Assalamualaikum buat semua pembaca… Aku selalu mendengar luahan kawan-kawan dan membaca komen di beberapa posting tentang kebanyakkan dari kita tiada simpanan dan apabila berlaku sesuatu yang tak diduga, tiada sumber untuk digunakan.
Oleh itu, aku rasa terpanggil sekadar untuk berkongsi bagaimana aku menguruskan kewangan dan buat simpanan untuk golongan B40 macam aku.
Nama aku Hana, ex student UIA sejak hampir 5 tahun lepas. Rindunya suasana dekat UIA dulu, library, mahallah, tarbiyah, etc… Umur lewat 20an dan kini menetap di ibu Kota untuk mencari rezeki.
Aku mula bekerja dengan gaji RM2300, 4 tahun yang lalu. Tolak KWSP, Socso tambah OT, gaji bersih dalam RM2200-RM2600. So dalam dua tahun lebih aku dah mampu buat simpanan 6 bulan gaji. Di bawah ni aku buat pembahagian macam mana aku bahagikan gaji aku setiap bulan;
1) Sewa rumah-RM300
2) Parents-RM300
3) Takaful-RM100
4) Bil telefon-RM70
5) Transportation – RM120 (LRT)
6) Makan- +-RM400
7) Barang dapur dan penjagaan diri- +-RM200
8) Shopping dan lain-lain- +-RM300
9) Sedekah dan zakat-RM100
10) Saving- RM500-RM700
Since waktu bujang ni, aku dah letak mindset, tak perlu tinggal tempat yang fancy tapi mesti selesa, bukan tinggal dalam rumah yang sempit dan padat. Aku duduk rumah sekarang dah hampir 4tahun, sewa satu rumah RM1500 ada 3 bilik dengan 6 orang.
Utilities kongsi,mostly bawah RM50 seorang sebab rumah kami tiada aircond mahupun astro. Aku memang target duduk rumah bawah RM300 termasuk bil.
Dulu waktu belajar, aku pernah dengar seorang ustazah cakap, kalau nak berkat dalam hidup, duit dari gaji jangan lupa bagi dekat parents.
Jadi dari waktu belajar aku dah berniat once aku dapat kerja aku nak bagi at least 10% dari gaji untuk parents. Aku juga buat target, setiap tahun aku akan hadiahkan parents aku at least satu barang.
Tahun pertama, aku belikan mak aku mesin basuh dan set periuk yang iklan kat TV tu. Tahun kedua, aku belikan set sofa dan blender (kebetulan blender lama mak aku rosak). Dan tahun seterusnya ada saja benda yang aku belikan untuk parents aku sebab mereka bukan orang berada.
Dapatlah mereka merasa kerusi baru yang tak bertukar sejak berbelas tahun yang lalu. Ya Allah perasaan dapat mengembirakan ibu bapa ni sangat puas, rasa bahagia sangat tengok mereka tersenyum.
Biasa aku pakai duit bonus untuk beli macam-macam ni. Alhamdulillah ada bonus bolehlah tampung sedikit sebanyak.
Pasal makan pula, aku memang kuat makan tapi aku bukan jenis yang suka makan tempat hipster atau yang mahal-mahal. Aku memang setkan hanya seminggu sekali makan dekat tempat mewah. Bagi aku jika kos untuk satu meal harga dalam linkungan RM30-RM50 dah dikategori sebagai mahal.
Dalam dua tahun pertama kerja, aku memang tak jejak kaki ke kedai yang sekali makan lebih dari RM50. Starbucks pun aku tak pernah masuk dulu. Bila gaji dah cecah 3k baru aku dapat rasa Starbucks. Satu lagi tips nak jimat ialah masak di rumah.
Biasa dalam seminggu, ada dua tiga kali aku masak bekal untuk dibawa ke office. Kalau tak bawa bekal, aku suka beli nasi campur dekat gerai atau lori bergerak, bajet RM5 ke RM7 je. Weekend kalau tak keluar dengan kawan-kawan , aku prefer masak dan makan dekat rumah.
Satu lagi, untuk dapat rezeki yang berkat, keluarkan zakat. Ingatlah dalam harta kita ada rezeki orang lain. Begitu juga dengan sedekah.
Macam aku, aku siap-siap buat peruntukkan at least RM50 untuk sedekah sebulan. Takdelah aku bagi satu tempat tu RM50, biasa aku akan bahagikan kepada beberapa tempat. Setiap kali masuk masjid ke surau, kalau nampak tabung, jangan lupa selitkan sedikit duit, RM1 pun jadilah.
InsyaAllah berkat rezeki kita. Percayalah tak akan miskin orang membayar zakat dah bersedekah. Selain itu, jangan pernah berkira dengan parents dan adik-beradik.
Dengan kawan pun sama, sekali sekala belanjalah mereka. Alhamdulillah sejak aku bekerja, aku tak pernah tak cukup duit. Meminjam duit kawan jauh sekali.
Hidup aku takdelah boring sangat, itu tak boleh ini tak boleh. I enjoy every single day of my life, aku pergi juga melancong, tapi paling jauh pun Indonesia dengan Thailand buat masa sekarang. Tahun ni sepatutnya plan pergi Korea, tapi muncul Covid19 pula.
Selamat tabung melancong aku. Tabung bercuti aku letak asing pula, biasa duit lebihan yang ada, macam duit OT. First two years, aku melancong hanya dalam negara saja, kos sekitar RM500 sekali pergi. Alhamdulillah 2 3 kali setahun aku dapat jalan-jalan.
Sekarang ni aku dah kerja lebih 4 tahun. Dengan kenaikan gaji dalam RM100-RM200 setahun, selepas 3 tahun lebih bekerja baru aku berpeluang untuk membeli kereta dan tak lama lagi bakal ada rumah sendiri, InsyaAllah moga urusan proses pembelian rumah dipermudahkan.
Sebenarnya dengan kenaikan yang tak seberapa inilah aku kumpul duit untuk bayar muka kereta, beli barang branded, contohnya jam ke handbag ke kasut ke. Aku dah set goal jika nak beli sesuatu jangan sesekali berhutang (guna kad kredit/ bayar ansuran) tapi buat saving.
Saving ni lain dari simpanan untuk kecemasan dan masa depan. Contoh kalau aku teringin satu jam ni, harga dia dalam RM500, jadi setiap bulan aku akan letak tepi siap-siap RM100 ke RM200, 3 4 bulan dah boleh beli jam tu.
Secara ringkasnya aku boleh simpulkan:
1) kita kena setkan goal apa yang kita nak capai dalam hidup dan perlulah berdisiplin. Ikut apa yang kita dah rancang. InsyaAllah kita akan berada dalam landasan yang betul.
2) Selepas bayar segala commitment, terus simpan berapa yang kita dah target. Jangan belanja dulu baru menyimpan baki yang tinggal.
3) Dua tahun pertama kerja, jangan ikut nafsu asyik nak makan tempat-tempat hipster. Ikut kawan-kawan yang suka melepak sana sini, shopping barang branded dan menghabiskan duit tak tentu pasal.
4) Jangan berkira dengan parents dan adik-beradik.
5) Jangan menyusahkan hidup orang lain. Kalau berhutang bayar balik, jangan buat-buat lupa.
6) Sekali sekala belanja kawan. Tumpang kereta orang jangan lupa bagi duit minyak walaupun tak diminta oleh pemilik kereta. Common sense.
7) Bersedekah untuk mencari redha Allah bukan untuk jadi kaya in return. Bagaimana? Set kan dalam diri, “dalam rezeki kita ada rezeki orang lain”. Lama-lama kita akan terbiasa.
8) Di samping itu, sentiasalah berdoa mohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah agar kita dapat senangkan mak ayah, adik-beradik dan dapat tolong orang sekeliling.
9) Paling penting solat 5 waktu jangan pernah tinggal. Kebanyakkan orang yang sesak dan rezeki tak cukup sebab tak jaga hubungan dengan Allah. Tiada keberkatan dekat situ.
Tips yang aku kongsikan ini sesuai untuk rakyat marhaen macam aku. Siapa cakap gaji kecil tak mampu ada saving berpuluh ribu?
Sebenarnya yang paling penting, kita kena pandai kawal nafsu dari membeli benda yang tak berfaedah atau bukan keperluan. Waktu first two years kerja aku memang kawal kewangan aku sehabis baik.
Bab kata pepatah Melayu, “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Dan tahun ketiga, aku dah start enjoy pergi sana, pergi sini. Beli itu, beli ini. Tapi masih berdisiplin simpan duit at least 10% sebulan.
Alhamdulillah sekarang aku dah ada saving lebih 6 bulan, sedikit duit untuk pelaburan (unit Trust), emas, simpanan untuk pergi haji dan tabung kahwin
Walaupun jodoh tiada lagi tapi aku dah buat tabung kahwin siap-siap. Doakan aku agar aku dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik untuk menjadi suami ya. Amiinnn…
Setakat ini sajalah perkongsian bagaimana aku menguruskan kewangan dan menyimpan duit. Aku berharap agar perkongsian ini bermanfaat dan memberi input yang baik buat pembaca sekalian. Kalian boleh olah mana yang sesuai dengan commitment dan perbelanjaan kalian.
Tak dapat saving 30% dari gaji, dapat 10% pun jadi tapi pastikan buat saving walau apa keadaan sekalipun. Sebabnya kita tak tahu apa akan berlaku di kemudian hari.
Aku doakan semoga Allah melimpahkan rezeki yang halal buat kita semua, Aamiinnn….
Sekian..
– Hana, ex-IIUM (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit