Assalamu’alaikum. Terima kasih sekali lagi Admin kerana sudi siarkan kisah pengalaman saya yang tak seberapa ini.
Terima kasih juga kepada anda yang sudi membaca dan memberi maklum balas pada episod penulisan saya sebelum ini; https://iiumc.com/peritnya-
Saya AS, dirujuk sebagai ‘aku’ dalam pengisahan ini.
Aku ingin menjawab beberapa persoalan dalam ruangan komentar berkenaan ibu bapa. Untuk soalan pertama, Alhamdulillah, mereka masih hidup tetapi semasa kecilku mereka berada di luar negara manakala aku berada di bawah asuhan nenek di kampung.
Selepas peninggalan nenek, ibu bapaku kembali ke Malaysia bersama 3 lagi adikku dan aku mula tinggal bersama mereka di sebuah negeri.
Untuk soalan kedua pula, adakah aku boleh berkomunikasi dengan mahkluk tak kasat mata? Jawapannya boleh, melalui lisan dan suara hati.
Dan untuk soalan ketiga, berkenaan adakah makhluk ini dapat memberi kesan terhadap pencapaian dan kecemerlangan individu? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Jika ya, biasanya setiap ‘pertolongan’ tidak datang dengan percuma walaupun bukan kita yang mencari.
Kadang datangnya sebagai umpan dan gula. Kesannya datang bergandingan atau datang di kemudian hari. Kalau bukan sebab ada keuntungan, masakan manusia sanggup berdamping dengan jin dan syaitan untuk nampak kuat, nampak hebat, nampak cantik dan kaya. Kan?
Untuk kali ini, aku ingin berkongsi tentang pengalaman hijab terbuka aku semasa aku sedang meningkat remaja. Bismillahirrahmanirrahim..
Semasa berumur 12 tahun, ayah bertukar tempat kerja di sebuah negeri X dan agak terdesak untuk mencari rumah sewa untuk kami sekeluarga diami. Cari punya cari, dapatlah sebuah rumah teres 2 tingkat dengan harga sewa yang sangat murah. Bukan saja murah, angker pula tu.
Semasa kami mula-mula sampai di depan rumah, aku terkejut dengan apa yang ada di depan mata aku. Rumah ini kelihatan suram, cat dah luntur, dan ‘vibe’nya sangat tak ok berbanding rumah-rumah jiran di kiri kanannya. Nak berebut bilik punya pasal, aku berada paling depan sewaktu pintu rumah dibuka oleh ayah.
Sebaik sahaja pintu dibuka, muka aku diterpa oleh hembusan angin sejuk yang amat kuat datang dari dalam rumah. Tergamam seketika, ‘Masak aku kali ni..”, aku dapat rasakan rumah ini tidak sesuai untuk didiami. Apa yang mata aku nampak adalah dinding-dinding rumah yang telah dipenuhi lumut dan lantai yang sangat kotor seolah-olah rumah ini telah begitu lama ditinggalkan.
Seperti biasa, aku hanya diam kerana ahli keluargaku kelihatan begitu ceria melihat-lihat rumah. Di fikiran aku, mungkin hanya aku seorang yang ‘nampak’ wajah sebenar rumah itu jadi aku tidak mahulah merosakkan suasana. Mata aku tiba-tiba tertarik ke arah sesuatu yang berwarna coklat di atas lantai di tengah rumah.
Aku ambil dan teliti, ia adalah sebatang cucuk sanggul antik dengan hulu yang bercorak ekor merak. Menarik dan cantik. Aku segera memasukkannya ke dalam poket sambil berangan-angan untuk memakainya di rambut nanti.
Seterusnya kami ke tingkat atas. Di luar bilik ibu dan ayah, ada beranda yang sangat luas. Bila ditinjau dari tingkap, kelihatan sebuah rantai kapal yang berkarat terdampar di atas lantai beranda. Pelik bukan?
Setelah membersihkan rumah, kami mula menyusun-atur perabot dan almari. Bilik aku di tingkat atas, bersebelahan dengan tangga. Depan bilik aku pula adalah ‘playroom’ adik-adik aku.
Gangguan pertama bermula. Malam pertama di rumah, semasa kami anak-beranak sedang melepaskan lelah di ruang tamu, tiba-tiba kedengaran almari dan meja di tingkat atas ditarik-tarik, macamana siang tadi kami menyusun perabot begitulah riuhnya bunyi di tingkat atas. Aku sudah mula menunduk, hati aku berkata; “dia dah mula dah…”.
Ayah aku segera naik ke atas seorang diri, mencari-cari punca bunyi. Kemudian turun semula mengajak kami naik ke atas untuk tidur di bilik masing-masing. Ayah kata, “Tak ada apa lah. Jiran kita kot tadi alih perabot”, kami hanya mengangguk dan bersangka baik.
Kadang-kadang ada seorang makcik aku, Cik Na yang belajar di universiti berdekatan akan datang menumpang tidur di rumah, lebih tepatnya di bilik aku.
Gangguan seterusnya pun terjadi semasa ayah aku ‘outstation’. Pada suatu malam, aku yang sedang tidur bersendirian tiba-tiba terjaga dari tidur kerana rasa berpeluh dan panas. Aku rasakan bahang yang kuat seolah-olah aku sedang berdiri di depan api.
Memang kipas bilik aku rosak, tetapi mak aku dah ganti dengan kipas berdiri yang diletakkan di depan pintu bilik. Aku buka mata dan duduk bersila di atas katil, mencari-cari punca bahang.
Nun di depan kipas, berdirinya seorang perempuan berambut gerbang dengan helaian rambut yang kasar macam dawai. Dia memakai ‘baju kelawar’ putih bersih yang terbuai-buai ditiup kipas angin. Dia berdiri tegak memandang aku yang sedang mamai. Aku melambai-lambaikan tangan sambil berkata, “Cik Na, jomler tidur. Cik Na buat apa berdiri kat situ, panas lah Cik Na hadang kipas…”.
Tapi ‘Cik Na’ tetap diam kaku di situ tanpa menyahut ajakanku. Selepas puas mengajak tetapi tidak diendahkan, lalu aku menyambung tidur yang tergendala. Esoknya semasa sarapan, aku pelik kenapa Cik Na tak bersarapan bersama lalu terjadilah perbualan yang menyeramkan seperti berikut;
Aku: Ibu, panggilah Cik Na turun…kita makan sama-sama..
Ibu: Cik Na apa pulak..Bilanya Cik Na datang…?
Aku: Kan semalam Cik Na datang. Dia teman AS tidur..Tapi dia diam je berdiri kat pintu..
Ibu: Cik Na kan kat Univer…dah-dah, makan cepat lepas tu pergi studi. Bukan Cik Na tu..
Selepas makan, aku segera ke bilik. Aku mencari tanda-tanda keberadaan ‘Cik Na’ semalam namun hampa. Tiba-tiba aku tergerak hati untuk mengambil cucuk sanggul yang aku letak di bawah bantal, “ke dia cari benda ni..?”, aku bermonolog di dalam hati.
Darah mula menyerbu ke muka, aku rasa ada benda yang tak kena. Aku ambil cucuk sanggul itu dan berjalan ke bilik mainan adik-adik aku. Kesilapan aku adalah, aku lempar ia ke dalam kotak mainan yang ada di situ.
Baiklah, peristiwa seterusnya ada kaitan dengan bilik ini pula. Suatu hari, aku dan adik bermain permainan yang sangat ‘cliche’ dengan movie hantu iaitu permainan sorok-sorok. Aku lihat dengan jelas adik aku terkedek-kedek masuk ke dalam bilik mainan. Segera aku berlari ke situ. Kosong.
Aku selak langsir, aku alihkan kotak mainan, tapi adik aku tak ada. Aku buka almari, lihat belakang pintu, tak ada. Semasa sedang menyepahkan segala mainan yang ada demi mencari adik, ibu datang. Paling aku terkejut bagai nak luruh jantung, adik-adik aku semuanya sedang berada di belakang ibu.
Ibu: AS buat apa sorang-sorang kat atas? Kenapa tak tolong ibu kat dapur?
Aku: AS dengan adik Iman lah ibu. Tapi tadi dia kan masuk bilik ni, kenapa pula dia ada dengan ibu?
Ibu: Adik-adik semua dengan ibu kat bawah dari tadi. AS seorang yang tak ada, ibu naik sebab nak panggil AS turun…
Aku rasa lemah longlai sangat. Takut, risau, tetapi mulut terasa berat untuk cerita kepada sesiapa.
Pada suatu hari sekitar jam 6.30 petang, berlaku lagi peristiwa menakutkan. Adikku yang baru berumur setahun menangis tanpa henti sejak jam 6 petang. Ayah pula sedang ‘outstation’ ke luar negara, tinggal kami anak-beranak sahaja di rumah.
Semasa di ruang tamu, ibu meminta tolong aku ambilkan lampin adik di dalam bilik mainan. Walaupun takut, aku tetap beranikan diri naik seorang diri memandangkan aku sahaja yang boleh diharap pada masa itu. Sesampainya aku di anak tangga yang paling atas, aku petik suis lampu. Terang-benderang ruang atas, aku mula melangkah.
Pada masa itulah di depan mata aku, sebatang kaki dari paras lutut ke hujung jari kaki sedang melompat-lompat keluar dari bilik aku menuju ke bilik mainan. Bentuk kaki itu kasar, seolah-olah milik lelaki yang berbadan besar. Berwarna coklat pekat, dan mempunyai bulu kasar yang berceracak keluar dari kulit.
Allah Maha Mengetahui, betapa lama aku kaku di situ, kaki bagai digam, aku bagai dipukau. Selepas pemandangan yang mengerikan itu, beberapa ketika kemudian barulah aku punya kekuatan untuk melompat turun ke bawah. 30 anak tangga aku lompat 3 kali sahaja untuk sampai ke bawah, memang rekod lompatan terpanjang pernah aku lakukan.
Sampai di tingkat bawah, lutut aku mula bergoyang. Ibu memandang muka aku yang sudah pucat lesi, mula bertanya apa yang berlaku. Aku hanya mampu diam seribu bahasa. Ibu seakan mengerti, mengurut belakang aku dan segera menelefon seorang saudara yang tinggal berdekatan untuk datang menemani kami pada malam itu.
Setelah tenang, bagai mendapat kekuatan aku mula bercerita dari A-Z semua yang aku nampak di rumah itu kepada ibu. Aku turut ceritakan kisah cucuk sanggul kepada ibu. Apalagi, ibu segera menggeledah kotak mainan adik dan cucuk sanggul itu ibu lempar ke belakang rumah.
Belakang rumah yang menyeramkan. Mempunyai pagar kecil yang berkarat dan telah dimangga. Di belakang rumah juga tersusun alatan batu zaman dahulu seperti penggiling dan pengukur kelapa. Ada juga cangkul dan parang lama diletakkan di atas para.
Pada suatu malam, ibu sedang membersihkan dapur. Tiba-tiba ada bunyi desis ular datang dari bawah mesin basuh, “Sssss…Ssssss…Sssss”. Ibu segera jenguk di bawah mesin basuh, Subhanallah ibu lihat ada ular hitam berkilat-kilat yang besarnya seperti ular sawa, dengan mata dan lidah yang merah sedang berlingkar di situ. Tanpa membuang masa, ibu segera menutup pintu dapur dan ayah segera menelefon pihak Bomba.
Untuk sedikit gambaran, dapur kami tiada lubang melainkan lubang longkang yang bertujuan mengeluarkan air mesin basuh, tapi lubang itu kecil sahaja dan telah disambungkan dengan wayar getah mesin basuh. Dan ada satu pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang makan.
Apabila bomba datang, mereka menggeledah hampir 1 jam setengah untuk mencari ular yang besar tadi. Dalam almari, dalam periuk, dalam mesin basuh. Langsung tidak dijumpai. Kesan pun tak ada. Salah seorang pegawai tiba-tiba mengajak ayah aku keluar rumah, dan berkata;
“Encik, saya rasa ‘ular’ tadi bukan sembarangan ular. Sepanjang kami geledah dapur, bulu roma kami berdiri tegak dan agak tak selesa. Macam ada ‘sesuatu’ di rumah Encik sedang melihat kami. Cuba Encik fikir, dapur Encik tiada apa satu pun lubang. Macamana ular sebesar itu boleh lari?”
Peristiwa ular habis di situ. Yang bagusnya, ayah mula terfikir untuk berpindah.
Peristiwa terakhir di rumah sewa angker yang menyebabkan kami berpindah adalah di mana pada suatu malam, ibu datang mengejutkan aku dari tidur dengan wajah yang cemas. Ibu tarik aku ke bilik tidur ibu dan ayah. Sebaik aku masuk, aku lihat ayat sedang mengaji Al-Qur’an dengan suara yang lantang, bersila di atas lantai.
Di luar tingkap pula, hujan lebat sedang menggila. Adik-adik semua sudah berada di atas katil, sedang berselubung dalam 1 selimut tebal. Ibu segera mengarahkan aku naik ke katil dan masuk ke dalam selimut bersama mereka.
“Walau apa yang AS dengar nanti, jangan sesekali keluar dari selimut ini, Faham!”, ibu kelihatan takut-takut.
Dari dalam selimut, aku dengar ayah Azan dengan kuat. Katil tiba-tiba bergegar, kami adik-beradik menangis ketakutan. Ayah Azan berulang-kali…
Tiba-tiba pintu bilik air di tepi katil diketuk dari dalam. Ketukan yang garang, bertalu-talu tiada kesudahan. Adik-adik aku ada yang di dalam selimut apalagi, menangis ketakutan semuanya. Aku saja yang lebih besar, aku berzikir Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar berulangkali…
Tiba-tiba, aku mendengar jeritan nyaring seorang Wanita dari beranda. Terpekik terlolong seolah-olah sedang kesakitan. Bunyi rantai bergeser dengan lantai jelas kedengaran berselang-seli dengan tangisan. Seakan wayang pacak, terakam jelas di mata aku ada seorang Wanita berbaju putih sedang mundar-mandir dengan kakinya dirantai, berjalan di beranda ketika itu sambil meratap sayu di dalam hujan lebat.
Aku tak tahu nak ceritakan macamana, gambaran peristiwa itu aku lihat dengan mata yang tertutup dari dalam selimut. Dan, bayangan gambaran peristiwa seperti ini masih aku dapat sehingga sekarang (Wallahua’lam, aku tak tahu kenapa). Bila dah besar ni, aku ada menonton filem hantu Bupah Rahtree. Suasana kacau-bilau yang aku alami semasa kecil tadi memang sebijik dengan dalam cerita tersebut.
Baiklah, sambung kisah tadi. Ayah berterusan mengaji dan azan, berulang tanpa henti. Akhir sekali aku mendengar ayah menjerit kasar, “Aku tak takutkan kau. Aku hanya takut Allah! Kau tak boleh buat apa-apa, kerana Allah saja yang Maha Berkuasa!”.
Tiba-tiba suasana senyap-sunyi. Tiada hujan. Tiada derap kaki. Tiada bingit rantai. Tiada pekikan dan tangisan. Ibu selak selimut kami, memeluk kami berempat.
Jam di dinding menunjukkan ke pukul 1 pagi, maksudnya sudah sejam semua ini berlaku. Sebelum melelapkan mata di bilik ibu ayah, aku lihat ayah kembali sambung mengaji Al-Qur’an. Sangat tenang kurasakan, ketenangan yang sudah lama aku tak rasa selama berada di rumah tersebut.
Beberapa hari selepas itu, ayah dapat rumah sewa baru. Sebelum keluar rumah, aku sempat minta tolong ayah ambil kembali cucuk sanggul yang dilempar ke belakang rumah untuk aku letak sebaik-baiknya sebagaimana waktu aku jumpa dulu.
Di tengah rumah, aku perlahan-lahan meletakkan cucuk sanggul di atas lantai. Aku cuba berkomunikasi, “Aku letak balik barang kamu. Jangan sesekali ikut kami.”.
Aku masih ingat semasa kereta kami bergerak perlahan keluar dari kawasan rumah, aku sempat melihat ke arah beranda. Aku lihat Wanita berbaju putih sedang berdiri tegak memandang kami. Oleh kerana wajahnya ketika itu tidak menakutkan, aku lihat dia sampailah rumah itu hilang dari pandangan.
Beberapa bulan selepas kami berpindah, seorang jiran telah menelefon ibu. Dia bertanya adakah kami sudah benar-benar pindah dari rumah itu kerana setiap malam mereka di kejiranan mendengar bunyi orang mengamuk di dalam rumah tersebut. Bunyi kaca pecah, bunyi periuk diketuk, bunyi pagar belakang yang berkarat dibuka tutup padahal telah dimangga.
Dia juga bertanya apa rahsia kami boleh tinggal di rumah itu selama 2 tahun, kerana sebenarnya sejak 10 tahun lalu lalu rumah itu tidak berpenghuni.
Jiran-jiran tak sampai hati untuk beritahu kami, bimbang kami takut untuk tinggal di sana. Menurutnya lagi, setiap kali ada keluarga menyewa, tak sampai seminggu mereka akan berpindah keluar. Hanya keluarga kami yang bertahan paling lama. Wallahua’lam..
Saya ada lagi beberapa kisah gangguan ekstrem yang ingin diceritakan, insyaallah bakal menyusul dan andai diizinkan Admin.
Saya terpaksa berhenti dulu kerana ada yang galak mengetuk pintu bilik ketika ini walhal saya sedang berseorangan di dalam rumah. Malah bacaan surah Al-Baqarah oleh Syeikh Misyari di laptop saya ketika ini turut terganggu, kedengaran suara ganjil turut membaca bersama-sama sebentar tadi. Wallahua’lam..
– AS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit