Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih admin jika confessions ini disiarkan. Sekiranya bermanfaat harap diambil iktibar. Sekiranya tidak, semoga dapat diperbetulkan.
Kenalkan, aku seorang ibu beranak satu. Perkahwinan baru setahun jagung. Walaupun setahun jagung aku banyak membaca, melihat dan mendengar pelbagai ragam rumahtangga.
Patutlah semasa majlis perkahwinan aku dulu, orang tua-tua sering berpesan; sabar dan tolak-ansur dalam melayari rumahtangga. Rupanya inilah asas yang perlu kita ada.
Asas ini juga perlu sentiasa dididik dan di-upgrade. Kenapa aku cakap begitu? Nanti aku ulas di bawah.
Sejak akhir ni sering baca kisah rumahtangga di sini. Ramai cakap iium dah macam krt. Tapi sedar tak sedar inilah masalah terbesar dalam masyarakat.
Apabila runtuhnya institusi kekeluargaan, maka runtuhlah sebuah masyarakat.
Hari ini kita dapat lihat baaaaanyak kes apabila seorang suami gagal dalam rumahtangga, dia akan gagal mendidik isteri dan anak-anak. Besar tanggungjawab seorang lelaki. Anak lelaki mesti dididik. Mesti.
Apabila si ayah berat tulang, kita dapat lihat bagaimana isteri penat dan tertekan. Seterusnya lahir anak-anak dalam keluarga toksik sebab isteri automatik akan hilang hormat.
Apabila si ayah kurang didikan agama, kita dapat lihat hasil didikan anak tu tidak tahu solat dan aurat. Isteri juga tidak biasa ditegur soal itu.
Maka akan lahir keluarga yang tidak menitikberatkan soal solat, baca al-Quran dan aurat. Antara ipar-duai pun tidak tahu batas aurat, apatah lagi dengan dunia luar.
Sebelum berkahwin, buat para gadis… Teliti dan baca karekter bakal pasangan anda. Benar kata Dr. Muhaya.. Isteri yang paling malang ialah isteri yang tersalah pilih suami.
Sebenarnya kita ada pilihan sebelum kita dinikahkan dengan si dia.
Ingatlah perkahwinan ini ibarat belayar di atas lautan. Jika kapten gagal memberi arahan yang sewajarnya, kapal akan hanyut selamanya.
Banyak perkara yang kita tak diberitahu sebelum berkahwin, jadi jangan terkejut jika sudah berkahwin kita nampak pasangan tidak mencapai kpi kita.
Kpi akan tercapai sekiranya sama-sama ingin berubah ke arah lebih baik, sabar dan bertolak ansur.
Pertama; mengandung nampak indah, tapi tahukah anda? Sekiranya mengandung, banyak yang perlu dibantu.
Seorang suami yang sedar itu zuriatnya pasti akan faham untuk bantu pasangan melakukan kerja-kerja rumah. Boleh memasak yang simple atau paling tidak, memahami untuk membeli makanan.
Bukan mengherdik pasangan mengada-ngada sebab mengandung. Wanita yang mengandung biasanya alahan, mudah penat fizikal dan emosi. Penting untuk dibantu pada fasa ini.
Malah, kerap kali perlu ke klinik untuk check up kesihatan ibu dan anak. Ingat, bukan semua fasa mengandung itu indah. Kegembiraan seorang ibu bergantung pada layanan suaminya.
Kedua; seronok dimanja dan dibelai suami. Fakta, selepas berkahwin lelaki bertanggungjawab biasanya kurang memberi perhatian bab ini. Minda mereka lebih fokus untuk menguruskan keluarga.
Jadi jangan rasa perkahwinan sentiasa dimanja, perlu berdikari. Tapi dalam masa yang sama cari waktu-waktu untuk dibaja semula perasaan tu.
Ingat, kita bukan lagi di alam percintaan yang perlu sentiasa diungkap cinta dan rindu. Ini fasa realiti, banyakkan bekerja dari menunggu ungkapan rindu dan cinta.
Ketiga, budaya hidup pasangan tidak sama. Kenapa ada orang bercerai sebab tak reti masak? Sebab Perkara-perkara remeh? Budaya hidup tak sama.
Suami impikan isteri seperti emaknya, yang tahu memasak segala macam jenis lauk-pauk. Sedangkan isteri juga baru membina hidup. Baru belajar untuk memasak. Sekiranya minat sejak kecil, itu bonus.
Maka sama-sama belajar untuk membina sebuah keluarga.
Si isteri beranggapan suaminya tahu menguruskan hal pakaian di rumah, sedangkan hal pakaian adalah benda remeh yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Baju tidak reti dibasuh, disidai malah melipat jauh sekali.
Hal pakaian boleh jadi punca pergaduhan, isteri kena didik suami untuk tahu menguruskan hal pakaian. Nampak remeh? Tunggu lah sehingga anak ramai, benda ini bukan lagi remeh.
Keempat; sisi gelap pasangan. Semua orang tidak sempurna. Kekurangan kita biasanya kelebihan pada pasangan. Kekurangan pasangan biasanya kelebihan ada pada kita. Sebab itu perkahwinan menyempurnakan.
Sebelum berkahwin, semua janji manis akan ditunaikan. Hakikatnya selepas berkahwin, janji sukar dilaksana.
Biasanya kita tak akan tahu sehinggalah kita tidur sebantal dengannya. Ada orang tak suka bau rokok, sekali si dia merokok senyap-senyap dan kantoi dengan isteri.
Ada orang tak suka isteri kentut merata, sekali isteri memang bagi bom jangka. Ada orang suka letak cawan pinggan merata. Pasangan jenis pengemas pasti sengsara.
Terkejut tengok sikap ambil mudah begitu. Ada orang sampah dibiar hingga berulat. Sebab ingat suami punya tugas. Sebab ingat isteri duduk dapur dia punya kerja. Masa ini teruji bertolak-ansur itu bagaimana.
Kelima; tidak mahu belajar. Hakikatnya perkahwinan ini sebuah pelajaran. Suami isteri mesti saling tambah ilmu mengenai kekeluargaan.
Suami isteri mesti upgrade diri… Sedangkan peranti yang kita gunakan perlu sentiasa di update, inikan diri kita. Sebelum ada anak, belajar tugas-tugas asas dalam rumahtangga.
Belajar mengurus emosi, belajar mengurus rumah, belajar komunikasi dengan pasangan. Paling penting update ilmu agama. Last waktu sekolah saja belajar pendidikan islam. Bila dah besar, kerja rasa dah tahu faham islam.. Sedangkan masih banyak jahil.
Jika sebelum ini tidak pernah menyapu, belajar pegang penyapu. Bukannya banding; aku tinggal dengan keluarga dulu mak yang buat semua ini. Ingat, sekarang diri kau bukan anak budak kecil lagi.
Kau dah dewasa, bakal jadi bapa/mak. Belajar untuk buat kerja rumah, bukan jadi bayi tua yang semuanya perlu disuap. Isteri belajar apa suami suka tak suka, ambil resepi dari mak mertua. Belajar memasak lauk kegemarannya.
Suami isteri perlu saling belajar tentang diri masing-masing. Karekter pasangan akan mengikut suasana. Ada anak nanti tanggungjawab jadi berganda.
Jika dulu boleh masak banyak, bila ada anak nak ke dapur pun susah sebab anak melekat. Masa ini suami perlu faham kenapa isteri tak mampu ke dapur, suami boleh masak, tolong masak.
Suami tak reti masak, tolong jaga anak. Bukan main game dan biar anak melalak. Common sense Bila melihat pasangan penat dan tertekan.
Cukuplah lima perkara ini dulu. Sebelum aku berkahwin dulu selalu dengar orang dah kahwin berkongsi cerita, lepas kahwin aku banyak lagi belajar. Ikut kesesuaian pasangan dan keadaan kita.
Awal-awal kahwin ni pasangan masih mudah dibentuk. Cakap dan luah apa yang tak kena. Minta tolong jika perlu ditolong. Beri arahan pada suami dia rasa ego tercabar, minta tolong.
Bagitahu kenapa kena tolong. Iye, kadang sampai bergaduh benda remeh. Tetapi itulah baru tahu dan faham kenapa pasangan makan hati. Rupanya ada perkara tak terluah, disimpan.
Cakaplah sampai bergaduh pun, tapi kena ingat jangan sampai cabar maruah dan malukan pasangan.
Kita tak suka pasangan jangan sampai cakap jijik, tak suka sikap dia jangan rendahkan maruah dia.
Contoh suami dah biasa makan ikan kering, isteri tak suka. Jangan cakap selalu tengok orang miskin je makan ikan kering ni. Bahasa isteri kena jaga. Bahasa suami juga.
Maaf cakap, apabila suami gagal didik diri dan isteri… Anak automatik jadi degil, jadi pemalas, cakap pun tengking-tengking. Isteri pula akan hilang hormat pada suami. Suami berkira, isteri akan jadi berkira. Suami mahu layanan vvip, layan isteri di rumah dengan baik.
Kerja di rumah buat sama-sama. InsyaAllah rumahtangga akan aman damai. Jangan beratkan sebelah pihak saja. Bila suami membantu kerja rumah, isteri rela membantu bab kewangan.
Sebab tu sabar dan tolak-ansur jadi kekuatan dalam rumahtangga. Bukan nak memihak pada isteri, perempuan. Allah sendiri cakap kaum lelaki ketua. Semak balik surah an-nisa ayat 34.
Jadilah suami yang sebenar-benar suami. Buat kaumku, sebelum kahwin jangan tengok ayat cinta saja. Jaga maruah diri. Jangan melayan lelaki lebih-lebih.
Waktu taaruf niat untuk kahwin, Allah akan tunjukkan jalan. Percayalah. Minta Allah jaga kita. Minta Allah jaga dunia dan akhirat kita. Jadi wanita yang ada class tersendiri. Jangan mudah termakan pujuk rayu lelaki.
Ingat, kita bakal jadi ibu. Mahu bagaimana anak kita nanti? Kita baik, akan dapat pasangan baik. Akan dapat anak-anak yang baik. InsyaAllah. Terus bersangka baik dengan Allah!
– Tulip (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit