Politik Pejabat dan Perasaan Hasad Dengki

Nama saya Jasmine. Sudah tentulah bukan nama sebenar. Saya bekerja di sektor Kerajaan sejak 21 tahun yang lalu. Sudah berkeluarga, dengan suami yang penyayang dan anak-anak yang sedang menginjak dewasa.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya sebagai seorang penjawat awam. Untuk makluman semua, saya pernah bekerja di agensi yang sama di peringkat negeri sebelum diarahkan bertukar ke peringkat Persekutuan.

Selepas beberapa tahun berkhidmat, dek kerana keperluan pertukaran seorang rakan sejawat dari negeri bagi mengisi jawatan di peringkat Persekutuan, saya ditukarkan ke agensi Kerajaan Persekutuan yang lain.

Ya, saya ditukarkan untuk memberi ruang kepada pegawai berkenaan bekerja di pejabat saya. Sebabnya, saya seorang yang sangat “industrious” dan vokal, dan dilihat sebagai seorang pencabar walaupun saya masih di jawatan rendah.

Di agensi ini, saya hanya diarahkan untuk melaksanakan sesuatu tugasan tanpa sebarang tunjuk ajar dari ketua saya sendiri. Semuanya saya lakukan tanpa komplen. Tapi saya masih dilihat sebagai seorang pencabar kerana hasil kerja saya yang tip top pada ketika itu.

Semasa saya di agensi baharu, alhamdulillah saya mendapat seorang ketua yang sangat memahami. Dengan beliau, saya banyak belajar apa yang saya tidak pelajari selama di agensi lama.

Semasa di agensi inilah, saya diberi peluang untuk menyambung pelajaran di luar negeri dan diberikan anugerah kerana perkhidmatan saya yang cemerlang.

Namun, selepas beberapa tahun, saya telah diarahkan untuk bertukar semula ke agensi lama kerana dinaikkan pangkat.

Sekembalinya saya ke agensi lama, saya menjawat jawatan yang lebih senior tetapi tiada anak buah untuk bekerja bersama-sama dengan saya,

Walaupun ketua saya adalah ketua yang dahulu dan sepatutnya ada anak buah yang bekerja dengan saya. Saya dibiarkan bekerja seorang diri dan diberikan tugasan-tugasan yang sukar dan mencabar.

Saya ditohmah sebagai seorang yang hanya boleh bekerja seorang diri dan tidak tahu bekerja dengan orang (padahal saya tidak diberi peluang itu).

Semasa bekerja, saya perlu belajar sendiri dan berkomunikasi dengan pihak luar supaya saya dapat melaksanakan tugasan-tugsan saya. Apabila saya berjaya melaksanakan tugasan-tugasan yang diberikan, kedengaran lagi macam-macam bunyi di belakang.

Kebetulan pada ketika itu, saya mendapat peluang untuk bekerja di luar negara di bawah skim “cross fertilisation” (saya mohon sendiri dengan niat untuk memajukan diri-sendiri).

Ketua saya tak sangka saya berjaya di dalam temuduga itu, kerana semasa ketua saya tandatangan borang untuk kelulusan, beliau sempat lagi berkata,

“Confirm tak dapat ni…tapi tak apalah, saya sign ajelah ye!” Kelu sebentar saya ketika itu. Menitis air mata semasa saya keluar dari biliknya…

Maka berkhidmatlah saya di luar negara selama beberapa tahun di samping mengambil peluang melanjutkan pelajaran.

Apabila saya kembali ke agensi lama setelah tamat tempoh bekerja di luar negara dan seterusnya dinaikkan pangkat,

Saya ditempatkan di bahagian yang langsung tidak kena-mengena dengan kepakaran saya walaupun terdapat kekosongan jawatan yang sesuai dengan kepakaran saya.

Apabila saya cuba menyumbang atau diberi peluang untuk menyumbang, saya disekat dan diputuskan dari pelbagai sumber yang memerlukan kepakaran saya. Ditikam dari belakang berkali-kali, sudah menjadi lumrah… sehingga terasa kering air di mata.

Padahal di agensi saya berkhidmat, tiada kepakaran berkenaan. Kepakaran saya dinafikan dan tidak dipandang kerana semata-mata saya berkhidmat di bahagian yang berbeza.

Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada saya kerana cuba menyumbang. Amat rugi kerana saya telah beberapa tahun menimba pengalaman dan ilmu di luar negara supaya saya dapat menyumbang apabila kembali ke Malaysia.

Kepakaran luar juga yang dipandang dengan kos yang mahal untuk sesuatu perkhidmatan.

Di lubuk sanubari saya, saya tertanya-tanya… apakah dosa saya, bertahun-tahun saya dianiayai secara halus. Dahulu, saya tak sedar kerana saya fikir, niat kerana Allah SWT untuk menimba ilmu semasa bekerja. Padahal dibuli dan kelayakan saya dinafikan.

Saya hairan, semasa di luar negara (di sebuah negara yang lebih maju), kepakaran saya diiktiraf rakan-rakan sejawat dan mereka sangat menghorm4ti profesionalisme masing-masing semasa bekerja.

Di Malaysia, terbalik pula dan kepakaran saya langsung tidak diiktiraf. Malah, saya tidak pernah menerima sebarang anugerah kecemerlangan di agensi ini. Alasan ketua saya, untuk memberi peluang kepada mereka-mereka yang “kurang bernasib baik”.

Apa-apa pun, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada saya. Di sebalik penindasan dan penganiayaan selama bertahun-tahun, selagi ketua saya itu masih ada di agensi saya bekerja sekarang, selagi itulah keupayaan dan potensi saya disekat.

Apabila selalu ditindas dan dianiayai secara halus, saya tidak ingin anak-anak buah saya menghadapi keadaan sepertimana yang saya pernah hadapi.

Saya cuba mendidik anak-anak buah saya di dalam melaksanakan kerja masing-masing, menjaga kebajikan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk memajukan diri di dalam kerjaya mereka.

Saya tak mahu anak-anak buah saya rasa apa yang saya pernah rasa dan sedang rasa pada ketika ini. Cukuplah saya seorang.

Apa-apa pun, saya maafkan perbuatan ketua saya itu kepada saya, tetapi rasa hormat saya kepadanya sudah bertahun-tahun hilang. Respect is to be earned, not deserved.

Ular menyusur akar takkan hilang bisanya,

– Jasmine (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *