Peritnya Hijab Terbuka 4: Gangguan Semasa Belajar di IPTA

Part I, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-1-rumah-pusaka/)

Part II, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-2-rumah-sewa-angker/)

Part III, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-3-gangguan-di-smka/)

Siapakah orang Mukmin itu?

“Sesungguhnya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibaca ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka menyerah diri” (surah Al Anfal: 2)

“Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit. dan bumi, seraya mereka berkata,”Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab Neraka” (surah Ali Imran: 191)

Assalamu’alaikum. Sebenarnya, aku baca semua komen anda, dari yang positif hingga yang negatif. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca. Aku tak paksa anda percaya, kerana kalau aku di tempat anda, aku pun rasa pengalaman seperti ini mustahil berlaku.

Aku belum pun lagi masuk ke bab yang lebih ekstrem contohnya aku pernah makan di kedai yang tak wujud, aku pernah peluk pocong, anak patung di depanku bergerak, aku ke rumah keturunan penanggal, kisah aku bersama nenek kebayan dan kisah gangguan di jalan raya.

Aku dah biasa digelak dan diragui bahkan oleh sebilangan mereka yang terdekat denganku. Itu adalah jawapan kenapa aku pendam sendiri hingga perawatanku bermula agak lewat, ketika nasi sudah hampir menjadi bubur.

Baiklah, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahiim, aku AS, memulakan kisah aku yang ke seterusnya..

Hiking di (Minggu Orientasi)

Aku masuk ke salah sebuah universiti tempatan di dalam Malaysia. Semasa minggu orientasi, kami para pelajar baru diarahkan untuk ‘hiking’ di sebuah bukit yang berdekatan dengan kampus kami. Aku berada dalam kumpulan yang terakhir daripada 9 kumpulan. Program bermula tepat jam 12 malam.

Pada permulaan pendakian kami, semuanya berjalan dengan sangat lancar. Tetapi semasa hampir tiba di ‘check point’ yang terakhir, aku nampak ada sekumpulan orang berjubah putih lengkap dengan serban masing-masing sedang berjalan memasuki satu lorong kecil.

Tiba-tiba aku terdengar azan. “Ohh..mereka nak pergi solat rupanya. Aku nak ikut, mana tahu boleh tengok masjid dorang”, hatiku mula merancang idea gila. Kebetulan jarak aku agak jauh dengan peserta lain, memudahkan aku untuk keluar daripada kumpulan aku menuju ke laluan kecil tadi.

Perghh, bau wangi minyak atar mereka dapat aku hidu di sepanjang lorong. Baru melangkah 7 tapak, lengan aku ditarik dari belakang. Akak Fasi ingat aku tersalah jalan. “Kamu nak ke mana? Sana tu hutan cik kak, kita kena ikut trek. Kamu keluar kumpulan ni, kenapa?”. Aku hanya berterima kasih dan menggaru-garu kepala. Aku tahu aku salah…

(Hantu Gaun Merah)

Pada suatu hari semasa balik dari kuliah, aku nampak ada seorang budak perempuan sekitar kanak-kanak umur 10 tahun sedang berdiri di dalam kawasan pokok-pokok bunga yang ditanam di tepi kelas. Muka putih, mata sepet yang amat, mempunyai rambut hitam macam Willy Wonka. Dia ada gigi tajam macam Venom, pakai gaun merah paras lutut.

Silap aku, aku ralit tengok ‘dia’ sampai tak sedar dia ikut aku balik ke hostel. Malam tu dia muncul di hujung katil aku. Aku syak ada budak bilik ini yang masuk tak baca Bismillah masa masuk tadi, sebab tu ’dia’ ada dalam bilik aku sekarang.

“Masuk rumah ni AS, kena mula dengan kaki kanan. Baca Bismillah dan beri Salam. Kalau ada penghuni, ucap ‘Assalamu’alaikum’. Kalau tak ada orang, ucaplah ‘Assalamu’alaina wa ‘ala ‘Ibaadillahissolihin’, kerana dalam rumah orang Mukmin itu ada malaikat dan jin Islam.

Kalau nak keluar rumah pula, mulakan dengan kaki kiri. Baca Bismillah 5, baca Yaasin ayat 9 tiup atas tapak tangan usap ke muka dan seluruh tubuh”, pesan nenekku semasa hayatnya suatu ketika dulu.

Kembali ke kisah tadi. Muka dia, nampak jahat. Dia sengih sampai ke telinga, macam nak terkoyak mulutnya. Aku pura-pura tidur, dia kata “Ohh kau buat tak tahu ya. Aku tahu kau nampak aku. Kalau kau tak ambil aku jadi Tuan, aku kacau kawan-kawan kau!”. Main kasar nampak. Libat kawan-kawan aku pulak? Geram betul masa tu.

Takpe, makhluk macam ni takde runding-runding dah. Aku baca Al-Baqarah ayat 1-5 dengan penuh yakin, aku hembus ke arahnya. Ia tercampak jauh kebelakang. Sempat dia menjerit kesakitan sebelum hilang, bingit dan nyaring jeritannya. “Jaga Ka..u..!”, itu ayat terakhir yang aku dengar sebelum dia hilang meninggalkan asap nipis yang kupanggil ‘kabus’.

(Histeria)

Selepas itu bermulalah episod histeria di hostel. Ada orang kata, hantu ni kalau warnanya merah adalah jenis yang jahat. Aku rasa ada benarnya, kerana berdasarkan beberapa kali aku terserempak, aura mereka ini ‘kuat dan memberi ancaman’. Mulanya dengan ketukan-ketukan misteri di setiap bilik sekitar jam 2 pagi. Aku dengan ‘roommates’ pun berbincang.

“Semalam kita semua dengar lagi ketukan tu. Dah 4 hari, tak boleh jadi ni. Kita kena tangkap siapa punya angkara. Siapa yang nakal takutkan kita. Malam ni semua jangan tidur. Kita tunggu di belakang pintu. Bila dia ketuk, kita buka pintu cepat-cepat”, Syifa merangkap ketua bilik 402 memberi arahan. Jam 2 pagi kami dah tercegat sambil menguap di belakang pintu.

Tepat jam 2.20 am, “DUM DUMM DUMMM” -kami segera membuka pintu. “Haah!”, Syifa sergah. Tapi, kosong. Bunyi tapak kaki berlari pun tak ada. Aku ambil alih jenguk ke luar pintu, kelihatan kabus di sepanjang koridor.

Sepanjang pengalaman aku, kabus adalah antara petanda ada ‘sesuatu’. “Tas rasa lain macam lah. Ni tengok bulu roma naik beb”, Tasnim kawan bilik yang lagi seorang meluah rasa. “Takpe, kita tidur dulu. Esok kita bincang macamana”, aku memberi cadangan.

Semua budak bilik aku dah tidur. Amboi, kuatnya anak dara berdengkur. Aku senyum sendiri mendengar dengkuran kawan-kawan aku, letih agaknya. Aku tak mengantuk. Kupandang siling, kupandang dinding, rasa bosan pula berjaga tak buat apa-apa. “Nak basuh baju lah”. Idea gila datang lagi.

Masa memberus kain, ada yang main cak cak di muka pintu bilik dobi, bunyi selipar berjalan tapi tak ada orang. Aku cepat-cepat siapkan membilas kain dan ke ruang menjemur pula. “Alhamdulillah….leganya rasa ada jugak student jemur kain time-time cenggini. Selipar dia la kot yang aku dengar tadi”,

Aku menarik nafas lega apabila nampak di depan sana ada pelajar rambut lurus kulit putih sedang berdiri membelakangi aku. “Rajinnya awak”, aku berbasi-basa, seperti selalu aku ramah tak kena tempat. Tapi dia tak berpaling pun, Tak dengar kot, aku cuba bersangka baik.

Lepas siap menjemur, aku pandang depan semula tapi, kosong. “Aik? Mana pulak dia pegi? Kalau nak keluar kena lalu aku dulu, aku kan kat muka pintu”. Aku mula rasa ada yang tak kena…

Tiba-tiba bunyi gelak, “hik hik hikk hikkkkk”. “Alamak, dia datang dah. AS, tenang. Control diri AS…Jangan tunjuk takut. Jangan bagi dia perasan yang kau dah tahu”. Aku arahkan diri sendiri. Aku angkat bakul, bernyanyi kecil dan berjalan perlahan masuk ke dalam bilik.

Dipendekkan cerita, esoknya Tasnim kena sampuk semasa hampir Maghrib, tengah remang senja orang tua kata. Dia kata semasa nak ke tandas dia tersepak sesuatu lepas tu dia terus tak sedar. Maka bermulalah episod ruqyah sahabat aku sendiri.

“Dia langgar anak aku! Anak aku elok-elok je main atas jalan, dia sepak. Rasakan, aku balas dendam sampai dia gila!”. Entah betul atau tidak, ‘instinct’ aku kata hantu gaun merah punya angkara. Dia dah kerahkan kawan-kawannya untuk buat huru-hara di hostel. Histeria berjangkit ke bilik dan blok lain pula.

Malam selanjutnya aku tinggal berdua dengan Tasnim di bilik. Aku pasang Ruqyah dalam laptop sementara menunggu mataku terlelap. Tiba-tiba si Tasnim ni buat hal. Tanpa amaran, kepala dia muncul di sebalik pintu aku. “AS takut yaaaa?”, dia senyum sinis. Matanya sekarang kelihatan bersinar galak. Alah alah alah, buat perangai pulak dia.

Seramku rasa, aku buka lampu. “Kenapa buka lampu? Saya suka gelap-gelap hikhikhik”. Aku tak hiraukan, suruh dia keluar dari bilik aku dan kunci pintu. Memang berjaga lah aku sepanjang malam. Nasib baik, esoknya awal-awal pagi lagi keluarga Tasnim sampai untuk bawa dia pulang berubat.

(Hantu Cina si Penjaga Keturunan)

Aku pernah ke rumah kawan aku, seorang cina muslim. Sesampainya di rumah, dibawanya aku ke tingkat atas. “AS, guna ini bilik lo. Saya sama famili aa, tidur tingkat bawah semua”, dia mempelawa. Aku tak fikir apa-apa, mungkin dia nak beri privasi kepada aku. Lepas tu, dia terburu-buru keluar dari bilik tanpa tunggu aku ucap terima kasih.

Aku bersihkan diri, solat, mengaji Al-Qur’an, dan buat pendinding bilik. “Zuusss!”, ada angin menampar pipiku. Aku tahu, ada yang tak kena. Aku penat, aku perlu berehat. Tapi, percubaanku untuk tidur lena, gagal juga. Aku terjaga di tengah-tengah malam kerana ada suara orang jerkah di telingaku, “Pergiii! Ini tempat akuuu!”.

Aku buka mata. Di sisiku ada lelaki tua berkulit cerah, kurus kering hanya kulit yang membaluti tulang, berkepala botak di sebelah katil. Berdiri tegak, mata mencerlung marah, mukanya dekat sekali dengan wajahku. Nafas bau longkang.

Tak lama selepas tu dia lesap jadi kabus dan hilang. Maka berjagalah aku sampai ke pagi. Esok paginya, kawan aku ajak keluar bersarapan. Aku ambil peluang ini untuk ‘slow talk’ dengan dia pasal peristiwa semalam.

Dipendekkan cerita, tujuan dia ajak aku ke rumahnya adalah agar aku halau gangguan keturunan yang bersarang di tingkat atas rumahnya. Aku berterus-terang bahawa ilmu aku hanya terbatas. Masalah saka dan sihir, belum pernah aku kendalikan. Aku tak pandai. Dan aku ingatkan dia, jangan pergunakan aku macam ni lagi. Sekurang-kurangnya beritahu aku terlebih dulu.

(Black Ghost Flying Vector)

Aku dan roommates pernah melawat sebuah tempat Tanah Tinggi yang terkenal di Malaysia. Kat atas sana, ada banyak rumah ala-ala English. Namun sayang, tidak berpenghuni. Mungkin para pemilik hanya menjadikannya sebagai rumah persinggahan. Ada sebuah rumah di tepi lereng bukit yang menarik perhatian Tasnim. “Jom kita tengok rumah ni!”, laju dia lari ke sana tak sempat aku tahan.

Semasa dia dan Shifa bergambar di hadapan halaman rumah, aku sempat berpesan, “jangan bising sangat dan jangan dekat sangat” kerana aku nampak ‘penjaga rumah’ sedang berdiri tegak di sebalik tingkap. Aku teringin melihat kawasan di tepi rumah itu. Aku berjalan hingga ke lereng bukit. Hanya ada sebatang pokok besar di tepi tebing.

Tiba-tiba, ada satu makhluk yang sangat besar, berwarna hitam pekat, terbang mengelilingi pokok itu. “Aik? Kenapa pula ada Batman kat sini? Ini first time aku tengok Batman depan-depan”. Ia terbang di hadapanku yang sedang mengerut dahi.

Setelah aku meneliti rupa bentuk makhluk ini, aku panggil rakan-rakan untuk bertolak balik kerana hari hampir Maghrib. Tak elok berada di kawasan perbukitan di waktu begini. Oh ya, aku tak lupa untuk Google jenis hantu terbang tu. Jumpa pun, “Black Ghost Flying Vector” itu namanya. Ingat rumah je gaya Inggeris, hantu pun omputih!

(Gangguan Terakhir)

Semester akhir pengajian pun tiba. Pada suatu malam sekitar jam 12 malam, aku baru pulang dari mesyuarat persatuan. Semasa menghampiri hostel, aku nampak seorang pelajar perempuan sedang menangis di atas kerusi batu.

Dia bongkokkan badan memeluk lutut, pakai baju t-shirt dan seluar trek, rambut panjangnya terjuntai ke bawah mencecah lantai. Muka dipekup ke paha. Timbul niat aku untuk bertanya, tapi tiba-tiba ada bisikan, “Jangan, itu bukan manusia”. Aku tak jadi singgah terus masuk ke dalam asrama.

Ada satu ketika juga, aku sedang solat bersendirian di surau hostel. Sunyi sungguh sebab kebanyakan pelajar sudah pulang ke rumah sempena cuti semester. Aku saja yang belum balik kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Tengah mengulang hafazan, kedengaran suara kanak-kanak ketawa di belakang surau. Mereka sedang menyorok di sebalik tiang, nampak kepala yang sedang mengintai.

Aku panggil, “Dik, meh sini ambil coklat?”, mereka hanya sengih nampak gigi. Aku sambung mengaji. Kali ini mereka main tutup kipas pulak, disertai dengan bunyi ketawa riang. Aku tutup Al-Qur’an dan bangun untuk buka kipas. Tapi, tak ada orang pun?

Aku pusing keliling surau, selak-selak telekung yang tergantung, buka almari, tetap tak ada orang. Aku tutup semua lampu, dan keluar dari situ. Aku perhati di sekeliling, satu selipar dan kereta pun tak ada.

“Mereka bukan manusia”, bisikan yang ke sekian kalinya datang tanpa dipinta.

Bersambung..

– AS (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *