Perkahwinan Itu Satu Perjudian

Minta maaf jika ceritaku agak tidak menarik tetapi tujuan aku menggunakan platform ini kerana aku memerlukan nasihat berhubung masalah rumahtanggaku.

Aku Sarah, bekerja dalam bidang professional. Aku dan suami telah berkahwin lebih kurang 4 tahun dan kami mempunyai seorang anak berusia 1 tahun.

Suamiku pada awal perkahwinan merupakan suami yang bertanggungjawab dan mempunyai pekerjaan yang stabil.

Namun, semuanya berubah setelah perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020 dimana suamiku adalah salah seorang yang dibuang kerja oleh majikan.

Suamiku pernah bekerja secara separuh masa di tempat lain namun tidak kekal lama.

Dan sejak awal tahun 2021 sehingga sekarang suamiku merupakan penganggur terhormat yang aktiviti sehariannya adalah bermain permainan secara dalam talian di telefon bimbit.

Dia akan tidur selepas subuh dan bangun tengah hari. Aku sudah letih menasihati dia untuk mencari pekerjaan dan tiada jawapan yang diberikan hanya diam membisu.

Untuk pengetahuan semua, aku mempunyai pekerjaan yang stabil dan selama suamiku tidak bekerja aku lah yang membayar semua komitmen kami termasuk komitmen rumah yang bayaran bulanan mencecah RM3,000.00 setiap bulan.

Masalah yang kami hadapi ini kami rahsiakan dari keluarga kami kerana tidak ingin mereka risau. Namun aku rasa ianya memakan diriku sendiri.

Suamiku seolah-olah lupa tanggungjawab dia sebagai seorang suami kerana mempunyai isteri yang mampu untuk membayar segala komitmen isi rumah.

Masalah tidak terhenti disitu, baru-baru ini aku telah terjumpa satu perbualan ‘whatsapp’ antara suamiku dan seorang wanita yang aku kira berdasarkan perbualan mereka bukanlah perempuan yang baik-baik.

Perempuan tersebut seperti seseorang yang bekerja melayan pelanggan di pusat karaoke atau di kelab malam.

Ini kerana dalam perbualan tersebut perempuan tersebut minta tolong suamiku untuk datang di tempat itu kerana ada lelaki mengganggu perempuan tersebut.

Dalam perbualan whatsapp tersebut juga suamiku membalas akan membantu perempuan tersebut.

Dan perbualan terakhir mereka adalah perempuan tersebut mengucapkan terima kasih dan minta suamiku untuk datang di tempat tersebut lagi lain kali untuk berjumpa perempuan tersebut.

Berdasarkan perbualan tersebut, aku simpulkan mereka pernah beberapa kali berjumpa di tempat perempuan tersebut bekerja. Sungguh aku kecewa dan tidak sangka apabila dapat tahu suamiku adalah lelaki sebegitu.

Selepas aku mengetahui perkara tersebut, aku cuba untuk buat seperti biasa kerana aku ingin kumpul bukti lagi.

Dan aku berfikir semalaman dan membuat keputusan untuk berpisah setelah aku dapat menjual rumah kami kerana pinjaman rumah tersebut merupakan ‘joint loan’ antara kami.

Aku merahsiakan perkara ini dari suamiku dan sehingga sekarang suamiku juga tidak tahu yang aku telah membaca perbualan whatsapp dia bersama perempuan tersebut. Aku cuba untuk buat reaksi seperti biasa dihadapan suamiku.

Selepas aku membuat keputusan tersebut aku fikir adakah perpisahan merupakan penyelesaian bagi setiap masalah rumahtangga?

Aku perlukan nasihat dari pembaca kisah ku. Apa yang perlu aku lakukan? Wajarkah aku ‘confront’ suamiku sekarang atau bagaimana?

Terima kasih kerana sudi membaca dan memberikan nasihat. Semoga Allah membalas jasa kalian.

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *