Assalamualaikum admin dan semua. Saya terpanggil untuk membuat confession sebagai seorang manusia yang sudah penat untuk mengadaptasikan diri dalam kebanyakan masyarakat yang kian alpa dengan pilihan hidupnya untuk bertuhankan siapa. Saya faham, kita adalah manusia yang tidak pernah lari dari membuat kesalahan atau dosa dalam hidup. Saya sendiri pun tidak lari dari membuat dosa sama ada sedar ataupun tidak kerana kekhilafan dan kekurangan ilmu pengetahuan dalam perkara tersebut. Cuma saya rasa terkilan dengan sikap sesetengah yang tidak boleh menerima perbezaan pendapat mahupun nasihat. Seperti ada benteng yang perlu diruntuhkan dengam bom nuklear untuk seseorang menerima nasihat tanpa dibidas mahupun dimanipulasikan. Seperti si pemberi pendapat/nasihat merupakan orang yang bersalah.
Si pemberi nasihat dimanipulasikan dan dilabel sebagai cerewet, tidak bertimbang rasa, suka tak puas hati dengan orang, susah untuk deal, dan banyak lagi. Hakikatnya, si pemberi nasihat telah menasihati secara one-to-one, tanpa mengaibkan atau mendedahkan kekurangan kepada sesiapa kerana mereka tahu, kita hidup untuk saling nasihat menasihati agar kita dapat memperbaiki diri dan sentiasa belajar dari segala kesilapan yang sengaja mahupun tidak sengaja. Tapi, kenapa si pemberi teguran sering dimanipulasikan dan dipersalahkan untuk menutup kekurangan diri sedangkan mereka tidakpun mendedahkan kesalahan kamu kepada orang lain? Kenapa perlu ‘overturn the story’? Kenapa perlu reka cerita baru?
Berdasarkan pemerhatian dari hidup saya, saya lihat kebanyakan dari kita telah diprogramkan untuk sentiasa tampil sempurna. Yes, makhluk sempurna yang tidak pernah membuat silap. Orang yang membuat kesalahan akan dipandang, dihukum, dan dilayan hina hanya kerana kesalahan kecil atau kurang pengetahuan dalam perkara tersebut. Kesalahan kali pertama atau beberapa kali haruslah diuruskan secara berhemah, kerana seseorang itu perlu melalui proses pembelajaran untuk mencapai tahap prestasi yang kita inginkan. Setiap individu mempunyai keupayaan diri yang berbeza. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menyelesaikan tugas mereka. Anggaplah ia sebagai satu proses pembelajaran, asalkan mereka mengaku, tahu, sedar dan mahu perbaiki kesilapan tersebut. Setiap orang mempunyai sejarah penjalanan hidup yang berbeza dengan orang lain. Tidak ada seorang pun yang mempunyai jalan hidup yang sama dengan orang lain. Cara setiap individu menilai sesuatu situasi selalu berdasarkan informasi yang diperoleh dari pengalaman hidup mereka. Kita kenalah lihat perbezaan pemahaman kita dan mereka dalam sesuatu situasi. Mungkin kita menilai dari perspektif A, mereka menilai dari perspektif B. Hormati perbezaan pandangan. Pilihlah jalan yang terbaik untuk semua pihak. Selidiklah fakta dan kebenaran maklumat agar kita dapat membuat pilihan yang benar.
Cuma saya memang tak boleh handle dengan “confident liar”. Orang yang tidak tahu latar belakang apa yang mereka sampaikan boleh senang-senang percaya apa yang mereka sampaikan. Tetapi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang tersebut sudah pasti dapat mengesan penipuan tersebut. Seperti sudah menjadi hobi untuk memperkatakan dan menyebarkan perkara yang tidak pasti sahihnya. Walaupun sudah dimaklumkan yang sesuatu perkara itu salah, mereka tidak pernah kekok untuk mempertahankannya sebagai benar. Walaupun sudah tahu, tetapi tetap enggan memperbetulkan kesalahan tersebut. Mereka tak peduli kebenaran sesuatu perkara. Pada saya, ia umpama menjatuhkan hukuman penjara kepada orang yang tidak bersalah kerana ketirisan dalam proses penyiasatan. Kepada siapa mereka mahu buktikan mereka tidak membuat salah? Memanipulasikan fakta dan kebenaran hanya unuk kepentingan diri? Atau inginkan “social proof” dari masyarakat? Masyarakat haruslah ingat fitrah kita sebagai manusia biasa bukannya Nabi yang tidak pernah berbuat kesalahan dan dosa. Manusia inginkan kesempurnaan hidup. Tetapi, kita janganlah cuba ciptakan syurga dunia untuk diri sendiri berdasarkan penipuan, hanya untuk dipandang sempurna oleh manusia lain.
Masyarakat jangan cepat mengkukum, berilah peluang dan ruang untuk memperbaiki diri. Janganlah kita membiarkan golongan “confident liar” ini menular dan menjadi virus dalam masyarakat kita. Jangan sesekali menghukum mereka sepanjang hayat mereka, mungkin mereka telah kembali kejalanNya tanpa pengetahuan kita, mungkin mereka sedang bergelut dengan diri sendiri untuk memperbaiki diri, dan mungkin juga mereka telah mendapat pengampunanNya sebelum ajal mereka tiba. Tidak perlulah kita sentiasa membuka cerita lama dengan mendedahkan identiti mereka. Cukuplah hanya kisah yang lalu dijadikan pengajaran.
Kepada siapakah kita mempersembahkan segala amalan yang kita lakukan di dunia ini? Adakah kita akan tetap melaksanakannya jika tiada manusia yang melihat atau hanya kita seorang diri yang masih tinggal di dunia ini? Allah ciptakan manusia sebagai makhluk yang perlu membuat pilihan di setiap detik kehidupannya kerana manusia dianugerahkan “free will” tidak seperti makhluk ciptaanNya yang lain yang sentiasa akan menuruti perintah Allah. Kita sentiasa diberi pilihan. Saya menulis pun sebab untuk peringatan kepada diri sendiri, saya pun sering terbabas dalam membuat pilihan, dan kenalah selalu ingat untuk kembali memohon ampun kepadaNya. Didoakan kita dan saya dapat membuat pilihan terbaik dalam hidup. Pilihlah hidup di dunia ini untuk bertuhankan siapa, Allah ataupun ciptaanNya.
Truth seeker,
-El
– El
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit