Pilih Kasih

Aku anak kedua dari 4 adik beradik. Aku anak perempuan sulung dalam keluarga. Jadi tanggungjawab banyak dipikul oleh aku. Sejak kecil, aku rasa macam aku ini anak angkat. Dibandingkan dengan adik beradik.

Layanan pun banyak beza. Dulu aku ingat mungkin kerana aku anak sulung perempuan dan ada adik-adik di bawah aku. Kerana itu layanan berbeza. Tetapi lama kelamaan, semua itu berlanjutan sehingga aku remaja.

Dulu masa kecil, jika buat kesalahan yang kecil, dicubit, dipukul sehingga lebam, dimaki dan diherdik. Seolah-olah kesalahan itu besar.

Budak kecil ketika itu, manalah faham apa yang berlaku. Aku hanya mampu menangis saja ketika itu. Dibuli dengan adik beradik, membuatkan aku rasa sedih dan memendam rasa.

Hanya pandai menangis ketika mandi atau malam saja. Tiada tempat untuk aku luahkan. Dulu acap kali aku mendengar ibuku memaki dan mengherdik aku. Aku hanya diam.

Jika bangun pagi, aku menbuat kerja rumah, tetapi tidak dihargai. Malah diperlekehkan. Mengatakan sapu sampah tidak bersih dan seumpama. Aku merasakan usaha aku menolong ibuku tidak dihargai, malah dikutuk. Apa saja aku buat kerja, memang akan diperlekehkan.

Tidak pernah diberi pujian jika aku buat sesuatu. Jika adik beradik ku yang lain, dipuji melambung- lambung hingga timbul iri pada hatiku.

Sampaikan aku menyimpan dendam pada keluarga aku. Aku merasakan lebih baik aku mati ataupun tiada keluarga seperti ini. Bila keputusan periksa keluar, aku akan selalu diherdik, dimaki. Mengapa subjek ini boleh gagal? Kenapa subjek ini tidak skor A? Aku tertekan.

Kenapa aku saja kena? Kenapa semua push aku seolah aku kena sempurna dalam pelbagai perkara? Jika keputusan aku elok, tidak dipuji. Aku merasakan seolah aku ini peminta sedekah yang mengharapkan pujian dari mereka.

Perkara ini membuatkan aku tidak pandai meluahkan ketidakpuas hati aku. Bila aku marah, aku hanya diam. Bila sedih, aku diam.

Aku hanya tahu memendam rasa dan hanya mengangguk faham apabila dimarah. Tidak tahu bagaimana untuk melawan ataupun membantah walaupun itu bukan salahku.

Bila sudah naik menengah, aku dimasukkan ke sekolah berasrama. Aku lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga. Sehinggakan aku takut untuk kehilangan kawan.

Kawan-kawan yang lain menangis terpisah dengan keluarga, namun aku berbeza. Aku merasakan suka dan seronok berjauhan dari keluarga.

Apabila ada teman untuk berkongsi rasa dan perasaan, aku merasa seronok. Teruja ada teman untuk mendengar luahan. Tapi itu tak lama.

Rupanya kawan yang aku anggap seperti keluarga, rupanya menikam belakang. Berpura-pura rapat dengan aku hanya untuk kepentingan sendiri. Aku tidak tahu nak gambarkan perasaan ketika itu.

Kecewa itu tidak dapat diluahkan bagaimana. Aku sedih dan kecewa. Aku jenis cepat percaya orang. Sejak itu aku berubah. Berubah perangai. Berpura-pura baik sedangkan aku bertalam 2 muka.

Disebabkan perkara ini, sehingga sekarang aku tidak langsung percaya pada sesiapa. Diri aku sendiri pun aku tidak percaya.

Beberapa kali aku menbuat test DASS, dan keputusan memang teruk. Semuanya di tahap yang teruk. Semua orang mungkin tidak sangka kerana aku pandai berlakon ceria seolah tiada masalah sedangkan dalaman, aku sedih dan mahu mengakhirkan hidup ini.

Aku mula buat masalah di sekolah. Nak lari jauh dari sekolah. Aku tak nak sekolah situ lagi. Disebabkan aku buat masalah di sekolah, ibu bapa aku dipanggil. Ibu bapa dan guru juga terkejut dengan masalah yang aku buat kerana aku bukan jenis begitu.

Akhirnya aku digantung sekolah 2 minggu. Aku tersenyum bahagia mendengar khabar itu. Malah aku bertanya perlu ke aku bawa semua barang balik ke rumah? Seolah-olah aku nak berpindah sekolah terus.

Di rumah, teruk aku dimarah oleh ayahku. Ibuku hanya mampu menangis kerana tidak sangka perangai aku akan begitu. Sepanjang itu, aku hanya diam seribu bahasa tanpa menjawab soalan mereka. Itulah keadaan aku jika dimarahi oleh mereka.

Tetapi mereka mahu aku bercakap sepatah perkataan. Bercakap dan membela diri. Aku hanya cakap ‘Penat nak bela diri, kalau bela diri pun, apa gunanya? Belum tentu orang nak percaya. So tak payah nak bazir air liur.’

Ibu ayahku pelik, selalunya jika dimarah atau diherdik, aku akan menangis ataupun meminta maaf. Tetapi kali ini, aku hanya bersikap selamba seolah tiada perasaan.

Ibu memaksa aku untuk meluahkan apa yang aku ingin luahkan selama ini. Aku hanya diam saja dan mengatakan tiada apa yang nak diluahkan.

Setelah beberapa kali didesak, akhirnya aku meluahkan. Mengenai layanan yang berbeza antara adik beradik. Itupun aku tak luahkan sepenuhnya. Seperti sangkaan aku, ibu menyalahkan aku juga walaupun aku sudah meluahkan.

Jadi, bagi aku tiada gunanya aku meluahkan. Masa itu, aku mula fikir nak bunuh diri. Tapi aku memikirkan apa kesannya jika aku gagal. Jadi aku bertekad untuk belajar bersungguh dan dapat keluar dari keluarga ini.

Sehingga sekarang, aku masih mendapat makian dan herdikan dari ibuku jika dia tiada mood ataupun tidak puas hati pada aku. Bagi aku, aku hanyalah tempat kemarahan ibu aku. Kekadang aku rasa lawak kerana dia maki, marah semua itu seolah aku buat salah besar.

Sedangkan aku dah buat kerja rumah. Sidai baju, sapu sampah. Namun jika ada kerja yang dia suruh, aku terlupa atau tidak buat, dia punya makian itu, memang power.

Dia maki macam aku bunuh anak kesayangan dia, pecahkan barang dia. Bodoh, banggang, sial dan sebagainya itu perkataan biasa bagi aku.

Bagi yang tak pernah kena maki, memang akan menangis. Tapi aku yang hadap dari kecil, bagi aku biasa saja. Seolah ayat itu bukan berbentuk makian. Ouh lupa nak bagitau. Adik beradik yang lain tak pernah dimaki sekalipun. Aku je yang selalu dimaki.

Jadi salah ke apa yang aku rasa seolah-olah aku ini anak angkat? Kekadang aku terpikir, apa kesalahan aku sudah buat sehingga aku mendapat layanan seperti ini? Aku tak minta dilahirkan. Jika tidak suka, boleh buang atau bunuh saja aku ketika bayi.

Nasihat aku pada ibu-ibu di luar sana. Jangan sesekali membandingkan LAYANAN antara anak-anak. Selalulah berkomunikasi dengan anak jika ada perkara tidak puas hati. Jika memaki dan marah terus, ini buatkan anak memberontak dalam diam. Kata-kata ibu itu doa.

Mana tahu makian yang dilemparkan pada anak, itulah yang dimakbulkan. Aku tidak menyalahkan ibu aku. Cuma aku ingin tahu kenapa aku dilayan begini?

Aku tidak sabar nak bekerja dan hidup jauh dari mereka. Aku berazam jika aku menjadi seorang ibu, aku prihatin dengan emosi anak-anak dan tidak membanding antara yang lain.

Aku tidak meminta simpati kamu semua, cuma aku hanya meluahkan apa yang dipendam. Harap dijadikan pengajaran. Terima kasih.

– Ina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *