PhD Menganggur

Agak tragis bila mendapati berita ramai PhD holders yang menganggur. Saya tak pasti secara statistik, tetapi ia merupakan realiti yang dah ada sejak puluhan tahun lalu, dan kini ia lebih ketara.

Bagi saya, menggandingkan kelulusan akademik yang tinggi dengan gaji besar serta kekayaan sama sekali tidak tepat.

Bahkan ketika tahun 90-an, saya masih ingat lagi seorang sahabat arwah ayah saya yang berkelulusan PhD sanggup datang dari jauh untuk berhutang dengan arwah ayah.

Katanya, dia even tak cukup duit untuk isi minyak kereta. Pandangan arwah ayah ketika itu, tentunya PhD yang dimiliki memberi kekayaan, sebaliknya sangkaan itu ternyata meleset.

Arwah ayah saya bercerita, di zaman hujung 70-an hingga 80-an, pelajar tahun akhir ijazah pertama diburu oleh banyak organisasi yang ketika itu sedang mencari tenaga mahir. Isu graduan menganggur langsung tidak timbul.

Lepas krisis ekonomi 1998, keadaan bertukar. Bahkan sudah mula kedengaran kisah-kisah, lulusan PhD menyertai kadet konstable di POLAPOL dan PULADA (Pusat Latihan Polis dan Pusat Latihan Tentera Darat).

Mereka ini menyertai pasukan keselamatan dengan pangkat paling rendah, walhal tahap pendidikan mereka sangat tinggi. Saya percaya, dalam cabang perkhidmatan lain dalam kerajaan, situasinya lebih kurang sama.

Keadaan bertambah buruk ketika ini, tatkala 2020 dah melabuhkan tirai, kita belum nampak kereta terbang mahupun bangunan pencakar langit memenuhi angkasa seperti gambaran ketika idea Wawasan 2020 diperkenalkan.

Hakikatnya, zaman kapitalis serba mencabar ini kita memerlukan at least 4 perkara:

1. Ilmu yang betul untuk berjaya.

2. Peluang yang baik untuk diambil.

3. Network yang reliable untuk diharapkan.

4. Usaha yang bersungguh dengan memanfaatkan semua leverage yang ada.

Semua ini tidak berkaitan secara langsung dengan PhD, tetapi bukan sepenuhnya mengenepikan kelayakan akedemik.

Sesetengah peluang lebih bagus dengan adanya kelayakan akedemik tetapi ia bukan jaminan. Sekiranya kita tidak jumpa peluang, maka kita perlu cipta peluang.

Ada yang berkomentar, “sebab politik kita jadi begitu dan begini”. Pernyataan ini separuh benar, sebab sememangnya sistem kapitalis yang menguasai kehidupan kita ni sangat ganas. Tak banyak kita mampu lakukan.

Memilih untuk merungut dan menyalahkan apa yang kita tidak kawal mematikan potensi untuk berjuang mencari peluang dan ruang untuk berjaya.

Masih ingat apa yang supervisor atau kawan-kawan selalu pesan masa buat PhD? “Kita buat PhD bukan nak ubah/ selamatkan dunia…”

Dunia ilmu habuannya tidaklah sama seperti dunia perniagaan.

Kita tidak mungkin mendapat khazanah hadis sekiranya Abu Hurairah RA yang menginfakkan hidupnya untuk mengumpul hadis, sedangkan beliau hidup miskin hingga akhir hayat.

Begitu juga Syaikul Islam, Ibn Taimiyah, Imam Ahmad, dan Imam Bukhari.

Mereka tidak kaya, tetapi mutiara ilmu yang mereka tinggalkan memberi manfaat jutaan manusia, berterusan ratusan tahun setelah mereka meninggal dunia.

Ini ganjaran sebenar kesarjanaan. Adapun kekayaan, gaji besar dan sebagainya, ia merupakan bonus jika diperolehi.

Ketika ini, saya sedang mempersiapkan research proposal untuk PhD, secara part-time, dengan kerja hakiki, selain menjalankan beberapa perniagaan secara affiliate dan enterprise.

Saya tak rasa sesiapa patut berhenti belajar, sama ada sebelum ada PhD mahupun setelah ada PhD.

Khazanah ilmu sangatlah luas dengan pelbagai semantik yang menarik.

Gagal dapat kerja yang bagus walaupun sudah ada PhD tu bukanlah sebetulnya gagal, melainkan ia terus mengkafankan seseorang dari terus berjuang memperbaiki nasib sendiri.

Setiap saat umur, kesihatan dan kewarasan yang Allah kurniakan ini merupakan amanah. Gunakanlah sebaiknya.

Sekadar berkongsi pandangan. Moga memberi manfaat.

– Dealer Emas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *