Hai. Aku perkenalkan diri aku sebagai Lavender. Kenapa lavender? Aku menyukai bunga ini.
Aku tak pernah menulis di page ni. Selalu hanya menjadi pembaca sahaja. Tapi hari ini terasa ingin berkongsi mengenai pengalaman hidup aku.
Aku berumur pertengahan 20-an. Bekerja dan tinggal di utara tanah air.
Berbalik kepada tajuk confession aku ialah pilih kasih. Ini pengalaman aku sendiri. Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, mempunyai ibu, bapa, seorang kakak dan seorang adik.
Kisah ini terjadi semenjak aku masih kecil. Ibu mempunyai 5 orang adik beradik. Ibuku anak sulung dan mempunyai 4 orang adik perempuan.
Cukuplah aku bahasakan mereka sebagai Mak Ngah, Mak Jang, Mak Teh dan Mak Su. Ibu saudaraku memang terlalu nampak sikap memilih kasih mereka.
Mereka lebih sayangkan kakak aku dan adik kerana mereka berkulit putih, mempunyai rambut yang lurus tidak seperti aku yang mempunyai kulit yang sedikit gelap dan berambut kerinting.
Bagi mereka jika berkulit gelap maksudnya tidak cantik, pemikiran yang sama seperti kebanyakan orang melayu yang lain.
Semasa kecil, ketika Mak Teh aku belum berkahwin dan baru bekerja, dia membeli sebuah kereta untuk kegunaannya.
Aku masih ingat pada suatu hari, dia ingin membawa nenekku berjalan-jalan menaiki keretanya. Jadi Mak Jang dan kakakku ingin mengikuti mereka.
Semasa kakak bersiap, aku juga ikut bersiap kerana ingin mengikut sama. Aku ketika ini berumur 6 tahun. Semasa ingin menaiki kereta Mak Teh, Mak Teh meninggikan suara sambil menjeling aku “Siapa yang ajak kau?”
Pada waktu itu apalah yang difikirkan oleh seorang budak yang baru berumur 6 tahun, jadi aku tetap menaiki kereta dengan hari yang gembira tanpa mempedulikan kata-kata Mak Teh.
Tetapi apabila aku dewasa, kejadian ini sentiasa berlegar-legar di ingatan aku. Betapa sedihnya hati ini dilayan sebegitu. Banyak lagi kejadian-kejadian lain yang seumpamanya terjadi kepada aku.
Seterusnya apabila mereka pergi bercuti sekeluarga, seperti sengaja terlupa hendak membelikan ole-ole kepadaku.
Aku tidaklah terlalu mengharapkan pemberian mereka tetapi hati mana yang tidak terasa jika kakak dan adikku mendapat ole-ole dari mereka tetapi buatku tiada dengan alasan terlupa.
Bukan sekali malah berkali-kali perkara ini terjadi. Aku diam dan menyimpan perasaan sendiri sahaja.
Mak Su aku pula bekerja di luar negeri. Sesekali dia pulang ke kampung, dia akan membelikan buah tangan untuk yang berada di kampung.
Juga sama, aku masih tidak menerima sebarang hadiah daripadanya. Mungkin ada beberapa kali sahaja aku terima.
Tidak seperti anak buahnya yang lain. Setiap kali dia pulang pasti akan membelikan sesuatu buat mereka, termasuk kakak dan adikku. Hanya aku sahaja dipinggirkan.
Pernah sekali aku cuba bercerita kepada ibuku dan kakakku tentang layanan ibu saudaraku, tetapi mereka menganggap itu cuma perasaanku sahaja.
Apabila aku menceritakan semua dengan linangan air mata yang mengalir di pipi, mereka berdua terdiam dan kelu untuk berkata-kata.
Tapi tiada apa yang mereka boleh lakukan. Aku bercerita supaya mereka dapat membuka mata tentang sikap pilih kasih ibu saudaraku yang lain tetapi akhirnya perkara ini berakhir begitu sahaja.
Aku tidak pernah lagi membuka cerita mengenai ini kerana menganggap tiada siapa yang faham situasi aku. Selepas daripada itu aku hanya menangis sendirian mengenang apa yang terjadi.
Susah untuk mencari orang yang betul-betul ikhlas suka dan sayangkan kita walaupun keluarga sendiri. Oleh itu, selepas sedar yang diri ini dilayan dengan tidak selayaknya, aq mula mengasingkan diri dari ibu-ibu saudaraku.
Tidak lagi bersembang atau menunjuk muka jika mereka ke rumah. Banyak menghabiskan masa di dalam bilik kerana aku tak mahu hati terus sakit dengan perbuatan mereka.
Oleh itu, sesiapa yang terbaca confession ini, tolonglah jangan bersikap pilih kasih. Aku sudah merasai perkara ini. Sangat sukar bagi aku hendak melupakan apa yang terjadi.
Janganlah terlalu ambil mudah tentang perasaan orang lain. Aku sehingga sekarang masih tidak boleh memaafkan mereka walaupun aku tahu memaafkan itu adalah perbuatan yang mulia.
Maaf jika confession ini tidak menarik. Aku memerlukan tempat untuk aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Terima kasih kerana sudi membaca.
Yang Benar,
– Lavender (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit