Salam hai semua. Sedikit pengenalan tentang saya, seorang suri rumah anak 3 orang puteri (6, 5, 3 tahun).
Suami kerja pemandu lori. Suami selalu outstation. Kadang seminggu / dua minggu sekali ja dapat jumpa.
Saya ni nak meluah keluarkan serabut otak ni. Dan mohon korang bagi cadangan / pandangan untuk saya buat keputusan. Saya dalam dilema.
Saya dah buat istikharah. Tapi yela masi mencari jawapan yang sesuai. Panjang sebenarnya nak cerita, harap korang jangan la bosan baca luahan saya ni ya.
Saya ni dari awal kahwin sampaila ada anak memang duduk sebumbung dengan mertua. Pernah juga sewa rumah asing.
Tapi lepas tu tinggal balik serumah ngan mertua. Salah satu sebab harga rumah sewa mahal sangat.
Gaji suami boleh dapat 2.5-3k. Tapi hujung bulan tetap sengkek. Nak tak nak terpaksa duduk sekali.
Kedua mertua baik sangat, bertolak ansur dan memahami, tak cerewet. Cumanya, keluarga mertua saya non muslim. Dapur masak makanan memang asing, tak campur pun.
Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk menunaikan ibadah. Tapi sejak adik ipar lelaki resign dia pun ikut duduk rumah sekali (bujang lagi), saya mula rasa tidak selesa.
Saya akan bertudung bila keluar dari bilik atau bila dia belum bangun waktu siang. Kadang tu terkantoi pula tak tutup aurat.
Dia ni sejenis tak pandai duduk diam, kejap kejap keluar bilik masuk dapur, kejap lagi keluar pegi beranda rumah pastu masuk lagi pegi dapur. Macam lipas kudung.
Saya rimas.. Susah saya nak selesa buat keja kat luar / dapur.
Saya dan suami memang dah ada bajet untuk buat rumah sendiri sebelah rumah mertua sahaja. Kecik saja. Tapi sebabkan tak mampu upah petukang, bapa mertua la yang tolong buatkan rumah kami tu.
Tapi memang ambil masa yang lama dalam tempoh 2-3 tahun. Sekarang ni pun rumah adik ipar (yang dah resign tu) baru 70% bapa mertua siapkan.
Asalnya atas cadangan mertua, kami la duduk tumpang dulu rumah adik ipar tu sementara tunggu rumah kami siap.
Tapi saya rasa segan sangat nak tinggal rumah ipar, rasa tak senang hati bila duduk rumah yang bukan hasil usaha suami sendiri.
Sebabkan masalah itu, saya ingat nak duduk rumah mak saya la dulu. Bila rumah kami dah siap sepenuhnya, baru la kami pindah balik tempat mertua.
Rumah mak saya jauh dari daerah tempat saya tinggal sekarang. 8 jam perjalanan.
Dan kalau saya pindah lagi lah susah anak anak nak jumpa ayah diorang. Harapkan cuti umum je la kot baru dapat jumpa.
Suami asalnya tak setuju, tapi saya pujuk. Lama-lama dia benarkan juga. Itupun lepas saya dah jelaskan ketidakselesaan saya ngan adik ipar.
Tambahan pula saya ni ada simptom overthinking. Saya tak boleh duduk seorang, macam macam perkara tidak baik saya fikir.
Dan semua tu bukan kehendak saya. Serasa ada benda lain yang gerakkan otak pemikiran saya. Dari dulu lagi saya macam ni..
Jadi bila saya balik rumah mak masa cuti sekolah, saya rasa tenang, happy dapat berbual dengan adik beradik.
Tapi bila balik rumah mak mertua, saya seperti kemurungan, stress bertambah dengan adanya adik ipar tu. Saya tiada kawan untuk berbual.
Seharian saya hanya uruskan anak, bila semua dah setel saya duduk dalam bilik ja layan hp. Saya jadi sunyi.
Mertua pula jenis yang memang akan duduk bilik diorang kalo dah siap berkebun. Kadang saya rasa terasing. Yela, dah memang bukan kelurga kandung saya. Kasih sayang tu tak terasa pun.
Saya rindukan suasana rumah mak tempat saya membesar. Ada jiran keliling. Rumah mertua saya takda jiran. Tanah persendirian. Ada je jiran adik ipar sorang lagi tu (lelaki) dah berkeluarga.
Tapi sebabkan dia pernah merendah rendahkan bangsa dan agama saya (masa tu dia mabuk), so hubungan kami tak berapa baik.
Kami tak bertegur sapa pun. Dah dia pun lelaki takda nya dia nak becakap dengan saya. Walau dia dah minta maaf kat suami saya. Tapi saya masih terasa hati.
Mungkin sebab dia tak minta maaf directly kat saya kot. Bila saya nampak dia, saya akan mengelak.
Isteri dia pula bila dah chatting dengan saya, tak habis habis mention pasal harga rumah diorang yang dah beribu keluar.
Saya ni sebenarnya tiada minat nak ambik tahu pasal kehidupan orang lain. Saya bukan macik bawang. Sebab tu saya akan mengelak dari berjumpa diorang berdua ni.
Saya bukan berdendam atau dengki, tapi saya tak boleh lupa apa yang dah jadi. Kan saya ni overthinking. Kejadian tu sentiasa ter ‘flashback’.
Agaknya saya trauma kot. Pasal ni jugala saya nak pindah keluar dari tempat ni. Saya taknak bebankan otak fikiran saya ni dengan kejadian semua tu. Maaf saya dah melalut.
Masalahnya pula, kalau saya pindah rumah mak saya, anak anak akan lagi jauh dari ayah diorang. Diorang takda tempat untuk bebas bermain-main kat sana seperti kat rumah mertua saya sekarang ni.
Dan takda bilik khas untuk kami anak beranak, lagi-lagi kalau suami ada. Tapi takpa benda boleh bincang ngan mak tumpang bilik dia kalau suami ada je.
So, korang yang dah berjaya baca luhan saya ni. Kalo korang kat tempat saya korang buat apa? Saya cuba untuk menerima dan berdamai dengan takdir hidup saya ni. Tapi mental saya tak kuat untuk lawan.
Kadang saya happy kadang saya menangis sendiri. Ia boleh buat saya moody. Kesian anak anak. Korang please, jangan kecam saya andai luahan saya ni tak best. Maaf sekali lagi. Saya buntu buat pilihan.
Saya cuma kesiankan suami saya yang mungkin susah untuk berjumpa dengan anak. Tapi di sudut lain, saya nak jaga kesihatan mental saya caranya dengan duduk kat rumah mak saya.
Itu saja, Terima kasih.
– Mya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit