Perlu Ke Jaga Hati

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin jika sudi berkongsi luahan hati aku.

Aku Bunga (nama samaran) berumur hujung 20an. Tahun ini masuk tahun ke-5 aku berkahwin dan Alhamdulillah aku dikurniakan seorang zuriat yang soleh berumur 3 tahun.

Aku dan suami baik baik saja tapi luahan ini berkisarkan tentang orang tuaku.

Aku orang selatan, suami pula orang utara. Kami berkahwin semasa aku masih menyambung pengajian, jadi kami pjj, aku di selatan dan suami pula di utara.

Tahun kedua perkahwinan kami mengambil keputusan untuk menyewa di negeri kelahiranku.

Tetapi hanya 9 bulan menyewa lalu kami tinggal di rumah ibu bapaku, jarak rumah sewa dan rumah ibu bapaku hanya belasan kilometer sahaja.

Jadi kami pun tinggal di rumah ibu dan bapaku di saat aku sarat mengandung sehinggalah anak aku berusia 2 tahun.

Awal tahun 2023, suamiku mendapat tawaran pekerjaan di negeri yang sama tapi mengambil masa 3 jam perjalanan menaiki kereta.

Ibu bapaku juga sedia maklum yang kami memang akan kembali menyewa suatu masa nanti,

Tetapi disaat suamiku mendapat tawaran pekerjaan mereka sudah mulai susah hati dan ibuku berterusan memujuk supaya aku tetap tinggal di rumahnya, bererti aku perlu pjj dengan suamiku.

Aku faham berat hati mahu berpisah dengan cucu, tetapi aku sudah tidak sanggup pjj. Cukuplah masa bercinta dan awal berkahwin. Tambahan pula anak aku masih kecil.

Kesimpulannya kami berpindah dan hingga ke saat ini ibuku seolah masih belum menerima kenyataan.

Setiap bulan paling kurang sekali kami akan pulang ke kampung. Kerana kasihankan ibu bapaku yang merindui cucu mereka.

Tetapi kami suami isteri banyak makan hati. Ibuku sebolehnya setiap kali cuti mahu kami pulang ke kampung walhal terkadang kami juga ada planning tersendiri di hujung minggu.

Untuk pengetahuan semua, ibuku sejenis yang cakap lepas. Anak-anak seringkali makan hati dengan kata-katanya tetapi baginya, dia tidak pernah salah dalam melontarkan kata.

Antara kata-katanya “kerja lah di sini, biar saja suamimu bekerja di sana, setiap hujung minggu nanti dia akan balik menemui anak isterinya”,

“Anak mu akan lebih bahagia jika pulang ke kampung berbanding kamu membawanya pergi bercuti”. “Kasihan anak mu, masih kecil tapi perlu melalui semua ini”.

Kalau kalian di tempat aku, apa yang kalian akan lakukan?

Kami suami isteri sedaya upaya mencuba untuk menjaga hati orang tua, tetapi dalam diam hati kami jua terluka. Seolah kami tidak ada hak untuk membuat keputusan sendiri ke atas anak kandung kami.

Aku mohon pendapat semua kerana sesungguhnya aku benar benar di dalam dilema dan dadaku terasa berat sekali menanggung semua ini.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *