Pilihan Bukan Pilihan

Assalamualaikum, pertamanya terima kasih kepada admin IIUM Confession sekiranya tulisan saya disiarkan.

Kali pertama saya menulis disini, sekadar berkongsi dan berharap mendapat titipan semangat dan doa dari pembaca semua. Saya Nisa, lepasan matrikulasi sesi 20/21, cukup pengenalan ringkas dari saya.

15 September lepas, hari keputusan UPU keluar. Hari yang saya tunggu-tunggu, hari yang pada saya hari teristimewa kerana keputusan hari itu akan membawa saya kepada ‘dunia’ baharu.

Terimbas kembali semasa semester awal di matrikulasi, saya masih buntu tentang minat kerjaya saya.

Saya telah membuat keputusan untuk berjumpa kaunselor dan buat ujian minat kerjaya, Holland Code Test dan beberapa ujian lain. Akhirnya saya jumpa satu bidang yang saya rasa ‘kena’ dengan diri saya.

Saya buat kajian kursus tersebut dan betul-betul tanam harapan dan impian untuk masuk ke bidang tersebut pada peringkat ijazah nanti.

Masih saya ingat, bila saya rasa kurang bersemangat dan penat dengan pengajian di matriks, saya akan ingat cita-cita saya untuk masuk ke bidang ni.

Saya akan kembali bersemangat, belajar dan berusaha bersungguh-sungguh.

Alhamdulillah berkat usaha sungguh-sungguh saya, pointer semester pertama saya 3.92 sedangkan syarat yang ditetapkan untuk ‘course’ tersebut hanyalah 2.67, peluang saya semakin cerah.

Untuk bahagian kokurikulum saya juga seorang yang aktif, untuk pengiraan markah merit saya pula adalah 90% keatas.

Untuk MUET saya mendapat band 4 dan sekali lagi melepasi syarat minimum yang ditetapkan untuk ‘course’ tersebut iaitu band 3.

Awal Julai lalu saya menerima satu email untuk menjalani sesi temuduga bagi course tersebut, perasaan ketika itu memang tak boleh digambarkan, syukur sungguh-sungguh.

Saya buat persediaan rapi, antaranya saya cari senior-senior dibidang sama untuk dapatkan tips temuduga, soalan-soalan yang biasa ditanya dan beberapa tips-tips penting yang lain.

Saya baca beberapa buah buku sebagai persediaan.

Dengan persediaan rapi saya kira (saya tak buat skrip jawapan, saya hanya ‘brainstorming’ dengan contoh soalan-soalan yang diberikan dan apa jawapan yang boleh saya jawab) saya rasa saya dah buat yang terbaik untuk sesi temuduga tersebut.

Di tambah pula harapan yang diberikan penemuduga dengan ayat “Nisa InsyaAllah nanti kita berjumpa di U** ya..” (saya rasa semua calon dia tutup dengan ayat sama, cuma saya yang terlalu berharap), makin bertambahlah pengharapan saya.

Selain usaha, tentunya saya juga bertawakkal kepada Dia. Memohon restu dari Mak dan Babah, berdoa berharap Allah rezekikan saya dibidang tersebut.

Selain kursus ini, saya ada juga letakkan beberapa kursus lain yang berkait dengan minat kerjaya dan personaliti diri saya. Tentunya pilihan-pilihan tersebut merupakan pilihan teratas saya.

Bagi memenuhi 12 pilihan universiti (syarat yang diletakkan UPU), untuk pilihan-pilihan terakhir saya terpaksa letak pilihan yang bukan pilihan.

Hanyalah sekadar memenuhi syarat 12 pilihan, ditambah pula ‘course’ yang diminati kebanyakkannya perlu menjalani sesi temuduga sedangkan UPU hanya membenarkan 4 pilihan teratas sahaja untuk ditemuduga.

15 September menjadi sejarah, tepat 12 tengahhari saya menyemak keputusan saya dan saya rasa itulah kenyataan paling pahit saya perlu telan. Gelap pandangan seketika.

Saya mendapat pilihan ke 7 dalam senarai pilihan saya, tentunya bukan pilihan yang di idamkan. Saya mula menyalahkan diri sendiri.

Saya rasa saya gagal dalam sesi temuduga, saya rasa yang saya sendiri yang merosakkan cita-cita saya. Saya mula persoalkan kenapa kenapa dan kenapa.

Beberapa hari ditemani air mata, saya pujuk diri dengan yakin Allah sedang aturkan yang terbaik untuk saya. Perlahan-lahan saya bangkit walaupun sakit.

Saya ajar diri bersyukur, pujuk lagi dengan “La in syakartum la azidannakum”. Saya dapat tahu ada sebahagian kecil dari rakan-rakan saya yang langsung tidak mendapat tempat (perlu buat rayuan).

Rupanya masih ramai dari sahabat-sahabat saya yang sama seperti saya, mendapat pilihan yang bukan pilihan.

Benarlah, jangan terlalu berharap. Perkataan terlalu itu buat kita terlalu sakit.

Sudah seminggu berlalu saya sudah belajar menerima hakikat, merancang perjalanan kehidupan untuk bidang yang bukan pilihan ini.

Dengan rendah diri saya mohon doa semua dari pembaca, doakan saya dipermudahkan segala urusan, dilapangkan dada, dihuraikan segala kekusutan serta dianugerahkan kejayaan dunia dan akhirat.

Terima kasih sudi membaca, saya mohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam penulisan saya.

– Nisa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *