Perlu Ke Fokus Bahasa Inggeris Saja?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan perkongsian aku ni. Ini pertama kali aku berkongsi sesuatu disini, sebelum ni aku hanya pembaca senyap aja.

Aku tergerak hati nak kongsi selepas terbaca kisah sebelum ini yang cerita tentang pentingnya bahasa Inggeris, (https://iiumc.com/ibubapa-melayu-tapi-anak-speaking/).

Nama aku Ghazi (bukan nama sebenar), dan untuk makluman, aku lahir di Malaysia tapi membesar di negara jiran (aku namakannya negara X) yang sememangnya diketahui menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Aku bersekolah dari sekolah rendah sehingga habis belajar dan sekarang bekerja, juga di negara X ni. Korang yang baca ni pun rasanya dah boleh agak negara mana yang aku maksudkan.

Sebelum ini aku ada terbaca kisah seseorang yang cerita bagaimana dia menitikberatkan bahasa Inggeris untuk anaknya sampaikan anak tu tak berapa pandai cakap BM.

Mungkin pada pendapatnya anaknya mudah nak belajar BM kemudian nanti. Aku tak salahkan dia, malah ada juga yang aku kenal berfikiran macam itu.

Ada kawan aku yang kebetulan sama macam aku (berasal dari Malaysia dan membesar di negara X ni), pernah cerita kat aku dulu macamana dia nasihatkan abang dia untuk pastikan anak-anak abang dia tu semua dididik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, kalau tak pandai BI susah nak berjaya nanti. Aku diam aja walaupun aku tak berapa setuju dengan pandangan tu.

Pada pendapat aku pulak, tak salah belajar dan mahir bahasa Inggeris, tapi yang penting bahasa ibunda jangan sekali-kali diabaikan. Tak semestinya bila kita fokus belajar BI, kita kena ketepikan BM. Boleh aja belajar kedua-dua bahasa ni secara serentak.

Di negara X ni, BI digunakan sebagai bahasa utama dalam pelajaran. Bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin adalah bahasa kedua. Setiap murid perlu pilih salah satu dari bahasa-bahasa kedua ni.

Alhamdulillah, aku boleh baca, bertutur dan menulis dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu. Walaupun taklah bagus sangat, tapi bolehlah.

Apa yang aku perhatikan di negara X ni, kebanyakan dari golongan muda yang berbangsa Melayu sekarang terlalu fokus dengan BI sehingga bahasa Melayu mereka terlalu lemah.

Berbeza dengan zaman aku dulu. Pelajar sekarang ni kebanyakannya nak susun satu ayat pun payah, sampai merangkak-rangkak. Dan bila mereka bertutur bahasa Melayu kedengarannya seperti orang asing.

Sedih tengok. Banyak rugi dari untung bila fokus HANYA pada BI, antaranya:

RUGI #1 : Rosak jati diri sebagai orang Melayu kalau nak cakap dalam bahasa sendiri pun tak tau. Orang luar pun kurang hormat kalau kita tak pandai bahasa kita sendiri tapi lebih memuliakan bahasa lain.

RUGI #2 : Untuk anak yang masih kecil, waktu kecil ni la bagus untuk belajar kedua-dua bahasa ni sebab senang nak ingat. Bila dah besar, otak dah mula berkarat, waktu tu nak belajar apa pun dah liat.

RUGI #3 : Walaupun banyak pekerjaan di Malaysia menggunakan BI, tapi banyak juga yang menggunakan BM.

Tengok aja bisnes-bisnes online, rata-rata usahawan menggunakan BM dalam posting di media sosial diorang sebab pasaran terbesar di Malaysia pastinya orang-orang Melayu.

Lihat aja, ramai yang dari berbangsa lain pun buat ‘content’ dalam BM untuk kejarkan pasaran Melayu ni. Sebab apa? Sebab pasaran Melayu ni adalah lubuk duit yang besar.

RUGI #4 : Banyak buku dari penulis Malaysia yang bagus-bagus. Alangkah ruginya kalau tak dapat nak cedok ilmu ni hanya kerana tak pandai BM.

Aku sendiri sampai sekarang masih baca buku-buku dalam BM, walaupun buku-buku dalam BI aku baca juga.

Bila aku berada di Makkah dan Madinah, aku nampak ramai peniaga Arab sana pandai cakap BM. Bayangkan kalau diorang cakap BM dengan kita waktu jual beli, tapi kita pulak tak tau nak jawab. Oh malunya.

Universiti di Russia dan Belanda pun ada pengajian bahasa Melayu disana. Tapi kita pulak rasa BM tak penting. Hmm.

Nasihat aku. Tak salah nak belajar BI, tapi BM jangan sekali-kali diketepikan. Sepatutnya BM kita lebih hebat dari BI sebab itu bahasa kita. Aku memang respek dekat beberapa orang menteri Malaysia yang aku lihat mahir dan fasih dalam BI dan BM.

Mungkin ada antara korang yang baca ni akan kata aku membesar di negara yang menggunakan bahasa Inggeris, jadi mudah untuk aku. Dan bahasa Melayu lagilah senang untuk aku sebab digunakan di rumah. Sebenarnya tak juga.

Tahu tak, walaupun negara X ni menggunakan BI sebagai bahasa utama, sebenarnya ramai juga yang lemah dalam BI ni. Walaupun bertahun-tahun belajar dalam BI, tapi ramai yang masih terkial-kial bila tutur dalam BI, tulis apatah lagi.

Dan ramai juga orang Malaysia yang aku jumpa sangat hebat dalam BI. Sepupu-sepupu aku sendiri di Malaysia ramai juga mahir BI, malah lebih baik dari kebanyakan orang disini.

Bagi anda yang nak mahir BI ni, ni aku nak bagi sedikit tips. Tak kira kat mana korang berada, korang tetap boleh mahir BI.

#1 – Ini sangat penting. Perlu faham grammar. Bahasa yang indah dan berbunga-bunga tapi grammar kelaut, tetap tenggelam tulisan tu. Sebaliknya, sekalipun bahasa yang digunakan tu mudah tapi grammar-nya betul, tetap nampak cantik tulisan tu.

Aku seringkali lihat komen-komen yang ditulis dalam BI di media sosial dan banyak kesilapan grammar yang aku jumpa.

#2 – Banyakkan membaca buku dalam BI. Bukan setakat habiskan baca buku tu cepat-cepat, tapi lihat cara struktur dan susunan ayat tu.

#3 – Tonton drama/ filem Inggeris. Kalau boleh cuba fahamkan dialog yang diucapkan tanpa melihat sarikata. Kalau awal-awal nak lihat sarikata boleh juga untuk faham maksud dialog tersebut.

#4 – Kita sentiasa berkata-kata dalam diri sendiri. Cuba tukarkan bahasa yang kita gunakan ke BI. Contohnya dalam hati kita kata: “Kejap lagi nak makan apa ya?”. Cuba tukarkan ke, “What am I going to eat later on?”

#5 – Berbual-bual dalam BI. Cari sorang kawan yang faham BI atau sama-sama nak belajar BI dan berbual dengan dia. Tak perlu berbual dengan ramai orang pun kalau tak ramai kawan yang boleh bertutur dalam BI.

Kuncinya, sentiasa berbual dalam BI. Tak kisahlah kalau awal-awal tu ayatnya tak cukup sifat, grammar tonggang terbalik. Yang penting buat aja.

Begitulah cara nak mahir BI. Takde cara yang lagi mudah dari tu, kalau ada sila kongsikan di komen. Aku pun nak tau jugak.

Sebenarnya kalau korang perasan la, dalam perkongsian aku ni aku hanya guna BM (kalau ada terguna BI, itu tak disengajakan atau sebagai contoh saja). Aku memang tak suka dan rasa tak patut bila kita campur adukkan bahasa.

Pada aku, kalau nak tulis BM, tulis sepenuhnya dalam BM. Dan kalau nak tulis dalam BI, tulis sepenuhnya dalam BI. Sama juga kalau bertutur, bila campur aduk ni nampak bercelaru bahasa tu.

Aku sendiri tengah mengasah BM aku. Kalau ikut tahap bahasa Melayu di negara X, mungkin bahasa aku dah kira bagus. Tapi untuk di Malaysia, aku tahu bahasa Melayu aku masih banyak kekurangan dan perlu diperbaiki dan aku perlu lebih mahir lagi dalam BM.

Banyak buku BM yang aku beli, kebanyakannya buku-buku bab pemasaran dan penulisan sebab aku nak mahir dalam kedua-dua bidang ni.

Aku bercadang nak balik Malaysia terus nanti dan nak buat bisnes secara online disana. Jadi aku perlu buat banyak penulisan di media sosial dalam BM nanti.

Aku nak mintak pendapat korang, apa korang rasa tentang tahap BM aku sekarang? Nanti aku akan baca komen korang satu-satu. Nak tahu jugak kat mana tahap aku.

Ok, itu saja perkongsian aku. Dah agak panjang ni. Maaf kalau susunan tak teratur sebab aku tulis tanpa merancang awal-awal. Main tulis aja ikut sedap jari.

Harap takde yang marah atau terasa hati bila aku tegur mereka yang fokus pada BI aja. Aku cuma bagi pendapat dari perspektif aku aja. Apa-apapun aku doakan korang semua bahagia dan berjaya dunia akhirat. Aamiin.

Terima kasih.

– Ghazi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *