Aku perkenalkan diri aku sebagai Diana.. Aku sudah berkahwin dalam 2 tahun lebih. Masih menunggu kehadiran cahaya mata.
Harini aku nak kongsi cerita dan minta pandangan dari pembaca semua mengenai kisah ku. (semua nama dalam ni bukan nama sebenar)
Jujurnya sampai ketahap ini aku masih sukar nak terima kenyataan yang aku ni berkongsi suami dengan wanita lain.
Si dia, encik suami yang ku kenal.. Aku gelarkan dia sebagai Khai, aku kenal dia sejak kami sama-sama praktikal dulu. Dia dari institusi lain, aku pula dari institusi lain.
Suamiku berumur muda satu tahun dari ku. Kami mula bertunang selepas kami masing-masing dapat kerja di Selangor.
Semasa tahun pertama perkahwinan, hubungan kami suami isteri sangat bahagia. Setiap hari terasa macam berbulan madu. Ke sana ke mari berdua. Suamiku seorang yang sangat penyayang. Selalu menuruti permintaan ku. Jika bergaduh, dia sering mengalah.
Lama kelamaan, aku nampak perubahan dari sisi suamiku sedikit demi sedikit. Dia kurang meluangkan masa bersama seperti dulu, dia juga sering menghabiskan masa di telefon miliknya.
Pada mulanya, memang aku tidak mengesyaki apa-apa sebab aku kerap membuka telefon nya dan sejujurnya memang semua kenalan dalam contactnya aku tahu siapa. Dia tiada kawan wanita melainkan kakak dua orang di ofis nya yang dia pernah bercerita kepadaku.
Satu kejadian yang buat jadi kantoi semasa panggilan telefon suamiku berbunyi. Masa tu, Khai terlelap di ruang tamu.
Aku masih ingat pada hari itu adalah hari Sabtu, waktu tengahari. Aku yang sedang masak di dapur kelam kabut berlari ke depan bila mendengar telefon tak henti berdering dari tadi.
Lalu terpapar di skrin Khai, nama Norman. Aku terus angkat call bila tengok Khai masih lena tidur. Jelas suara itu suara perempuan. Aku terkejut, tak bersuara tapi tangan dan badanku bergetar.
Otak aku bercelaru bila dengar dia panggil Khai dengan panggilan “Sayang”. Aku menjerit dalam hati semahunya. Terus aku matikan panggilan dan terus cari nama Norman dalam whatsapp milik Khai. Tak jumpa.
Aku terus mencari sampai ternampak ada archive chat di whatsapp. Tepat sekali. Norman.
Ya. Perempuan itulah yang berlindung di sebalik nama Norman. Satu persatu aku baca chat dengan perempuan tu. Hati aku rasa hancur bila tengok perempuan tu berbalas whatsapp mesra dengan laki aku.
Aku syak mereka berhubungan sulit sebab aku ada terbaca mesej lucah suami dengan perempuan tu. Rupa-rupanya selama ni suami aku balik lewat, pergi kursus rupanya dia curang dengan perempuan tu.
Aku terus menangis sekuat hati sampai Khai terjaga. Aku terus pukul dia kuat-kuat dan macam-macam aku cakap pada dia.
Aku masih ingat, lauk yang aku masak tu sampai hangus tak dapat makan tengahari. Aku mengamuk teruk sampai barang-barang rumah semua aku baling.
Suami aku terkejut bila dia tahu yang aku tahu tentang hubungan sulit dengan perempuan bernama Alin. Aku benci perempuan tu. Apa kurangnya aku sampai Khai perlu cari wanita lain selain aku.
Aku memang bertekad nak bagitahu mama dengan ayah aku tentang hal ni tapi Khai melarang bercerita kisah rumahtangga kami.
Aku ni yang hampir nak gila bila dengar dia cakap macam tu. Aku banyak berdiam dan berkurung diri dalam bilik. Khai tak putus asa minta maaf dan pujuk aku.
Dalam seminggu, hubungan aku dah okay dengan Khai sebab Khai janji dia takkan jumpa lagi dengan Alin.
Memang aku nampak Khai dah banyak berubah. Dia tak lagi mesej Alin lagi. Contact number pun dah takde. Kemana pergi mesti Khai akan bawa aku bersama dia. Aku percaya suamiku kali ni.
Sekali lagi, nak dijadikan cerita yang Khai kantoi kali kedua. Hati aku meronta nak cek wallet suamiku. Bila buka, tiada sebarang keraguan mahupun gambar perempuan tu,tapi hati ni tetap kuat nak cari bukti.
Aku tarik kad suami aku yang bertindih di belakang kad nikah kami. Rupa-rupanya kad belakang itu kad nikah Khai dengan Alin. Perasaan aku sekali lagi rasa hancur dan kecewa, rasa macam tak cukup nafas aku masa tu menangis teresak-esak.
Aku jatuh terduduk kerana kejadian yang aku sendiri tak sangka. Alin dan aku rupanya bermadu. Buat pertama kalinya aku dapat tengok wajah gambar Alin. Rupanya, Alin adalah Siti. Siti Razlina, bekas tunang suamiku dulu.
Aku memang kenal dengan Siti Razlina ni, cuma aku memang tak tahu nama penuh dia. Dulu aku selalu stalk IG suamiku yang penuh tag nama perempuan tu dalam IG Khai..
Ya, memang betul Alin kenal Khai dulu sebelum aku. Malah aku mengenali Khai semasa Khai dan Alin sedang bertunang lagi.
Kami juga selalu keluar bersama, lagipun Alin belajar di Semenyih, jadi mereka jarang berjumpa dan Khai cakap Alin selalu sibuk dengan assignment dan final exam semester.. Khai dan aku pula di Shah Alam.
Mereka sama-sama belajar di institusi yang sama sebelum Khai praktikal satu tempat denganku.
Alin junior Khai, satu jurusan yang sama. Mereka putus bukan sebab aku, tapi sebab Khai yang pilih aku sebagai teman hidupnya dan tinggalkan perempuan itu seorang diri.
Selepas kami habis praktikal bersama, aku dan Khai sama2 mendapatkan kerjaya dan decide untuk langkah seterusnya.
Aku dapat tahu lepas tu, perempuan tu bawa diri. Aku percaya Alin tu dah move on bila setahun kemudian dia berkahwin dulu sebelum kami kahwin. Aku memang tak pernah syak apa-apa dan anggap cerita lama.
Rupa-rupanya suami Alin meninggal beberapa bulan lepas mereka kahwin dan aku memang langsung tak tahu yang Alin dah jadi janda.
Suamiku beritahu yang dia melamar untuk menikah dengan Alin untuk jaga Alin. Khai serba salah dengan perbuatannya dulu terhadap Alin.
Selepas dari kejadian,Khai dah tak sembunyi apa-apa dariku. Tiada ucapan maaf darinya sejak kejadian kantoi kali kedua. Khai dah selalu balik rumah dan tidur di rumah Alin.
Aku banyak makan hati sepanjang bermadu dengan perempuan tu, lagi lagi bila dapat tahu yang perempuan tu tengah mengandung masa tu.
Lama kelamaan aku cuba juga sesuaikan diri dengan keadaan bermadu ni. Tak lama pun, Alin jadi madu aku setahun dua bulan. Dia meninggal masa melahirkan anak dengan suamiku. Kadang aku rasa puas hati bila Alin dah meninggal.
Kadang aku masih rasa marah kerana perbuatannya merampas Khai dari aku. Sekarang, anak tu family Alin yang jaga, Khai hari hari pujuk aku untuk jaga anak Alin dengan dia bersama-sama tapi hati aku tak boleh. Hati aku sakit. Sakit sangat.
Bila aku tengok muka Alin ada iras dengan muka aku. Aku cuma keliru dengan suamiku, adakah dia betul ikhlas mencintai aku atau dia lebih sayang dan cintakan Alin. Siapa sebenarnya dalam hati suamiku, aku atau Alin.
Ya, memang arwah dah takde tapi hati ni masih sakit. Kadang aku dapat rasakan yang Khai masih sayang dan cintakan Alin lebih dari aku. Aku nampak Khai paling sedih masa arwah meninggal.
Khai selalu bandingkan yang arwah jauh lebih lembut, baik dan selalu jaga hati dia, tak macam aku. Tapi Khai cakap dia sayang aku sama macam dia sayang Alin. Aku memang buntu sangat. Mana mungkin ada dua wanita dalam satu hati lelaki kan.
Aku nak minta pendapat semua, patutkah aku teruskan perkahwinan ni sebab rasa sangsi dengan Khai? Aku masih sayang dia tapi dalam masa yang sama aku dah rasa tawar hati. Tolonglah aku.. Mohon pendapat semua.
– Diana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit