Perjalanan Hidup Mamaku

Ini cerita tentang mamaku. Mamaku dulu seorang suri rumah yang sangat “enjoy” dengan kehidupan rumah tangganya. Sebelum abahku meninggal, segala perbelanjaan dan pendidikan ditanggung oleh abahku.

Abah seorang penjawat awam yang bekerja sektor pertanian. Abahku seorang yang sangat tegas dalam pendidikan kami adik beradik.

Abah dan mamaku sangat berkorban untuk pendidikan dan masa depan kami. Kehidupan cukup seadanya dan bahagia. Abahku mengidap penyakit kronik semasa aku berumur 12 tahun.

Maka bermulalah kehidupan kami berpindah dari negeri di pantai timur ke pantai barat supaya lebih berdekatan dengan keluarga abahku. Abah dapat bekerja di tanah rancangan F**** berdekatan rumah nenekku pula.

Abah bertahan dengan penyakitnya sehingga umur aku 22 tahun. Cukup aku katakan abah seorang yang sangat berjuang dalam hidupnya demi kami sekeluarga. Alhamdulillah sempat menghantar kami 3 beradik ke universiti.

Abah meninggal semasa berumur 52 tahun, manakala mamaku berumur 44 tahun ketika abahku meninggal dunia.

Aku lihat mamaku sangat gelisah ketika abahku tiada. Maklumlah semua diuruskan oleh abahku. Mujurlah semasa abah sakit, mama nekad mengambil lesen memandu semasa berumur 43 tahun.

Dia menyimpan duit hasil pemberian nafkah abahku setiap bulan untuk memasuki sekolah memandu, berat sebenarnya abahku ingat lepaskan ibuku memandu kerana bimbang akan ibuku.

Alhamdulillah, nekad ibuku ada hikmahnya, mamaku jua yang membawa abah ke hospital ketika abahku semakin sakit.

Setelah abahku meninggal, segala urusan insuran, urusan pencen diuruskan abangku yang baru mula bekerja. Tiada istilah, kubur masih merah untuk kami tidak uruskan pembahagian harta dan tanah.

Atukku seorang pesara ustaz sangat memahami mengenai pembahagian harta. Segala tanah untuk anak-anaknya telah dia bahagikan sebelum abah meninggal lagi.

Sehingga kini, atukku masih hidup dan sentiasa membahagikan terus hartanya kepada anak-anaknya termasuk kepada abangku sebagai wakil untuk keluargaku.

Maka tanah yang diberikan kepada abahku telah dipindah milik kepada kami adik beradik setelah mengangkat sumpah di mahkamah. Atuk dan nenek tidak menangguh hal hutang atau fidyah abah.

Duit simpanan abah segera kami tunaikan untuk bayar fidyah (bayaran ganti puasa kerana uzur), hutang dan upah haji dalam masa seminggu selepas kematian abah.

Alhamdulillah, atuk, nenek dan keluarga abah tidak mengambil kesempatan atas kami. Malah memudahkan lagi urusan. Syukur..

Kami pun berpindah kembali ke negeri kelahiran ibuku, kerana rumah yang kami duduki ialah rumah quarters kerajaan.

Alhamdulillah, perancangan Allah sangat baik. Abah telah membeli sebuah rumah teres 2 tingkat semasa bekerja di sana. Hampir sahaja, abah ingin menjualnya kerana ingin membuat rumah di kampung halamannya.

Kontranya, rumah inilah tempat berteduh mamaku sekarang. Nasihat mamaku, jika kita perempuan ada tanah yang sedikit atau rumah di kampung sendiri jangan ditolak atau dijual kerana kita tidak tahu apa berlaku pada perkahwinan kita, dicerai atau bercerai mati.

Kembalilah ke kampung halaman, supaya lebih dekat dengan ibu bapa atau adik beradik yang dapat memberi kekuatan kepada kita.

Mamaku redha dengan pemergian abah. Masih aku ingat mamaku menangis di dalam bilik teringatkan abah.

Mamaku yang dulu nak ambil duit dari mesin ATM pun tidak reti dan membayar bil pun tidak tahu, tidak malu belajar daripada kami adik beradik. Mujurlah kami sudah dewasa.

Sampai sahaja di kampung ibuku, duit pencen abahku dibelanja sebaik mungkin untuk renovasi rumah supaya lebih luas.

Mama juga telah belikan gelang emas untuknya dan anak perempuannya, dia teringatkan abahku berniat untuk memberi gelang emas kepada mama tetapi tidak mampu, kerana keutamaanya untuk pendidikan anak sahaja.

Mama juga menggunakan duit arwah abah untuk mendirikan kedai bunga milik mama. Mama beritahu kepada kami, mama nak buat sesuatu dan taknak goyang kaki di rumah teringatkan abah.

Mama nak buka kedai bunga, ini yang mama suka dan minat. Alhamdulillah, ayah mama ada tanah di tepi jalan besar yang dapat berikan kepada mama untuk dirikan kedai bunga. Adik beradik mama sentiasa memberi sokongan.

Mamaku bukan seperti suri rumah yang dahulu. Seawal pagi sudah ke kedai bunganya, walaupun pada awalnya sukar mendapat pelanggan dan kini sudah ada pelanggan tetap.

Senang hati aku melihat mama, maklumlah mamaku tidak pernah bekerja sejak berumur 18 tahun setelah bernikah dengan arwah abahku, ini merupakan pencapaian yang besar untuk mamaku.

Mamaku yang dulu tidak reti memandu, sekarang sampai ke Kuala Lumpur dia jejak dengan memandu kereta. Mamaku hidup berdikari tanpa perlu lelaki di sisi.

Semua diuruskan sendirian di kampung maklumlah kami bekerja jauh dari negeri mama. Katanya, biarkan sahaja bertemu arwah abah di syurga. Namun, jodoh pertemuan juga di tangan Allah.. Biarkan saja Allah tentukan.. Kita lalui sahaja dengan redha…

Itu sahaja yang mampu ku ceritakan kepada semua. Mungkin ada yang rasakan mamaku hidupnya tidak sesusah ibu tunggal yang lain. Ambil sahaja pedoman dan langkah yang positif untuk meneruskan hidup ya.

Daripada,

– Anak mama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *