Hai. Aku Hazifah. 20 tahun. Bakal melanjutkan pelajaran. Aku adalah anak sulung daripada 3 beradik. And I am the only girl. “Pilihan Ibu Bapa”, itu tajuk confession aku.
Mesti ramai yang akan fikir benda ni berkaitan dengan jodoh. Tapi tidak. Ini berkaitan dengan sesuatu yang lebih besar. Iaitu “Kehidupan”.
Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, aku dididik untuk sentiasa bersyukur, mengalah dan beralah. Selain itu juga dipaksa untuk terlihat kuat dan baik-baik sahaja di depan orang ramai walaupun jauh di dalam aku sedang hancur. Hancur yang teramat.
Kata orang, “pilihan ibu bapa itu yang terbaik”. Tidak dinafikan. Tetapi, untuk jalan hidup aku, haruskah ibu bapa aku sentiasa menentukan semuanya untuk aku?
Dari apa yang harus aku makan minum pakai sehinggalah jurusan apa yang harus aku ambil di universiti. “Ibu buat semua ni untuk kebaikan kamu”, “ayah nak yang terbaik untuk kamu”.
Sehinggakan aku kelu terkedu setiap kali aku nak membentangkan hujah aku untuk memberi 1001 sebab mengapa pilihan mereka bukan yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.
Aku hanyalah seorang yang “average”. I like to keep it that way. Sebab aku lebih suka explore dan belajar dan terus belajar. Tapi bagi ayah dan ibu, pada pandangan mereka, aku seorang yang sangat “slow”. Lambat dalam apa-apa perkara.
Bukan aku tidak mahu laju. Mengejar detap langkah orang lain yang mungkin sudah berpuluh batu jauhnya daripada aku. Tapi aku ingin ambil masa untuk perkara-perkara yang aku lakukan.
Cemburu? tidak dinafikan aku cemburu. Cemburu dengan kehidupan rakan-rakan yang sudah pun jelas masa depan. Sedangkan aku masih lagi terkial-kial.
Aku mulai sedar, segala rentak irama aku diarahkan oleh ibu bapa mula menunjukkan kepasifan daripada positiviti.
Aku mula tidak pandai menguruskan diri, hidup dan masa depan aku. Bahkan ketika aku ke kaunter JPN untuk menukar kad pengenalan, aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Lebih menyedihkan, yang menemani ku adalah ayah.
Apa yang dikatakan nya cumalah, “tahu kan macam mana nak buat sendiri?”, dengan perlahan aku angguk walaupun jauh di sudut hati, aku tidak tahu langsung.
Tapi aku bukanlah seorang yang suka menampakkan kelemahan. Walaupun sukar, aku belajar sendiri dengan memerhati gerak geri orang lain.
“oh ke sana dulu”
“lepastu ke situ”
“nanti kena tunggu pulak”
Segala nya aku gumam dalam hati dan aku semat kemas kemas dalam kotak fikiran aku.
Dalam hidup aku, kedua syurga dan nyawa aku sentiasa menentukan semuanya untuk aku. Ada rakan yang cemburu. Kerana bagi mereka hidup aku bebas.
Tapi, di sebalik kebebasan yang aku pamerkan, aku hanyalah jiwa yang masih meronta meminta untuk dilepaskan.
Tapi apakan daya aku. Hidup aku saja tidak terurus. Masih mengharapkan tulang belulang buah fikiran kedua syurga dan nyawa untuk menentukan semuanya untuk aku.
Sungguh hati ini sekali sekala merintih. Merintih kerana keperitan yang aku tahan dan tanam jauh dalam lubuk hati. Aku dibesarkan secara “keras” maka bila membesar aku pun terbiasa “keras”.
Ahli keluarga sering melabelkan aku sebagai seorang yang “dingin”, “tidak ramah” dan “tidak pandai senyum”.
Menyebabkan aku membesar tiada pengalaman berseronok bersuka ria dengan sanak saudara, anak buah mahupun pakcik dan makcik. Jujur aku katakan, aku tidak rapat dengan sesiapapun dalam keluarga. Baik di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa.
Kerana aku kekok. Sering ibu yang memperkenalkan aku kepada orang orang tua yang sudah lupa akan siapa aku. Anak siapa aku.
Aku buntu. Aku cuba rapat tapi kerana “nature” aku yang sudah dianggap sebati dengan diri aku, ramai yang perlahan menjauhkan diri. Akhirnya aku jadi seorang yang janggal bersosial.
Kawan? circle aku sangat kecil. Aku tidak ada ramai kawan. Hanya tiga yang benar benar rapat dengan ku. Tempat aku berkongsi suka duka pahit manis ketawa menangis.
Ya aku lebih rapat dan percaya kawan berbanding keluarga. Entah mengapa, pada pandanganku, keluarga ku toksik.
Seringkali apa yang aku lakukan jika bertentangan kehendak ibu mahupun bapa, aku adalah anak yang tidak tahu diuntung.
Seringkali jika aku mempertahankan diri apabila disabitkan dengan kesalahan yang tidak pernah aku lakukan, aku adalah anak yang tiada rasa syukur dalam dirinya.
Lelah. Penat. Kecewa. Sungguh sungguh. Aku sedar hari demi hari aku semakin jauh dan semakin menjauh dari ayah ibu. Saat kaki melangkah keluar dari rumah, aku tinggalkan semua nya di rumah.
Bahkan ketika ibu bapa aku menelefon menanyakan keberadaan ku, aku tidak endah untuk menjawab.
Bagi aku, hati mental dan emosi aku lelah dikurung dan dibentuk dipaksa menjadi seperti acuan yang dibentuk oleh ibu bapa ku. Entah bagaimana lagi jalan cerita hidupku.
Aku tidak pandai berdikari.
Aku tidak pandai menguruskan diri.
Aku tidak pandai menyantuni orang orang.
Aku tidak pandai membentuk masa depan ku sendiri.
Akhirnya aku beralah. Aku biarkan saja apa apa keputusan yang ibu bapa ku ambil untukku. Tapi jauh di sudut hati, aku penat. Aku tertekan.
Aku bukanlah orang yang bijak menafsir rasa. Aku bukanlah orang yang pandai berkongsi rasa. Bagi aku, kesakitkan keperitan kepayahan aku adalah ekslusif hanya untuk aku. Maka aku botolkan semuanya.
Tidak dinafikan semuanya perlahan lahan memakan diri, tetapi apa yang dapat aku lakukan?
Meluah nanti dibilang tidak bersyukur. Ditelan pula dikata dingin dan tiada perasaan manusia. Aku terbiasa begini. Menyimpan semuanya sendiri. Tidak mahu menjadi beban.
Ibu, ayah.
Bukan aku tidak mahu menurut kehendakmu.
Bukan aku tidak filial dengan arahanmu.
Tetapi ini hidup aku.
Hidup aku adalah hak diriku.
Nasihati, aku terima.
Tunjuk ajar, aku akan ingat sampai bila bila.
Tapi, menebar jala lalu merenggut semua angan dan impian dalam kolam kehidupan ku bukanlah satu perkara yang dapat aku toleransikan. Aku masih manusia yang berhak atas kehidupan ku sendiri.
Masa remajaku sudah dihabiskan seratus peratus mengikuti kehendakmu. Biarkan masa pra-dewasa dan dewasaku aku tentukan untuk diriku.
Aku tahu kalian bimbang aku tersalah pilih jalan.
Aku mengerti kalian bingung aku menyimpang.
Tapi percayalah, apa yang aku lakukan, apa keputusan yang aku ambil, semuanya sudah ku analisa dengan sebaiknya. Aku tahu potensi ku dimana. Aku faham keterbatasan ku di setakat apa. Aku kenal diriku lebih daripada sesiapa.
Minta maaf atas segala kekurangan. Aku masih belajar. Masih mencuba. Masih membaiki setiap kekurangan dan kekangan. Bukan aku tidak mencuba langsung.
Cuma aku tidak menunjukkan usaha ku dan kerja keras ku saja ibu, ayah. Aku tidak ingin kalian susah hati melihat aku. Maka aku sering terlihat baik baik saja walaupun jujur aku hancur, sehancur-hancurnya.
Aku takut. Di masa sekarang saja sudah banyak yang kalian siapkan untuk aku. Bagaimana nanti kedepannya? Adakah mungkin dunia perkahwinan ku nanti akan ditentukan kalian juga? Aku tidak tahu tapi yang aku pasti aku tidak mahu.
Cukuplah aku menahan kehancuran diri yang sekarang. Jangan dihancurkan lagi aku kedepannya.
Ibu ayah,
Maaf, kalian telah “hilang” aku yang ceria sudah sekian lama. Maaf jika aku semakin menjauh. Maaf jika tiada kata sayang terungkap dari bibir ku.
Wallahi, kalian syurga dan nyawaku. Tapi sudah kejadian ku begini. Tidak pandai mengekspresi diri.
Tapi aku mahu kalian tahu, aku tetap sayangkan kedua syurga dan nyawaku seperti mana kalian menyayangiku. Cuma aku kekok dan janggal menunjukkannya. Tapi aku tahu apa yang aku rasa.
Sekian,
– Hazifah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit