengenalan, aku seorang hafizah Al-Qur’an, datang dari keluarga yang sangat menitiberatkan agama dan salsilah keluargaku berasal dari golongan agamawan. Aku telah diuji oleh Allah Taala dengan keupayaan melihat makhluk alam sebalik mata sejak dari kecil.
Kenapa tak berubat untuk tutup hijab? Sebenarnya, keluargaku telah bawa aku berubat di seluruh pelosok negara namun masih gagal menyembuhkan ‘penyakit hijab terbuka’ aku. Jika diizinkan Allah berjaya pun, hanya bertahan selama seminggu dua dan kembali seperti sedia kala. Tak apa, aku redha atas ujian ini, insyaallah ada hikmahnya kenapa aku yang diuji bukan ahli keluargaku yang lain.
Tujuan aku menulis adalah untuk memberi sedikit gambaran bagaimana kehidupan seorang yang boleh melihat apa yang ada di sekeliling selain manusia. Ramai yang kata ‘untungnya kamu’, ‘bestnya dapat tengok macam-macam’, hakikatnya banyak yang menyakitkan daripada yang menyeronokkan. Jika anda fikir mempunyai hijab yang terbuka ini tidak ada kesan sampingan, anda salah sama sekali.
Kalau tak beramal dengan amalan Soleh secara istiqomah (amalan soleh biasanya akan terasa berat untuk dilakukan semasa sedang mengalami gangguan), boleh memudharatkan hidup sendiri dan ahli keluarga (sudah tentunya dengan izin Allah).
Walau sudah berubat, sedikit-sebanyak penampakan tetap dapat dirasai, akan ‘menghantui’ kehidupan anda sampai bila-bila biasanya. Berikut adalah kisah bagaimana aku mula dapat melihat alam sebelah sana.
Aku tinggal bersama nenek sejak bayi hinggalah berumur 11 tahun di sebuah rumah agam, di sebuah kampung di Semenanjung Malaysia. Atuk pula sudah meninggal dunia semasa aku berusia 4 tahun. Keluarga ini memang disegani di seluruh pelusuk daerah suatu ketika dahulu kerana arwah atuk mengasaskan pondok-pondok pengajian di dalam dan di luar negara dan ada yang masih beroperasi sehingga kini.
Selain mengasaskan pusat pengajian agama, atuk nenek aku berniaga dan mempunyai lot-lot kedai dan tanah yang banyak. Atuk dan nenek terkenal terkenal dengan sikap pemurah dan banyak bersedekah serta menjadi tempat tumpuan orang ramai mencari bantuan termasuklah untuk merawat orang yang sakit-sakit luar biasa.
Rumah pusaka yang kami tinggal mempunyai 3 tingkat, ada 12 bilik tidur lengkap dengan bilik air, ada 4 dapur dan ada 3 ruang tamu berserta 1 ruang rehat keluarga. Halaman rumah ini sangat luas baik dari depan, kiri dan kanan rumah.
Di halaman yang luas ini didirikan masjid, pondok pengajian dan lot-lot kedai. Manakala belakang rumah adalah kebun pisang atuk yang tanahnya memanjang hingga ke hujung kampung. Boleh bayangkan tak betapa besarnya kawasan rumah tempat aku membesar?
Kenangan hidup aku sepanjang 11 tahun di rumah pusaka ini merupakan pengalaman yang aku tak boleh lupa, yang membentuk diri aku seperti adanya sekarang. Sebelum Subuh sudah bangun mandi, mengaji dan solat sunat kemudian ke masjid setiap 5 waktu. Setiap malam aku bersama-sama bergotong-royong memasak untuk beri orang makan selepas solat Isyak.
Setiap pagi dan petang rutin harianku, aku akan bantu mop lantai serta sapu bersih halaman rumah. “Rumah kena selalu bersih”, kata nenek. Hari-hari aku dilalui dengan sangat lancar hinggalah pada suatu malam semasa umurku 7 tahun, aku mendapat satu mimpi aneh.
Di dalam mimpi itu, aku sedang bermain basikal di hadapan sebuah rumah kayu yang bertangga depan. Sedang duduk di tangga memerhatikan aku bermain, adalah 3 orang ‘makhluk’ yang aku tak dapat nyatakan di sini rupa mereka atas sebab-sebab yang aku tak dapat nyatakan di sini. Seorang ayah(A), seorang ibu(B), dan seorang pemuda(C) sedang tajam memerhatikan tindak-tanduk aku sambil berbual-bual;
B: Sayang sungguh saya kat budak AS ni. Kita jaga dia sampai dia besar nak?
A: Betul, aku pun sayang dia. Kita ambil dia jadi anak angkat kita (sambil mengangguk kepala)
Pemuda C hanya diam. Matanya benar-benar memerhatikan aku dengan penuh perhatian. Tiba-tiba aku terlanggar batu dan hampir terjatuh dari basikal. Aku menjerit terkejut. Tatkala seinci badanku hampir menyembah bumi, satu tangan menyambut aku dari terkena tanah. Dia merangkul aku dengan lembut dan membawa aku ke dadanya. Dia usap kepala aku yang sedang menangis teresak-esak dan berkata;
“AS jangan takut. Saya kan ada. Saya akan jaga AS sampai bila-bila”, kata pemuda C kepadaku.
Kemudian aku terjaga dari tidur. Mataku basah dengan air mata, badan berpeluh dan jantungku laju seolah-olah mimpi tadi benar sekali. Adakah aku beritahu nenek? Tidak. Aku risau saudara-mara akan ketawakan aku yang percaya dengan mimpi. Kanak-kanak memang akalnya pendek.
Sejak dari itu, aku dapat lihat bahawa rumah yang sentiasa meriah dengan manusia ini sebenarnya turut disertai oleh mereka selain manusia. Aku melihat mereka yang tidak dikenali selalu mundar-mandir di dalam rumah. Ada yang sedang bermain basikal di tingkat 2 rumah. Ada yang duduk-duduk berehat bersandar di tiang seri.
Kadang-kadang aku tanya bapa saudara, “Siapa tu Pakda?”. Dia hanya jawab, “Mana ada orang kat situ AS. Err, kalau AS nampak buat dek tau AS. Biarlah dia nak lalu. Dia hidup macam kita jugak”.
Setelah beberapa kali aku cuba beritahu pakcik makcik aku tentang makhluk-makhluk yang aku nampak, aku mendapat jawapan yang sama maka aku buat keputusan untuk tidak beritahu lagi apa-apa kejadian yang aku alami kepada sesiapa pun.
Selepas dari mimpi itu, aku mula mendapat gangguan yang lebih ekstrem. Suatu pagi sekitar jam 4.30 pagi, aku terjaga dari tidur kerana kurasakan katilku bergegar. Aku lalu bangun dan duduk di birai katil untuk ‘memproses data’ apa yang berlaku. Tiba-tiba aku tergerak hati untuk memandang ke arah pintu bilik air yang terbuka beberapa jengkal. Seingatku pintu itu dah ditutup semalam tapi pagi ini kenapa terbuka pula.
Keadaan bilik air yang gelap tidak membataskan penglihatanku. Nun di dalam bilik air ada seorang budak lelaki yang tak kukenali. Hanya berseluar pendek hitam, berambut hitam sepertimana budak lelaki sebayaku. Kulitnya putih sangat pucat, pandangannya kosong memandang aku yang sedang terlopong. Kenapa aku tak lari, kerana aku sedang memadankan wajahnya dengan wajah-wajah sepupu lelaki yang aku ada.
Setelah pasti itu bukan manusia, barulah aku berlari keluar bilik mengetuk bilik makcik aku yang ada di rumah. Makcik aku datang, tapi budak lelaki tadi sudah tiada. Dipandanganku lagi, bilik air itu kini berkabus. Aku minta makcik teman aku mandi kerana mataku sudah segar, aku mahu bersiap-siap untuk ikut nenek solat di masjid. Aku mandi di bilik air yang sama. Memang cari nahas kan?
Semasa mahu mencebok air dengan gayung dari kolah batu buatan atuk, aku lihat budak lelaki tadi elok sedang berendam di dalam air sambil memeluk lutut. Nampak rambutnya yang hitam timbul, dan wajahnya yang pucat sedang memandang ke hadapan. Apalagi, aku menjerit kuat sambil tangan menunjuk ke dalam kolah.
Makcik aku yang sedang berdiri di hujung bilik air melompat terperanjat lalu segera menarik tangan aku keluar dari bilik air dengan kelam-kabut, tanpa melihat langsung ke dalam kolah. Sebelum menuju ke biliknya, aku sempat minta makcik lihat bawah katil kot-kot ada apa-apa sebab tadi katil aku bergoyang kuat. “Memang tak la…”, kata makcik aku sambil berlari.
Seterusnya hari demi hari, minggu demi minggu, aku alami benda pelik lagi. Setiap jam 2 pagi aku akan terjaga kerana aku dengar bunyi orang riuh-rendah di dapur. Ada yang menumbuk lesung batu, ada bunyi periuk kuali berlaga macam orang sedang memasak, bunyi orang borak-borak bergelak ketawa, dan yang paling penting bau masakan.
Padahal jarak dapur dan bilik aku berselang 1 tingkat, macamana bunyi-bunyian tersebut boleh kedengaran jelas di telinga aku melainkan ia sebenarnya sengaja diperdengarkan kepada aku.
Dalam fikiran aku ketika itu, “hmmm sedapnya makcik-makcik aku masak. Awal betul dorang bangun”. Aku pun dengan tersangat confidentnya pergi ke dapur yang terletak di tingkat paling bawah seorang diri. Sampai sahaja aku di pintu dapur, semua bunyi bising tadi lenyap serta-merta. Suasana sunyi hanya bunyi cengkerik pagi yang memecahkan suasana.
Di depan aku, ada wanita-wanita yang aku tak kenali sedang berpaling melihat aku. Mereka kebanyakannya bersanggul kemas, berkain batik, berbaju kurung kedah/biasa, dan aku hanya melihat sekejap sebelum semuanya hilang sedikit demi sedikit menjadi kabus.
Pada masa itu, aku langsung tidak tahu tentang kewujudan orang-orang bunian di atas muka bumi. Aku ingat mereka adalah manusia macam kita, sebab itu aku tak rasa takut. Beberapa kali jugalah kejadian ini terjadi kepada aku hinggalah sepupu aku beritahu nenek, nenek lalu melarang keras aku keluar dari bilik sekitar jam 12-4 pagi.
“Walau apa yang AS dengar, walau apa yang berlaku bising macamana pun di luar sana, Jangan sesekali keluar”, perintah nenekku yang makin dimamah usia.
Baiklah, peristiwa selanjutnya semasa aku berumur 8 tahun. Menjadi kebiasaan, semua sepupu aku akan berkumpul di kampung setiap kali musim cuti sekolah. Ada yang tinggal di luar negeri, ada yang tinggal di daerah lain. Dan kami akan tidur beramai-ramai di ruang tamu kedua yang sangat luas.
Ruang tamu ini bersambung dengan ruang rehat keluarga, di mana ketika kami tidur hanya lampu di ruang rehat keluarga yang akan dibuka untuk sedikit pencahayaan.
Ada satu malam, aku terjaga sebab bunyi orang memanggil aku, “AS, AS! Tengok sini”. Aku buka mata, aku lihat sepupu aku seramai 20 orang sedang nyenyak tidur bergelimpangan, hanya aku yang terjaga. Mata aku melilau mencari suara yang mengejutkan aku hinggalah terpaku ke arah ruang keluarga.
Aku nampak dengan jelas satu makhluk berwarna hijau paras budak tadika, mempunyai ekor yang panjang, bertelinga capang sedang mengendap-ngendap di sekitar ruang keluarga entah apa yang dicarinya.
Kalau anda pernah baca majalah Asuh yang terkenal suatu ketika dahulu, itulah watak jembalang yang muncul di depan aku ketika itu. Seakan dipukau, lama juga aku memerhati ia sampailah makhluk hijau itu hilang di sebalik langsir, barulah aku tersedar. Darah gemuruh mula menyerbu muka, aku segera tarik selimut menutup wajah. Semasa memejamkan mata, aku dengar dengan jelas ada suara sedang berbisik di atas kepalaku;
Jin Toncet 1: Ish ish ish, budak ni nampak kitalahh….
Jin Toncet 2: A’aa lah..dan dia juga belum tidur…kita kacau dia nak??
Selepas itu, apa yang aku rasa selimut di kepala aku ditarik-tarik dan rambut yang keluar dari selimut dimain-mainkan. Habis semua surah yang dihafal jadi tunggang-langgang aku baca, dari doa makan hingga doa naik kenderaan semua aku bedal sampailah tertidur. Tahu-tahu je, azan Subuh dah berkumandang. Itulah kali terakhir aku tidur beramai-ramai dengan sepupu aku di ruang tamu.
Dan, sehingga ke saat ini aku pantang betul tidur di ruangan yang terbuka seperti dewan, wad hospital, ruang tamu dan sebagainya. Hanya di bilik yang bertutup aku dapat tidur. Bukan tak cuba, tapi selama ni banyak kali aku cuba tidur di ruang terbuka tapi akhirnya aku ditindih dengan teruk oleh pelbagai makhluk yang datang menyerang tubuhku di saat semasa aku hampir lena. Bab ketindihan ini akan aku ceritakan satu hari nanti insyaallah.
Ada banyak lagi siri gangguan yang aku terima, terlalu banyak untuk aku ceritakan di sini. Tapi yang pastinya kemuncak kepada gangguan aku di rumah pusaka ialah apabila aku kerap ‘hilang’. Aku tak hilang jauh, hanya di kawasan rumah pusaka tu juga. Ceritanya, kadang-kadang semasa bermain dengan sepupu-sepupu aku tiba-tiba terdengar orang panggil nama aku dari belakang rumah sana, dari kebun pisang atuk.
“AS, AS! Datanglah sini!”
“AS, Jom main kat sini??”
Aku pula suka main sorok-sorok dengan sepupu, masa pergi menyorok tu lah aku lari ke belakang kebun sana. Lama tau aku kat sana, kadang-kadang 2-3 jam sampai semua ahli keluarga pakat mencari.
Biasanya mereka jumpa aku sedang berdiri tegak di dalam kebun, hanya setelah belakangku ditepuk berkali-kali barulah aku tersedar tapi tidak ingat apa-apa yang berlaku. Bukan sekali, tapi berkali-kali terjadi sampai aku ‘diharamkan’ sama sekali pergi ke kawasan belakang rumah. Tapi lain pula yang jadi.
Semasa aku bermain di dalam rumah, aku terdengar namaku diseru untuk masuk ke bilik arwah atuk. Semasa aku masuk, bilik tu agak berkabus. Aku duduk di atas katil diam membatu, sambil memejamkan mata. Aku hanya tersedar setelah waktu hampir gelap, dan makcikku datang membuka pintu dan meluru ke arahku.
“Astaghfirullahhhh…kat sini AS rupanya! Dah jumpa! Dah jumpa AS! Kat dalam bilik Abah rupanya dia!”, makcik aku menjerit lalu memelukku erat.
“AS buat apa kat sini? AS cari apa? Lama kitorang cari, kat luar rumah dan dalam rumah, semua tempat tak ada”, mata makcik melilau melihat ke sekeliling lalu menarik tanganku keluar.
Aku tak mampu bercakap. Aku rasa penat, tubuhku pula terlalu lemah. Bila ditanya, aku hanya mampu mengeleng kepala. Sampai sekarang, aku masih tak pasti apa yang jadi padaku semasa hilang dulu. Aku diberi air penawar dan semangatku pulih seperti sediakala.
Tapi beberapa hari selepas itu, aku mula mendengar lagi bisikan-bisikan memanggil aku sama ada ke belakang rumah atau ke bilik tadi, dan aku cuba pergi. Aku seakan rindu nak pergi ke sana. Tapi percubaan kali ini gagal. Pintu bilik atuk telah dimangga, dan sepupu aku yang sudah bersekolah menengah ditugaskan mengawal aku ke mana sahaja aku pergi.
Beberapa kali aku cuba memberi alasan untuk ke belakang rumah, tapi tetap dihalang keras oleh sang sepupu. Alhamdulillah.
Suatu hari, nenek panggil aku ke biliknya. Aku seorang sahaja. Semasa aku melangkah masuk, bilik nenek berbau sangat harum. Harum bunga yang membuatkan kita ketagih. Biasanya kalau aku masuk bawa air teh ke bilik nenek, nenek sama ada sedang solat sunat, atau sedang mengaji Al-Qur’an, atau sedang berzikir dengan tasbih kayu kokkanya.
Tapi kali ini, aku tengok nenek duduk bersila. Di depannya ada seorang Wanita bertudung selendang, berbaju kurung krim corak bunga halus dan berkain batik, sedang duduk bersimpuh sambil menundukkan kepala. Aku yang sedang bersila dipanggil merapati nenek;
“Ini cucu aku. Aku minta selepas ini orang-orang kamu jangan ganggu dia”, tegas nenek berbicara.
Wanita tadi hanya mengganggukkan kepala dan mengangkat sikit mukanya untuk melihatku. Aku punya innocent hanya melihat ke arah ‘aunty’ berkenaan tanpa mengetahui dia adalah orang bunian yang mendiami rumah nenek bersama-sama keluarganya sejak dahulu kala. Manakala di belakang rumah nenek pula adalah perkampungan kaum bunian beragama Islam, yang sudah diketahui keberadaannya oleh nenek moyang saya sejak dahulu kala lagi.
Aku hanya mengetahui hal ini semasa berumur akhir 20-an. Patutlah semasa di rumah nenek dulu, seringkali terjumpa ada haiwan-haiwan bersaiz gergasi di dalam rumah. Ada katak sebesar bola, ada kura-kura gergasi zaman purba, ada ular-ular yang ganjil, ada serangga-serangga yang begitu besar yang tak pernah dilihat selama ini, ada kucing yang besar berbulu gebu yang tersesat masuk ke dalam rumah kemudian hilang di sudut rumah.
Seringkali terjadi, tetamu yang datang ketika mana kami semua tiada di rumah memberitahu bahawa memang ada orang yang menjawab salam mereka dari dalam rumah, “Wa’alaikumussalam…Tak ada orang!”. Ada orang yang cuba merompak pula berlari lintang-pukang seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan di halaman rumah. Kami mengetahuinya pun apabila diberitahu oleh orang kampung yang bersahabat dengan perompak tersebut.
Ada satu lagi kejadian yang aku rasa agak pelik. Sebelum ini memang aku perasan setiap kali aku bermain di halaman, aku akan nampak ada seorang budak laki-laki (usia 3-4 tahun lebih tua dari aku) sedang duduk di atas basikalnya memandang aku dari jauh.
Tapi ada sekali tu, aku bermain dan terjatuh di atas seketul batu dan dahiku luka. Kawan-kawan aku sudah bertempiaran lari ke rumah masing-masing apabila melihat darah di dahiku, bukannya nak menolong.
Tiba-tiba, budak lelaki yang selalu pandang aku tu datang berlari ke arah aku yang sedang mengaduh kesakitan di atas tanah. Dia lihat bahagian yang benjol dan luka di dahiku sambil berkata, “Sakit lagi tak…? Nanti AS cepat-cepat balik rumah ya? Nanti mesti mak AS rawat luka ini. Lain kali, hati-hati. Saya boleh tengok dari jauh sahaja”. Aku kesat air mata dan menganggukkan kepala lalu berlari pulang ke rumah.
Esoknya aku keluar bermain, aku cari budak lelaki semalam untuk ucap terima kasih kononnya (padahal gatai nak tengok dia lagi sekali hehe). Tapi, dia tak ada. Setiap hari aku terjenguk-jenguk cari, tapi dia masih tidak muncul-mucul. Dekat 2 minggu barulah dia datang, tapi dia hanya pandang aku dari jauh. Sampai sekarang aku terfikir, budak laki-laki tu manusia atau tak sebenarnya?
Peristiwa terakhir di rumah pusaka nenek, adalah cerita yang sangat menyedihkan berlaku semasa aku berumur 11 tahun. Seminggu sebelum nenek meninggal dunia, nenek tidak lalu makan dan kurang tidur. Nenek hanya solat dan solat, zikir dan berterusan mengaji Al-Qur’an.
Kalau nenek berhenti tidur sekejap, akan kedengaran suara orang mengaji beramai-ramai di dalam bilik nenek seolah-olah menyambung bacaan Al-Qur’an nenek yang terhenti. Kami semua ahli keluarga hanya mendiamkan diri, tiada siapa yang berani ‘menegur’.
Haruman indah kembali menghiasi udara bilik nenek dengan haruman yang mengasyikkan setiap kali aku masuk membawa dulang berisi nasi bungkus dengan air teh untuk nenek santap. Nenek tanya aku, “AS, kamu bawa siapa ramai-ramai ni masuk bilik nenek? Semua muda-muda AS, pakai jubah putih dengan serban, tinggi-tinggi, senyum manis semuanya.. Masyaallah.. AS, semua pemuda ni cantik-cantiknya (handsome)”. Seram sejuk aihh.
Aku biarkan nenek santap sendirian dan aku keluar dari bilik dengan bulu roma yang masih berdiri tegak kerana aku juga dapat merasakan kehadiran makhluk-makhluk tak kasat mata sebentar tadi.
Hari ke-6 sebelum kematian pun tiba, iaitu bersamaan dengan hari Khamis. Nenek sudah tidak mahu makan apa-apa. Nenek minta pakcik aku telefon semua ahli keluarga supaya balik segera kerana nenek nak berjumpa buat kali yang terakhir. Alhamdulillah, semua sanak saudara aku berjaya berkumpul pada Malam Jumaat tersebut untuk mendengar wasiat nenek.
Di hening pagi Jumaat, nenek minta makcik aku tolong wudhu’kan dia kerana nenek mahu solat sunat sambil menunggu azan Subuh. Alhamdulillah, nenek masih mampu solat sambil berbaring, berzikir dan mengulang hafazan. Sekitar jam 8 pagi, nenek aku akhirnya pergi selama-lamanya menghadap Penciptanya dikelilingi oleh anak-anak, cucu-cucu dan semua cicitnya yang disayangi.
Jenazah nenek disembahyangkan bergilir-gilir, berkali-kali oleh orang ramai yang berpusu-pusu datang tidak putus-putus entah dari mana semuanya, sehingga solat Jumaat sekali lagi disembahyangkan oleh ribuan manusia di masjid sebelah rumah nenek.
Aku teringat, semasa di dalam rumah saat jenazah nenek yang siap dikafan diletakkan di atas katil, aku melihat seorang Wanita. Wanita yang pernah kulihat di dalam bilik nenek tempoh hari datang lagi. Tapi dia hanya berdiri tegak di kejauhan dengan wajah kesedihan. Semasa solat jenazah pula, aku melihat ada juga jemaah-jemaah bukan manusia yang sama-sama mendirikan solat jenazah untuk nenek.
Macamana aku tahu? Kerana setelah selesai solat mereka perlahan-lahan menghilang (pada pandangan aku dizahirkan begitu). Semoga atuk dan nenek dikurniakan Syurga Firdaus dan diletakkan dikalangan para Syuhada’ dan orang-orang yang Beriman, aamiin.
Ujian penampakan yang aku alami tidak terhenti di situ sahaja. Apa yang aku alami selepas kematian nenek berlarutan hingga remaja, remaja hingga dewasa yang tentunya lebih ekstrem dan menyedihkan, menyesakkan dada dan fikiran kerana proses pe‘rawatan’ku yang agak lewat dilakukan, setelah semuanya hampir menjadi bubur.
Tetapi aku cuba dan berusaha melaluinya dengan penuh redha dan sabar walaupun kadang-kadang aku hampir berputus asa. Bersambung…
– AS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Sambung lagi As..seronok juga baca
Sambung lagi As, seronok makcik baca
Masya Allah.. dengan izin Allah, kematian arwah nenek kamu adalah Husnul Khotimah, kematian yg dicemburui : pd hari Jumaat yg mulia, setelah solat subuh, baca qur’an, zikir dsb.., insha Allah pahalanya yg berterusan dgn kebajikan & sekolah2 tahfiz dsb.. insha Allah..
Bagi part kmu pulak, alhamdulillah, kmu juga telah melalui hidup beragama.. semoga kekal istiqomah dgn amalan2 yg baik.. cuma nk tau juga, setelah awk umur 11 tahun, atau selepas nenek awk mninggal dunia, awk tinggal di mana, selama dduk dgn nenek, ibubapa awk tidak dtg menjengok ke, or mereka sudah tiada (maaf, jika ye..), dan saya tertanya2, selain nampak adakah awk juga pernah ‘berkomunikasi’ secara direct dgn mereka.. arwah bapa saya dlu pon pernah ‘diasuh’ oleh jin (setelah hilang di bwh jembatan di kampungnya..) sehingga beberapa minggu, dan selepas dijumpai itu, dia menjadi seorang yg pandai belajar, bersukan dsb.., (pdhal sebelom itu dia x pandai belajar, dan tudak aktif langsung bersukan), kerana menurutnya, jin2 itu yg ‘menolongnya’ ketika menjawab soalan peperiksaan serta ketika berlari atau bersukan lompat galah di padang.. mcmne pon panjang lg ceritanya, (kna buat confession saya pulak kot..) ..kami doakan semoga Allah SWT melindungi AS, dan teruskan hidup dgn tenang, walau pon ‘ramai’ yg mngganggu.. wallahu a’lam bissawab