Poligami Dari Pandangan Anak Yang Dipoligamikan

Tulisan ni panjang, tetapi saya jamin kisah ini menarik dan benar. Saya terpaksa merahsiakan kerana isu ini sensitif. Terutama oleh ahli keluarga yang masih mengikuti Jemaah yang saya bakal cerita nanti.

Saya merupakan anak yang mempunyai ibu tiri hasil daripada ayah berkahwin lebih dari satu. Ayah saya bukan kahwin dua, bukan tiga, tapi empat.

Sebenarnya perkahwinan ayah saya ini merupakan salah satu tanggungjawab dan strategi Jemaah yang diikuti oleh ayah dan atuk dan nenek saya. Iaitu berkahwin lebih dari satu untuk mengembangkan dakwah serta meramaikan pengikut. Ayah saya merupakan seorang yang berjawatan di dalam Jemaah tersebut dan kerana itu dia dipertanggungjawab untuk kahwin lebih dari 1.

Saya masih ingat kawan ayah saya yang berkahwin dengan orang cina Mualaf sebab mereka berjaya mengislamkan satu keluarga keturunan Cina. Maka, salah sorang ahli tertingi Jemaah dipertanggungjawab untuk membimbing mereka dengan menjadi ahli keluarga mereka iaitu dengan perkahwinan.

Ada juga yang berkahwin dengan orang di Sabah dan Sarawak yang mereka berjaya berdakwah. Anak-anak mereka (yang juga kawan saya) banyak yang cantik dan kacak hasil dari perkahwinan campuran. Ada juga yang berkahwin dengan orang luar negara seperti turki, di eropah, dan dan berbagai lagi negara. Kerana Jemaah tersebut bukan terhad di Malaysia, tetapi di luar negara.

Seingat saya, sewaktu kami kecil tiada masalah kewangan. Kerana Jemaah akan menjaga kami semua. Jemaah kami ada restoran sendiri, sekolah sendiri, bas sendiri, rumah sendiri, dan berbagai lagi prasarana yang kami guna bersama dengan semua ahli Jemaah lain tanpa mengira pangkat.

Jadi tiada isu diabaikan nafkah dan masalah dari segi kewangan. Saya masih ingat mak saya ditugaskan ke selatan Thailand untuk kerja dakwah bersama ayah saya dan sorang lagi madu mak saya. Kami ditinggalkan di rumah mak tiri saya yang lain dan ditolong oleh seorang lagi perempuan yang dari kalangan Jemaah. Waktu tu ayah saya masih kahwin 3.

Pada zaman 70 hingga 80 an, berdasarkan cerita mak cik saya, keluarga kami tidaklah alim seperti sekarang. Dulu mak cik dan mak saya cerita yang mereka ke sekolah memakai skirt dan tidak memakai tudung. Kerana Jemaah Islam inilah kami dikenali sebagai ahli keluarga alim yang sentiasa dekat dengan masjid, sentiasa bertudung labuh, dan amat menitikkan aurat dan agama. Keluarga belah mak saya juga melahirkan beberapa cendekiawan terkenal di bidang Agama di Malaysia ini.

Adik beradik mak saya dan sepupu mak saya merupakan professor dan pensyarah di Universiti Awam dan Swasta dalam bidang agama. Mereka bukan Daie atau PU atau selebriti agama, dan bukan agamawan ekspres, tetapi mereka merupakan agamawan yang disegani dalam bidang akademik dan terkenal di kalangan pertubuhan Islam di Malaysia. Mereka ada banyak penerbitan dan buku yang menjadi rujukan ahli academia yang lain.

Pak cik-pak cik saya banyak yang masuk radio, tv, dan buat buku agama secara akademik dan buku agama untuk orang awam. Walaupun tak terkenal macam Kazim Elias atau yang lain. Apabila ada permasalahan atau sesuatu isu besar dalam bidang agama, mereka selalu dirujuk. Pak cik (adik beradi mak saya) dan sepupu mak saya selalu mewakili Malaysia untuk hal-hal kegamaan untuk akademik dan pertubuhan Islam di bawah payung kerajaan.

Saya sentiasa merahsiakan siapa ahli keluarga saya sebab saya bukan aliran agama. Sebab kami dan sepupu dan dua pupu saya apabila orang tahu je kami ni saudara Ustaz tersebut, pasti kami akan disuruh jadi imam.

Saya tak kisah jadi imam, tetapi takut apabila memalukan mereka apabila hanya membaca surah pendek atau tidak sehebat pak cik dan sepupu mak saya. Takut juga kalau salah nahu dan tajwid apabila baca surah waktu sembahyang. Sepupu mak saya dan adik beradik mak saya yang jadi ahli agama yang disegani bukan satu, bukan dua, bukan 3, bukan 4, tetapi ada lebih 5 orang. Mereka merupakan cendekiawan yang disegani kerana kehebatan akademik.

Ada juga yang menjadi orang penting dalam pertubuhan politik agama. Pendek kata, kalau saya tulis dua tiga nama disini, pasti orang dah tahu siapa cendekiawan dan agamawan yang dimaksudkan. Mereka ni bukan agamawan ekspress atau agamawan selebriti. Sebab tu saya tak pernah respect sangat agamawan selebriti yang tak ada rekod atau lemah dalam sudut akademia.

Sebab syarat bagi saya, nak jadi ustaz dan agamawan yang disegani, mereka perlu penuh ilmu didada. Menulis makalah dan kitab-kitab untuk dijadikan rujukan. Bukan setakat ambil hati pendengar dan jadi ustaz Panadol. Ceramah yang tak selesaikan masalah, cuma sementara sahaja. Kerana pak cik-pak cik saya ni lah saya tahu agamawan yang sebenar. Bukan hanya hebat di meja ceramah, tetapi hebat dalam akademia dan disegani oleh cendekiawan agamawan agama lain.

Ada pak cik saya yang belajar di luar negara bidang agama hasil daripada “tiket” Jemaah. Tetapi kebanyakan mereka belajar di luar negara dalam bidang agama atas galakan dan tuntutan Jemaah tersebut. Saya pula antara yang amat asing dalam keluarga besar kami apabila mengambil belajar bukan bidang agama. Tetapi mereka semua berlapang dada dan tidaklah memandang rendah atau serong. Malah mereka amat menggalakkan dan memberi sokongan moral apabila saya tidak menyambung pelajaran bukan bidang agama.

Cuma saya malu apabila SPM saya Pendidikan Islam A2. Tetapi pak cik saya tetap puji apabila saya dapat matematik tambahan dan bidang sains A1 dan satu A2 untuk biologi. Pendek kata, saya sebenarnya amat malu sebab subjek lain semua A1 dan tetapi A2 dalam agama. Nasib baiklah tak ada kata-kata yang cakap saya ni kurang agama ke apa, tetapi keluarga besar mak saya bergembira sebab keputusan peperiksaan yang cemerlang dan ditawarkan biasiswa ke peringkat ijazah.

Itulah kesan positif Jemaah yang diikuti oleh keluarga kami. Dari mak -mak saya dan sepupu mak saya yang dulu pakai skirt, kini mereka menjadi cendekiawan agama yang hebat di Malaysia. Ayah saya juga Saya masih ingat yang Ayah saya merupakan orang yang tinggi dalam Jemaah tersebut. Sebut je nama ayah saya, orang mesti kenal. “Owh, anak Ustaz xxxx ke?”. “Anak Ustaz xxx ke? Wahh.. Mari masuklah rumah.” Dan pelbagai lagi perbuatan baik yang mereka akan lakukan kepada saya.

Tetapi saya sebenarnya tidaklah terlalu kenal ayah saya. Ayah saya kahwin ramai dan masa untuk dia meluangkan masa pada kami adalah sikit. Sampai satu tahap, panggilan ayah adalah terlalu asing buat saya. Hidup mak tak susah dan Jemaah sentiasa membantu.

Namun, segalanya bermula pada tahun 1994 apabila Jemaah diharamkan. Rasanya ramai pembaca yang boleh agak Jemaah mana yang saya maksudkan ini. Google pun pasti korang boleh cari. Sebab banyak dokumentasi mengenai Jemaah tersebut. Apabila Jemaah diharamkan, pendapatan ayah saya terjejas dan kehidupan kami menjadi teruk. Lebih-lebih lagi mak saya dan mak tiri saya yang lain bekerja dengan Jemaah dan kami semua hilang punca pencarian.

Ayah saya pula selepas pengharaman itu masih setia dengan Jemaah bersama-sama dengan ramai ahli Jemaah yang lain. Kehidupan kami susah dan mak saya terpaksa bekerja luar dari Jemaah untuk menyara kami adik beradik. Ayah sudah tidak bagi nafkah kepada kami. Kami pun ada berbelas adik beradik dan 3 mak. Mana mampu ayah nak sara kami semua. Saya faham semua ini. Tetapi bagi saya, ini bukahlan alasan untuk tidak bertanggungjawab terhadap kami.

Oleh sebab ayah tidak lagi bertanggungjawab dengan kami, mak selalu gaduh dengan ayah. Akhirnya mak saya menuntut cerai dan sejak daripada itu Ayah dah tak jenguk kami. Saya waktu itu masih lagi tadika sewaktu saya tahu yang ayah tidak lagi menjadi suami mak. Mak tak cerita sangat tentang ayah dan kami pun terputus hubungan dengan ayah. Bila kami tanya, mak akan jawab mana yang mak tahu. Sebab Ayah langsung tak hubungi kami dan Ayah masih ada dua lagi isteri dan berbelas anak yang lain.

Saya masih ingat saya amat merindui ayah ketika saya sekolah rendah dan lama kelamaan perasaan rindu itu menjadi benci. Benci kerana ayah selalu tiada apabila kami perlukan ayah. Sewaktu orang pecah masuk rumah kami dan kami ketakutan dengan perompak, ayah tiada. Sewaktu saya dibuli dan dipukul di sekolah, ayah tiada. Sewaktu mak bekerja siang malam menyara kami, ayah tiada. Pendek kata, ayah tak pernah ada.

Apa guna ikut Jemaah dan sentiasa sembahyang, tetapi nafkah kami tidak pernah bayar walaupun satu sen pun. Mak saya pun penat naik turun mahkamah tuntut nafkah. Duit banyak habis untuk menuntut nafkah. Mak pun dah tak pergi mahkamah sebab katanya dari habis duit ke mahkamah, baik bagi kami makan. Pada mak, mahkamah hanya bagi keadilan pada orang yang berduit. Tak ada duit, tak adalah keadilan.

Sebenarnya hal ini bukan terjadi pada kami, ramai lagi anak-anak Jemaah yang lain menerima nasib yang sama. Ada yang ayah mereka masih lagi berkahwin, tetapi tak balik rumah serta abaikan tangungjawab padan isteri dan anak-anak. Ramai kawan saya yang memberontak dan berpeleseran di jalanan. Paling popular adalah menjadi mat rempit yang tak balik rumah. Dari didikan agama yang kuat waktu kecil, ramai rakan saya yang merupakan anak Jemaah yang terlibat dengan masalah sosial.

Ada yang terlibat dengan dadah, ada yang terlibat dengan rempit, kumpulan gangster, dan berbagai lagi. Semua kesan daripada rumah tangga yang porak poranda apabila ayah masing-masing tiada lagi di rumah dan hilang entah kemana. Saya masih ingat rakan saya yang baru sahaja sekolah rendah tetapi ditangkap polis kerana mencuri berkumpulan.

Sewaktu dalam Jemaah dan pasca pengharam Jemaah, mereka hanya berzikir isteri perlu taat pada suami. Tak cium bau syurga kalau derhaka. Sampai mak saya ni kadang-kadang menjadi tempat mengadu oleh isteri-isteri yang diabaikan tanggungjawab suami dalam Jemaah tu. Mana yang mak boleh tolong, mak tolong. Tetapi mak pun antara penerima zakat.

Yang jadi masalah apabila borang zakat mereka terpaksa ditolak sebab masih lagi bersuami dan borang tidak lengkap tanpa pendapatan suami. Sampai mak saya menolong mereka untuk merayu di pejabat zakat dan menceritakan yang suami masing-masing tak bagi nafkah dan tak mampu nak sara anak-anak.

Apa yang saya perasan, kalau orang zakat yang pangkat rendah ni mereka skema. Semuanya nak tengok atas kertas. Status bersuami, tetapi pendapatan suami tak ada, tak diluluskan. Atau bila siasat, suami dah mintak zakat untuk isteri pertama, yang zakat isteri kedua yang minta berasingan tak lepas. Sebab nama suami dah terima zakat.

Yang pangkat besar-besar di pusat zakat ni la yang banyak bantu untuk tolong “ibu tunggal” yang masih bersuami ni. Sebab mereka ada kuasa untuk lepaskan kes-kes special kes ni. Tetapi kena betul-betul berusaha. Ada yang saya tahu kawan mak saya, dah setahun baru dapat bantuan zakat. Saya tak salahkan pejabat zakat, sebab mereka pun nak elakkan penipuan dan cheapskate. Sebab isu ni kompleks dan terpaksa menyiasat mendalam.

Ramai juga sebenarnya yang kawan mak saya yang akhirnya mengalah awal untuk meminta zakat sebab isu-isu yang kompleks ni. Bagi mereka yang dah bercerai seperti mak saya, isi borang dan kelulusan senang sikit. Tetapi yang masih ada suami dan madu, kebanyakan mereka tak lepas untuk terima zakat sebab hal-hal kompleks ni.

Selain itu juga, ada juga ahli Jemaah yang masih ligat berkahwin lain walaupun tak mampu dah. Macam ayah saya yang masih ada banyak anak, tetapi masih lagi berkahwin. Cukup 4 mak saya ada. Ayah kawan saya juga berkahwin lain sedangkan ibu dia buat dua tiga kerja. Mengamuk kawan mak saya tu bila dapat tahu suami dia kahwin lain. Kawan saya tu siap nak ambil kayu pukul ayah dia. Tetapi mak dia haling.

Ada juga saya dengar cerita dari kawan mak saya yang suami mereka balik dan ambil harta di rumah dan mengatakan untuk Jemaah. Tapi tahu sangat untuk diri sendiri sebab dah tak ada duit. TV atau almari atau perabot dijual dan digadaikan. Saya masih ingat rumah kawan saya, dulu ada TV besar dan beberapa perabot. Tetapi disebabkan Jemaah, mereka duduk di lantai dan makan pun susah akibat Jemaah.

Bagi saya, pasca pengharaman melahirkan ramai suami berpoligami yang tak guna. Ada yang masih lagi gatal untuk kahwin lain. Kahwin dengan perempuan muda dan masih cantik. Jemaah tu bagi saya terpesong dan tak releven sepeti dulu. Jemaah selepas pengharaman, mereka tukar nama. Lepas tu tukar nama lagi sebab nak elak daripada penguatkuasa agama. Tetapi mereka cuma bersalin kulit dan bukannya betul-betul insaf. Sebab mereka masih taksub dan buat kegiatan yang tak selari dengan agama.

Namun, tak semua macam tu. Masih ramai rakan saya yang masih ke sekolah dan menjadi orang. Cumanya kebanyakan yang saya kenal, banyak yang marahkan ayah masing-masing. Anak ramai, ibu ramai, tetapi tak bertanggungjawab. Sikit je yang pasca pengharaman yang betul-betul bertanggungjawab terhadap isteri masing-masing dan tidak abaikan anak-anak.

Macam kawan saya sorang ni bertuah apabila ayah dia masih bekerja macam-macam sampailah hidup senang kembali. Dia masih ingat yang susahnya mereka dulu sampai duduk pondok buruk bersama adik beradik tiri lain. Kalau hujan, rumah mereka banjir sebab atap bocor. Pernah pondok tu roboh sampai mereka terpaksa tidur dalam khemah. (maaf kawan kalau baca ni). Pusat zakat akhirnya bantu mereka dapatkan rumah baru.

Sebab tu saya fobia untuk berkahwin lain. Saya tahu bertapa sakitnya tak mempunyai ayah walaupun ayah masih hidup. Banyak dokumentasi yang kami terpaksa kosongkan bahagian ayah sebab memang kami tak tahu. Ayah menghilangkan diri sebab takut diminta nafkah. Sampai saya masuk U, mak terpaksa cari ayah dari kawan-kawan ayah dan cakap, “tak minta duit dan tak mintak apa-apa, tetapi tolonglah contact saya untuk saya dapatkan dokumen untuk anak masuk universiti”. Rasanya itulah kali pertama saya tengok IC ayah.

Sewaktu saya dah ada kereta, saya mencari adik beradik tiri saya dan melawat mereka. Mak memang sentiasa suruh untuk cari adik beradik saya. Mak masih berhubung dengan madu yang lain sebab mak kata nak elakkan kami terkahwin adik beradik.

Walaupun saya fikir saya mampu berkahwin lain, macam mana tiba-tiba ditarik nikmat seperti Jemaah tersebut? Banyak anak-anak hasil poligami yang terabai dan terpaksa bercerai berai. Jujur, kalau kami cerita pasal ayah masing-masing di kalangan anak-anak Jemaah, semuanya membenci ayah seperti saya benci ayah saya. Saya pun tak berpoligami lain sebab saya tak nak anak saya benci saya.

Adik beradik tiri saya pun banyak yang benci ayah. Ingatkan kami je benci sebab kami rasa seperti dibuang. Rupanya yang tak terbuang pun sama je. Ayah tak pernah ada. Sembahyang siang malam, tetapi tak bagi nafkah. Ada adik beradik saya yang tak lagi sembahyang sebab dia nampak ayah kuat sembahyang tetapi tak guna. Tetapi mak selalu larang kami benci ayah sendiri. Mak selalu pesan maafkan ayah walau macam mana sekali pun. Ayah tetap ayah walaupun ayah tak pernah ada.

Banyak lagi kes si ayah yang berpoligami tetapi tak guna yang saya nak ceritakan disini. Tetapi cukuplah orang lain tahu setakat ini. Mungkin ada yang salahkan Jemaah, mungkin ada yang salahkan pengharaman Jemaah. Tetapi saya sebenarnya salahkan si ayah yang tak bertanggungjawab. Yang dah ada isteri hasil Jemaah, tetapi masih lagi kahwin. Ada yang dah kahwin sebab Jemaah, tetapi abaikan isteri dan anak-anak sambil setia dengan Jemaah. Ada yang dah tak setia, tetapi tak balik rumah dan abaikan tanggungjawab.

Ada kisah mualaf kawan mak saya yan telah dibuang keluarga sebab tukar agama. Tetapi suami pula tak guna untuk menyara hidup dia dan madu lagi. Balik pada ahli keluarga, tetapi dihalau. Sudahnya terpaksa mintak fasakh dan proses mahkamah pun bertahun-tahun. Jalan kaki 3-4 kilometer untuk bekerja di pasaraya sambil anak-anak ramai terpaksa ditinggalkan untuk anak yang paling tua (tingkatan 1) dan tak dapat pergi kesekolah. Dah bercerai, barulah dapat minta zakat ibu tunggal dan berbagai lagi.

Pendek kata, suami yang tinggalkan isteri tanpa menceraikan isteri ni lagi menyusahkan mereka. Mohon zakat sebagai asnaf tak lepas apabila suami entah kemana-mana untuk pengesahan borang. Bila dah minta, rupanya suami dah minta zakat, mereka tak dapat zakat sebab suami dah terima. Sedangkan mereka tak dapat satu sen dari zakat tu. Banyak lagi kes porak poranda akibat poligami yang saya lihat. Terutama si ayah mengabaikan anak-anak dan menyerahkan pada si isteri untuk melakukannya.

Bayangkan, apabila sebut perkampungan kami, orang akan sebut pasal Jemaah tu dan budak-budak yang selalu buat masalah. Hasil dari rumah yang porak-poranda, banyak hasilkan anak-anak yang bermasalah. Yang ada akhirnya ada kawan saya yang akhirnya mati akibat dadah, ada yang mati akibat kumpulan gangster, dan ada yang mati sewaktu berlumba haram. Banyak yang tak habis pelajaran. Ya, ramai juga yang akhirnya jadi orang, tetapi tak ramai jika dibandingkan dengan yang jadi orang.

Bagi saya, strategi meramaikan umat dan teknik dakwah dengan berpoligami adalah salah satu teknik yang bakal menikam diri sendiri. Berpoligami biarlah betul-betul mampu dunia dan akhirat.

Bayangkan jika satu hari nanti tiba-tiba kita hilang mata pencarian, adakah masih menanggung anak dan isteri hasil poligami? Sebab tu saya nasihatkan, berpoligami bukanlah hanya kemampuan waktu terkini, tetapi kemampuan sehingga mati.

– Anak yang sudah tidak lagi membenci ayahnya. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *