Part I, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-1-rumah-pusaka/)
Part II, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-2-rumah-sewa-angker/)
Part III, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-3-gangguan-di-smka/)
Part, IV, (https://iiumc.com/peritnya-hijab-terbuka-4-gangguan-semasa-belajar-di-ipta/)
Assalamu’alaikum semua…
Saya dapati ada komen tentang cerita saya adalah imaginasi, rekaan semata dan tidak ‘tele’ dengan latar belakang keluarga ‘agamawan’. Para pembaca lelaki pula cakap saya bercerita macam karang novel.
Rasa ‘down’ juga sekejap. Yelah, saya menulis dengan risiko. Apa yang telah dibuang boleh datang semula dan itu saya boleh hadap lagi. Yang paling saya takuti adalah identiti sebenar saya terbongkar.
Benar, apa yang saya beritahu sebelum ini, keluarga arwah nenek adalah golongan ‘alim ulama’. Tapi ini adalah keluarga dari sebelah ibu saya. Tapi, apa yang anda tak tahu adalah keluarga di sebelah ayah saya adalah bergolongan ‘kerabat diraja’.
Ibu saya saja yang bersuamikan kerabat, oleh itu berbanding semua sepupu, hanya saya berdarah campuran ulama’ dan kerabat, dan saya seorang saja yang mempunyai hijab terbuka. Saya anak sulung perempuan dari ayah (anak sulung) dan ibu (anak bongsu).
Zaman kecil saya agak berbeza. Semasa kawan-kawan seusia sedang bermain congkak dan jongkang-jongket, saya pula bersila meriba kitab-kitab Tafsir dan kitab kuning yang dibawa dari rumah. Saya baca dan teliti satu-satu tanpa disuruh. Saya lebih suka bergaul dengan orang-orang tua kerana mereka suka memberi nasihat dan berkongsi cerita walaupun saya masih mentah ketika itu.
Dari kecil, saya tidak suka orang mengumpat, ketawa terbahak-bahak, bercakap suara nyaring kuat, tidak beradab dan tidak menutup aurat. Apatah lagi orang bermaksiat. Saya tidak takut untuk menegur mereka kerana rasa kasihan nanti mereka dapat dosa.
Bila saya lihat awan, bulan bintang, tumbuhan dan haiwan, saya bukan saja perhati betapa telitinya Ciptaan Allah ini, tapi yang paling saya cemburu adalah bagaimana ‘mereka’ tak lupa sentiasa berzikir kepada Allah dalam cara yang tidak kita ketahui. Sedangkan saya pula selalu alpa. Hati berzikir tidak sentiasa. Masa tidur, mulut berhenti membisik Zikrullah hanya mengharapkan hati tidak turut tidur mati. Semasa bersekolah rendah saya sudah berfikir perkara sebegini.
Para perawat yang saya jumpa kata, silang darah susur galur dan minat kecenderungan beragama beginilah yang menjadikan manusia menjadi rebutan makhluk halus untuk dipesongkan dari jalan Aqidah serta menjadi sasaran pengamal ilmu hitam menguji ilmu.
Saya dalami bidang agama malangnya semasa saya nak mengajar orang, saya pengsan. Semasa belajar dulu, saya juga kerap sakit teruk. Teruk sampai kena ambil ‘study leave’ untuk balik berubat. Kalau orang lain merangkak, saya pula terpaksa meniarap untuk mencapai kejayaan.
Apa yang saya share dalam IIUM Confession bertumpu kepada ‘apa yang saya nampak’ dan bukannya ‘kenapa saya nampak’, jadi saya amat berhati-hati menulis supaya tidak ‘spill the tea’ identiti keluarga dan sanak-saudara saya yang masyhur itu.
Kenapa saya menulis macam novel? Saya orang yang sangat menjunjung tinggi Bahasa Melayu yang puitis. Saya tulis semua yang saya nampak tanpa tercicir satu pun, kisah hidup yang tidak pernah dibongkar kepada sesiapa. Kalau anda nak baca saya menulis secara ringkas, silakan baca episod 3 Peritnya Hijab Terbuka; Gangguan di SMKA. Rasa tak puas sungguh menulis seringkas itu.
Saudara semua, izinkanlah saya untuk meneruskan lagi perkongsian pengalaman saya yang kedengaran tidak logik dek akal manusia yang normal. Halusinasi, Overthinking, dan Gila. Saya sudah selalu dengar dari mereka yang dekat dengan saya suatu ketika dulu, tatkala saya meluahkan apa yang dialami.
Sabar saudara, kisah mistik ini tak lama lagi akan dinoktahkan. Semua kebenaran akan saya bongkarkan Insyaallah. Baiklah, saya sambung ya? Aku, AS. Bismillahirrahmanirrahim…
Setelah tamat belajar, aku bercuti selama setahun sebelum bekerja. Setahun yang tidak sia-sia, setahun untuk keluargaku bawa aku berubat menutup hijab mata. Macam-macam tempat aku pergi, macam-macam jenis rawatan aku ikuti. Semuanya bertahan sekejap kemudian aku boleh nampak makhluk halus semula.
Keluargaku bagi idea untuk menunaikan umrah dan aku boleh doa sebanyak-banyaknya di sana. Doa di Tanah Suci makbul insyaallah. Aku terus bersetuju.
Jin Bersayap di Masjidil-Haram
Antara ramai-ramai perawat yang merawatku, ada seorang yang menegur tindakan aku iaitu 2 minggu sebelum aku berangkat menunaikan Umrah. “Sudah sekian lama kamu berusaha nak tutup hijab mata kamu, tapi belum berhasil. Saya bimbang satu je, Allah memang takdirkan kamu boleh melihat. Mungkin ada tugas kamu yang ditetapkan untuk kamu lakukan satu hari nanti’, kata Ustaz.
Selama aku mencari penawar, memang ramai perawat yang sarankan aku belajar secara mendalam ilmu perubatan Islam, tapi hanya aku yang berfikir panjang. Bagiku, tugas perawat Islam sangat mencabar, silap haribulan boleh mengancam kehidupan perawat dan keluarganya.
Ditambah dengan tugas hakiki yang memang sedia sibuk, aku kuburkan jauh-jauh keinginan lama aku untuk menjadi perawat wanita secara bertauliah. Setakat budak menangis, jiran kena rasuk sikit-sikit tu bolehlah insyaallah.
Semasa hari pertama di Mekah, aku melakukan ibadat umrah dengan jayanya. Aku masih memikirkan kata-kata Ustaz lalu aku tangguhkan doa ikhtiar tutup hijab. Pada hari berikutnya, aku bersiar-siar pula di sekitar Masjidil Haram. Semasa aku dan keluarga lalu di binaan lama masjid, Subhanallah, ramainya jin bersayap sedang bergantungan di bahagian atas ibarat kelawar yang berhimpit tergantung di siling beranda rumah Upin Ipin.
Aku segera tunduk, bimbang disedari oleh mereka. Makhluk halus cukup-cukup suka kalau ada manusia yang sedar akan kehadiran mereka. Malangnya, salah satu dari mereka terbang turun dari atas menuju ke belakang aku, bertenggek di atas bahu dan hilang dari pandangan. Dia dah perasan aku tengok.
Aku mula rasa tak selesa, belikatku rasa lenguh sangat-sangat. Aku segera minta untuk balik ke bilik terlebih dahulu. Rasa sejuk yang aneh mula menyerang sama seperti kejadian di surau SMKA dulu. Aku rasa penat dan mengantuk yang teramat sangat. Lalu aku pun baring.
Sebelum menutup mata, aku sempat pasang surah Al-Baqarah alunan Sheikh Misyari di dalam telefon. Telefon aku genggam dan peluk ke dakapanku, berharap boleh membantu aku tenang. Tak tunggu lama, aku pun tertidur. Di alam sebalik mata…
Jin bersayap: Assalamu’alaikum manusia
Aku: Wa’alaikumussalam. Kenapa kau ikut aku?
(Rupa yang diperlihatkan kepadaku adalah semacam orang lelaki tua lanjut usia yang berkulit putih macam orang Arab. Rambut dan janggutnya warna putih, panjang sampai lutut. Dia ada 2 sayap besar berwarna putih di bahagian belakang, tegap dan tinggi orangnya).
Jin bersayap: Aku ingin berkenalan. Aku tahu kamu lain dari manusia yang aku pernah lihat. Kamu ada sesuatu yang menarik aku dan makhluk macam aku.
Aku: Tak mahu.
Jin bersayap: Sombongnya kau manusia.
Aku: Maafkan aku kalau telah berkata kasar tadi. Hmm, tapi aku memang tak boleh berkawan dengan kamu. Aku dah ada ramai kawan kat Malaysia, dan akan pulang tak lama lagi. Pergilah balik semula ke tempat kamu. Kau iktikaf kat Masjidil Haram dapat pahala berganda. Kau ikut aku bukannya dapat apa. Malah dapat dosa free sebab kacau aku.
Jin bersayap: Baiklah, jika kau mendesak. Kaulah yang hantar aku balik ke sana semula. Aku kan tumpang kau…
Aku: Aku tak suruh pun kau ikut.
Jin bersayap: Macam ni, esok kau hantar aku. Malam ni aku mahu bermalam di sini.
Aku: Ok insyaallah. Aku nak sambung tidur. Jangan kacau aku.
Jin bersayap: Sebentar, aku mahu perkenalkan diri aku. Kau kena tahu siapa aku. Aku M, umur aku 500 tahun. Kalau kau nak tahu, setakat si Mishari kau ni baca Al-Baqarah..tak ada apa sangat lah. Aku lagi hebat baca, aku kan hidup lagi lama. Aku dah tengok kehidupan zaman dulu.
Aku: Aik, kau pulak yang takbur ya. Baik, kalau betul kau ni kuat, cuba dengar elok-elok aku baca.
Aku baca surat Al-Baqarah ayat 1-5, hembus kepada dia. Bagai ditolak oleh satu daya yang kuat, tercampak dia sampai ke penjuru bilik. Dia diam di situ, mukanya menyeringai kesakitan. Kesian pulak kurasa hmm.
Hilang dah mengantuk aku, aku lantas berwudhu, solat sunat dan mengulang hafazan. Rugi rasanya tak mengambil peluang keemasan di Tanah Haram ini. Sesaat amat berharga. Semasa keluarga aku balik ke bilik, dia dah hilang. “. Keluar merayau ke dia ni? Harap-harap lah dia tak kacau penghuni lain”.
Esok pagi semasa nak ke masjid, tiba-tiba dia datang bertenggek atas bahu aku. “Ada lagi kau?”, aku mengeluh. Dia hanya diam. Tak selesa sungguh aku solat Subuh pagi tu sebab belakang rasa lenguh. Aku rasa nak demam. Selesai solat, aku menapak kembali ke ruang binaan lama. Aku berdiri dan memberi arahan, “Dah sampai pun tempat kau. Pergilah, Assalamu’alaikum”.
Dia terus terbang ke atas siling. Aku rasa sangat ringan, hilang beban di bahu. Aku segera keluar dari situ, bimbang ada yang lain pula mengikut. Semasa berjalan keluar, aku lihat ramai manusia sedang beribadah. Tiada ruang kosong, kerana turut diisi oleh makhluk-makhluk Allah yang lain..
Pada hari ke-2 terakhir aku di Mekah, aku solat sunat di perkarangan Kaabah dan aku berdoa. Sebak sangat masa tu, rasa macam nak lepaskan sesuatu yang kita sayang..seolah-olah yang sudah sebati dengan diri kita..
“Ya Allah, hamba yang hina mohon kepadaMu, Dikau cabutlah keupayaan hamba melihat makhluk halus..hamba merayu padaMu..hamba redha menerima kesannya bila keupayaan ini ditarik..”, beribu-ribu kali aku ulang dan ulang dari Zohor sampailah ke Asar.
Alhamdulillah, doa aku dimakbulkan oleh Allah. Sejak hari itu, aku nampak bahawa dunia ini sebenarnya cerah. Sebelum ini, apa yang aku lihat adalah warna dunia yang kelam dan gelap. Telinga aku yang sebelum ini selalu berdesing kini ‘clear’. Aku sudah tak mampu melihat apa yang tak sepatutnya.
Seronok sungguh perasaan jadi orang ‘normal’. Aku dah boleh ke mana-mana tempat tanpa ada yang ‘mengikut’. Boleh ke pantai, ‘hiking’ dan ke rumah hantu tanpa tengok ada ‘hantu tambahan’. Alhamdulillah.
Tapi kusangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan turun di tengah hari.
Housemate Puaka
Setelah sembuh, aku bekerja di sebuah universiti dan menyewa di sebuah bilik rumah teres 2 tingkat yang berdekatan dengan kampus. Ini pengalaman menyewa pertamaku, sudah tentu aku sangat gembira.
‘Housemates’ aku terdiri daripada kak Z yang menyewa bilik utama dan 2 orang wanita bujang (A & B) yang berkongsi bilik dan kelihatan sangat rapat. Aku pula hanya menghuni bilik ‘single’ dan berulang alik mengajar dengan kereta yang dihadiahi ayah.
Semasa pertama kali aku berjumpa dengan semua rakan serumah, semuanya ok melainkan A sahaja yang memandang aku dengan pandangan yang sukar kutafsirkan. Setiap hari kurasa indah, sentiasa dipenuhi perkara-perkara baru. Aku suka memasak. Lepas Qiamullail, aku akan mengaji. Lepas tu aku akan memasak bekal untuk dibawa ke kampus.
Aku turut bungkus bekal kerja untuk ‘housemates’ sorang satu. Mereka akan menjerit keseronokan bila nak keluar rumah, lihat ada bekal di atas meja. Aku pernah ‘famous’ di media sosial pada masa itu kerana aku suka share gambar dan resepi masakan aku. Setiap kali post, mesti dapat ratus ribu ‘share’ dan ‘like’.
Semakin lama tinggal bersama, aku semakin mengenali warna sebenar mereka yang cuba disembunyikan selama ini. Jenis aku, aku seorang yang sangat susah untuk bersangka buruk kepada orang. Orang maki aku, aku sengih macam kerang busuk. Aku tak pandai balas.
Tapi kata orang, adakalanya kita perlu ada juga ‘sifat curiga’ terutamanya kepada orang yang baru dikenali. Kena berani kata ‘TIDAK’ jika sesuatu telah melanggar prinsip hidup kita. Sikap tidak berhati-hati aku ini membawa bahana akhirnya.
Ada satu ketika, A ketuk bilik aku. Dia minta untuk masuk. Tanpa ragu, aku benarkan dan dia terus duduk di atas birai katil. Masa tu aku baru saja balik kerja, tudung dan uniform pejabat pun masih belum sempat ditukar. Aku ingat dia ada masalah dan perlukan tempat untuk meluahkan, sebab itu aku bagi dia masuk.
Sedikit pengenalan, A ni tinggi dan cantik orangnya. Bermata galak dan berkulit cerah tapi gerak-gerinya agak ‘gentleman’. Rambut dia dipotong pendek dan selalu pakai seluar celoreng bila di dalam rumah. Disebabkan rasa berlengas, aku beritahu nak pergi mandi. Aku bawa sekali sepersalinan pakaian. Tak selesa rasanya bersalin pakaian di depan A. Setelah aku kembali, dia dah tak ada.
Mulai hari itu, ke mana saja aku pergi dia ikut. Aku ke ruang tamu, dia datang tengok TV. Aku memasak, dia akan menawarkan bantuan. Dia selalu minta nak masuk ke bilik aku, kadang tu sampai tertidur. Aku solat, dia jadi makmum. Aku mengaji, dia dengar. Aku bagi tazkirah, di tenung muka aku sambil tongkat dagu. Dia kata suka sangat tengok aku bercakap sebab gigi aku cantik. Apoo?
Aku punya baik dengan dia sampai tidur pun sebelah-sebelah. Aku duduk berlunjur sambil baca Al-Qur’an, dia letak kepala atas riba aku. Boleh dikatakan tiap-tiap malam dia lepak dalam bilik aku. Aku anggap dia dah macam adik aku sendiri.
Hari-hari selanjutnya berjalan seperti biasa cuma aku perasan B kelihatan agak dingin sejak akhir-akhir ini. Mukanya masam mencuka bila aku senyum. Bekal yang aku siapkan dibiar tidak disentuh. Aku tak tahu kenapa, mungkin ada masalah peribadi. Sehinggalah pada suatu hari, kak Z ajak aku keluar jalan kaki ke kedai runcit. Semasa berjalan, kak Z menegur aku;
“AS, akak nak tegur kamu sikit. Kamu jangan rapat sangat dengan A tu. Akak tengok lain macam je dia tengok kamu. Seram, macam kucing nengok ikan dah gayanye. Kamu tahu, ada sorang kawan akak tu satu pejabat dengan dorang. Dia bagitau yang depa 2 tu ‘kekasih’. Ala, yang ehem ehem tu la. Akak tengok B tu selalu ke bilik kamu. Akak tahu kamu gadis yang baik. Cumanya AS, manusia kan rambut je sama kaler, dalam hati sape je yang tahu. Hati-hatila ek. Risau ada yang tak suka…”
Aku tersentak sungguh. Aku tak pernah sangka yang aku terlibat dalam hal semacam ni. Aku adalah wanita ‘Straight’ yang dambakan kasih sayang seorang lelaki tulen, bukan lelaki jadian hehe. Macamana aku manjakan adik perempuan aku, macam tu lah aku layan dia.
Mulai dari hari itu, aku mula bagi macam-macam alasan bila dia nak masuk ke bilik aku. Dia tegur masa aku balik kerja, aku jawab sepatah dan terus masuk ke bilik. Aku rasa kesian sangat tengok muka hampa A. Apakan daya, aku perlu jarakkan diri. Kalau dia tak boleh buat, biar aku yang berkeras. Dan aku juga berkira-kira untuk pindah dari situ.
Alhamdulillah, setelah puas ‘survey’ secara online akhirnya dapat juga aku cari rumah sewa. Rumah ini terletak di sebuah kampung yang berdekatan dengan universiti. Tak mahu peningkan kepala, kali ini aku akan menyewa seorang diri. Semasa aku berkemas-kemas untuk berpindah, B yang sudah lama tak tegur aku tiba-tiba datang menghulur maaf. Dia tersenyum manis dan menghulurkan tangan untuk bersalam denganku.
Lalu aku sambut tanpa sebarang curiga. Kami saling bermaafan. Kemudiannya dia berbasi-basa, tanya aku pindah kat mana, tinggal dengan siapa. Macam bendul, aku jawab apa yang ditanya. Sebelum keluar dari bilik aku, B mempelawa;
”Kosong-kosong tau AS? Oh ya, saya ada beli mi sup. Saya dah letak kat bawah saji. Nanti AS lapar, makanlah. Sebagai tanda terima kasih sebab awak selalu masakkan kitorang. Kitorang semua nak keluar ke bandar sekejap.”
2 jam kemudian, akhirnya barang-barang aku siap di‘packing’. Aku turun ke dapur sebab perut aku sudah menyanyikan lagu Keroncong untuk Ana dan Ghazal untuk Rabiah. Aku teringat yang B ada belikan aku mi sup. Aku pun buka saji, ada seplastik sup. Mee sudah diletak di dalam mangkuk siap dengan sudu garfu. Wahh, rezeki jangan ditolak kan. Aku buka plastik dan curah sup ke dalam mangkuk.
Tiba-tiba..
“JANGAN!”
Ada suara yang sudah lama tak muncul dalam hidupku, kedengaran di telinga. Suara Pemuda Soleh. Atau mungkin mainan perasaan, aku buat tak endah.
Aku baca doa makan dan capai sudu untuk menghirup sup.
Suara tadi kedengaran kembali;
“AS!”
“JANGAN MAKAN!”
Aku mula tak sedap hati. Aku letak sudu. Masa tu aku terfikir 2 benda je;
1) Kalau aku ikut suara ni, tak ke Syirik nanti? Dia ni siapa sebenarnya. Entah-entah syaiton menyamar
2) Kalau aku tak makan, apa kata B nanti?
Tiba-tiba aku dengar suara orang borak-borak di depan pintu. Alamak, mereka dah balik. Tanpa berfikir panjang, aku segera hirup mi sup yang dah sejuk tadi dengan terburu-buru. A, B dan kak Z pun masuk ke dapur. Masa tu mangkuk dah pun licin. Aku siap bagi isyarat ‘thumb up’ kepada B untuk menghargai sedekah dia.
Aku lihat B tersenyum puas. Gembira mungkin, kerana aku makan sampai licin. A dan kak Z hanya mengerutkan dahi, “Untuk kitorang tak ada ke?”.
Esoknya 2 orang sepupu lelaki aku yang tinggal di bandar berdekatan datang untuk membantu proses pemindahan barang-barangku ke rumah sewa baru. Sedikit gambaran, rumah baru aku nanti adalah sebuah rumah teres 1 tingkat yang berpagar. Belakang rumah pula adalah dusun durian.
Sebaris denganku adalah rumah yang sama bentuk dan dihuni oleh pelbagai kaum dan bangsa, ada juga dari negara jiran. Aku tahu pun sebab sepupu-sepupu aku yang pergi periksa siapa yang aku akan berjiran kali ini. Silap aku main sewa saja tanpa usul periksa.
Sepupu(Ammar): AS, mana U dapat rumah ni? Bukan Muslim area, surau pun tak ada. U tak check dulu ke?? I tak sedap hati. I think better U stay with us. Bonda pun suruh ajak..
Sepupu(Emir): Abang risau la. Ok ke tak AS dok sini? Nanti orang Lombok rumah hujung mengorat, macamana? AS bagitau je abang k? Abang datang siku. Tak pun, abang masuk meminang. AS boleh dok ngan abang..
Tiba-tiba A ketuk kepala B sambil bagi ‘side eye’. Aku gelak je, mereka berdua adalah adik-beradik sepupu dari belah ayahku.
Aku: Abang-abang handsome berdua jangan risau. Adik manis kat sini ada ‘black belt’ taekwando. AS akan siku sendiri orang yang berani kacau. Insyaallah… AS boleh jaga diri. Kirim salam buat Bonda dan Ayahanda (ibubapa Ammar/ Emir). Terima kasih tau AS tolong hari ni.
Hari pertama aku berlangsung dengan tenang. Setelah aku baca pendinding rumah dan pendinding bilik, aku tidur dengan lena tanpa mengetahui ada sesuatu yang lebih teruk dari sebelum ini sedang menungguku. Wallahi, lebih teruk.
Penanggal
Sudah 2 minggu aku menyewa di rumah baru. Aku hias rumah bujang seadanya, cukup untuk nampak indah di pandangan mata aku. Semasa aku tanam pokok bunga di luar rumah, ada jiran sebelah tegur aku. Kami pun berkenalan. Namanya Sulastri, orang Sulawesi. Dia tengah sarat mengandung anak pertama dan tengah menghitung hari untuk melahirkan.
Pendek cerita, Sulastri akhirnya bersalin di hospital dan dibawa pulang ke rumah.
Pada hari ke-2 dia pulang ke rumah, berlaku kejadian aneh kepada aku.
Semasa aku mahu menutup tingkap belakang kerana Maghrib bakal menjelma, aku terdengar bunyi gamelan sayup-sayup dari arah kebun getah di belakang rumah. Asyik sungguh, berselang-seli dengan lagu klasik. Aku punya asyik, aku berdiri mengelamun di sebelah tingkap sampai azan Maghrib berkumandang baru aku tersedar dan cepat-cepat tutup tingkap.
Malam tu kurasa bilikku bahang, jadi aku ambil keputusan untuk tidur di ruang tamu. Tengah syok tidur, aku rasa terganggu sebab rasa ada cecair sejuk menitik-nitik di atas muka. Dengan mata terpejam, aku cuba sapu muka aku dengan tangan. Likat melekit.
Aku cuba hidu, bau hamis. Macam bau darah. Aku pun buka mata dan pandang atas, hanya ada siling yang kosong. Tangan dan muka aku pun kering tiada lagi terasa berlengas cairan tadi. Aku sambung tidur dan di alam sebalik mata terjadilah segalanya.
Aku sedang berada di depan pintu sebuah rumah kayu bertangga tinggi. Aku melilau melihat sekeliling, gelap semuanya hanya disinari rembulan purnama penuh di langit. Rumah melayu klasik yang disimbah cahaya bulan itu terasa menyeramkan. Aku pun ketuk pintu untuk mengetahui rumah siapakah gerangannya ini.
Aku: Assalamu’alaikum! Assalamu’alaikum!
Pintu dibuka. Kelihatan seorang Wanita berumur sekitar 50an sedang tersenyum mesra kepadaku. Walau mesra, matanya tajam terlihat penuh muslihat. Dia memakai kebaya pendek berwarna merah dan berkain batik. Gincunya merah menyala, rambutnya hitam pekat dan disanggul kemas. Kelihatan sehelai selendang kuning terlilit di leher.
Tanpa menjawab salam aku sebentar tadi, dia berkata: “Jangan takut. Anda sedang berada di rumah kita. Kita yang jemput anda ke sini. Jemputlah masuk. Malam ini puak kita ada acara istimewa. Anak cucu kita semua sudah menunggu. Mari?
Aku pun masuk. Wanita tadi mendahului aku, aku hanya membuntuti dia. Yang aku paling terkejut, kerana lagu klasik+gamelan yang aku dengar sewaktu remang senja kini berkumandang di segenap rumah. Hanya lampu oren suram yang menerangi ruang tamu. Sejuknya, aku mengusap lengan.
Di tepi dinding, ramai wanita muda cantik berbaju kurung sedang duduk-duduk santai di atas lantai kayu bersandar di dinding rumah hampir 20 orang jumlahnya. Ada yang bertudung, ada yang hanya melilit selendang di leher, dan ada yang meriba anak.
Yang duduk paling hujung berdekatan dapur adalah seorang nenek tua berambut putih yang memakai baju kurung kedah dengan kain batik. Hanya dia yang duduk di atas bangku. Semasa aku lalu, mereka semua berhenti berbual dan memandang aku dengan pandangan yang tajam.
“Biarkan saja mereka. Anda tetamu kita malam ini. Dari petang tadi kita memberi isyarat keberadaan kita. Anda manusia pertama yang dijemput datang ke sini. Yang tua tadi pengasuh anak cucu kita. Mari? Kita mahu tunjuk sesuatu..”
Aku dibawa masuk ke dalam satu bilik di sebelah ruang tamu. Di tengah-tengah bilik itu ada sebutir tempayan coklat bersaiz besar. Tingginya paras dada. Wanita tadi bawa aku menghampirinya.
“Inilah ramuan rahsia puak kita. Kita cantik dan berkuasa kerana ini”
Bila dia buka penutup tempayan, tersebarlah bau yang sangat meloyakan. Bau hanyir dan hamis berselang-seli bau bunga kemboja. Serentak itu, semua orang yang ada di dalam rumah itu menjerit, bingit sangat sampai aku spontan menutup telinga. Aku lihat Wanita tadi, terus longlai lutut aku. Kerana kepalanya perlahan-lahan bercerai dari badan. Terkoyak kulit lehernya.
Rambut yang disanggul tadi kini mengerbang, hilang sudah jelita. Matanya terbelalak, dan urat perut yang bersambung dengan kepala, melayang-layang di udara sambil menitiskan darah segar. Aku jatuh terjelepuk. Kepala aku mula pusing.
“Mahukah kamu jadi sebahagian dari kita?”, Wanita tadi menawarkan sesuatu kepadaku. Kepala aku bagai ditarik-tarik. Leherku pedih, panas, gatal. Aku rasa mahu menyerah diri, menadah kepala untuk dipisah dari badan.
“JANGAN!”
Aku dan Wanita itu serentak melihat ke arah pintu. Sedang berdiri di muka pintu, seorang lelaki. Ya, dialah Pemuda soleh. Pertama kali kulihat dia sejelas ini. Muka Wanita terus menyeringai.
Pemuda: Berani kamu bawa sukmanya ke sini? Lari AS!
Wanita: Biarkan. Kini dia milikku!
Bagai mendapat kekuatan baru, aku bangun berlari laju keluar dari bilik. Di luar bilik, kepala-kepala perempuan-perempuan muda tadi juga bercerai dari badan semuanya terapung-apung di udara.
Suasana sungguh hiruk-pikuk dengan jeritan. Bayi-bayi mereka pula sedang dijaga oleh nenek tua. Kepala nenek tua tak terpisah sebagaimana mereka yang lain. Macamana aku nak lari? Semua kepala sedang berkumpul di depan pintu…
Tiba-tiba pemuda soleh menjerit dari dalam bilik tadi;
“Bangun AS! Sedarlah, kembali segera ke duniamu!
Dan aku terjaga dari tidur. Leherku sakit sangat. Bahu terasa lenguh. Di luar rumah, azan Subuh sedang berkumandang. Hari tu seharian aku demam. ‘Mimpi’ malam tadi buatku rasa lemah..
Pocong Kapur Barus
Malam lain pula, aku terjaga sebab terbau kapur barus yang tersangat kuat di hidung. Aku terjaga, tapi malas nak buka mata. Hidung aku kembang kempis cuba pastikan betul atau tidak itu bau kapur barus sambil tangan ku gagau mencari bantal peluk. “Jumpa pun!”, aku terus peluk bantal. “Tapi kenapa bantal ni besar dan sejuk?”.
Masa tu lah baru aku buka mata. Bukan bantal yang aku peluk tapi seekor pocong berbungkus keseluruhan badan termasuk muka. Di kepalanya ada lebihan kain kafan yang dibunjut. Aku segera lempar ‘bantal peluk’ tadi dan memejamkan mata. Mulut aku bagai digam, hanya hati aku yang terkial-kial mencari ayat apa yang aku nak baca.
Lama sangat dah tak kena gangguan depan-depan macam ni, sampai lupa dah nak halau macamana. Suasana sunyi sangat masa tu, tiba-tiba aku dengar suara garau berdehem di sebelah. Berselang seli dengan bunyi orang bernafas kuat. Aku doa, “Ya Allah, tolonglah pengsankan aku sekarang..”.
Macam biasa, aku tak pernah pengsan dan kena hadap juga benda ni. Tiba-tiba bunyi katil berkeriuk, macam ada orang sedang bergerak-gerak di atas katil. Yang pastinya, bukan aku. Aku tak sedar bila aku terlelap dan hanya terjaga bila azan Subuh berkumandang. Tak bangun Qiamullail aku pagi tu.
Bila aku lihat di sebelah, aku nampak ada kesan lekukan kemas di atas katil seolah-olah pocong semalam benar-benar nyata. Aku tidak bermimpi. “Apakah? Bukankah aku tak sepatutnya dah tak nampak makhluk? Adoi, takkanlah dah terbuka balik? Tapi takpe, aku musti boleh lawan punya. Aku boleh insyaallah”. Aku cuba menguatkan diri.
Hari-hari selanjutnya aku hadap lagi. Kadang ia berdiri di sudut ruang tamu, kadang ia tergantung di siling macam kepompong. Yang peliknya, aku biarkan saja tanpa berbuat apa-apa untuk menghalaunya seolah-olah sudah biasa dengan keberadaannya.
Pontianak Harum Manis
Kenapa aku bagi namanya macam tu? Sebab yang satu ni wangi macam pakai ‘perfume’, ada bau manis gitu hehe. Ceritanya, ada suatu pagi, ketika itu aku baru selesai solat malam. Jam di dinding menunjukkan ke angka 4 pagi.
Tiba-tiba aku terdengar suara perempuan menangis teresak-esak dari arah depan rumah, tangisannya mendayu-dayu seolah-olah sedang meratapi sesuatu. Dalam fikiran aku, mesti ada orang kena ragut. Sebab seminggu ini sedang heboh kes orang yang berjalan ke pondok bas diragut di kawasan rumah aku.
Tanpa berfikir panjang, aku buka tingkap depan dan mencari-cari punca suara. Dan aku jumpa. Tangisan itu datang dari seekor pontianak yang sedang berjuntai kaki siap hayun lagi, di birai bumbung rumah jiran berbangsa Cina di hadapan rumahku. Baju putih labuh, rambut hitam panjang macam buat rebonding. Ralit sangat aku tengok sampai ia terperasan, berpaling tengok aku dan berhenti menangis.
Dia terus terbang ke arah rumahku. Sudahhh.. Laju aku tutup tingkap dan buat pendinding supaya ia tak masuk ke dalam rumah. Masa tu aku tepuk dahi, sebab baru aku teringat bas paling awal pun akan sampai hanya pada jam 6.15 pagi. Mana ada orang akan ke pondok bas seawal 4 pagi?
Benar, pontianak yang satu ni memang tak masuk ke rumahku, tapi dia tetap berlegar-legar di luar rumah. Kadang tu masa aku masak, dia tiba-tiba muncul di luar tingkap dapur. Sampai aku selalu terpotong jari kerana terkejut. Selalu juga bila aku nak gerak ke tempat kerja, tengok-tengok dia dah ada di tempat duduk penumpang. Maka aku dengan rela hati naik Grab.
Ada juga satu hari terlepas, dah memandu baru dengar dia gelak kat belakang, “Hikhikhikhik…”. Allahuakbar, nak terlepas stereng aku sebab terkejut. Bila jadi macam tu, aku cuba ‘slow talk’ dengannya. “Awak nak tumpang sampai mana? Saya nak pergi kerja la. Sampai kat hujung kampung sana, awak turun ok?”. Alhamdulillah, menjadi.
Tapi yang aku hairan, walau sejauh mana aku ‘drop’ ia, ia tetap akan muncul di perkarangan rumahku beberapa hari kemudian. Seolah-olah ada sesuatu di rumahku yang menarik makhluk-makhluk seperti ini datang…
Putus segala hijab kau dan aku
Sampai nanti kita bertemu
Rampas semua
Badanku belahlah dua
Ambil semua ku ada
Ikutkan sahaja hati
Atau apa yang kau rasa
(Rampas; Akim & the Majistret)
Semoga berjumpa lagi, para pembaca semua. InsyaaAllah.
– AS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit