Pinjamkan Ibuku Untuk Lebih Masa

Assalamualaikum semua. Aku seorang anak. Terbaru ini, terima perkhabaran bahawa mak aku sakit jantung dengan 3 saluran darah ke jantung tersumbat. Doktor menasihati untuk teruskan dengan pembedahan jantung.

Aku terkesima. Semalam, air mata tumpah kerana sedih. Hari ini, aku terus ke IJN untuk berjumpa doktor. Aku juga seorang doktor, maka aku faham keperluan untuk meneruskan pembedahan jantung ini.

Sebagai seorang hamba-Nya, mati adalah pasti. Tapi, dengan perkhabaran ini, aku tidak bersedia sama sekali untuk kehilangan mak aku. Tiba-tiba, segala memori bersama mak bermain di benak kepala aku.

Mak aku adalah orang yang paling kuat berada di belakang aku. Ketika aku membesar, belajar, berkahwin sehinggalah mempunyai anak, mak aku adalah nadi aku. Ada dua nasihat mak yang sentiasa aku pegang:

1. ‘Jangan cakap susah’

Kalau aku rasa masa belajar perubatan susah. Susah nak faham, susah nak belajar dan sebagainya, mak aku haling aku dari berkata ‘susah’.

Kalau orang lain boleh buat, boleh belajar dan faham, maka kita pun boleh. Kena usaha. Bukan susah, kena usaha lebih.

Aku ingat aku menangis semasa di sekolah asrama, tingkatan 4, bilamana aku tidak dapat jawap soalan fizik dengan baik. Menangis mendayu-dayu di telefon asrama sebab rasa soalan yang susah. Rasa ‘loser’.

Hujung minggu itu, mak dan keluarga aku datang melawat di asrama yang terletak berlainan negeri. Aku dah susahkan hati mak aku.

Keluarga aku datang, bawa makanan dan teman aku beberapa jam. Aku tak sangka begitu sekali, kerana, keluarga aku mempunyai sebuah kereta buruk yang selalu rosak.

Kereta tu memang tidak boleh berjalan jauh sebab kami risau meragam tengah jalan. Kami risau kereta tu rosak, sehingga kami sanggup naik bas untuk daftar aku ke sekolah asrama penuh menaiki bas kira 100km jauhnya.

Tapi, minggu aku ‘down’ tu, mak dan keluarga datang, untuk bagi sokongan moral.

Tidak perlu kata-kata, dengan mengenangkan yang mak dan keluarga datang menaiki kereta hijau yang bila-bila boleh berhenti tengah jalan cukup memberi makna kepada aku bahawa aku tidak boleh mengalah. Aku tidak boleh merungut susah. Aku kena usaha lebih kuat.

2. ‘Kalau orang boleh, kita pun boleh’

Ni selalu mak aku nasihat semasa belajar. Semasa nak menghabiskan Housemanship yang mencabar. Diherdik dan dihina oleh orang atasan.

Mak nasihat kita kena habiskan benda yang kita buat. Kalau orang lain boleh, kita pun boleh. Kalau orang boleh belajar jadi doktor, kita pun boleh belajar jadi doktor.

Kalau orang boleh habiskan housmanship, kita pun boleh habiskan housemanship. Aku beruntung kerana dapat posting hospital di daerah yang sama dengan keluarga.

Disebabkan, kami ketika itu mempunyai satu sahaja kereta, mak aku akan hantar dan ambil aku ke hospital. Suatu, malam sepatutnya, round ward habis pada pukul 8 malam. Mak aku akan datang lebih awal 15 minit.

Tapi pada malam itu, tiba-tiba pakar buat ‘round’, maka aku kena habiskan ‘ward round’ dengan pakar.

Aku suruh mak balik dulu, nanti aku akan ‘call’ bila dah habis. ‘ward round’ habis pukul 11 malam, aku turun ke lobi hospital, sayu hati melihat mak aku berbaring atas kerusi, melunjur kaki menunggu aku.

Kelihatan penat. Aku… tiada kata-kata. Terasa seperti menyusahkan. Ketika belajar menyusahkan malahan ketika sudah bekerja juga menyusahkan mak. Sejak itu, aku berjanji untuk senangkan mak aku tidak kira apa.

Aku catat kenangan ini supaya tidak akan lupa jasa mak pada aku. Aku tidak mempunyai ayah sejak 10 tahun lepas. Aku risau, adakah pintu syurga aku yang satu ini akan diambil juga?

Aku tidak bersedia. Aku merintih, mengharapkan Allah pinjamkan nikmat satu ini untuk lebih lama lagi.

– Anak Mak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *