Perkahwinan Tanpa Reda

Assalamualaikum. Nama aku Liz. Syukur Alhamdulillah aku dikurniakan sepasang cahaya mata yang comel. Namun bukan itu ceritaku.

Kisah ini bermula tahun 2006, ketika aku berkenalan dengan suamiku sekarang. Perwatakannya menarik tetapi nampak sombong. Kami hanya kawan. 2007 kami putus hubungan. Aku menukar nombor telefonku. Lantas dia tidak dapat menghubungi aku.

2009, aku berjinak2 dengan FB. Di situlah aku mula menghubungi dia semula. Kami berhubung secara atas talian sahaja kerana jarak yang jauh memisahkan kami. Dia melamarku.

Aku memaklumkan kepada keluarga di kampung. Ibu dan ayah tidak merestui hubungan kami kerana lelaki itu sombong. Kami masih berhubung. 2010 aku memberi kata dua kepada ibu. Jika tidak setuju, aku tidak mahu pulang ke kampung sampai bila-bila. Begitulah nekadku.

Akhirnya, ibu bapaku mengalah. Mereka bersetuju dengan lelaki pilihanku. Awal-awal lagi ibuku memberi amaran jika berlaku apa-apa, jangan merungut kerana aku yang memilih jalan ini.

Kami pun berkahwin. Awal perkahwinan sahaja bahagia. Masuk tahun kedua kami selalu bergaduh. Kadang-kadang sampai kain bajuku dibuang keluar rumah. Aku pun membawa diri ke hotel murah beberapa hari.

Bila dia rasa tercabar semasa bertikam lidah, dia mula naik tangan. Ada masa aku ditumbuk, ditampar atau ditendang di tempat yang tersorok. Perut, kaki, bahu, kepala. Sedih tu aku rawat sendiri. Aku tak pernah mengadu kepada sesiapa. Aku jadi pendiam. Aku jadi penakut.

Bila di tempat kerja, aku jadi ceria. Bila balik, aku sedih. Balik kampung pun setahun 2 kali sahaja. Raya Aidilfitri dan bulan 12. Itupun seminggu sahaja.

Bila bergaduh, kami tak bercakap lama. Dari hari ke minggu ke bulan. Selalunya dialah yang memulakan pertengkaran. Ada sahaja yang tak kena. Tak pernah dia cuba mengambil hati aku.

Bila dah terlampau lama menyendiri, aku yang beralah. Memujuk dia semula. Begitulah rutin hidup. Gaduh, senyap, baik (tapi hubungan makin renggang). Kalau suami minta untuk mengadakan s**s, baru aku memberi.

Selama 5 tahun perkahwinan, tiada zuriat. Kemudian, kami berpindah ke Sabah. Cabarannya lagi besar di sini. Aku bangun seawal 4 pagi menyediakan sarapan pagi dan tengah hari.

Kemudian baru aku pergi kerja yang jaraknya lebih 90km dan pastinya bukan jalan raya yang baik ya. Penatnya tak terkira. Rumah sewa yang berdekatan tempat kerja tiada. Kalau ada pun harga Yahudi. Bayangkan sewa 1 bilik harga rm700.

Setelah 2 bulan, aku kemalangan. Itulah sahaja kereta yang kami ada. Kereta rosak teruk. Aku hanya cedera ringan.

Kerana tak sanggup hidup susah, menumpang orang, mengikut ragam orang, aku membeli kereta. Ya, kereta baru terus. Pastinya kereta mahal. Aku membawa kereta pulang ke kuates kami. Oh ya, selepas kemalangan, aku dapat rumah sewa berdekatan tempat kerja.

Aku membeli makanan kegemarannya. Sampai sahaja aku di porch, aku disoal siasat tentang kereta. Aku berterus terang. Niatku satu, untuk memudahkan ulang alik balik jumpa suami, beli barang dapur dan keperluan. Boleh pula dia hempas makanan tu, habis terburai dari plastik.

Aku? Aku ditolak ke lantai, pintu rumah dikunci dari dalam. Akibatnya, aku pulang ke rumah sewa. Raya haji, bersendirian di rumah sewa. Sedih sangat.

Setelah 3 bulan, dia datang mencari aku. Kami pun berbaik, buang yang keruh, katanya. 2017, aku ditukarkan ke tempat yang dekat sikit dari kuartes suami dalam 25 km jalan gravel. Aku ditakdirkan mengandung.

Semasa mengandung pun masih lagi dia panas baran. Kalau ada masalah di tempat kerja, aku pun turut jadi mangsa marahnya. Bila ada anak, aku ingat ok dah. Rupanya, perangai tak berubah. Suka marah2.

Anak merengek demam, tak nak tidur malam, semua aku. Sampai aku dihalau keluar bilik sebab anak bising. Kacau tidurnya. Anak tidur elok, dicium, dikejut bangun. Bila bangun, mainnya 5-10 minit sahaja.

Aku memasak sambil berdukung anak. Aku bawa stroller ke dapur. Letak baby dalam stroller. Bila nangis, dukung lagi. Ada bapanya ke tiada ke sama sahaja. Rumah tangga yang tak pernah bahagia.

Tak lama lepas tu aku mengandung lagi. Padahal anakku baru setahun. Masa ni lagi berat dugaannya. Aku disepak terajang. Kadang sampai aku terfikir, hina sangat aku ni. Dengan aku tiada senyum, tiada gurau. Dengan kawan, sembang 2-3 jam. Gelak besar, makan besar.

Aku selalu berdoa agar Allah lembutkan harinya. Buang panas barannya. Mudahkan urusanku.

Sebelum lahir anak kedua, aku dapat bertukar ke kampung. Aku yang minta tukar. Sekali minta sahaja, terus dapat. Ramai orang hairan. Suami tinggallah di Sabah.

Aku pun meninggalkan bumi Borneo balik kampung. Tinggal dengan ibu bapaku. Di sini aku lebih bahagia. Ada orang tolong tengokkan anak-anak. Main, gurau dan sayang anak-anak selain aku.

Kami belum bercerai. Bila gaduh tu, 6 bulan sepi tiada khabar. Telefon ke whatsapp ke semua tiada. Kadang tu aku rasa tenang.

Tapi anak sulungku ini menjadi seorang yang penyedih. Dia selalu menangis atau termenung. Ada juga aku call tapi dia tak angkat. Mesej baca tapi sekadar blue tick sahaja.

Semalam aku terfikir, semua ni jadi sebab aku kahwin tanpa redha ibu bapa. Tapi aku bahagia begini, tanpa suami. Hanya dengan anak-anak dan ibu bapa. Sampai sayangku dah tiada buat suami. Anak kedua dah setahun setengah, sulung tu dah 3 tahun 2 bulan.

Tolonglah saya. Apa yang patut saya buat. Kuatkah saya menempuh hidup ni?

Sekian,

– Liz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *