PLHIV: Hidayah Itu Milik Allah

Assalamualaikum semua. Nama aku Joe, 36 tahun, PLHIV dari selatan tanah air. Kisah hidup aku yang aku nak cerita merangkumi kes buli, HIV juga taufik & hidayah dari Allah.

Dah lama aku nak ceritakan kisah hidup aku. Mungkin panjang sedikit kisah hidup aku atau kalau aku berjaya ringkaskan. Niat aku nak berkongsi kisah hidup aku adalah sebagai pengajaran dan pedoman kepada semua.

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan, kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.” [Surah Al Ghasyiyah ayat 21-22]

Dari kecil, aku seorang pemalu dan soft spoken. Aku ni nak kata lembut tak, patah pun tak, tapi gaya percakapan aku kadang-kadang ada lenggok lembut.

Bila dah masuk sekolah rendah, aku selalu di ejek. Hampir setiap hari, ada beberapa budak-budak ejek aku ‘bapok’, ‘pondan’ dan sebagainya.

Kerap aku mengadu pada emak aku, pernah emak aku minta Kak Ngah aku ke rumah salah sorang tu, cakap pada emaknya supaya anaknya tidak lagi kacau aku di sekolah. Disebabkan tindakan itu, disekolah aku masih di ejek lagi kerana mengadu pada emak.

Aku bukan tak nak berubah, aku dah usaha tapi memang gaya aku macam ni kot. Aku kurang dan takut bergaul dengan lelaki lain kerana perwatakkan aku dan aku memang sering dibuli. Sampai masuk sekolah menengah, aku masih di ejek.

Tapi kadang-kadang aku kuat, kadang-kadang aku tak. TIngkaan 5, pernah cikgu bahasa Inggeris buat perumpamaan “Ladies Like” tuju pada aku.

Aku tertekan betul zaman sekolah. Sejak dari sekolah rendah, kadang-kadang di rumah, aku mula memberontak, aku lepaskan kemarahan pada orang dalam rumah.

Emak aku kerap kali jadi mangsa amarah aku. Aku jerit-jerit marah dia. Bukan sebab kes buli di sekolah pada hari tersebut, tapi sebab lain, perkara kecil berlaku dalam rumah, aku dimarah, aku melawan.

Itu je tempat yang aku boleh lepas kemarahan, ketidak-puasan hati, tempat yang bila orang marah aku, aku boleh menjawab untuk backup diri aku.

Sebab aku tahu, bila aku lepaskan di rumah, hanya orang dalam rumah yang boleh faham aku walaupun aku akan dipukul selepas itu.

Aku pernah terfikir, aku jadi macam tu kerana orang buli aku, dan aku pernah berharap, pembuli-pembuli yang jadikan aku macam tu, dia tanggunglah dosa-dosa tu. Kalau mereka layan aku baik-baik, mungkin aku jadi lebih baik, hormat aku, dan mungkin aku boleh hormat orang lain.

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?

Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah, dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.” [Surah Yunus ayat 99-100]

Masa zaman sekolah, aku kerap melakukan onani. Masa ni aku tak tahu aku minat lelaki, tapi aku suka tengok artis lelaki tak berbaju dekat kolam renang, gambar-gambar ahli sukan lelaki seperti perenang, pemain bola yang menampakkan ‘bulge’ dalam surat khabar.

Aku potong gambar diorang, aku selit celah katil untuk jadikan modal onani. Aku bagitahu sebab nak menunjukkan betapa aku cenderung pada akhlak yang tak baik. Selepas tamat zaman sekolah, aku sambung belajar di sebuah kolej di KL.

Minggu pertama, selepas tamat orientasi, kami ramai-ramai keluar ke bandar KL. Ada seorang classmate ni, rapat-rapat dengan aku. Aku tak terfikir apa pun. Esoknya dia SMS aku, lama-lama sms, dia mula menggoda.

Aku seperti dah pro, aku minta dia datang ke bilik kerana tiada orang, padahal aku tiada pengalaman begitu, itulah kali pertama aku ‘bersama’ lelaki. Kami melakukan perkara jijik. Selepas dari tu, aku mula lebih berani, aku mula kenal orang luar kolej.

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda-gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” [Surah Al-Ankabut ayat 64]

Perkara terkutuk tu aku amalkan sampailah aku bekerja. Aku mula pandai bercinta dengan lelaki, silih berganti, aku dah rosakkan hidup aku.

Aku kerja bagus, tapi aku buat banyak pinjaman disebabkan salah seorang ‘kapel’ aku. Selepas setahun, kami berpisah, aku menanggung hutang yang banyak.

Tapi aku mula perbetulkan diri, aku buat 1 loan, settlekan semua hutang lain, jadi aku terbeban dengan 1 hutang sahaja.

Ada 1 tahun tu, aku dapat bonus, aku guna duit tu untuk kerjakan umrah. Konon aku nak mula hidup baru. Alhamdulillah, perjalanan umrah aku berjalan lancar.

Tapi tidak menginsafkan aku apa-apa. lepas beberapa bulan balik dari umrah, aku kembali sesat. Aku masih tak solat. Aku sambung bercinta dengan lelaki lain, aku gelarkan dia BF lah.

Lepas kenal lelaki ni la, dia tetap jaga solat, aku pun mula solat walaupun masih bergelumang dosa. Sampai 1 masa. BF aku ni kerap jatuh sakit, atas nasihat kawan-kawan, kami test HIV.

Aku positif HIV. Masa dapat result, aku rasa masa depan aku hancur. Macam mana aku nak kahwin, takkan aku nak bujang sampai ke tua? Aku dengan BF aku buat hal sendiri-sendiri, kami memang tak tinggal serumah, masing-masing nakkan tempoh bertenang.

Uruskan diri masing-masing, ulang alik hospital sendiri. Bulan berganti bulan, kami berhubung semula. HIV belum buat kami insaf. Kami masih buat perkara terkutuk. Solat masih kami buat. Kami bagai bercinta semula.

“Maka Nikmat Tuhanmu yang Manakah yang Kamu Dustakan?” [Surah Ar Rahman] Selepas beberapa tahun.

2019 aku anxiety (keresahan), aku tiba-tiba takut mati, sepanjang hari aku berdebar, aku jadi penat, nak muntah sepanjang masa. Aku menangis depan BF aku, sebab aku tak dapat kawal diri.

Jantung asik berdegup fikir kematian. Aku jumpa doktor, aku menangis, tapi aku tak cerita aku masih lagi ‘bersama’ lelaki. Atas nasihat doktor, aku banyakkan selawat, solat sunat. Aku putuskan hubungan dengan BF aku.

Aku mula jejak kaki ke masjid, surau untuk dengar ceramah. Aku betul-betul berubah. Setiap hari aku bangun awal solat taubat dan tahajjud.

Aku berzikir macam-macam zikir aku amalkan tiap pagi dan petang. Aku baca quran. Hidup aku betul-betul berubah. Aku minta maaf dengan orang yang pernah aku bergaduh.

Aku pernah curi duit masa aku kerja sementara di kedai runcit lepas tingkatan 5, aku curi sikit-sikit, aku lupa total berapa, aku minta no akaun bekas majikan aku tu, dia bagi no akaun, lepas tu dia tanya untuk apa.

Aku masukkan RM3000. Aku cakap pada dia, aku pernah curi duit dia masa aku kerja, aku tak tahu berapa, aku cuma dapat bagi RM3000.

Dia nampak tenang, dia cakap dia dah halalkan dan dah maafkan aku sebelum ni kalau-kalau aku ada buat silap. Kebetulan dia nak pergi haji, boleh dia gunakan duit tu. Allah tu Maha Baik perancanganNya.

“Dan mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang” [ Surah Ali-Imran ayat 54 ]

Awal tahun 2020, ada seorang wanita ingin berkenalan dengan aku. Beliau cukup muslimah bagi aku, jaga aurat, tutur kata lembut, cantik tu memang cantik.

Aku melayan seperti biasa, aku kan ada HIV. Aku tak melayan lebih-lebih. Tapi lama-kelamaan, dia meluahkan isi hati.

Tapi aku takut nak bagitahu yang aku ada HIV. Aku minta masa 3 hari, aku buat solat sunat Istikharah.

Lepas hari ke 3, aku bagitahu wanita tu, aku ada HIV. Dia dengan tenang dia tetap terima aku. Aku minta dia buat solat sunat dulu dan biarlah kisah silam aku, hanya aku dan Allah sahaja.

Lepas beberapa hari, apa yang terjadi, kami saling menerima tapi tanpa pengetahuan keluarga yang aku ni ada HIV. Aku bawa wanita tu jumpa doktor yang aku selalu follow up setiap 3 atau 6 bulan sekali.

Aku sebenarnya dah pun UVL (Undetected Viral Load), maksudnya, virus HIV dah hibernate dalam badan dan aku tak boleh jangkiti sesiapa cuma masih perlu berhati-hati.

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia” [Surah al-Baqarah ayat 117]

Kami berkahwin selepas PKP 1. Kini kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel. Kalau difikirkan semula, aku ni sejahat-jahat manusia kepada diri sendiri, aku aniaya diri sendiri, tapi Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Hidayah itu milik Allah.

Kalau dah tertulis siapa jodoh aku, bilakah aku akan kahwin, dan isteri aku dah tertulis dijodohkan dengan aku sebagai lelaki yang baik dan berhak dapat suami yang baik, Allah bagi aku taufiq dah hidayah-Nya supaya aku jadi baik.

Maka jadilah aku suami yang baik untuk isteri aku walaupun aku masih berstatus PLHIV. Aku perlukan doa kalian kerana aku masih bertarung perasaan songsang aku dan aku tetap jua berdoa dan berusaha supaya aku tidak lagi sesat dalam hidup ni.

Aku tak nak hidup mati aku sia-sia. Jangan kita menghina orang lain, sesungguhnya, pengakhiran masing-masing mungkin tak sama dengan masa silamnya.

“Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahwa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya.” [Surah Ar Raad ayat 31]

– Joe (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *