Pointer Teruk Tapi Dapat Anugerah

Assalamualaikum semua dan terima kasih admin kerana menyiarkan perkongsian saya ini.

Saya merupakan pelajar lulusan universiti Korea dalam bidang kejuruteraan. Setelah bergraduasi pada tahun 2015, saya pulang ke tanah air sebagai seorang yang begitu bersemangat untuk kembali berbakti pada tanah air dan rakyat yang telah menghantarnya ke luar negara. Itulah cita-cita yang terpahat di hati saya sehingga kini.

Semasa saya di Korea, kuliah, kerja rumah, kerja kursus, kerja berkumpulan, assignment, projek akhir tahun semuanya dalam bahasa Korea. Sedangkan bahasa Inggeris pun sudah ramai yang mengeluh, cuba bayangkan kesusahan kami ketika itu. Namun sepanjang lima tahun di sana, di sebalik kejayaan saya bergraduasi dengan cemerlang ada cerita duka yang saya akan kenang sepanjang hayat. Biar saya ceritakan di sini supaya kalian yang membaca mendapat semangat super saiya dan kekal bermotivasi untuk berjuang sehingga akhir.

Pada tahun pertama, setelah menamatkan kursus bahasa Korea selama setahun, saya mendaftarkan diri di sebuah universiti nan indah di Incheon. Kata orang Korea, universiti ini adalah antara yang terbaik dalam kategori Engineering College selepas Hanyang Universiti. Semuanya kelihatan bagus. Saya masih makan kimbab, jumokbab, bibimbap, bibimmyeon dengan gembira bersama rakan di kedai ajumma yang sangat arif tentang keperluan halal kami. Saya suka berbual dengan orang Korea, sehingga ada seorang ajosshi berkata, “kamu ni dah macam orang Korea”.

Apabila memasuki tahun kedua, subjek yang asas dan mudah, diganti dengan subjek teras kejuruteraan. Kuliah berganti kuliah namun banyak bahagian yang saya tertinggal kerana keterbatasan bahasa. Bahasa pasar dengan bahasa buku lain sekali bentuknya. Saya tidak putus asa. Saya belajar bersama rakan. Tetapi malangnya, meskipun belajar bersama, rakan-rakan saya jauh meninggalkan saya. Mereka dapat markah bagus manakala saya mendekati angka gagal dan adakalanya markah hanya hanya satu angka per seratus.

Saya menangis sehingga rasa seperti mahu berhenti belajar dan pulang sahaja ke Malaysia. Apa guna saya teruskan belajar, andai saya bakal merugikan duit rakyat. Meskipun tertekan, saya tetap meneruskan pengajian. Rakan-rakan saya menyatakan rasa kesal kerana saya hampir gagal, tetapi itu bukan salah mereka pun. Cuma sahaja saya yang bermasalah untuk memahami pelajaran itu.

Sehinggakan suatu hari, saya menerima keputusan peperiksaan untuk semester satu tahun kedua. Seperti yang dijangka, seminggu selepas itu saya dipanggil ke kedutaan. Rupa-rupanya surat amaran pertama telah dipos ke Malaysia. Mereka yang menerima pointer di bawah 2.5 dari 4.5, akan menerima surat tersebut sebagai amaran, yang dikeluarkan sebanyak 3 kali sebelum pelajar ditamatkan penajaan.

Yang saya pegang di tangan kini ialah salinannya sahaja. Saya membayangkan hati emak dan abah yang remuk redam di kampung. Saya takut sekali andai dihantar pulang ke Malaysia dan diminta membayar semula hampir ratusan ribu. Saya tidak dapat membayangkan andai emak dan abah terpaksa bergolok gadai membayar kesalahan saya yang satu ini.

Saya terduduk terpaku tertegun di bilik pegawai tersebut. Beliau ialah pengantara antara penerima biasiswa dan pihak penaja. Bunyi penghawa dingin terasa seperti mengejek saya. Bunyi jam di dinding, bunyi hon kereta di luar semuanya seakan mentertawakan saya. Saya menangis tanpa segan silu di situ juga. Saya sudah berusaha, namun saya tetap gagal! Proses kaunseling tersebut berlangsung sehingga petang. Memegang janji bahawa pegawai tersebut akan menyimpan perkara ini sebagai rahsia, saya membuka cerita tanpa berselindung. Alhamdulillah pegawai tersebut bertindak sebagai ibu dan memberikan solusi dan pandangan yang saya kira, umur remaja saya ketika itu membataskan pemikiran saya. Kata beliau, surat amaran pertama bukanlah penamat segalanya. Bahkan anggaplah ini sebagai satu sentuhan lembut dari Dia untuk membangunkan saya dari lena yang selesa ini.

Alhamdulillah, saya tidak terjun ke Sungai Han seperti kebanyakan orang Korea yang kecewa. Saya bangkit kembali. Saya tahu Allah mahu beri lebih dari apa yang saya ada kini. Saya tingkatkan usaha, saya gandakan tawakal. Saya mula mengenal Allah yang dulu terasa begitu jauh. Saya mula aktif berpersatuan Islam di sana. Saya meluangkan masa untuk menghadiri majlis ilmu, duduk dalam bulatan, berqiamullail bersama rakan, berkelah sambil melihat keindahan ciptaan Allah dan banyak lagi aktiviti lain yang bermanfaat. Saya kira waktu itu adalah waktu yang paling bahagia dalam hidup saya, setelah jiwa saya begitu tertekan saya mula merasai semula ketenangan itu.

Saya bergraduasi pada tahun 2015, dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. Ketika saya melihat sijil tersebut, air mata keluar dahulu sebelum senyuman. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa payahnya saya bergelut dalam perjuangan meraih ilmu ini. Alhamdulillah, saya berjaya bergraduasi dan pulang semula ke tanah air. Namun kisah ini tidak tamat di sini sahaja.

Saya pulang ke Malaysia dan mula melapor diri kepada penaja. Sejurus sampai di kampung, terus saya coretkan kisah duka saya di Korea di naskah Opah Gangnam Style. Ya, saya tahu kisah kegagalan saya bukanlah sesuatu yang seronok untuk diingati namun semoga ia menjadi iktibar buat semua yang sedang bergelut dalam perjuangan mencari ilmu.

Saya memilih untuk menyambungkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana. Nun jauh di utara, sebuah universiti tempatan menjadi pilihan saya. Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan); MBA(EM) menjadi pilihan saya. Kali ini saya tidak ditaja oleh sesiapa melainkan pihak Mybrain 15 menawarkan biasiswa untuk yuran pengajian.

Di negeri harum manis tersebut, sambil belajar saya terpaksa bekerja untuk mendapatkan duit belanja harian. Meskipun ibu bapa saya sentiasa menawarkan untuk menaja duit poket, saya menolak dengan baik dan mengatakan bahawa sudah tiba masa saya berdiri di atas kaki sendiri dan kini giliran saya pula yang menghulur duit kepada mereka. Dengan berat hati, mereka bersetuju.

Saya bekerja sebagai guru kafa sambilan. Saya berjaya mendapat pekerjaan tersebut menggunakan kelebihan saya bersekolah agama di peringkat menengah. Selesai mengajar di sebelah petang, saya bergegas ke kelas MBA pada waktu malam. Di sebelah pagi, saya gunakan untuk menyiapkan tugasan kerja; menanda buku murid kafa, menyiapkan rancangan mengajar serta menyiapkan tugasan kuliah dan mengulangkaji. Adakalanya saya mengambil upah melipat dan menggosok baju. Hujung minggu, saya bergegas ke kampus yang jauhnya 3 jam perjalanan untuk menghadiri kuliah di sana pula. Saya juga mewajibkan diri menghadiri kelas agama bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) seminggu sekali. Saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga saya tetap diberikan kesihatan dan semangat yang berterusan untuk menyelesaikan MBA sehingga akhir. Siapa kata graduan luar negara pulang disambut seperti anak raja? Kami juga bersusah payah seperti graduan tempatan.

Setahun setengah saya di sana. Saya masih aktif berpersatuan islam seperti ketika saya di Korea. Bahkan saya turut menyandang beberapa jawatan dalam organisasi tersebut. Saya merasakan perubahan positif dari sudut berfikir dan bertindak berbanding dahulu.

Saya selesai pengajian dan membentangkan tesis pada waktu yang ditetapkan. Saya sudah ditawarkan bekerja di Shah Alam sebelum majlis konvokesyen. Maka saya berhijrah ke sana. Hampir setahun saya bekerja sambil menunggu majlis konvokesyen pada Oktober 2017. Akhirnya seminggu sebelum majlis tersebut, saya menerima panggilan dari pihak universiti.

Mereka menjemput saya menghadiri majlis makan malam. Saya terkejut. Berkali-kali saya meminta kepastian. Mungkin mereka tersalah orang. Mustahil budak yang pernah menerima surat amaran disebabkan pointer rendah, kini dijemput menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik. Menurut pihak universiti, pingat akan disampaikan oleh Raja Muda, maka saya diminta berpakaian yang bersesuaian. Saya meminta mereka menghantar surat jemputan rasmi bagi memudahkan saya meminta cuti dari majikan. Melalui surat itu juga saya sekali lagi teruja bercampur tidak percaya!

Ketika nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut pada hari konvokesyen, saya melihat wajah emak dan abah yang saya kasihi. Masih saya ingat janji yang saya ikrar 5 tahun lepas, bahawa saya pasti akan menebus kesalahan itu. Saya melihat mereka tersenyum. Saya hanya mampu berterima kasih atas keyakinan mereka yang tidak pernah berbelah bahagi.

Ketika Raja Muda menyampaikan anugerah, baginda bertanya tentang apa yang saya sedang lakukan sekarang. Apabila saya menyatakan bahawa saya kini adalah pensyarah Bahasa Korea di sebuah kolej swasta, baginda kelihatan begitu teruja. Perbualan kami itu berjaya mencuri tumpuan lensa dan hadirin yang pastinya tertanya-tanya apakah yang kami bualkan di atas pentas tersebut. Daulat, tuanku!

Saya menanam hasrat untuk menyambung siri Opah Gangnam Style kerana merasakan ada banyak kisah yang masih belum diceritakan. Namun kesibukan harian menyebabkan hajat tersebut masih tertangguh. Begitulah kisah saya, dari seorang yang GAGAL sehinggalah kegagalan itu berjaya dipecahkan. Suka untuk saya tegaskan bahawa, kecemerlangan akademik adalah natijah dari kecemerlangan aspek lain. Tiada guna andai hanya cemerlang akademik tetapi rosak akidah, buruk akhlak dan sebagainya. Wallahualam. Semoga bermanfaat!

– ZK

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit