Hai, Tom kembali lagi. Haritu aku bercerita pasal jiran aku yang suka main enjin pukul 3-4 pagi, (https://iiumc.com/jiran-gila-enjin/).
Terima kasih atas komen semua, tak sangka 1st time aku hantar cerita ramai yang sokong tapi maaf la pendek je sebab memang tu je ceritanya.
Kali ni, aku nak cerita pasal keluarga aku. Keluarga aku miskin, miskin sebab gaji ayah aku tak sampai RM1000 pun dengan adik beradik ku yang ramai (7 orang). Bayangkan, kecik- kecik semua nak sekolah kan.
Walaupun kami hidup miskin, tapi kami tidak meminta- minta dengan orang. Alhamdulillah masih cukup makan minum. Mungkin sebab duduk di kampung. Ada tanam ubi, sayur, ulam- ulaman. Bela ayam. Padi je kami tak tanam hahaha.
Asbab kemiskinan kami, semua saudara- mara menjauhkan diri daripada kami sekeluarga.
Tak ada yang datang melawat pada hari raya. Hari- hari biasa lagilah jauh simpang malaikat 44 kan walaupun semua duduk dalam 1 negeri, 1 daerah sahaja.
Masa aku kecil, aku tak faham semua ni, setiap kali raya aku akan ajak mak ayah untuk pergi ke rumah saudara- mara.
Sebab pada masa ni lah aku boleh kumpul duit banyak- banyak untuk bayar yuran sekolah atau beli barang sekolah. Kalau dapat RM100 rasa macam bahagia sangat hidup, pada zaman tu (90-an), duit RM100 sangatlah besar nilainya.
Ibu aku pernah kata “asyik kita je lawat rumah orang, orang tak datang pun rumah kita”. Sampai ibu bapaku agak tidak gemar untuk ke rumah saudara mara.
Mereka juga selalu memandang dengan pandangan semacam atas bawah tengok kami adik- beradik yang rapat- rapat usianya.
Mereka tidak sukakan kami. Ibuku selalu bercerita (masa ni aku dah bekerja & dah dewasa) ada makcikku yang sentiasa memerli ibu kerana miskin2 pun nak anak ramai.
Sehingga lah 15-20 tahun berlalu. Semua adik beradikku berjaya masuk universiti, berjaya mendapatkan kerja yang bagus. Ada yang berjaya kerja dalam sektor kerajaan dan ada juga swasta. Ada juga yang menjadi pakar.
Ini semua mungkin hasil dari didikan ibu bapaku yang sangat mementingkan pendidikan walaupun hidup miskin.
Kerana hanya dengan pendidikan sahaja kita dapat ubah nasib kita. Lagipun zaman dulu bukan ada tiktok kalau ada tak payah lah aku belajar kan baik jadi influencer je haha (gurauuuuu)
Masih jelas dalam fikiran ku, buku latihan pun aku pakai yang tahun lepas punya. Kira sambung je yang ada muka surat yang kosong.
Belanja harian? Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, ibu akan bekalkan makanan untuk kami. Segala susah- payah kami tanggung bersama- sama. Dari kecil sampai nak masuk kerja, kami hidup susah.
Aku sendiri sekarang sudah dapat bekerja dengan pendapatan kategori M40. Kakak & abangku yang lain pun semua M40 dan T20 (yang dah tua). Aku bukan nak cerita sangat pasal kategori kekayaan ni. Dah macam kaunter Sumbangan Tunai Rahmah dah hahahaha.
Yang aku nak cerita kat sini, bermula dari adik beradik aku yang lebih tua dah kerja best, mula lah saudara- mara nak mengaku kami ni sedara mereka kan.
Pada 1 hari raya yang mulia, ada sorang sedara ni dari jauh melaung nama kakakku yang merupakan seorang engineer minyak.
Tak masalahnya, dalam ramai2 kami berjalan macam itik serati ni, kenapa nama kakakku sahaja yang diserunya? Kenapa tidak nama ibuku yang merupakan kakak iparnya?
Kakakku hanya mengangkat tangan pura2 senyum. Pastu, kami terus mengumpat kakak ku kata, masih dia ingat bahawa sedara yang tu lah yang tidak mahu menolongnya masa dia nak masuk universiti.
Bukan tolong pinjam duit pun, nak tolong printkan borang je. Yelah dah nama pun miskin, mana ada komputer petak kotak besar tu. Kedai cyber cafe pun jauh.
Ok, berbalik dengan tajuk cerita aku perlu ke menziarahi orang sakit? Ceritanya pak saudara aku jatuh sakit. Kebetulan jarak rumahnya tak jauh dengan rumah aku menetap sekarang (bukan rumah di kampung).
Ayahku selalu menasihatiku untuk melawatnya. Ayahku kata penting untuk merapatkan hubungan silaturrahim. Melawat orang sakit juga boleh masuk syurga katanya.
Aku kata, “takpelah banyak lagi amalan masuk syurga yang lain”. Aku bukannya apa, cuma dendam jeeeeeee. Ye, aku berdendam.
Aku dendam dengan semua sedara- mara yang dulunya memandang hina kami, langsung tidak menjenguk, hulur duit RM1 jauh sekali sebab takut jatuh miskin.
Takut nak melawat bimbang kena hulur duit. Kalau kami datang terus sorok makanan takut habis, yelah ramai kan. Padahal kami sendiri tak pernah putus bekalan makanan kat rumah.
Itulah keburukan hidup miskin, semua orang mahu menjauh. Tapi kenapa apabila dah senang, semua mahu mendekat? Semua add friends kat facebook dan cuba menegur?
Jangan kata sudah insaf ya. Sebagaimana kalian menganggap kami tidak wujud 1 ketika dahulu, sebegitulah kami anggap kalian sekarang.
Maaf, tidak perlulah pembaca iium nasihatkan supaya memaafkan, lupakan sengketa lama. Aku bukannya nak bongkak dengan nikmat kekayaan yang Allah bagi. Tapi kenapa sekarang? Kenapa bukan dulu? Kemarahan yang masih terpendam.
Kalau boleh aku tak nak ada apa2 kaitan dengan mana2 pakcik makcik aku. Biarlah jiran- jiran je aku anggap saudara- mara. Walaupun sama2 hidup miskin, tetapi sangat prihatin dengan kami sekeluarga.
Setiap kali raya, aku masih melawat sedara- maraku dengan ibu ayah sebagai tanda hormat ibu ayah. Dan sebab mahu menjaga air muka mereka.
Tapi untuk aku pergi sendiri melawat sorry to say, aku takkan pergi. Ibuku sendiri lebih suka duduk di rumah saja ketika hari raya dan makan kerepek depan tv. Mungkin dia sendiri dah jemu zaman dulu selalu dikecam, dihina kerana hidup miskin.
Aku mempunyai ramai anak saudara. Aku bertekad dalam hati sesekali tidak akan membiarkan mereka berasa tersisih. Anak- anak saudara di sebelah isteriku (sori aku dah kahwin) kebanyakan dari keluarga sederhana.
Tapi aku tak akan ulang perbuatan yang sama kepada mereka. Aku selalu belikan mereka hadiah setiap kali balik kampung. Cukup dengan mainan kedai rm2 atau makanan, sudah membuatkan mereka gembira.
Akhir kata, jangan contohi sikap aku yang berdendam. Aku sudah maafkan mereka sebenarnya, tapi aku lebih selesa hidup sekarang seperti tak ada sedara- mara.
Biarlah hatiku pun tak terluka apabila terkenang balik peristiwa lama. Kisah yang aku coretkan ni sikit je sebenarnya banyak lagi benda jahat yang diorang buat.
Hidup miskin orang benci. Tapi janganlah jadi miskin hina yang hanya harapkan bantuan orang tapi jadilah miskin terpelajar, bermaruah yang boleh ubah nasib keluarga atas nama pendidikan.
Sekian,
– Tom (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit