Perlukah Dipertahankan?

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Nama saya Sarah bukan nama sebenar. Berumur awal 30an dan menetap di negeri indah di Pantai Timur. Tujuan saya menulis disini adalah untuk meminta pendapat dari anda yang arif.

Cerita ini berkisahkan tentang saya dan seorang lelaki bernama Adam bukan nama sebenar. Saya ringkaskan serba sedikit perkenalan saya dengan Adam.

Saya mengenali Adam melalui aplikasi wechat pada sekitar tahun 2014, dan perkenalan kami hanyalah sekadar kawan dan tiada berniat untuk tujuan bercinta.

Dari wechat kami beralih kepada whatapps tetapi bukanlah untuk tujuan peribadi. Kebetulan kerja saya ada berkait dengan kerja Adam jadi kebiasaannya Adam menghubungi saya hanya untuk bertanya tentang kerja.

Hubungan kami tak lebih dari sekadar kenalan media sosial dan hanya akan berhubung jika ada urusan.

Fast forward, pada hujung tahun 2018, saya mendapat satu panggilan dari nombor yang tak dikenali, rupanya Adam yang menghubungi saya dan mengajak saya untuk menemani dia makan malam di restoran berhampiran rumah saya.

Adam memberitahu kebetulan dia ada urusan disini dan teringat tentang saya, lalu menghubungi saya. Saya bertanya Adam kenapa begitu berani menghubungi saya selepas sekian lama?

Tak takut ke kalau saya sudah bersuami memandangkan kali terakhir kami berhubung lebih kurang 3 tahun yang lalu, Adam memberitahu dia tak pernah lupakan saya dan dia tahu tentang saya melalui beberapa “mutual friend” kami. Dan disitulah bermulanya kisah antara saya dan Adam.

Saya ceritakan sedikit tentang Adam selepas mengenali dia buat seketika, Adam seorang yang soft spoken, tidak merokok, bekerja sendiri, rajin dan suka membantu orang lain.

Adam tidak rapat dengan adik beradiknya, jarang bercakap dengan ayahnya walaupon tak pernah bergaduh, tapi sangat rapat dengan emaknya.

Luaran nya, Adam hampir sempurna, dan kerana itulah aku memulakan langkah untuk bertanya jika dia mahu menjadikan hubungan kami lebih serius. Adam memberitahu bahawa dia ingin menjadikan saya isterinya dan berjanji akan berusaha menghalalkan saya.

Hari berganti hari, hubungan kami dilihat sama seperti pasangan yang hangat bercinta, kami sentiasa bermesej, berbual telefon, keluar makan dan sebagainya.

Satu yang saya sangat hormat pada Adam, dia tidak pernah cuba untuk mengambil kesempatan keatas saya.

Jujur saya katakan, bentuk badan saya yang berisi dan tinggi membuatkan tubuh saya kelihatan agak seksi dan sentiasa menjadi perhatian mata lelaki walaupon saya tidak pernah sama sekali memakai pakaian ketat dan sentiasa melabuhkan tudung.

“Too good to be true” itulah Adam. Tapi hakikatnya sampai hari ini, saya tak pernah nampak usaha Adam untuk menghalalkan saya seperti yang dia janjikan. Setiap kali saya bertanya, Adam meminta saya memberinya sedikit masa untuk dia berusaha.

Akhirnya sudah 4 tahun saya menunggu, masih lagi tidak nampak jalan yang menuju kearah itu, yang ada hanyalah kisah bercinta yang tidak berkesudahan.

Nak kata masih muda, saya sudah berusia 30 tahun, Adam tua setahun dari saya, dan kami sudahpun mencapai usia bersedia dari segi mental dan fizikal. Dari yang aku perhatikan, Adam bukanlah tidak mampu.

Dia bekerja, ada pendapatan malah dia mempunya beberapa kerja sampingan untuk sumber kewangan. Tambahan pula saya juga bekerja, boleh berdikari, mempunyai kenderaan sendiri dan sangatlah ‘low maintainance’ jika itu yang dirisaukan oleh Adam.

Tapi setiap kali bertanya, alasan Adam tetap sama, bagi dia sedikit masa.

4 tahun bukan lah masa yang singkat untuk sekadar menunggu. Adam tidak pernah mengokong hidup saya, tapi Adam sentiasa nak saya memberitahu setiap gerak geri saya, saya kemana, dengan siapa dan sebagainya.

Dan dia juga sentiasa menawarkan bantuan untuk saya baik dari segi kewangan, tolong hantarkan kereta ke bengkel untuk servis, tolong bawa saya kesana kemari jika ada sebarang urusan, sehingga lama kelamaan saya sudah ada sifat kebergantungan terhadap dia.

Adam jarang menolak setiap kali saya meminta sebarang pertolongan.

Tetapi usaha untuk menghalal kan saya langsung tiada, untuk pengetahuan anda, sepanjang kami bercinta selama 4 tahun, Adam tidak pernah berjumpa ibu ayah saya secara empat mata.

Saya ada menjemput Adam datang ke rumah saya pada hari raya tapi alasan Adam, dia juga ingin beraya dirumah sanak saudaranya juga.

Dan setiap kali keluarga saya mengadakan majlis dan saya menjemput dia, tak pernah sekali pon dia datang, dengan alasan malu dan segan.

Adam juga tidak pernah membawa saya berjumpa keluarganya. Adakah itu normal? Saya pon tidak pasti.

Setelah lama mengenali Adam, saya terlihat sedikit sisi gelap Adam. Adam sangat mudah percaya dengan kawan- kawan nya dan menggangap saya bodoh.

Pernah sekali kawan dia menawarkan peluang perniagaan kepada Adam, dan saya dengan kerasnya melarang Adam dari menerima tawaran tersebut.

Tapi Adam tetaplah dengan kepercayaan kepada kawannya sehingga hampir melaburkan wang yang sangat banyak untuk tujuan itu, sampailah seorang lagi kawan dia yang lain menasihati dia. Terus Adam batalkan niat tersebut.

Bila saya yang menasihati langsung dia tak dengar, tapi bila kawan dia yang nasihat terus dia buat sedangkan saya juga menasihati benda yang sama. Itu cuma contoh dari banyak lagi perkara seperti itu yang berlaku antara kami, terlalu banyak untuk aku ceritakan disini.

Ada satu lagi perkara yang berlaku baru-baru ini yang membuatkan saya mula tertanya, siapa saya pada dia. Satu hari telefon saya mati secara tiba-tiba dan saya tak hafal nombor telefon Adam. Cepat-cepat saya hantar telefon untuk dibaiki kerana tak mahu Adam risau jika gagal hubungi saya.

Hampir sehari suntuk saya tidak berhubung dengan Adam dan saya mengarapkan bila telefon dah dibaiki, ada lah whatapps atau miss called dari Adam, namun tiada. Adam langsung tak mencari saya ketika itu. Nampak macam remeh kan?

Tapi besar kesan dia untuk saya memandangkan sewaktu benda sama berlaku pada Adam, saya sangatlah risau dan hampir pergi ke tempat kerjanya kerana risau jika ada apa-apa berlaku kepada dia. Tapi tidak pada Adam.

Dan ada perkara terakhir yang paling saya rasa perlu dirisaukan walaupun mungkin perkara ini kurang sopan atau releven. Maafkan saya jika topik ini agak kurang sesuai. Saya pernah menguji Adam dengan bertanya jika dia bernafsu terhadap saya.

Seperti yang saya sebut di awal tadi, saya seorang yang bertubuh agak berisi dan mempunya aset yang sering mendapat perhatian kaum lelaki. Rupa paras saya juga agak “cantik” menurut ramai orang tapi Adam seolah-olah langsung tiada respond dalam hal ini.

Tiap kali saya cuba bercakap hal ni, Adam akan mengubah topik. Dan dia lakukan bukanlah sebab malu atau untuk mengelak zina tapi raut wajah dia langsung tak menunjukkan kearah itu.

Saya bukanlah seorang yang naif, saya pernah ada teman lelaki sebelum Adam dan mereka mengaku memang “geram” bila melihat saya.

Susah saya nak ceritakan dengan detail tapi benda ini dah menggangu saya sejak sekian lama. Perlukah saya risau?

Akhir kata maaf jika confession ni panjang dan meleret-leret tapi jujur saya katakan, sejak kebelakangan ini saya agak tawar hati dan saya lebih gembira bila Adam tidak mencari saya.

Hidup saya terlalu singkat untuk saya menunggu lelaki yang berjanji untuk menghalalkan saya diusia begini.

Entahlah. 4 tahun bukan penantian yang singkat, 4 tahun yang mana kami sepatutnya sudah bersedia mental dan fizikal. 4 tahun menunggu Adam untuk menghalalkan saya tanpa alasan yang kukuh untuk menunda. Saya penat.

Sekian..

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *