Untuk part I, (https://iiumc.com/pkp-selamatkan-rumahtanggaku/).
Assalamualaikum.. Terpanggil untuk memghantar confession kali ke 2. Membaca komen-komen yang mencecah 1k, ternyata luahan part 1 ini dekat dihati semua.
Benar, tidak semua boleh menerima apa yang terjadi. Komen- komen amarah dan menusuk jiwa, adalah normal bagi jiwa manusia yang membaca, apatah lagi bahu yang memikul. Aku baca setiap satu, setiap apa yang diucap, itulah jua yang lahir dari hati ini.
Namun aku tetap berterima kasih pada komen yang membina. Kalian adalah manusia yaang penuh sabar. Sejujurnya fasa pertama peristiwa ini berlaku, aku sendiri sudah berkeputusan untuk bercerai, sehinggalah PKP order, aku pasrah dan menunggu.
Ada komen yang bertanyakan apa kejadian dengan ‘s’ ( read: sund**). Dia akhirnya berhenti dan memulakan pengajian di kolej lain.
Sejujurnya selepas kejadian itu, kami masih berhubung dan aku masih lagi tidak berhenti untuk menanyakan tentang sejauh mana hubungan dia dengan suamiku. Aku malah menawarkan untuk mengahwinkan saja mereka.
Aku tekad. Hati ini sedayanya memohon keredhaan, di setiap sujud aku berdoa untuk diberikan kekuatan hati dana ketenangan fikiran. Setiap hari itu juga aku mengungkit perkara ini dengan suami.
Ya, aku akan kahwinkan mereka berdua, tapi setelah suamiku melepaskan aku. Itulah awal konflik antara kami bertiga, aku ingin mengakhiri skandal ini dengan perkahwinan yang sah.
S merayu bagai orang gila. Menafikan untuk berkahwin dan mengaku ianya satu kesilapan, dan sebenarnya dia mempunyai kekasih lain dan sangat sayangkan kekasihnya itu.
Suamiku? Masih lagi bertahan. Sama sekali tidak mahu melepaskankan aku dan anak- anak. Pergaduhan demi pergaduhan amat melelahkan. Akhirnya aku mengadu ke pejabat agama, meminta nasihat tentang apa yang perlu aku lakukan.
Sesi demi sesi, suami masih lagi bertahan untuk tidak melepaskan. Namun hati ini tidak tertahan. Setiap masa aku masih terbayang-bayang dengan apa yang terjadi antara dia dan S. Mengapakah setekad itu dia sanggup mengkhianati aku dan anak-anak.
Namun disebalik apa yang terjadi, perubahan yang besar berlaku dalam rumahtangga kami. Suami bertahan demi sebuah kemaafan. Bersungguh-sungguh untuk membina kembali keretakan yang terjadi.
Satu malam aku tersedar, suami tahajjud dengan penuh airmata. Walaupun jauh disudut hati kecil, berseloroh membisik, “senanglah memohon maaf dan taubat selepas apa yang terjadi?” ketidakpuasan hati tetap ada.
Namun siapalah kita untuk menentukan syurga dan neraka. Aku istigfhar. Suamiku sungguh menunjukkan perubahan. Sehingga pada satu masa seusai solat isya, dia merintih untuk dimaafkan dan inginkan aku yang dulu. Yang ceria tanpa ada pemisah rasa.
Namun jawapanku, aku mohon dia mendoakan aku, untuk melembutkan hati dan menerima semuanya dengan redha. Itu saja yang mampu aku pinta.
Hati wanita aku terlalu rapuh dan sudah berkecai menjadi serpihan yang tidak akan lagi menjadi seperti yang dulu. suamiku tunduk sayu..
Aku sudah mula redha dan pasrah dengan apa yang terjadi. kejadian ini pasti adalah teguran untuk kami lebih dekat dengan Allah. Sudah terlalu selesa, terlalu yakin yang hidup ini sudah cukup sempurna.
Sekali ujian ini datang, semuanya berubah. Hati yang sakit dan derita, hanya kepada Allah aku mengadu dan meminta.
Bulan ke 5 kejadian, aku sudah mula stabil. Aku masih mengungkit dan bertanya tentang hubungan suami, namun setiap kali itu aku lihat riak mukanya yang penuh penyesalan.
Sampai bila aku harus mengungkit? Entah, mungkin bertahun. Time heals no matter what. We just need time.
Aku bertuah dikelilingi oleh keluarga dan rakan yang penuh sokongan. Alhamdulilah. Terima kasih kepada semua rakan yang meenyokong dan mendoakan.
Persoalan yang masih sama, perlukah aku memberi peluang kedua setelah apa yang terjadi? Apakah jaminan yang dia tidak akan curang lagi?
Mungkin 2 tahun ini suamiku akan baik-baik saja. Tetapi selepas 5 tahun? 10 tahun mungkin? Satu jawapan yang aku masih pegang sehingga ke saat ini. Bila soalan ini kutanyakan pada rakan ustazah yang menjadi tempat aku meluahkan segalanya.
Jawapnya: Tidak ada jaminan dalam kehidupan kita. Usah ditanya jaminan untuk suami dimasa akan datang, sedangkan kita tidur di malam hari, tidak ada jaminan untuk masih bangkit dipagi hari. Allahu, semua didunia ini hanya pinjaman.
Suami adalah pinjaman, anak- anak dan keluarga adalah pinjaman dan ujian buat kita. Satu-satunya yang boleh kita lakukan adalah untuk terus berdoa kepada Allah.
Sebutlah nama suami dan anak- anak dalam doa. Suami kita tidak kuat, kita harus sentiasa berdoa kepada Allah untuk kuatkan iman, peliharakan rumahtangga kita. Yakinlah dengan setiap percaturan Allah. ” Aku terkesima.
Inilah aturan hidupku. Aku akhirnya bersedia untuk memberikan peluang kedua. Bukan kepada suamiku, tapi kepada anak- anakku.
Mungkin nanti selepas 5 tahun atau 10 tahun sekiranya suamiku akan curang lagi, aku tetap tidak akan menyesali keputusan yang aku pilih ini.
Kerana 5 atau 10 tahun masa yang aku berikan ini, amat bermakna untuk anak- anakku. Keberadaan dan figura seorang bapa dirumah dan keluarga yang melengkapi untuk mereka.
Terpulanglah kepada suamiku untuk menilai dan berubah untuk membina kembali keluarga. But if this still happened, he will get to see the evil in me.
Kepada suami diluar sana. Hiduplah atas dasar prinsip. Pernah ada rakanku berkongsi kisah seperti ini. Akhirannya dia berhujah:
Hiduplah dengan pegangan agama dan prinsip. Sehebat mana kita beragama kita tetap manusia yang penuh nafsu, kita lemah. Tapi prinsiplah yang akan menguatkan kita akhirnya.
Kepada semua isteri, berdoalah sungguh- sungguh untuk kekuatan rumahtangga dan suami, doalah setiap masa dan waktu.
Itulah senjata kita sebagai isteri. Kita tidak akan mampu untuk mengawal godaan yang ada diluar, tapi percayalah doa seorang isteri sangat termakbul dan didengari.
Doakan aku. Aku tidak akan menyesali keputusan ini. Aku pasti dengan apa yang aku lakukan, dan apa yang aku mahukan. Aku yakin dengan aturan hidup Allah. Allah pasti tahu, pasti ada hikmah disebalik. Demi anak, demi redha Allah. Amin.
– Masih keliru (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit