Pesakit Meninggal Dalam Jagaanku

Salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi. Aku Q ingin berkongsi satu pengalaman yang pernah aku lalui beberapa tahun yang lepas.

Kejadian ini masih berbekas di dalam hatiku sampai sekarang walaupun ianya telah bertahun lamanya berlalu.

Seperti tajuknya, pada suatu hari aku tertarik untuk menerima satu tawaran kerja yang diiklankan di dalam media sosial.

Syarat-syarat yang dinyatakan agak mudah bagiku kerana aku memang minat dalam bab penjagaan orang-orang ini tidak kiralah bayi, budak, orang tua sekalipun.

Sedikit coretan riak, jika aku menjaga bayi atau budak kecil mereka akan melekat dengan aku sehingga ibu bapa mereka runsing kerana menyusahkan aku.

Begitu juga jika aku bekerja menjaga orang-orang tua, mereka akan berebut minta aku melayan mereka sampaikan ada yang bergaduh cemburu agaknya bila aku terlebih melayan yang lain.

Sehinggalah aku ambil keputusan terima job yang jaga pesakit di hospital.

Seperti yang aku nyatakan di atas sebelum ini, syaratnya bagi aku mudah dan aku senang hati serta ikhlas sepenuhnya melakukan job yang satu ini.

Aku namakan pesakit ini Y, umur sekitar penghujung 30 lebih, perempuan bujang dan berpenyakit mental yang tidak berapa teruk.

Selain mental, Y disahkan menghidap penyakit kanser. Sejujurnya ragam Y sangat banyak kerana mental dia tidak seperti orang biasa.

Y suka bercerita yang merapu-rapu tetapi aku suka layankan. Apabila tiba sakitnya menyerang, Y akan menjerit dan mulai memarahiku.

Aku cuma diam dan angguk-angguk membenarkan semua emosi Y terlepas. Y selalu mengarahku tukar pampers dia walaupun masih kering namun aku akan berusaha sedaya upaya untuk menurut semua kemahuannya.

Kadangkala minumannya pun 2 ke 3 kali aku terpaksa tukar apabila Y sering berubah hati dalam waktu yang singkat.

Rutinku setiap hari memandikannya juga menjadi satu masalah apabila banyak yang Y bebelkan tetapi aku tidak pernah terdetik dalam hati untuk marah kepadanya.

Entahlah, setiap hari yang aku lalui semasa menjaganya menjadi satu ibadah yang sangat ikhlas aku rasakan kerana tiada penat dan stress yang aku rasakan dalam hati.

Ada suatu hari aku tidak dapat menjaganya kerana beberapa perkara perlu aku selesaikan jadi aku maklumkan sedia kepada ahli keluarganya.

Hari berikutnya seorang ahli keluarganya menghubungiku dan merayu untuk datang kembali menjaga Y kerana tiada siapa di antara ahli keluarganya yang sanggup dan tahan dengan kerenah Y semasa ketiadaanku.

Y memberontak tak nak makan minum dan tak mahu makan ubat.

Sepanjang masa Y sebut namaku minta aku datang jaganya. Aku terpaksa letak tepi urusanku, aku bergegas datang ke hospital menjaga Y.

Sebaik sahaja Y melihat aku datang, Y terus tersenyum gembira. Aku salam cium tangannya dan bertanya khabar.

Y mulalah bercerita itu ini mengadu apa sahaja yang terlintas dihatinya sampaikan nurse pun dia komplen tak bagus. Bermula lagi rutinku, sebenarnya setiap kali lepas solat aku akan baca Yasin di sebelahnya dan berselawat.

Y akan diam mendengar, kadangkala Y akan melakukan aksi bersolat. Apabila Y menadahkan tangan berdoa yang aku pun tak tahu apa isinya aku akan aminkan dan Y akan senyum kegembiraan.

Sudah tertulis takdirnya diatas lembaran catatan hidup masing-masing, suatu hari Y bercakap seperti seorang yang sangat waras.

“Kak Q… Kamu sangat baiklah, aku doakan kamu masuk Syurga nanti ya”.

Aku tersentak, bicaranya sangat berlainan…

Y memang suka panggil aku kakak walaupun dia lebih tua dariku. Aku tunduk ketika itu tahan air mata dan sebak di dada.

Aku bisik perlahan dekat telinganya “Aamiin ya Allah… Terima kasih Y, nanti jangan lupa akak ya, kita jumpa di Syurga nanti”.

Aku tengok Y pejamkan mata perlahan dan air matanya mengalir perlahan di pipi. Aku kesat air matanya dan Y senyum lagi.

Air mataku turut jatuh berguguran, mujurlah Y tidak nampak kalau tidak entah apa lagi yang Y bakal bebelkan. Tamat waktu kerja aku balik berehat di rumah sendiri selama sehari.

Perasaanku sangat terganggu, entah kenapa pada waktu solat semasa asar aku berdoa dalam sujud terakhir aku minta Allah tarik nyawa Y segera jika itu yang terbaik untuknya.

Aku menangis semasa berdoa teringatkan kesengsaraan Y, kesakitannya yang bukan kepalang meruntun hatiku setiap kali Y menangis, menjerit mengadu kesakitannya.

Selesai salam seperti biasa aku berzikir, menadah tangan berdoa. Usai doa satu panggilan masuk di telefonku.

Aku mencapai telefon dan terdengar di gegendang telingaku suara sebak menahan tangis.

“Q… Akak Y dah pergi selamanya.”

“Innalillahi wa inna ilaihi rojiun… Bila tu?” Soalku dalam esak tangis. 

“Baru je tadi lima minit.”

“Q terima kasih banyak kerana telah menjaga Y dengan baik sangat. Maafkan segala ragam Y semasa bersama Q ya…”

“Kami tahu bukan senang nak menjaganya kerana sebelum Q dah ramai yang berhenti jaga dia walaupun kami bagi gaji yang lumayan.”

“Q ikhlas menjaganya, Q minta maaf tak dapat datang ziarah jasadnya, Q tak mampu menahan perasaan melihat pemergiannya.” 

“Terima kasih Q…”

Aku menangis lagi… Jujurnya ada sedikit kesal di hati.

Maaf coretan ini panjang, terima kasih admin. Sekian dahulu, jika ayat tunggang langgang aku minta maaf. Sekolah tak tinggi.

– Q (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *