Assalamualaikum. Saya digelar N. Saya graduan bachelor beberapa tahun lepas dalam bidang sains (pilihan ibu bapa).
Saya mempunyai sejarah mdd (major depression disorder) dan ptsd menyebabkan saya tidak bekerja hampir setahun selepas konvokesyen kerana berulang alik hospital, menjalani terapi dan pergantungan atas ubat-ubatan.
Sekarang saya bekerja dalam bidang sales kerana tempat ini paling flexible untuk saya dari segi ke hospital dan kemahiran kerana memerlukan hanya kemahiran asas.
Masa sekolah saya antara high achievers. Tak pernah jatuh top 3. Join program dan pertandingan sana sini. Impian saya adalah arkitek, tapi terpaksa ikut cakap ibu bapa yang ingin anak2 capai impian mereka yang tak tercapai dari cita-cita anak2.
Saya rasa saya kemurungan disebabkan buli sekolah rendah, trauma yang hanya Allah, si perilaku, saya dan pakar terapi mengetahui dan masalah keluarga.
Ibu selalu menangis sebab masalah duit dan keluarganya dan saya dijadikan tempat meluahkan perasaan tanpa memikirkan tentang perasaan saya juga dan keadaan saya yang semakin tenggelam tak ada siapa yang nampak.
Hari demi hari hati saya makin kelam, ibu kata saya hati kering.
Sepanjang sekolah menengah saya cuba bertahan kerana saya nak ubah hidup saya tapi apakan daya desakan hidup yang terpaksa saya terima.
Pada masa itu saya perlu jaga pelajaran, perlu cari duit tambahan ke sekolah, perlu jaga adik2, perlu dengar luahan ibu dan pergaduhan antara ibu bapa.
Tapi syukur Alhamdulillah keputusan spm saya menggembirakan hati yang luka. Mungkin Allah nak pulihkan hati saya. Lepas spm saya dapat diploma bidang yang saya minat tapi ibu bapa tak benarkan. Kami tak cukup duit.
Jadi saya masuk matrik sebab ada elaun. Lepas matrik saya nak ambil bidang yang saya mahukan tapi keluarga tak bagi sebab sains lagi megah di mata mereka. Jadi saya terluka lagi.
Sejak masuk degree depression saya jadi lebih teruk sebab terpaksa tengok orang lain belajar bidang yang saya minat.
Saya redha pada mulanya, tapi lama kelamaan saya mula rasa kosong. Saya nak cari benda untuk isi kekosongan hati dengan join banyak program yang akhirnya mengganggu pelajaran saya.
Saya masuk banyak program dan pertandingan yang merupakan minat saya tapi pelajaran jatuh ke laut dalam. Saya tak mampu dapatkan dekan seperti yang ibu bapa harapkan jadi saya semakin murung.
Saya tak mampu fokus atas pelajaran dengan kondisi kemurungan yang semakin teruk. Habis graduasi, saya cuma mampu dapat bergraduasi cukup makan saja.
Selepas graduasi saya cuba bun*h diri dua kali atas sebab keputusan saya yang menghampakan dan juga permasalahan lain tapi berjaya diselamatkan oleh bapa.
Bapa tanya kenapa buat macam tu, saya bagitahu saya tak nampak jalan dan hala tuju. Saya rasa kosong. Saya dah solat, dah doa tapi saya tak mampu.
Saya tak mampu untuk mintak kerja bidang saya belajar sebab saya jadi benci bidang yang saya dipaksa untuk ambil. Saya tak mampu nak redha. Saya rasa saya tak ada guna. Jadi buat apa saya hidup kalau saya tak ada guna.
First time saya tengok bapa dan ibu ketakutan, muka mereka yang menahan rasa bersalah dan kesedihan melampau jadi saya ambil keputusan ke hospital. 9 bulan treatment dan saya beransur pulih.
Sebelum bidang sales ni saya ada kerja di tempat lain semasa hujung tempoh rawatan tapi ada orang dekat situ dapat tahu yang saya ada depression dan saya dipujuk oleh executive untuk berhenti dan ada rakan sekerja terang-terangan menyatakan saya gila.
Jadi saya amat takut untuk mulakan kerja baru di tempat baru. Cuma tempat kerja sekarang tak ambil peduli yang penting ada sales dan kita buat kerja kita. Walaupun saya ada trauma dengan manusia syukur tempat kerja tak mendesak.
Tapi sekiranya ada yang bertanya kenapa tak kekal kerja sekarang, bukan saya tak nak stay kerja sekarang tapi basic bawah RM1500 walaupun sudah 2 tahun saya bekerja di sini dan saya perlu tolong keluarga, duit gaji tak cukup untuk cover semua perbelanjaan.
Ibu pun dah mendesak mengatakan kenapa penat-penat belajar tinggi kerja tahap spm jugak. Lebih baik tak perlu belajar ambil kerja kerajaan peringkat bawah pun dah cukup. Atas desakan, saya jadi tak tahu apa yang perlu saya buat.
Tempat kerja sekarang dahulu okay sahaja, supervisor bagus, rakan sekerja pun bagus tapi sekarang saya pun tak pasti apa masalah ataupun adakah semua ni masalah saya.
Supervisor saya layan saya nak tak nak, soalan saya dijawab acuh tak acuh adakala dengan nada yang tinggi.
Saya kena herdik tiba2 masa buat kerja, kena marah atas kesalahan orang lain tapi orang tu senang lenang tanpa rasa bersalah. Saya ada tanya apa salah saya tapi tak berjawab soalan ni.
Jadi bila kena marah saya cuma iyakan saja sebab saya tak nak overthinking. Keadaan saya nak membenarkan saya overthink. Sebab kemurungan saya boleh kembali semula.
Saya tak mau besarkan cerita jadi saya tak tanya banyak, saya cuma buat kerja saya tapi sekarang treatment supervisor ni ganggu kerja saya sebab saya dapat info lambat ataupun tiada info langsung walaupun saya bertanya.
Hari hari saya tertanya adakah saya yang bermasalah? Adakah saya yang tak berguna? Jadi saya nak cari jalan baru tapi saya takut. Takut yang amat. Takut sekiranya ada yang bertanya kenapa ada setahun tak bekerja. Kenapa tak kerja bidang yang saya belajar.
Apa patut saya buat? Apakah langkah yang pertama yang perlu saya lakukan? Tolong guide saya. Saya tak ada orang yang boleh bagi jawapan. Kawan2 fikir depression boleh hilang macam tu saja. Ibu bapa fikir sebab saya tak cukup amal ibadat.
Mungkinkah? Mungkinkah saya yang berdosa besar? Jadi kehidupan saya yang bagi orang lain mudah tapi bagi saya rumit serumitnya kerana dosa dosa saya?
Tolong bantu saya…
– Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit