Perjalanan Haji Pengislahan Diri

Aku Kunafa, berusia 30an. Sudah berkahwin dah mempunyai beberapa orang anak. Sekadar berkongsi pengalaman haji yang dilalui tahun ini.

Aku yakin, kalian sudah membaca perkongsian dari ramai orang. Ada yang teruja, ada yang menyela. Pelbagai kisah dan setiap orang pasti berbeza pengalaman, kalau ada 1000 orang maka pasti 1000 kisah yang berbeza.

Rezeki aku mendaftar haji semasa sekolah menengah. Aku memang selalu berdoa untuk pergi haji di usia muda. Rezeki aku juga Mama dan Papa buat tabungan untuk semua anak-anak. SEMUA.

Tapi tak semua yang mendaftar kerana tidak bersedia. Adik-adik mendaftar pada usia remaja juga tapi lebih lewat. Jadi, aku dapat panggilan tunggal.

Suami terlebih dahulu dapat rezeki mengerjakan haji semasa bujang waktu belajar dan tahun lepas suami menjadi petugas pakej swasta. Aku buat rayuan tapi tak lulus juga.

Tahun ni, aku dapat tawaran. Sepatutnya giliran peruntukan aku tahun 2021. Tapi, takdir Allah susun aku dapat panggilan tahun ni.

Prinsip aku sejak dulu, perempuan nak musafir mestilah dengan mahram.

Ujian besar untuk aku panggilan haji tanpa mahram, puas menangis dan merayu depan pegawai TH mencari solusi untuk suami aku boleh jadi mahram. Jawapannya TIDAK.

Sudahnya, pegawai TH pujuk aku untuk teruskan sebab saringan kesihatan dah lulus.

Pertama, tahun depan aku belum tentu dapat tawaran.

Kedua, ujian kesihatan belum tentu lulus kemudian hari. – saringan kesihatan agak strict. Jagalah kesihatan sebaiknya supaya kalian dipermudahkan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.

Ketiga, aku hanya perlu membayar RM10,980 sahaja. Subsidi TH dan bantuan kerajaan untuk B40.

Tiga alasan ni dah cukup kuat untuk aku teruskan perjalanan haji.

Aku jual emas yang aku simpan. Nak buat belanja pergi haji. Suami aku tanya kenapa perlu jual emas, suami aku boleh beri duit belanja.

Tapi aku dah niat emas tu aku beli untuk pergi haji, aku jual je lah walaupun orang lain cakap sayang.

Bayaran RM10,980 dalam akaun TH pun ditolak. Aku buat persiapan ala kadar, ikut kemampuan aku. Sedih nak tinggalkan anak yang masih menyusu badan. Hari-hari menangis, suami tetap bagi semangat untuk aku pergi haji.

Semakin dekat hari nak berangkat, kawan-kawan ramai yang titip hadiah duit dan kelengkapan pakaian. Jubah, tudung, telekung, stokin, supplement.

Paling terkejut ada hamba Allah yang terus beri sejumlah duit hadiah. Katanya nak taja haji aku.

Bila aku hitung hadiah kawan-kawan dan keluarga, boleh bawa seorang untuk pergi haji tanpa subsidi. Aku rasa macam bawa badan je. Semua seolah ditaja. Maha Suci Allah.

Duit jual emas untuk duit tangan, aku ‘tabur’ pada pembersih sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Aku beritahu Mama dan Papa, semoga perjalanan haji aku ni terisi saham untuk mereka juga. Papa bagi duit belanja untuk aku, Papa dah tukarkan duit riyal siap-siap. Khuatir aku tak berduit.

Aku pula sebenarnya dah seram banyaknya duit aku dapat. Jadi, aku atur beli makanan dan sedekah pada pekerja di sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Sebungkus nasi 10 riyal, nilai lebih kuramg RM12. Aku beli 100-400 pax, aku bagi orang makan. Aku niatkan semua sumbangan hadiah kawan-kawan ni sebagai asbab Allah akan mudahkan mereka sampai ke tanah suci.

Aku buat wakaf kerusi sebab aku tengok kerusi sentiasa “sold out” masa solat. Moga Allah bagi pahala berlipat ganda pada semua.

Aku tak ada janji nak bawa balik ole-ole dari tanah suci, aku cuma mampu menabur duit memberi makan pada mereka yang memerlukan.

Pengalaman yang menginsafkan bila tengok jemaah dari negara lain yang berlari beratur untuk ambil makanan. Sedangkan aku, lebih dari cukup. Makanan 2x sehari disediakan nasi berlauk, sarapan sahaja perlu beli.

Aku sentiasa doa dapat kawan-kawan yang baik, ihsan, memahami. Alhamdulillah, Allah makbulkan rakan sebilik dari Madinah yang baik. Semua single, sama macam aku tanpa mahram. Ke hulu hilir kami sama-sama.

Semasa di Mina dan Arafah juga sangat menginsafkan. Orang kata muda-muda pergi haji, kurang sabar. Tapi aku jumpa sangat ramai orang muda yang penyabar, sangat ihsan pada orang lain.

Dengan cuaca 49°c, mujahadah juga. Ramai yang berusia jatuh sakit. Orang muda juga ramai yang sakit.

Aku ikut nasihat kawan-kawan yang pernah buat haji, sentiasa sediakan buah kurma sebagai penambah tenaga segera dan air zamzam.

Selepas melontar Jamrah, banyak kali aku lihat jemaah warga Indonesia yang berusia jatuh. Ada yang menggeletar, mungkin lapar atau low sugar.

Berkali-kali juga bantu angkat jemaah wanita yang jatuh untuk letak di tepi supaya tidak dipijak. Aku beri buah kurma, dan air untuk tenangkan mereka.

Banyak kali menangis melihat keadaan warga emas yang bersungguh menyempurnakan rukun Islam mereka. Sungguh, aku sangat bersyukur Allah rezekikan haji pada masa kesihatan masih baik, kudrat masih banyak.

Aku lihat, jemaah Malaysia ramai memakai kasut sedangkan jemaah Indonesia dan negara lainnya cuma berselipar jepun berjalan jauh. Kadang tersadung, atau melecet kaki, mereka berkali ayam pula.

Tabung Haji sangat menjaga kebajikan jemaah, petugas kesihatan juga tak jemu menabur bakti sebaiknya.

Kadang, kita rasa belum sampai seruan tapi hakikatnya Rasulullah dah lama menyeru kita. Bahkan Nabi Ibrahim berdoa semoga lembah Bakkah sentiasa subur dan diziarahi.

Kawan-kawan, jadikanlah HAJI sebagai life goal kita sebagai muslim. Tak perlu tunggu sempurna, kerana perjalanan kita menuju kematian tak pernah akan sempurna. Kita sama-sama sentiasa berjuang untuk menjadi hamba Allah.

“Pergilah haji di usia muda.”

Dulu, aku selalu dengar orang tua pesan begini. Bila aku diberi peluang menunaikan haji, aku sungguh yakin… haji memerlukan pengorbanan setiap segenap kewangan, kesihatan, emosi, fizikal dan terpaling utama adalah ilmu.

Belajarlah, walaupun lama lagi giliran haji.

Boleh jadi kesungguhan nak melaksanakan haji, Allah aturkan rezeki semudah-mudah jalan.

Banyak sangat ibrah yang aku kutip dari orang yang aku jumpa di tanah suci. Banyak pengalaman mereka jadikan aku muhasabah diri.

Aku doakan semua sahabat yang beri hadiah wang dan barang keperluan, semoga Allah mudahkan semuanya untuk menjadi dhuyufur ar Rahman.

Semoga semua pembaca juga direzekikan untuk melaksanakan haji di usia muda, dalam keadaan sihat.

Doakan aku juga!

– Kunafa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *