Assalamualaikum dan salam sejahtera. Harap Admin sudi untuk terima perkongsian ini untuk disiarkan. Semoga semua pembaca IIUM Confession yang membaca perkongsian aku ni dapat mengambil iktibar dari cerita seorang lelaki yang menyesal untuk sesuatu yang tidak akan pernah kembali seperti asal. Semoga cerita aku ni dapat membuka banyak mata hati orang di luar sana. Aku persiakan seseorang yang sangat berharga dan istimewa dalam hidup aku.
Aku mula berjinak-jinak dengan alam percintaan semasa aku berada di sekolah rendah maklumlah budak-budak baru nak up masa tu. Aku berkenan dengan seorang perempuan. Cantik dan kaya tapi bukan sebab kekayaan aku suka dia. Cuba teka dia terima aku ke tak? NO gaisss NO. Dia kata aku ni hodoh tak hensem tak sesuai dengan dia. Sebab dulu aku tersangat kurus dan hitam. First time aku kena cakap macam tu aku pun bawa diri. Masa berlalu sehingga aku berada di sekolah menengah aku berjumpa ramai kawan.
Selepas kejadian ditolak aku jadi takut nak meluahkan perasaan walaupun aku berkenan dengan mana-mana perempuan. Sampai aku jatuh cinta kesekian kali dengan seseorang dan aku ditolak untuk kedua kalinya gaiss. Haha. Kesian hidup aku takda siapa yang sudi. Dia taknak terima aku sebab aku ni miskin tak ada apa-apa. Aku dibesarkan oleh makcik aku mak ayah aku meninggal dunia semasa kemalangan. Aku redha kena tolak sakit tapi nak buat macam mana life must go on orang putih kata. Sehinggalah aku berpindah sekolah baru dan aku berkenan dengan rakan sekelas aku rasanya baru kenal dalam 3 bulan aku cuba beranikan diri maklumlah masa tu musim trendd semua orang ada couple. Aku tak sangka dia terima lamaran aku nak couple dengan dia.
Akhirnya aku berjaya juga ada couple tak kalah dah dengan kawan-kawan aku. Tapi sedihnya tak sampai dua bulan gaiss satu hari aku nampak dia curang dengan kekasih baru depan mata aku. Maklumlah sekolah tak besar sangat. Dia siap boleh cakap kat lelaki tu aku bukan siapa-siapa. Sedihh bhaii. Rasa macam terhiris-hiris perasaan aku. Dia siap boleh perlekehkan aku ‘’siapa je nak tengkorak macam kau.’’ Sakit. Jatuh juga air mata jantan aku masa tu lepas balik sekolah sebab dipermainkan baru je nak rasa kebahagiaan. HAHA. Tapi Tuhan Maha Adil. Ini permulaan cerita sebenar yang aku nak kamu semua buka mata hati kamu.
3 minggu selepas putus dengan perempuan tu. Tak semua first love tu indah macam kes aku. Pedih derr. Masa tu aku ditakdirkan jumpa dengan sorang budak perempuan ni dia kelas depan orang-orang pandai lah katakan aku pula kelas paling belakang. Haha. Jangan gelakkan aku. Nak jadikan cerita, kami mula kenal sebab masa tu ada program motivasi semua kelas digabungkan macam minggu suai kenal dah aku rasa. Aku namakan bidadari ni Ana(bukan nama sebenar). Ana seorang gadis yang sangat lembut, putih dan sopan. Hampir dua minggu aku dok perhatikan Ana sebab takut ditolak maklumlah dia dahlah cantik putih aku ni ada apa je dahlah miskin, hitam dan tak hensem pula tu.
Disebabkan rasa cinta yang tak boleh dibendung aku pun cuba untuk mengajak Ana berkenalan dan akhirnya aku dapat memiliki no telefon dia. Masa tu tak wujud lagi zaman-zaman whatsapp just ada mesej je. Ana meminta masa dalam seminggu untuk memberi balasan. Dan aku tak sangka dia terima ajakan aku untuk mengenalinya lebih dalam lagi. Aku pada awalnya sangat gembira bila mengetahui aku adalah cinta pertama Ana. Sebelum-sebelum ni ramai juga cuba mendekati Ana tapi dia taknak terima siapa-siapa. Sepanjang mengenali Ana aku baru sedar bidadari itu memang wujud kat dunia ni.
Disebabkan aku ini adalah anak yatim piatu selama bertahun-tahun aku menumpang kasih dengan Ana. Ana memberikan kasih sayang seorang kekasih yang sangat tulus. Ada masa aku rasa Ana terlalu baik untuk aku. Ana tidak pernah mengendahkan walaupun aku ini muka macam cakoi, hitam dan tidak ada harta sekali pun. Tak sangka masih ada perempuan macam tu zaman sekarang. Ana masih terus setia walaupun kami kini berbeza komitmen. Alhamdulillah kami berjaya bersama-sama menjejakkan kaki ke menara gading. Ana tetap ada untuk aku tidak kira ada ujian apa pun dalam hubungan kami.
Walaupun aku banyak sakitkan hati dia. Dia tetap maafkan aku. Aku bersyukur sebab Tuhan berikan aku seorang bidadari yang sangat tulus hatinya. Kadang aku rasa aku tak layak untuk Ana, pernah sekali aku langsung tak ada duit semasa di IPTA. Ana satu-satunya yang tetap ada untuk aku. Sebelum tu aku cuba untuk meminjam dari kawan-kawan yang lain tapi semua satu-persatu tinggalkan aku. Ana senyap-senyap pergi berbelanja barang-barang keperluan ku waktu itu.
Petang tu Ana minta untuk aku bertemu dengannya maklumlah tempat pengajian kami dekat. Aku tak pernah sangka Ana akan sanggup datang untuk berjumpa ku. Segala barang keperluan mandian dan makan minum ku serba lengkap. Kebaikan Ana memang tidak dapat aku sangkal lagi. Sejak dulu Ana memang tidak pernah berkira dengan aku. Betapa bersyukur aku sebagai seorang yang tidak ada apa-apa memiliki seorang peneman hidup bernama Ana.
Tahun berganti tahun, pada usia hubungan kami yang ke 10 tahun perhubungan aku dan Ana. kami berjaya menghabiskan pengajian. Aku ditakdirkan berjumpa dengan seseorang. Hari demi hari tanpa sedar sikap aku makin lama makin berubah dengan Ana. Sekitar 2 bulan aku mendiamkan diri dan aku mengabaikan Ana. Segala pesanan yang dikirimkan oleh Ana aku tak pedulikan. Masa Ana perlukan aku, aku sibuk melayan perempuan yang aku baru kenal sebulan dua. Jahatkan aku. Ya. Memang jahat. Walaupun aku layan Ana macam sampah Ana tak pernah bosan menghubungi aku. Ana tak henti-henti bertanya apa salahnya dia sampai aku berubah macam ni.
Aku masih mengabaikan Ana bahkan aku meminta untuk hubungan ini diputuskan atas alasan aku sudah tidak mampu lagi meneruskan hubungan ini. Aku lupakan semua kebaikan yang Ana pernah bagi dekat aku. Aku lupa Ana yang setia ada dengan aku masa susah senang. Aku lupa Ana yang satu-satunya paling setia dibelakang ku dalam apa jua keadaan. Aku lebih memilih orang yang aku baru kenal dan membuang insan yang pernah ada separuh dari hidup aku. 10 tahun gaiss. Aku buta sebab kepentingan diri. Ana berkali-kali minta untuk kami membincangkan hubungan ini tapi aku tetap tidak memperdulikan Ana malah aku juga yang akhirnya memarahi Ana. Ana mula akur dengan permintaan ku dan pergi membawa diri.
Dua bulan selepas itu, aku mula sedar pilihan yang aku pilih sekarang adalah kesalahan besar. Tidak ada dan takkan ada wanita seperti Ana. Aku jadi rimas dengan wanita yang menjadi teman wanita sebagai penganti Ana. Dia mula meminta aku untuk mengikuti semua keinginannya. Segala penggunaan duit mahupun perkara dia akan ungkit dan meminta untuk aku mengantikan semua. Sangat berkira bab tenaga, common sense dan segalanya. Dia ingin semua perkara aku yang terlebih dahulu menyelesaikan dan berkorban.
Dalam diam aku dapat tahu yang dia senang-senang keluar berduaan dengan lelaki lain dan keluar membeli belah barang-barang keperluannya dibelanja oleh kawan-kawan lelakinya. Kami bertengkar disebabkan hal tersebut dan meminta dia untuk memberi penjelasan. Baginya aku tidak ada hak untuk melarangnya dan dia bosan kerana aku tidak mampu membelikan barang-barang yang diigininya. Dia hanya menjadikan aku tempat melepaskan bosan dan umpama kerbau yang ditucuk hidung ikut semua kemahuannya. Pada awal perkenalan kami aku tidak pernah terfikir dia macam tuu. Pada usia hubungan yang hampir 4 bulan aku memilih untuk pergi dari hubungan tersebut.
Gais masa ni aku baru sedar langit tu tinggi rendah. Masa ni aku rindu yang teramat dengan Ana. Aku baru sedar aku bodoh sebab melepaskan sesuatu yang lebih berharga dari permata. Segala pengorbanan, kesetiaan dan kebaikan Ana mula menghantui aku. Tanpa sedar aku menangis yang teresak-esak selepas solat meminta agar Tuhan mengembalikan Ana ke dalam hidup aku. Aku merasakan penyesalan yang paling besar dalam hidup. Aku tekad untuk mencari Ana semula. Aku nak tebus semua kesalahan aku dan berusaha untuk membahagiakan Ana.
Aku janji bahawa selepas ini Cuma ana satu-satunya yang akan aku cintai sampai bila-bila. Aku nak minta maaf dekat Ana dan bercadang untuk berkahwin dengan Ana. Ana tidak pernah lagi muncul dalam hidup aku sejak hari kami rasmi putus. Aku berusaha menghubungi rakan-rakan, keluarga Ana. Ana telah meyekat aku dari semua media sosial yang pernah menghubungkan aku dengannya. Aku juga turut berkunjung ke rumah Ana untuk menemui Ana tetapi ternyata mereka telah berpindah ke daerah lain pada sebulan yang lepas.
Setelah seminggu aku berusaha mencari Ana, satu hari aku terjumpa sahabat baik Ana kebetulan ketika itu aku juga mengikuti sebuah program. Aku cuba bertanya tentang Ana. Seperti ada sesuatu yang berdentum di belakang aku mendengar berita yang aku tidak pernah tahu sebelum ni. Rakan baik Ana menangis semasa menyampaikan cerita tersebut yang Ana telah meninggal dunia pada dua bulan yang lepas disebabkan sakit. Ternyata semasa aku meminta untuk memutuskan hubungan pada waktu itu Ana sangat memerlukan aku. Patutlah dia berusaha untuk aku tetap di sisi dan tidak meninggalkannya ternyata itu permintaan terakhir beliau kepada ku.
Sepanjang aku tidak mengendahkan dia, dia sedang berusaha untuk berlawan dengan penyakitnya. Pada saat itu juga air mata lelaki aku jatuh dan penyesalan yang tidak pernah berpenghujung sehingga akhir hayat aku. Aku telah mengabaikan seorang perempuan yang telah banyak berkorban untuk aku. Aku hanya nak Ana kembali dalam hidup aku, aku hanya mahu melalui liku-liku hidup aku dengan seorang perempuan bernama Ana. Tapi semua dah terlambat Ana kini tidak lagi mampu mendengar semua kata-kata yang aku ucapkan. Aku rindu dengan karenah, senyum dan merajuk Ana. Ana menunaikan janjinya bahawa sampai akhir hayatnya aku adalah cinta terakhir dalam hidup dia.
Setakat itu jelah cerita aku, air mata aku mengalir laju masa taip cerita ni. Itulah cerita aku seorang lelaki yang menyia-nyiakan seorang perempuan yang belum tentu aku akan temui lagi pada zaman ssekarang. Untuk kalian, yang tengah bercinta mahupun yang dah berkahwin hargailah pasangan anda. Jangan jadi macam aku buta mata dan tidak menghargai bidadari yang Tuhan dah kirimkan untuk aku. Aku menyesal gaiss. Walaupun dah 2 tahun berlalu sampai sekarang aku masih tak dapat menerima sesiapa dalam hidup aku. Aku masih single dan bersendirian. Sampai bila-bila aku tak boleh maafkan diri aku apalagi menggantikan tempat Ana.
Ucaplah kata sayang anda kepada pasangan kalian selagi mana masih ada depan mata. Jangan abaikan dia, bila kita rasa bosan dengan dia ingat masa susah senang kita dengan dia segala pengorbanan dia. Jangan biarkan dia lalui kesusahan dalam bersendirian. Gaduh macam mana pun anda dan dia ingatlah bahawa dia juga seorang manusia. Berbincanglah walau sekecil perkara jangan cari lain. Yang kita ada sekarang sebenarnya dah cukup terbaik dah sebenarnya. Terima kasih gaiss sebab baca sampai habis kisah hidup aku semoga dapat membuka mata hati kalian untuk lebih menghargai pasangan anda. Doakan untuk Ana semoga Tuhan memberkatinya.
Sekian,
Lelaki yang menyesal…
– FIQ
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit