Permata Kaca

Assalamualaikum semua. Maaf sekiranya luahanku sangat panjang. Nama diberi Naira. Menuntut di sebuah ipta, berusia 22 tahun dan memiliki seorang cahaya mata baru setahun usianya.

Seluruh ahli keluargaku alhamdulillah cukup menjaga solatnya. Ayahku bilal dan aku anak sulung dari enam beradik. Aku ingin minta pandangan mengenai kisah hidupku.

Setelah tamat SPM, aku menyertai kursus ekonomi rumahtangga selama 3 bulan. Di situlah aku mula mengenali Iz. Kami sebaya. Ketika itu aku menegur alfatihah nya yang kurang elok sebutan makhraj dan tajwidnya semasa menjadi imam. Tapi teguranku itu hanya melalui kawan perempuan satu sekolahnya.

Alhamdulillah dia terbuka menerima teguran itu. Aku fikir sampai itu sahaja. Hinggalah suatu malam ada mesyuarat jawatankuasa. Aku dipanggil seseorang dan aku tidak mengenalinya. Dia kata terima kasih kerana menegur bacaannya. Baru aku kenal, itulah orang yang aku tegur bacaan al-fatihahnya.

Tanpa menunggu lama, aku beredar meninggalkannya kerana kawanku sudah melangkah jauh ke hadapan. Mungkin perwatakanku yang suka menjauhi lelaki dan berpakaian menutup aurat membuatkan ramai orang tertarik padaku.

Satu hari, ada program dengan pelajar darjah enam. Kami menjadi fasilitator dan dia memilih untuk satu kumpulan denganku. Iz banyak berjalan di hadapan dan suka mengambil hati budak² hinggakan mereka turut menjadi orang tengah.

Benar, dia menyukaiku. Dia ambil berat padaku. Memberikan makanan untukku. Dia pernah juga wasap denganku, tapi aku terus menyekatnya kerana aku ingin menjaga ikhtilat. Kakak angkatnya satu bilik denganku. Pernah kecoh bilik itu apabila iz menyukaiku dan sampai ke pengetahuan rakanku yang lain. Aku buat biasa saja. Kadang kawanku juga ada menyakatku dengan iz.

Selepas beberapa minggu aku tidak menyekat wasap iz. Kami memang jarang bersua muka kerana kursusnya berbeza denganku. Kebanyakannya kawanku atau kakak angkatnya menjadi orang tengah untuk bertanyakan sesuatu perkara.

Setelah tamat kursus, ada sesi bergambar. Aku perasan pada galeriku, ada wajahnya yang fokus pada kameraku tidak yang lain. Dan satu hari, dia wasapku bertanyakan alamat rumahku dan aku memberikannya.

Iz datang ke rumahku bersama adik perempuannya dengan menaiki motor dan dia sanggup datang hujan². Tersentuh hatiku. Jauh rumahnya hampir tiga jam perjalanan dan mujur Iz katakan, ada rumah nenek dan saudaranya berhampiran dengan taman perumahanku. Iz baik sekali dengan umi ayahku. Hormat orang tua.

Kemudian, aku melanjutkan pelajaranku di sebuah kolej dan Iz di sebuah institus pertanian di utara tanah air. Bila cuti semester, Iz ada ke rumahku dan bermalam. Tapi, aku tiada di sana sepanjang Iz bermalam. Bila aku balik rumah, iz akan datang ke rumahku untuk memberikan hadiah.

Benar, kami sering bertukar hadiah. Dia memberikan ku tudung, sarung tangan dan mathurat melalui ayah ataupun pos. Kerana padaku, jika kita sayangkan seseorang, kita boleh berikan sesuatu yang menggembirakannya.

Setelah aku ke kolej, biah (suasana) keislaman yang syumul menelusuri hatiku. Tahajud dan istikharahku aku cuba istiqamah sejak dari SPM lagi. Aku mulai takut dengan dosaku, lalu meminta Iz berhenti wasap ku demi menjaga ikhtilat. Sepucuk surat aku berikan kepadanya. Kalau dah jodoh takkan ke mana.

Dan kami merancang untuk bernikah pada usia 25 tahun setelah dia memperoleh 3 kunci iaitu kunci rumah dan kunci kereta untukku. Kunci lagi satu aku tidak memberitahunya. Bertahun juga aku menyekat wasapnya dan bertukar nombor telefon. Kami berhubung melalui fb tapi itupun jarang sekali. Boleh dikira dengan jari.

Iz wish birthday aku dan dia amat merinduiku. Tapi, Iz tidak kata dia rindu aku cuma berpesan, jangan lari jauh². Iz sanggup menungguku dan dia akan berusaha memperoleh kunci itu. Dan aku melihat usahanya, yang kini sudah memiliki kunci kereta dan kunci motor.

Seterusnya aku perkenalkan az dan kami sebaya. Kami kenal sejak sekolah rendah. Ibubapa kami saling mengenali. Waktu itu, az suka pada kawan baikku. Dan mereka terpaksa putus sebab kawan baikku merasakan dia tidak boleh bersama az. Az lebih padan denganku. Kerana kami dari aliran agama. Dan aku hanya menganggap sebagai kawan rujukan dalam menuntut ilmu.

Az banyak memberiku pesanan mengenai islam yang kadang terkesan pada kehidupanku. Kami ada berhubung tapi mengenai pelajaran sahaja kerana Az hebat dalam pengiraan. Kami juga saling membantu tapi Az lebih banyak membantu diriku.

Az juga tahu mengenai iz. Az pernah menjadi orang tengah aku dengan Iz kerana Iz suka menghubungi aku secara tiba². Dan aku tidak menyukainya kerana padaku suara perempuan itu aurat dan aku tidak mengangkatnya sebab tidak penting padaku.

Pada hari raya 2 tahun lepas, aku, Az dan kawan baikku yang lain konvoi beraya. Aku memakai cincin untuk menjaga diriku. Tak sangka, ramai kawanku menyangka aku dan az sudah bertunang. Padahal kami kawan biasa cuma keperibadian kami lagak ustaz dan ustazah membuatkan mereka menyangkakan begitu.

Az telah mengajakku konvoi beraya dengan kawan sekolah menengahnya dulu. Ada juga kawan sekolah perempuannya yang dia kenalkan padaku lebih awal sebelum aku bertemu mereka semua. Mereka baik sekali. Ketika itu, ada kawan perempuannya wasap denganku.

Dia bertanya, adakah aku dan az mempunyai hubungan istimewa? Dan aku mengatakan, kami hanyalah kawan biasa. Mereka pasti berteka-teki antara aku dan az. Kerana az memperkenalkan aku pada sahabat sekolahnya, guru di sekolah dan selainnya.

Pernah juga kami balik konvoi raya pukul 10 malam. Dia serba-salah kerana menghantarku lewat pulang ke rumah. Hingga sanggup berjumpa ibubapaku untuk meminta maaf. Dalam kereta itu, ada kawannya di sebelah pemandu dan aku seorang perempuan di belakang. Dan ketika itulah az perasan aku menangis. Dan aku menyatakan aku ok je.

Sampai dirumah, ayahku sudah menantiku. Biasalah pasti akan disoal. Dan keadaan berjalan seperti biasa. Dan Az mengaku dia sukakanku. Cuma dia ingin fokus pada pelajaran dahulu kerana dia harapan keluarga. Aku faham.

Aku pernah dilamar haji yang berstatus suami orang untuk menjadi isteri ketiga. Aku pernah ditanyakan untuk menjadi isteri kepada seorang hafiz alQuran di sebuah madrasah. Aku juga pernah dilamar jejaka tetapi masih belum cukup pendapatannya untuk mendirikan rumahtangga.

Aku pernah berkenalan dengan lelaki yang sudah memiliki pendapatan yang cukup untuk mendirikan rumahtangga dan aku menolaknya kerana dia membuatkan aku rimas. Memang perempuan suka diambil berat. Tapi kalau setiap saat selalu tanya soalan yang sama mestilah rimas dan membosankan.

Kemudian, aku menyertai laman cari jodoh. Saja-saja. Dan Z berkenalan denganku. Z ada dua akaun yang tapi profil yang berbeza dan 10 tahun lebih tua dariku. Aku fikir dia lebih matang dariku. Pengalaman hidup nya lebih banyak dariku. Dan Z yang membuatkan aku menangis sewaktu berada dalam kereta Az. Z marah kepadaku kerana suka konvoi beraya bersama lelaki.

Pada aku, tidak salah yang penting kita jaga aurat dan pergaulan kita. Tanpa kusedar, tahun itulah aku dan Az konvoi beraya bersama. Setelah setahun berkenalan, Z menjadikan aku suri hatinya. Sewaktu Az mengetahui statusku menjadi tunang orang, Az memintaku menemaninya ke Kuala Lumpur untuk urusan baucer mahasiswa.

Aku menurutinya kerana aku sudah mengambilnya lebih awal. Dan aku fikir, ini bantuanku untuk Az yang selalu membantuku hingga membuatkan ibubapaku jatuh hati pada perwatakannya yang ramah lagi mesra.

Sewaktu menaiki bas, aku agak kaget apabila seat yang ditempah Az iaitu dua orang secara bersebelahan. Aku menggelabah tapi aku kawal. Az meletakkan beg sandangnya sebagai perantaraan. Di dalam bas dia ajarkan aku mengenai ilmu IT. Dan aku tertidur. Az juga begitu dan dia mengejutkan aku dari lena yang seketika.

Kami sampai jam 3 pagi di TBS. Az membawaku ke sebuah meja makan. Az duduk bersemuka denganku. Face to face. Wajahnya merah. Benar, dia menangis dihadapanku. Dia bertalu bertanya kepadaku, kenapa terlalu awal untuk menikah? Macam mana dengan study? Dia risaukan aku. Aku terkelu. Tidakku sangka dia menaruh perasaan terhadapku. Aku sangka dia sahabat baikku.

Patutlah lelaki dan perempuan tidak boleh bersahabat, pasti akan ada perasaan suka. Aku minta dia doakanku berjaya dunia dan akhirat. Selepas Subuh, aku tunggu Az menyudahi solatnya. Agak lama. Takut aku berseorangan di tempat yang asing. Dia lalu menerpaku. Diam seribu bahasa. Wajahnya masih lagi merah. Aku serba salah. Az sedih sekali. Az persis abangku. Banyak melindungi, mengajar dan menasihatiku.

Sebelum majlisku, aku sempat minta maaf kepada Az dan Iz. Aku pos kad kahwinku kepada Iz dan dia hadir bersama keluarganya. Tapi aku tidak bersua muka dengan Iz. Bagaimana dengan kunci Iz? Manakala Az sibuk dengan Maritim di universiti nya. Az memang awal² pesan, dia tak dapat datang pada majlisku.

Dan kini, aku sudah menikah dengan Z. Iz dan Az sudah lama menyepi. Namun, Z tidak seperti yang kusangka kan. Sebulan perkahwinan semua baik belaka. Selepas itu, aku sedih dan kecewa.

Dia selalu memarahiku dan berkelakuan kasar. Suka membaling barang. Pernah mengatakan bodoh kepadaku. Mengungkit hantaran yang pernah diberikan dan mengatakan aku mata duitan. Tidak membimbingku secara lembut. Malah memukul kepalaku hingga aku menangis.

Sewaktu aku mengandung, dia hanya menunggu di kereta apabila checkup di klinik. Tidak mengambil berat kepadaku sepanjang mengandung. Sakit sungguh apabila jarum ditusuk pada kulitku. Membaling dan melempar barang milikku. Gambar perkahwinan dipecahkan dan dikoyakkan. Z banyak menjaga hati dan perasaan orang lain berbanding aku. Bila aku masak, sedikit pun Z tidak sentuh masakanku.

Aku penat. Aku makan hati. Dia katakan aku mata duitan. Aku yakin, dia menikahiku bukan kerana cinta tapi kerana usia Z. Di hadapan orang, kami seperti biasa. Tiada istilah romantik dalam rumahtangganya ini. Aku menagih kasih sayang suami. Aku memilih menyendiri bersama anakku. Aku pulang ke kampung pada cuti semester kali ini. Mengubati hati. Z cuma rindu anak bukan aku.

Cemburu apabila melihat pasangan lain berpelukan. Gambar pasangan di media sosial. Tapi tidak aku merasai kemanisan rumahtangga. Aku hanya mampu pendam. Pernah aku suarakan apa yang aku tidak puas hati. Dan Z menyalahiku. Inginku mati kerana tidak mampu terluka.

Aku tawar hati. Hilang hormat padanya. Tapi sampai bila harus aku begini?

– Naira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *