Permohonan Cerai Daripada Isteri

Assalamualaikum semua, saban hari kita lihat banyak berlaku pergolakan dalam rumahtangga… penganiayaan, keganasan, penderaan emosi… Ada yang nampak secara zahir, ada juga yang menekan mental bahkan kedua-duanya sekali…

Saya rasa ada perlunya saya berkongsi serba sedikit pengalaman dan perjalanan penceraian ibu saya. Penulisan ni sekadar untuk berkongsi buat wanita yang masih buntu arah di luar sana. Mana tahu ada serba sedikit boleh diambil nilai.

Penceraian antara ibu dan ayah ni berlaku atas sebab yang sangat kukuh dan demi kebaikan untuk kami sekeluarga…

P/s : penulisan ni bukan bertujuan untuk menggalakkan/ mendorong penceraian antara pasangan.

Terlebih dahulu saya sekeluarga berasal dari kelantan, dan saya tak pasti sama ada undang2 syariah ini sama atau tidak di negeri lain. Selain itu, kisah ini lebih kepada pemerhatian dari kaca mata saya sebagai seorang anak.

Paling penting, pastikan dahulu sebab atau kesalahan si suami itu benar-benar berlaku dan memang ada bukti yang kukuh sebab kalau sekadar berunsur tuduhan nanti kita pula yang berdosa.

Ingat! kena ada sebab dan alasan yang kukuh. alasan tu sebolehnya jangan kaitkan dengan poligami walaupun nampak logik. (ini saranan peguam ya)…

Alasan sebetulnya harus diletakkan atas akhlak suami itu sendiri dan andaikata si suami ada melakukan perbuatan menyalahi agama pada pendapat saya itu adalah sebaik-baik alasan.

Kedua dan ni pun sama penting ialah perasaan seorang isteri itu terhadap suami. Ini akan disoal oleh Hakim. Kalau masih ada cinta, sudah tentu hubungan tu masih boleh diperbaiki. Macam situasi ibu saya, ibu dah betul-betul tawar hati.

Selepas menasihati ayah beberapa kali, Ibu dah tak tegur kesalahan ayah melainkan hanya berdoa kepada Allah s.w.t. Tambahan lagi, keadaan saya sekeluarga sentiasa terancam kerana hasutan isteri ke-2 yang dengki dengan ibu.

Seterusnya, sentiasalah persiapkan hati dengan doa baru dalam solat kita iaitu agar dipermudahkan urusan keputusan kita ini, melakukan ibadat sunat, mendekati hal-hal agama. Hati kena tenang sebelum membuat sebarang keputusan.

Ini pun dari pemerhatian saya terhadap sikap dan akhlak ibu. Ibu memang semulajadinya orang yang suka mendalami ilmu agama, tidak suka bergaul sangat dengan orang luar selain urusan penting.

Sebelum membuat keputusan, ibu memang akan berdoa dan sentiasa melakukan ibadat sunat serta tidak lupa berbincang dengan kami adik-beradik. Andai para isteri masih boleh bertahan dan ada ruang kemaafan dalam hubungan sila pertahankan.

Step seterusnya ialah dapatkan kaunseling di pejabat agama. Ibu memulakan langkah dengan merujuk kaunseling di pejabat agama.

Memandangkan musim covid, urusan kaunseling masa tu hanya melalui telefon. Ayah pula jenis yang suka putar belit cerita, jadi ibu proceed ke mahkamah syariah untuk dapatkan borang permohonan penceraian tanpa persetujuan bersama.

Kenapa tidak fasakh? Fasakh menurut kerani di situ lebih kepada mereka yang tak tinggal sebumbung melebihi empat bulan dan agak memakan kos.

Pastikan anda mendapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang sebetulnya. Saya hanya berkongsi pengalaman sahaja kerana lain orang, mungkin lain kes dan kaedah penceraian tu.

Kerani tersebut ada bagi alamat kepada ibu (bagi yang kurang mampu) untuk ke pejabat biro bantuan guaman untuk mendapatkan nasihat.

Di sinilah kaum wanita akan dibantu dan diberi penerangan oleh peguam. Banyak lagi fungsinya (refer sendiri dekat website diaorang).

Menurut peguam, setelah mendengar kisah ibu, dia menasihati kami untuk menghantar terus permohonan ke mahkamah kerana agak lambat jika memohon melalui biro bantuan guaman.

Peguam tersebut juga ada memberi penerangan dan ulasan tentang sebab ibuku ingin berpisah. Alhamdulillah, jelas betul penerangan dia.

Pastikan si isteri buat laporan polis jika ingin keluar dari rumah hatta balik kerumah keluarga jika tak beritahu suami. Bimbang takut jadi kes lain.

Seandainya si isteri dalam bahaya, atau suami kaki pukul juga semestinya sila buat laporan polis terlebih dahulu sebelum keluar meninggalkan rumah.

Lain pula dalam kes keluarga saya, tanpa disangka ada pergaduhan besar sekali lagi disebabkan hasutan isteri ke-2 ayah. Kami terpaksa buat laporan polis kerana tindakan ayah berbahaya.

Jadi kami ke balai polis untuk buat laporan. Disebabkan ada kes kena pukul, kena refer hospital. (bukan ibu tapi saya mangsa dalam hal ni.. hehe). Kemudian ke IPD utk recovery report.

Kemudian,dapatkan support system untuk circle kita. Dalam kes ibu saya, syukur, keluarga ibu sangat membantu.

Kami diberi tempat perlindungan kerana sepanjang tempoh ini ayah banyak mengugut kami dan berlakon seolah dia yang mangsa. Habis sekampung dijaja cerita rekaannya.

Nasib kami juga baik kerana arwah Tok ayah (bapa ibu) ada kenalan dari mahkamah syariah. Jadi kami kerumahnya untuk tanya pendapat dan perihal kes ini.

Alhamdulillah beliau juga menasihati ibu dan menerangkan dengan jelas proses penceraian tanpa persetujuan bersama.

Untuk jenis penceraian tanpa persetujuan bersama, semasa hantar permohonan, akan ada yuran pendaftaran dikenakan sekitar RM130.

Kemudian pemohon dikehendaki daftar kes cerai. Mahkamah akan keluarkan tarikh dan masa hadir ke mahkamah.

Memandangkan ayah seorang makhluk yang egonya tinggi melangit dan keras kepala supo keng, ibu turut meminta mahkamah keluarkan surat saman untuk dihantar kepada bapa. Pihak mahkamah akan hantar direct terus ke tangan ayah.

Proses seterusnya akan bergantung kepada tolak ansur Ayah. Menurut kenalan arwah Tok Ayah, seandainya si suami tu faham dan mudah tolak ansur semasa hari kejadian, dia akan menerima keputusan untuk melafazkan cerai pada hari tersebut.

Atau berbincang dengan isteri dan masing-masing masih boleh berdamai, maka kes akan dibatalkan.

Tetapi jika Si suami tidak setuju cerai, maka akan ada dua langkah atau dua kali hadir lagi ke mahkamah. Dalam kes kami, memang ayah tak setuju walaupun dah terang- terang kesalahan dia.

Hakim pun seolah-olah faham dan masak dengan karakter suami begini. Hakim memutuskan kes dibawa kepada tarikh lain untuk lantikan hakam dan bayaran khulu’ (tebus talak).

Seterusnya mahkamah akan beri tarikh lain untuk hadir bersama hakam yang dipilih masing-masing. Alhamdulillah, bapa saudara (adik ibu) sanggup jadi hakam ibu.

Sedikit penjelasan, hakam ni bukan sekadar siapa-siapa ya. sebolehnya hendaklah individu yang terdekat dan kenal siapa kita dan pasangan.

Seandainya tiada hakam, mahkamah akan lantik hakam untuk pihak yang tiada. Isteri dan suami akan diberi surat pengesahan untuk menyerahkan keputusan dan kuasa sepenuhnya kepada hakam. Hakam juga akan menandatangani surat lantikan.

Dengar cerita, kawan-kawan dan saudara mara ayah tak nak tolong dia. Last sekali dia pilih ustaz yang baru dia kenal kononnya senang nak buat cerita.

Tapi syukur, ustaz tu dah warning awal kepada ayah bahawa dia perlu tanya kisah kedua-dua pihak bahkan dia turut bertanya orang kampung.

Ayah terkedu jugalah sebab dia ingat boleh control ustaz awalnya. Ustaz tu juga kerap berbincang dengan bapa saudara.

Menurutnya jadi hakam bukan nya sebab nak membela sesiapa, tetapi sebagai orang tengah untuk menilai hubungan suami isteri tu masih boleh diteruskan atau tidak. Besar tanggungjawab untuk buat keputusan.

Disebabkan pkp covid-19, kes ni dah dua kali tangguh. Tunggu punya tunggu, dari bulan 12,hujung bulan 3 baru panggil. Nasib tak mereput.

Proses last ni hakam yang masuk menghadap Hakim.

Dan seandainya masing-masing capai kata sepakat, Hakam pihak suami akan lafazkan cerai kepada hakam pihak isteri. Hakim mahkamah akan keluarkan perintah penceraian bersama bayaran tebus talak.

Pihak isteri kena sediakan wang tebus talak. Memang kalau ikutkan si suami tak setuju. Tapi bila kuasa ada pada hakam, hakam yang akan putuskan. Khulu'(bayaran tebus talak) biasanya dinilai separuh daripada jumlah mas kahwin.

Menurut kenalan arwah Tok Ayah, tujuan bayaran khulu’ dibuat ialah agar suami tidak ruju’ kembali bekas isteri.

Wang tebus talak akan diserahkan kepada hakam Suami. Kemudian, pemohon yang failkan penceraian perlu tunggu untuk ambil rekod penceraian beserta yuran RM30.

Rekod penceraian perlu diserahkan segera ke pejabat agama untuk keluarkan sijil cerai. Pihak pejabat agama akan keluarkan tarikh untuk ambil sijil cerai.Sekitar dua bulan juga dekat sini untuk keluarkan sijil cerai.

Entahlah mungkin sebab covid-19 kut jadi lambat. Semasa nak ambil sijil, bayaran RM70 perlu dibayar oleh pemohon. Kiranya ibu bayarkan sekali untuk sijil cerai pihak ayah.

Akhir sekali, untuk kes penceraian tanpa persetujuan bersama, biasanya pihak lelaki tak tahu atau sedar pun dia dah bercerai sebab semuanya melalui hakam. Dalam kes ibu ni, ayah semestinya mengamuk marah-marah kerana fikirnya hakam akan membelanya.

Habis orang dimarahnya. Pengajarannya, nak jadi suami, kita tak boleh ego dan angkuh dengan isteri seolah semua kena patuh dan lafaz talak hanya di mulut suami.

– Si Sulong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *