PMS dan Kesan Pada Orang Sekeliling

Assalamualaikum dan selamat malam semua.

Aku gelar diri aku K lah ye.

Aku seorang wanita yang berusia dalam 30-an. Bujang, bekerja dan sudah 6 tahun tinggal sebumbung dengan ayah dan ibu tiri. Kami tinggal bertiga sahaja di rumah ini. Sesekali kakak aku akan balik menziarah kami, dalam 2 bulan sekali lebih kurang. Kami hanya dua beradik.

Ibu meninggal dunia ketika aku berusia 16 tahun. Sejak ibu dapat tahu yang beliau menghidap sakit kanser, aku yang memang sudah rapat dengan ayah menjadi lebih rapat lagi dengan beliau. Aku melihat sendiri bagaimana ayah menjaga ibu yang terlantar sakit. Beliau sangat sabar dan setia, dan arwah ibu juga berpesan apabila dia sudah tiada nanti, izinkan sahaja beliau untuk berkahwin lain.

Ya, aku sendiri pun risau apabila berjauhan dengan ayah aku kerana ayah aku bukanlah muda sangat ketika itu. Sekarang beliau sudah berusia 70-an, ada sakit jantung dan gout pula. Salah satu sebab kenapa aku masih lagi membujang sehingga sekarang adalah kerana aku mahu meneman ayahku. Jika aku tidak duduk di rumah ini, siapa yang akan membersihkan rumah, meneman beliau ketika beliau mahu berjalan jauh, memicit beliau apabila ibu tiri balik ke rumah adik2 nya dan hal2 lain? Ibu tiri aku bukan jenis yang buat kerja rumah. Masak pun tidak. Sudah bertahun ayah aku belikan makanan dan hidangkan makanan kepada beliau. Cawan dan pinggan kotor pun dia jarang2 basuh. Dia banyak menonton tv dan main phone sahaja. Senang cerita, banyak goyang kaki.

Aku sangat simpati dengan ayah, aku rasa kasihan apabila mengenangkan nasib beliau yang terpaksa berhadapan dengan ujian begini. Awal2 dulu dia selalu juga mengadu pada aku, tapi lama kelamaan, beliau sudah letih dan hanya melayan sahaja karenah isterinya ini.

Aku pula ada satu masalah besar, iaitu PMS. Ye, masalah wanita dalam tempoh sebelum datangnya haid. Dari zaman sekolah sampailah sekarang, simptom PMS aku bukan biasa2, tapi agak teruk. Senggugut aku tak teruk, tapi yang part emosi dan perasaan marah ni yang menjadi ujian paling besar buat diri aku. Tambah2 bila ada perkara atau perbuatan orang yang ‘trigger’ kemarahan aku ni.

Waktu biasa2 memang boleh kontrol, tetapi ketika PMS, biasanya ubat sahaja yang boleh mengawal perasaan dan emosi yang bercelaru teruk ini. Selain dari ubat, sebagai seorang islam sudah tentu aku cuba mengaji dan mengamalkan bacaan2 yang boleh menenangkan jiwa, tetapi kebanyakan masanya aku masih lagi akan mudah marah apabila di’trigger’ oleh perkara dan perbuatan yang aku tidak suka.

Ibu tiri aku ini sangat menguji kesabaran aku (dan orang2 lain). Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ibu2 dan bapa2 saudara aku banyak juga yang ambil berat tentang diriku. Mereka sendiri berasa sedih kerana rumah yang pada suatu masa dahulu rasa tenang, kini sudah rasa ‘panas’ dan ada juga bapa saudaraku yang tidak jumpa jalan ke rumah aku. Sudah tiada lagi orang yang mahu datang ke rumahku, kalau ada pun jarang2.

Ya, ibu tiriku ini ada ‘penjaga’. Jin. Aku rasa korang pun tahu kan pasal ini. Sudah dinasihat pun dia masih juga mahu terus mengikut jin ini, kerana dia percaya yang penjaga nya ini bukannya jin tetapi wali Allah. Jin dia ni pun sesuka hati sahaja masuk dan keluar dari badan dia. Aku juga pernah dimarahi oleh jin ini. Dah lama juga dia tak masuk dalam badan ibu tiriku ini, tetapi dia selalu sahaja memerhatikan kami sekeluarga.

Aku tak mampu untuk menegur dengan lisan, jadi aku menentang perbuatan ini dengan hati aku. Aku paling tak suka bila aku bercerita masalah aku di tempat kerja kepada ayah aku, ibu tiri dan jin nya ini akan tumpang dengar. Kemudian jin ni mulalah melaga-lagakan manusia, korang pun tahu macam mana kan. Dia akan beritahu yang si A tak puas hati dengan aku, si B begitu, si C begini. Aku ni masuk telinga kanan keluar telinga kiri je lah. Memang betul lah sifat jin ini suka menjadi batu api.

Berbalik kepada kisah trigger aku tadi, apabila banyak perkara yang trigger kemarahan aku, aku bukan sahaja berasa marah kepada ibu tiri aku, tetapi ayah aku pun terkena sekali. Ya, aku pun tidak mahu jadi derhaka, tetapi sangat2lah sukar untuk aku mengawal diri aku apabila mendengar dengan telinga aku sendiri bagaimana ibu tiri aku membebel itu ini pada ayah aku. Sukar untuk aku terima bapaku dimarahi sebegitu.

Contohnya kes ibu tiri ni susah bangun tidur. Dia bising kat ayah aku kenapa ayah tidak kejutkan dia. Untuk pengetahuan korang, bapa aku ni jenis yang menjaga solat. Cukup 5 waktu dan habis sahaja azan dia terus solat. Si ibu tiri ni pula solatnya banyak sangat tinggal, kalau solat pun lewat, dan subuh aku tengok dia memang liat nak bangun. Masalahnya tak larat kot bapa aku nak kejut hari2. Liat nak bangun. Dia punya alarm phone berbunyi-bunyi sampai aku pun rimas. Tuan badannya tak jugak bangun. Hai aku tak tau lah. Macam budak2.

Ni belum masuk bab makan lagi. Apa yang dia boleh telan aku pun tak tahu. Komplen banyak sangat sampai menangis di meja makan. Bapa aku kadang2 sampai kena keluar lagi sekali pergi beli makanan lain. Sakitnya hati aku yang tengok, Allah je yang tahu. Aku jadi geram lah jugak kat bapa aku ni sebab dia pun merelakan diri diperlakukan macam tu. Kita yang tengok ni yang rasa macam apa je. Memang lah ujian, tapi pada aku sebagai seorang suami ayah aku boleh je bertegas sedikit. Dia sebagai isteri kenalah patuh pada suami.

Bila aku ada rasa tak puas hati dengan ayah aku sendiri aku jadi lagi stres. Berdosa dah satu hal, in the end aku juga yang rasa guilty apa semua. Ya lah, aku fikir, aku duduk serumah dengan mereka sebab aku nak kurangkan beban ayah, dan aku juga sayang rumah tempat aku membesar. Aku seboleh bolehnya nak jaga rumah ni. Bersihkan apa semua. Tapi kalau ayah aku sendiri rasa aku menyusahkan dia sebab aku yang kadang2 emo macam ni, apa maknanya?

Susahnya jadi seorang anak. Aku rasa apa kebaikan yang aku cuba buat selama ni macam kabur je, yang nampak nya adalah diri aku yang ‘jahat’. Aku dah tak dapat nak berbakti untuk ibu aku, jadi aku ada ayah sahaja yang boleh aku bantu. Semua orang nak kejar pahala kan. Tapi ntah lah, situasi aku ni complicated la pada aku. Memang kena sabar banyak2. Aku pun manusia biasa, sekuat mana pun aku, ada masa2 aku jatuh juga.

Tadi aku pergi jumpa doktor dan cerita masalah PMS aku ni. Lama jugak aku sembang dengan dia, hampir 3 jam lah juga. Lega sikit aku rasa.

Korang ada tak masalah macam aku or kenal sesiapa yang ada masalah PMS teruk ni? Orang di sekeliling aku takde yang masalah mcm ni, biasanya senggugut je la, simptom2 lain kalau ada pun sikit2 kata mereka. Yang aku tau kebanyakan orang senggugut teruk, tapi lain2 macam breasts, food craving, mood swing pe semua takde. Kalau ada pun bukan jenis yang teruk yang sampai tahap boleh ganggu daily life.

Tolong doakan aku semoga menjadi lebih kuat dan kuat ye.

Thanks kerana sudi baca penulisan aku yang panjang ni.

– K

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *