Proses Hadhanah & Nafkah An4k Saya

Assalamualaikum dan Hi semua. Kalau masih ingat, sayalah Rupa yang menulis tentang kisah “Mak Anak Tiga” (https://iiumc.com/mak-anak-tiga/) dan “Proses Penceraian Aku.” (https://iiumc.com/proses-perceraian-aku/).

Terima kasih pada kalian yang membaca dan menitipkan kata-kata positif, semangat dan motivasi pada coretan saya. Semoga Allah merahmati kalian. Aamiiin.

Kali ini saya nak berkongsi bagaimana proses saya membuat tuntutan hak jagaan anak dan nafkah anak saya. Saya juga memohon Bantuan Guaman Syarie dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bantuan Guaman dari Jabatan Bantuan Guaman (JBG).

Bagaimana saya lakukan semua ini? Awalnya, semasa di Mahkamah, sewaktu saya nak buat tuntutan ini, saya cuma nakkan hak jagaan anak sebab saya tak mahu anak dipisahkan dari saya dengan ugutan juga ancaman dari Bahe membuatkan saya perlu mendapatkan hak jagaan ini.

Tetapi, kata dari Pegawai Mahkamah yang meneliti tuntutan saya membuatkan saya mengikut nasihatnya untuk membuka juga fail tuntutan nafkah anak. Saya masih ingat kata beliau, “Puan, kalau dah buat fail Hadhanah (Hak Jagaan Anak), sebaiknya buat sekali dengan nafkah anak.

Bapa nie kena diajar erti tanggungjawab sebab ramai pihak ibu tak suka nak tuntut. Sebab itu ramai pihak bapa hilangkan diri selepas bercerai. Tuntut hak anak Puan, jangan kata nak tunggu di Akhirat sana.”

Sebab itu, saya buat sekaligus tuntutan; Hadhanah dan Nafkah Anak. Hak saya tak mengapa, lama sudah saya halalkan. Tetapi, hak anak, saya tuntut walaupun saya tahu saya akan naik turun Mahkamah berkali-kali.

Selepas saya buat kedua-dua tuntutan tersebut, kami harus lalui proses rundingan kedua pihak ataupun bahasa Mahkamahnya dipanggil “Rundingan Sulh”.

Sulh ini seperti cuba untuk mendapatkan kerjasama ataupun kesepakatan di luar Mahkamah. Dalam bahasa mudahnya, “menjimatkan masa daripada melalui proses bicara di dalam Mahkamah.”

Pertama kali sesi Sulh, haaa dah memang saya agak, kami tak dapat nak mencapai perdamaian mahupun persetujuan. Haha. Saya pun sejenis keras kepala dalam hal anak.

Lagipula bila Bahe mengaitkan bahawa saya tak mampu nak jaga ketiga-tiga anak kerana saya hanya bekerja secara kontrak di sektor kerajaan manakala beliau mempunyai pencen.

Sehinggakan Pegawai yang mengetuai proses Sulh bercakap, “Encik Bahe, kalau Puan Rupa tak bekerja sekalipun, tetaplah hak jagaan boleh dapat pada beliau lagipula anak-anak semua masih kecil.

Memang ibu yang selayaknya mendapat hak jagaan. Jikalau Puan Rupa bekerja secara kontrak pun, nafkah anak tetaplah wajib pada bapa bukan pada ibu.”

Terdiamlah Bahe di situ. Saya pula mampu menarik nafas lega seketika bila saya mendengar bahawa jika anak masih di bawah umur (belum mumaiyiz) memang ibu yang selayaknya mendapat hak jagaan.

Saya terangkan sedikit ya; “Jika anak lelaki telah berumur 7 tahun dan jika anak perempuan telah berumur 9 tahun barulah hak jagaan akan berpindah kepada bapa.

TETAPI, Mahkamah boleh mengarahkan hak jagaan kepada ibu sehingga usia anak lelaki berumur 9 tahun dan anak perempuan berumur 11 tahun dan setelah itu anak itu boleh memilih untuk duduk bersama siapa.”

Begitulah yang diterangkan kepada saya. Jadi di sini, saya dah dapat gambaran yang ketiga-tiga anak akan bersama saya cuma saya tak mahu terlalu yakin sebab selagi belum dimuktamadkan oleh Mahkamah, macam-macam boleh terjadi.

Disebabkan Sulh yang pertama kami tak dapat mencapai kesepakatan, maka ditangguhkan ke Sulh yang kedua. Bila tiba sesi Sulh yang kedua, Bahe sengaja tak nak hadir walaupun saya dah maklumkan sebelum itu. Disebabkan Bahe tak hadir, maka ditangguhkan ke Sulh yang ketiga.

Sulh yang ketiga juga begitu, Bahe sengaja tak nak hadir. Saya kata sengaja kerana semasa saya maklumkan kepada beliau, Bahe boleh berkata, “Oh terlupa.” Tetapi beliau tak lupa memberikan “Tuntutan Pembelaan” kepada Mahkamah. Pandai kan beliau :)

Tuntutan Pembelaan ini seperti suatu keterangan untuk membela diri dan seterusnya menafikan segala keterangan yang saya kemukakan pada awal tuntutan.

Selepas Bahe memberikan keterangan “Tuntutan Pembelaan”, saya pula perlu membalas “Jawapan Pembelaan” iaitu keterangan untuk menafikan atau membela diri dalam keterangan yang Bahe kemukakan.

Begitulah proses Mahkamah. Bila diberi kena dibalas sehinggalah masuk ke dalam perbicaraan.

Selepas saya membalas “Jawapan Pembelaan”, saya masih ingat yang Pegawai Mahkamah menasihatkan saya agar mendapatkan khidmat guaman kerana banyak orang awam tak memahami proses di dalam Mahkamah.

Dan beliau melihat bagaimana susah payahnya saya bertungkus-lumus menghabiskan masa di Mahkamah dan Bahe pulak masih enggan hadir ke Mahkamah.

Ketahuilah bila salah satu pihak sengaja tak hadir / enggan hadir maka memang Mahkamah akan terpaksa menangguhkan ke tarikh lain dan kerana itulah banyak kes yang tertangguh.

Melainkanlah, jikalau Mahkamah telah menetapkan bahawa boleh berlaku bicara sebelah pihak, ataupun mengeluarkan waran. Begitulah.

Disebabkan itulah, saya sanggup memijak kaki, menghela langkah mencari pejabat Jabatan Bantuan Guaman di Jalan Raja Laut itu. Saya bertanya dan ingin menggunakan khidmat Peguam.

Alhamdulillah, usaha saya dipermudahkanNYA. Pegawai di Jabatan Bantuan Guaman (JBG) telah memberikan cadangan dan tunjuk ajar mengenai kes saya. Pegawai tersebut telah menerangkan di JBG ada dua (2) kelayakan untuk mendapatkan khidmat guaman iaitu:

1) Jika pendapatan tahunan di bawah RM30,000 setahun dan ke bawah biasanya hanya perlu membayar kos fail anggaran RM10-RM50 dan selebihnya adalah percuma

2) Jika pendapatan tahunan RM30,000 tetapi tak melebihi RM50,000 setahun ada bayaran yany ditetapkan oleh JBG

Setelah JBG meneliti dan menilai kelayakan pendapatan tahunan saya, maka saya diisytiharkan berada pada kelayakan kedua dan saya harus membayar sebanyak RM3,000 untuk kedua-dua kes saya.

Pada masa saya ketahui yang saya perlu membuat bayaran dahulu barulah JBG akan mengambil kes saya, saya telahpun mengorak langkah menuju ke Majlis Agama Islam KL (MAIWP) ataupun kita panggil sebagai Baitulmal MAIWP.

Saya hanya google dan ketahui yang MAIWP ada menawarkan Bantuan Guaman Syarie. Saya ke sana untuk ketahui samada saya layak ataupun tidak untuk memohon bantuan tersebut.

Alhamdulillah, Pegawai di MAIWP menerangkan dan memberitahu bahawa saya layak memohon Bantuan tersebut dan harus mengisi dan memberikan dokumen yang diminta.

Antara dokumen yang saya perlu berikan adalah salinan kad pengenalan, salinan dokumen Mahkamah iaitu Tuntutan Saman Hadhanah & Nafkah Anak, salinan penyata pendapatan saya, salinan sijil lahir anak, dan juga salinan sijil cerai.

Disebabkan semasa ini kes cerai saya masih berjalan, jadi saya hanya perlu kemukan tuntutan dari Mahkamah sahaja.

Tempoh masa bagi permohonan saya di Baitulmal MAIWP mengambil masa di dalam tempoh dua (2) minggu, manakala di JBG, pihak JBG memberikan masa selama seminggu untuk saya.

Saya puji di pihak Baitulmal MAIWP kerana tidak mengambil masa yang lama. Di dalam tempoh 3 hari saya telah mendapat jawapan dan permohonan saya diluluskan.

ALHAMDULILLAH. Pihak Baitulmal MAIWP telah menyatakan bahawa segala kos guaman untuk kedua-dua kes akan ditanggung sehingga selesai dan pihak JBG akan menguruskan kes saya sehingga selesai juga.

Nah. Dalam susah payah yang saya harungi, Allah permudahkan dengan urusan kes saya telah ada Peguam dan saya boleh menghela nafas lega setelah Peguam kes saya meneliti dan berjanji akan menjalankan tanggungjawabnya membawa kes saya dengan baik.

Maka, bermulalah pula proses bicara di dalam Mahkamah.

Untuk bicara kali pertama, Bahe tidak hadir. Maka, Hakim mengarahkan ditangguhkan ke tarikh yang lain. Masuk bicara yang kedua, Bahe tetap tidak hadir.

Tak tahulah apa masalah beliau. Hakim memberikan masa dan menangguhkan ke tarikh yang lain. Bicara kali ketiga, Bahe hadir. Baguslah hadir sebab saya pun penat bila datang Mahkamah tetapi pulang tetap kosong dan tiada apa-apa perubahan di dalam kes.

Bicara kali ketiga, Hakim mengarahkan agar seeloknya ketiga-tiga anak diletakkan di bawah jagaan Ibu kerana semuanya masih kecil.

Hakim juga mengarahkan agar kami cuba berbincang untuk soal nafkah di luar Mahkamah. Hakim memberikan kami masa berbincang di luar Mahkamah untuk seketika.

Pada masa ini, Bahe mengatakan beliau hanya ingin berbincang dengan Peguam saya dan tak mahu saya terlibat. Jadinya, saya hanya menunggu Peguam saya mencatatkan apa yang Bahe mahu dan memaklumkan kepada saya.

Permintaan pertama Bahe, beliau mahukan diberikan hak melawat anak-anaknya dua (2) kali dalam sebulan. Cuti sekolah, anak-anak sepenuhnya pada jagaan beliau.

Beliau boleh mengambil anak pada bila-bila masa dan bila beliau tak sibuk. Cuti perayaan sepenuhnya pada beliau dan saya mendapat giliran yang berikutnya. Manakala nafkah pula hanya sebanyak RM400 sebulan.

Saya bersetuju dengan hak melawat, cuti sekolah dan cuti perayaan tetapi tidak dengan nafkah kerana bagi saya RM400 sebulan tidak cukup untuk ketiga-tiga anak kami.

Jadi, Peguam menyatakan kepada Bahe bahawa saya tidak bersetuju dengan bab nafkah dan Bahe pula memaklumkan beliau ingin mengubah tentang hak lawatan.

Permintaan kedua Bahe, beliau mahukan hak lawatan dan bermalam untuk anak-anak pada hujung minggu.

Awalnya, saya tidak bersetuju sebab anak-anak masih kecil tambahan yang bongsu baru nak masuk setahun, jadinya saya memberikan hanya anak sulung dan kedua sahaja untuk di bawa balik bermalam.

Anak yang bongsu pula masih menyusu badan jadi agar sukar untuk dilepaskan bermalam. Bagi, cuti perayaan, tiada apa-apa yang saya hendak katakan selain saya tetap bersetuju dengan syarat beliau.

Tiba-tiba, Bahe membuat permintaan ketiga pula. Beliau mahukan anak sulung diletakkan di bawah jagaan beliau walhal di dalam Mahkamah tadi beliau mendengar Hakim mengatakan seeloknya anak-anak di bawah jagaan ibu.

Disebabkan ini, memang tidaklah saya mahu bersetuju dengan permintaan Bahe dan saya mengatakan kepada Peguam, biarlah Mahkamah yang menentukan.

Dek kerana permintaan Bahe yang bertukar-tukar dan Bahe juga meminta kepada Mahkamah memberikan masa kepada beliau untuk mencari Peguam, maka sekali lagi, Mahkamah memberikan masa dan menangguhkan kes saya ke tarikh yang lain.

Penat tetapi tak apalah, demi hak anak-anak saya akan bertahan dan berjuang.

Dipendekkan cerita, memang Bahe tak hadir bicara sehinggalah ke bicara kelima dan Peguam meminta kepada Mahkamah untuk menjalankan bicara sebelah pihak sahaja. Mahkamah bersetuju. Seterusnya, berjalan prosiding perbicaraan, bicara saksi dan lafaz angkat sumpah.

Setelah itu, Mahkamah menetapkan bacaan keputusan untuk kedua-dua kes saya, teringat Hakim berpesan kepada saya, “Takpe, awak sabar sikit lagi. Lama kes awak ni, naik turun Mahkamah untuk anak-anak. Sabar sikit lagi, Allah ada.”

Ditakdirkan negara kita dilanda wabak Corona – Covid. Maka, ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan semua urusan rasmi mengalami kesulitan begitu jualah dengan kes di Mahkamah termasuklah kes saya sekali. Memang orang kata penantian itu suatu penyeksaan.

Beberapa bulan kes bertangguh kerana menanti tarikh baru sehinggalah Peguam memaklumkan bahawa 25/8/2020 adalah tarikh bacaan keputusan. Risau dan debaran menjadi-jadi.

Kenapa saya risau? Saya risau sebab saya taknak anak dipisah-pisahkan. Bukan sebab saya tamak, TAK.

Saya taknak anak-anak merasa kesan bilamana seorang di sana, yang lain di sini. Saya taknak. Masa di dalam fasa PKP pun, musim perayaan saya benarkan sahaja pihak bapa mengambil dan bermalam bersama anak-anaknya.

Saya tak kejam ya, cuma saya tak suka pada provokasi, ugutan dan kecaman yang kadangkala dimainkan oleh Bahe. Saya penat. Penat mental nak layan, sejujurnya.

Pada masa bacaan keputusan dibacakan oleh Hakim, Alhamdulillah lagi kerana saya berjaya mendapatkan Hak Jagaan untuk ketiga-tiga anak saya.

Antara tuntutan Defendan (pihak bapa) mahukan anak sulung di bawah jagaannya, namun Mahkamah menolak dan meletakkan agar ketiga-tiga anak berada di bawah jagaan ibu dan pihak bapa hanya diberikan hak melawat.

Jika mahu mengambil anak untuk bermalam, kena mendapatkan persetujuan dan budi bicara pihak ibu. Ini bukan saya yang tetapkan ya, ini adalah dari Mahkamah.

Nanti orang kata saya yang halang, tak izinkan, tak benarkan, bla bla bla pihak bapa berjumpa anaknya. Walhal, saya sentiasalah update segala aktiviti anak melalui gambar dan video.

Bagi bacaan keputusan Nafkah Anak, Mahkamah menetapkan agar pihak bapa membayar RM1000 setiap bulan untuk ketiga-tiga anak.

Bagi nafkah tahunan iaitu Nafkah Persekolahan sebanyak RM800 dan Nafkah Perayaan sebanyak RM750. Berkuatkuasa serta-merta setelah Perintah dikeluarkan. Alhamdulillah.

Saya bersyukur sangat pada Allah, kerana harapan saya sebenarnya tipis pada bab nafkah ini. Sebab saya selalu baca berkaitan nafkah yang banyak ibu tunggal merungut mengatakan tidak cukup.

Saya faham, sebab bila kita seorang diri menggalas segala bebanan keperluan dan perbelanjaan memang perit.

Jadi, bila Mahkamah sendiri yang tetapkan, betapa bersyukurnya saya. Menangis saya di dalam kamar Mahkamah semasa Hakim membacakan keputusan itu. Saya rasa berbaloi dan terbalas segala usaha, kudrat, tenaga fizikal dan mental saya untuk anak-anak saya.

Orang nampak kita senyum senang segalanya, orang tak nampak usaha dan curahan air mata kita di saat kita lemah, tak berdaya dan perlukan bahu untuk bersandar. Penat.

Inilah sedikit kisah mengenai kes untuk hak jagaan anak dan nafkah anak saya. Panjang kan, saya dah cuba memberikan ringkasan tetapi kalau masih panjang, maafkan saya.

Untuk ibu tunggal seperti saya yang mengalami masalah kesulitan, saya doakan semoga Puan menemui jalan penyelesaian terbaik.

Jika perlu dapatkan khidmat guaman tetapi tidak mampu, pergilah ke JBG. Pegawai di sana pasti membantu. Di setiap negeri memang ada bantuan guaman syarie hanya kita kena berusaha mencari dan menyelidik. Rajin-rajinlah juga mengikuti post-post daripada Peguam Syarie.

Saya banyak membaca dan bertanya kepada Peguam mengenai jalan kes saya untuk memudahkan pemahaman saya. Akhir kata, “Teruslah kuat pihak yang teraniaya agar yang menganiaya terasa dianiaya.”

Mak Anak Tiga,

– Rupa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *