Perjalanan Hidup Sebagai Pelajar Separuh Masa

Assalamualaikum wbt. Segalanya bermula pada tahun 2007.

Pada masa itu saya ditawarkan pekerjaan sebagai kakitangan awam di selatan tanah air pada umur yang cukup muda iaitu awal 20an. Saya hanya berbekalkan SPM pada masa itu kerana tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA kerana keputusan yang “biasher2”. Senang cerita result teruk laa.

Beberapa tahun sebelum itu saya pernah belajar di politeknik pada peringkat sijil kejuruteraan selepas SPM. Itupun untuk 2nd intake dek kerana keputusan sederhana. Walaupun di peringkat sijil, setiap semester saya akan gagal sekurang-kurangnya dua kertas yang melibatkan matematik atau pengiraan.

Saya akui sangat tidak berminat dalam mata pelajaran kira-kira. Sehingga ke semester akhir saya masih gagal dalam kertas yang sama sebanyak dua kali dan telah mendapat status GAGAL BERHENTI (kena kick) oleh politeknik. Syukur kerana ditawarkan pekerjaan menggunakan SPM.

DIPLOMA (2008-2011)

Setahun selepas bekerja, saya bertanya kepada diri sendiri sampai bila mahu berada pada tahap yang sama. Adakah hanya menunggu keadaan yang akan merubah kita atau kita yang perlu segera merubah keadaan diri sendiri. Keadaan kerja pula agak stress terutamanya pada musim hujung minggu dan cuti am kerana saya bekerja dalam waktu shif dan tidak mengira masa. Saya tidak boleh membiarkan keadaan begini berterusan.

Pada satu hari saya membaca surat khabar semasa bekerja dan ternampak tawaran melanjutkan pengajian secara separuh masa di UiTM. Dengan tidak berlengah lagi saya memohon dan telah berjaya mendapat tawaran pada hujung 2007. Pengajian Diploma bermula pada awal 2008 dan saya berulang alik dari JB ke Melaka tiap-tiap bulan untuk ke kelas selama 4 tahun pengajian.

Alhamdulillah saya berjaya grad on time tanpa ada gagal dalam mana-mana subjek. Baru lah saya sedar yang potensi saya bukan dalam subjek kira-kira tetapi dalam bidang yang banyak penghafalan seperti jurusan pentadbiran dan undang-undang. Pengalaman yang saya tidak boleh lupa adalah kereta saya rosak di highway berhampiran Tangkak iaitu pada pagi peperiksaan akhir semester.

Dalam hati hanya mengatakan saya gagal dan perlu ambil semula subjek itu pada semester depan. Selepas menghantar kereta ke bengkel di Tangkak dengan bantuan PLUS Ronda, saya meminjam kereta mekanik dan memecut ke Melaka dan tiba 1 jam 30 minit selepas peperiksaan bermula.

Mujur pengawas dewan membenarkan saya masuk exam selepas puas merayu dan memberi sebab kelewatan. Maka pada tahun 2012, saya naik ke pentas konvokesyen di UiTM Shah Alam untuk menerima diploma dan pada tahun yang sama telah mendapat kenaikan pangkat menggunakan diploma tersebut.

DEGREE 2013-2017)

Semangat belajar masih membara di dalam diri. Oleh itu saya telah melanjutkan pengajian ke peringkat degree undang-undang di UM secara separuh masa. Namun disebabkan kos yang tinggi bagi saya yang bergaji rendah pada masa tu, saya terpaksa berhenti pada tahun pertama pengajian.

Tidak habis di situ, saya memohon di UiTM pula dan mulakan pengajian degree pengajian undang-undang secara separuh masa bermula 2013. Pada peringkat ini, 3 paper pernah failed sepanjang pengajian tapi berjaya GOT sebab saya dapat transfer 2 subjek dari diploma. Kekosongan jadual yang ada saya topup dengan subjek lain.

Masa buat degree saya berulang alik dari Perlis ke Shah Alam setiap 2 minggu. Pernah tidur tepi jalan, taman rekreasi dan surau sebab tiada duit nak sewa hotel. Duit ngam ngam untuk beli tiket bas dan makan. Ada sekali pernah disuruh keluar oleh AJK masjid yang tidak benarkan saya tidur di situ walaupun di koridor masjid. Hari jumaat lepas kerja, siap-siap untuk nak naik bas ke Shah Alam.

Sampai Puduraya dalam pukul 5 pagi, mandi di tandas awam, naik komuter ke Shah Alam masuk kelas. Malam ahad lepas habis kelas, ambil bas semula untuk pulang ke Perlis. Sampai Perlis waktu subuh, siap2 masuk kerja. Itu yang saya hadap selama 5 tahun. Heaven kan? Pada tanggal Oktober 2018, buat kali kedua saya naik ke pentas Dewan Tuanku Chanselor UiTM Shah Alam untuk menerima degree..

POST GRADUATE DIPLOMA (2018-2019)

Allhamdulillah dapat naik pangkat di penghujung pengajian degree dan di transfer ke KL dekat dengan anak bini yang berjauhan selama 4 tahun. Alang-alang dah ada di KL, rasa rugi kalau tak ambil peluang untuk belajar lagi sebab boleh dikatakan kebanyakan IPTA berada di sekeliling KL.

Setelah mencari-cari program yang sesuai sama ada nak sambung master atau tidak, saya memilih untuk menyambung diploma lepas ijazah dalam bidang syariah di USIM memandangkan lokasinya hanya 30KM dari rumah. Maka bermulalah pengembaraan saya setiap sabtu ke Nilai selama setahun pada 2018-2019 dengan motor… rempitttt…

Bestnya program ni sebab direka khas untuk mereka yang berminat menceburi dalam bidang kehakiman syariah sebagai pendakwa, peguam syarie dan hakim. Classmate kebanyakan lawyer-lawyer syarie belaka. Ada seketul dua ja yang background civil law macam saya dalam kelas yang seramai 50-60 orang tu.

November 2019, naik ke pentas dewan besar USIM untuk terima skrol Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP).

MASTER (2020-2021)

Fuhhhh.. Selepas 12 tahun menjalani hidup sebagai pelajar separuh masa, hujung minggu dah imune dan dah di “tune” untuk berada di dalam kelas, agak sukar untuk saya berhenti dari terus untuk belajar. Hidup saya rasa agak murung bila tidak ke kelas. Bukan sebab saya pelajar cemerlang, tapi sebab dah biasa.

Jadi saya dah apply untuk master undang-undang untuk intake Mac 2020 di UiTM dan mohon doakan saya dapat belajar sehingga ke peringkat PHD pula. Mohon Allah permudahkan perjalanan ini, diberi kelapangan rezeki, kesihatan, kebahagian dan dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

**Saya bukan pelajar cemerlang pada peringkat persekolahan, ibu bapa saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri Hari Anugerah Cemerlang untuk melihat anaknya menerima apa-apa anugerah.

Namun saya yakin yang setiap individu tidak dilahirkan untuk menjadi bodoh, cuma yang ada hanyalah malas. Sesiapa saja boleh berjaya jika ada impian. Jangan hidup dalam kehidupan orang lain, berani berimpian dan kejar impian anda. Doa dan yakin Allah akan makbulkan doa-doa kita.

Terima kasih UiTM kerana mengutip sampah seperti saya dan menggilapnya menjadi intan. Peluang kedua sentiasa ada untuk mereka yang mahu mengubah hidup. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

– MOHD ASRAF MAZLAN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *