Please Bantu Aku

Assalamualaikum, admin dan warga iiumc. Aku nak ucapkan terima kasih kepada admin jika confession ini terpilih untuk disiarkan.

Selama ini, aku hanya jadi silent reader je, aku dah lama rasa nak confess tapi aku pendam dan pendam. Bila mana korang baca confession aku ni, pada saat ini juga lah aku tak dapat nak tahan sebak dan sedih dalam dada kerana ramai orang mencaci fizikal aku.

Sebelum tu, aku nak minta maaf kalau confession aku ni agak panjang dan membosankan mungkin sebab aku tak pandai mengarang. Nama aku N, berumur 21 tahun, seorang penuntut di salah sebuah IPTA di semenanjung Malaysia. Aku ialah anak ketiga daripada lima, ada dua orang kakak, seorang adik lelaki dan adik perempuan.

Tujuan aku menulis confession ni sebab aku nak ubah diri aku. Aku dah tak nak sedih sedih lagi. Aku perlukan bantuan, pendapat korang semua, para pembaca sebab aku dah tak tau nak cerita kat sapa masalah aku.

Based on tajuk, aku rasa korang dah boleh agak masalah aku. Aku sejujurnya tak ada keyakinan diri atau self-confidence sebab fizikal aku yang mungkin kelihatan ‘cacat’ berbanding perempuan perempuan di luar sana.

Pendek cerita, aku tak cantik. Kulit aku gelap. Aku yang paling gelap dalam adik beradik aku. Aku malu nak bercerita tentang kekurangan diri aku tapi korang kena tahu supaya korang boleh tolong aku. Kulit gelap aku ni berminyak, ada pori pori besar yang memang jelas kelihatan, ada parut jerawat, ada eye bag yang teruk, dark circle dan kadang kadang kulit aku ni menggelupas (bukan ni je masalah aku).

Aku tak tau kenapa aku sorang je yang ada kulit macam ni dalam adik beradik aku. Kakak, adik aku semua kulit cerah normal je, ok je. Kakak aku tak ada skincare routine pon. Guna cleanser je. Sunscreen pon dia tak pakai. Adik aku pon sama. Tapi aku? Toner, moisturizer, sunscreen semua aku pakai tapi kulit tak elok jgk.

Tapi, jerawat kat muka aku tak banyak setakat ini, tiny bumps ada. Dulu pernah time stress spm, banyak jugalah tapi sekarang dah tak banyak sangat. Tapi aku ada jerawat badan dan parut tu memang jelas kelihatan dekat badan aku. Aku rasa mesti ada sesetengah pembaca yang cakap, ‘masalah kecik je ni’.

Bagi aku, masalah tak ada keyakinan diri adalah salah satu masalah yang besar untuk setiap individu untuk jangka masa panjang. Bayangkan bila kita tak yakin dengan diri sendiri, kita tak de semangat nak buat something, tak de mood, prestasi kerja / akademik pon boleh menurun.

Lagi satu, masalah aku, aku ada eczema di bahagian betis dan sedikit di peha. Aku sorang je dalam adik beradik yang ada. Aku rasa korang semua tahu eczema ni adalah salah satu masalah kulit.

Orang yang ada eczema je yang tahu perasaan susah nak tahan daripada garu gatal. Susah korang. Aku langsung tak boleh nak tido bila rasa gatal tu menyerang. Korang yang tak pernah rasa eczema tu macam mana tak akan faham perasaan aku.

Kekadang aku nak je gigit tempat gatal tu, nak je garu dgn benda benda tajam asalkan rasa gatal tu hilang.Mula mula, kulit kering meradang merah merah, pastu gatal, garu then jadi kudis. Last, jadi parut. Dan yes aku ada banyak parut di kaki, terlampau banyak. Parut hitam dan parut ni susah nak hilang.

Aku dah cuba produk yang dikatakan boleh menghilangkan parut; Bio oil, Rosken moisturizer,etc. Tapi semua tak jadi. Aku murung dan ni adalah salah satu penyebab aku rasa rendah diri yang teramat sangat. Bila tengok kulit kaki orang lain cantik, bersih je, aku rasa pedih, sakit dalam hati.

Kenapa aku diuji dengan kulit yang macam ni. Lagi lagi aku ni perempuan. Dan perempuan selalu dikaitkan dengan kecantikan. Aku jujur dengan korang yang kulit aku satu badan bermasalah. Serius tak tipu.

Ya Allah, hati aku sakit sangat bila kena hina dengan orang lain. Aku tak mintak benda ni jadi. Tak pernah. Sape je yang nak rasa penderitaan ada kulit yang bermasalah. Cuba bagi tau aku. Tak de.

Meh aku citer sikit apa yang pernah jadi dekat aku. Seingat aku, aku ada eczema masa aku sekolah rendah tapi budak kan… mana la tau eczema tu ape benda. Budak sekolah rendah korang… Time tu aku rasa gatal, aku garu.. gatal je.. garu.. mana la aku tau akan dapat parut… Bila dah masuk sekolah menengah, dah matang sikit, baru aku pikir kenapa kulit kaki diorang tak macam aku..

Aku perasan kawan kawan aku tengok semacam je dekat aku.. tengok dengan rasa jijik dengan parut aku.. Start daripada situ, aku rasa tak selesa. Bila aku search pasal masalah aku, baru la aku tahu aku ada eczema. Aku pernah bagi tau mak aku nak jumpa doktor pakar kulit, doktor lelaki.

Bila aku jumpa doktor tu, selak je kaki seluar, dia macam terkejut. Aku dah cakap elok elok yang aku nak parut aku hilang. Korang tau respon dia macam mana?

‘Parut awak ni lambaaaat lagi nak hilang. Sape suruh garu? Hah, garu lah lagi biar sampai ada banyak corak dekat kaki tu, nanti tunjuk dekat mak mertua. Confirm kena reject’. Ni ayat yang lebih kurang sama dengan ayat dia yang sebenarnya. Ayat dia yang asal lagi menyakitkan hati aku guys.

Masa dia cakap macam tu, aku tak dapat nak tahan rasa sedih. Allahuakbar…aku tak sangka aku dapat respon yang macam tu daripada seorang doktor. Bukan kata kata yang positif keluar dari mulut tapi kata kata yang melemahkan aku.

Masuk je dalam kereta, aku terus nangis. Nangis sepuas hati sampai aku rasa aku dah letih nak keluarkan air mata. Aku mengharapkan pertolongan bukan kata kata hinaan. Aku rasa macam silap besar je pergi jumpa doktor tu. Sampai sekarang, aku dah tak pergi jumpa doktor tu.

Benda yang sama jadi bila aku jumpa mak sedara aku. Aku dimalukan di hadapan family aku sendiri tapi family aku gelak je. Ada satu kali tu, aku dgn family pergi ke rumah mak sedara aku sebab sepupu aku dari Johor balik. Dah lama tak jumpa kan.. so, pergi nak bertanya khabar la.. time tu, aku pakai seluar, nak duduk atas sofa.. tak tau macam mana seluar aku terselak.

Ada mak sedara aku yang balik dari KL ternampak parut parut aku.. dia pon ‘ehh, banyak je parut, teruknyaa.. tak de orang nak la nanti’. Suara dia.. uishhh.. boleh tahan kuat.. aku tak tau nak senyum ke nak gelak ke… aku diam je sambil mata tengok lantai.. yang lain semua gelakkan aku.

Cara dia cakap memang bukan cara orang nak bergurau k. Macam mana aku tak rasa down bila benda benda macam ni jadi dekat aku.. Jenis mak sedara aku pulak suka membandingkan aku dengan sepupu, adik beradik. Tak pernah terfikir ke perasaan aku ni? Aku pun ada hati.

Ketiga, lepas aku spm, aku nak cari kerja sementara tunggu result spm keluar. So, aku pergi la ke satu kedai jual kain ni. Lepas bersoal jawab, adik dan kakak aku datang sebab diorang dah siap beli barang. Tuan kedai pon tanya ‘ adik beradik ke?’ aku jawab ‘ Haah’.

Then, dia tanya, ‘ kenapa yang lain cantik cantik tapi awak hodoh?’ aku senyap. Diam. Aku tengok je dia.. mata aku tak berkelip sebab kalau berkelip sekali je, confirm air mata keluar. Ye la, aku yang memang hodoh asal, pakai make up pon tak nampak cantik jugak.

Aku dah dapat agak benda ni akan jadi sebab cara dia layan aku sebelum adik beradik aku datang sangat lain. Tak senyum, muka ketat je… senang citer, muka tak nak layan aku. Tapi bila adik beradik aku datang, eh boleh pulak senyum nampak gigi.. tersengih je..

Masa aku otw keluar kedai, aku perhati pekerja dia, cantik cantik.. patutla aku dihina. Dia hanya tengok muka aku je, tak tengok lagi bahagian badan aku yang lain.

Aku mengaku aku hati tisu sebab benda macam ni kerap kali terjadi dalam hidup aku, dari kecik sampai besar. Satu cara nak hilangkan rasa sedih ni adalah dengan menangis je. Tu je aku mampu buat. Ada banyak lagi peristiwa yang jadi.. Kalau aku citer semua, confession ni akan jadi tersangat panjang.

Pengalaman yang menyedihkan macam ni la yang menyebabkan aku rasa aku tak nak keluar rumah, tak nak bersosial, tak nak jumpa sape sape… tapi aku sabar dan sabar semampu yang mungkin. Kekadang, aku pikir aku tak nak kahwin dengan sape sape disebabkan kekurangan aku.

Aku tak rasa ada lelaki yang boleh terima kekurangan aku, aku tak lawa, tak pandai bergaya, macam langit dengan bumi kalau dibandingkan dengan perempuan lain.. Sekarang, umur aku 21… bila aku umur 24, 25 ke atas, akan ada yang tanya, ‘bila nak kawin?’

Aku takut nak menghadapi hari esok… Apa lagi yang akan jadi… Ada seorang lelaki aku yang aku kenal pernah kata ‘ tipulah kalau tak pandang rupa, kalau pilih kasut pon nak yang lawa, tu nak pakai kat kaki..apatah lagi yang nak letak dekat hati’.

Part yang paling aku takut dan malu ialah bila aku mati nanti. Bila jenazah aku dimandikan, aku tak nak orang tengok kulit aku. Air mata aku mengalir laju setiap kali terbayang benda ni. Masa hidup pon, aku kena kata macam macam. Kalau mati nanti, macam mana… aku tak nak cerita pasal badan aku yang berparut ni tersebar.

Aku banyak kali nangis fikirkan masalah kulit aku. Bagi aku, isu berkaitan kulit ni sangat sensitif, sebab tu aku nangis.. Dan aku jenis susah nak berhenti nangis. Aku tak pernah hina kulit orang lain, biarpun lagi teruk daripada aku sebab aku faham perasaan tu. Bagi aku, menghina fizikal orang lain adalah sama seperti kau menghina ciptaan Tuhan.

Aku kesian dengan mereka yang senasib dengan aku dan kesian dengan diri sendiri. Aku doa dan usaha untuk pulihkan kulit aku tapi tak de perubahan setakat ni. Sejujurnya, yes aku jealous tengok kulit adik beradik aku dan orang lain ; kulit cerah, sihat, tak banyak masalah.

Pernah dalam seminggu tu, aku nak tidur je sebab bila tidur, aku dapat lupakan masalah aku walaupun sekejap. Asal aku bangun je, aku nangis. Korang, aku nangis sorang sorang, aku tak bagi tau keluarga aku, kawan ataupon sape sape.Tapi, aku masih bersyukur kerana mungkin nasib aku tak seteruk nasib orang lain.

Aku pernah terpikir nak buat rawatan kulit dkt aesthetic clinic tapi kewangan menjadi penghalang. Kebanyakan kos untuk rawatan kulit memang tinggi. Mahal mencecah ratusan ringgit. Macam yang dah disebut, aku student, banyak pakai duit dan kalau boleh, aku tak nak susahkan mak ayah sebab keluarga aku keluarga yang sederhana je.

Tapi dalam masa yang sama, aku nakkan perubahan dalam diri aku, aku nak kulit yang sihat.. Aku nak ada self-confidence yang tinggi, aku tak nak nangis lagi, aku nak happy, tolong aku.

Ada apa apa cadangan/ pendapat/ nasihat ? Aku harap korang komen guna bahasa yang baik, ok? Bantu aku untuk jadi seseorang yang baru pada tahun 2020. Terima kasih.

– N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *