Proses Perceraian Aku

Assalamualaikum. Hi semua. Saya Rupa, mak anak tiga.

Sebelum ini saya ada berkongsi menulis tentang bagaimana saya keluar dari perkahwinan toksik saya dengan tajuk, “Mak Anak Tiga” (https://iiumc.com/mak-anak-tiga/).

Saya baca kesemua komen-komen yang diberikan. Terima kasih sebab berikan kata-kata semangat buat diri saya dan anak-anak. Semoga Allah membalas yang baik-baik buat kalian juga. Aamiiin.

Oh, kali ini saya nak bercerita bagaimana proses penceraian dan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak yang saya uruskan dan buat semasa dan selepas berpisah dengan Bahenol.

Kali pertama saya pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Masa nie, saya ingat lagi, saya tanya Pegawai di kaunter Mahkamah, apa saya perlu buat.

Di atas nasihat beliau, saya terus buat tiga (3) tuntutan iaitu Tuntutan Penceraian, Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak) dan Tuntutan Nafkah Anak. Masa nie, saya cuma nak bercerai dan nak pastikan anak-anak dapat pada saya.

Sebab Bahenol banyak kali cakap dan ugut pada saya, “Kau kena ingat, kau yang keluar rumah, kau kerja tak bagus, anak-anak pasti akan dapat pada aku. Aku dah tanya kat Mahkamah, memang Peguam kata, kau tak akan dapat apa-apa.”

Manalah saya tak trauma dan takut. Saya takut saya akan hilang anak-anak. Anak saya yang bongsu masatu baru berusia 8 bulan, masih menyusu badan. Boleh rasa dan bayangkan tak bagaimana perasaan seorang ibu bila dipisahkan dengan anak-anaknya?

Saya jadi takut nak membayangkan. Saya lawan semua perasaan itu, saya tekad, saya katakan pada diri saya, “Allah tahu apa yang saya niat dan lakukan. Allah tahu. Allah tahu.”

Selepas itu, bila saya beritahu Bahenol, yang saya dah bukak fail di Mahkamah, lagilah Bahenol memgamuk. Itulah yang buatkan sampai beliau menyerang saya di pejabat, maki saya sebab saya tak bagi beliau ambil anak. Eh, jadi kes polis taw. Saya siap ada 3 report polis berkenaan Bahenol.

Mujur Pegawai Polis yang ambil aduan saya sangat memahami dan menolong sebaik mungkin.

IO yang kendalikan kes saya sempatlah menegur saya dan Bahenol agar tidak berebut-rebut bab anak sebab anak ini adalah anak bersama. Jangan suka-suka nak mengugut kata IO kepada Bahenol.

Kita ada undang-undang, jangan suka-suka nak jatuhkan hukum. Haaaa terdiamlah Bahenol. Bila saya dah buat report, kurang sikitlah meroyan Bahenol. Kuranglah, drama tu tetap ada lagi-lagi bila di Mahkamah. Euw.

Sampai tarikh bicara untuk kes kami. Mula-mula kes cerai di Mahkamah Rendah Syariah, masa nie, Bahenol kata beliau tiada niat pun nak bercerai, beliau suruh saya keluar rumah dengan anak-anak sebab tak tahan dengan saya.

Eh saya pulak kena. Hahaha padahal masatu kami bergaduh teruk. Bahenol minta Mahkamah arahkan saya pulang ke rumah.

Masa nie, Hakim pun kata, “Boleh. Kita boleh arahkan Plaintif pulang ke rumah sebab awak pun tiada memukul dan mendera Plaintif. Tapi, sebelum tu, saya nak tanya Plaintif, kenapa awak tak nak pulang ke rumah?”

Sejujurnya, sebelum saya dengar Hakim tanya soalan ini, saya memang dah cakap yang saya tak nak pulang ke rumah. Saya ada sebab kukuh. Jadi, bila Hakim tanya, nak taknak saya beritahu tapi saya tak bolehlah nak ceritakan di sini sebab ia agak mengaibkan.

Masa saya bercerita itupun sampai Hakim dan Pembantu Mahkamah pun mengeleng-gelengkan kepala.

Dan Hakim membenarkan saya dan Bahenol tinggal berasingan dan Hakim arahkan agar Bahenol tidak mengancam mahupun menganggu saya di dalam tempoh kami tinggal berasingan. Setepek jugalah Bahenol kena di dalam Mahkamah.

Hakim arahkan agar kami lalui sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) seingat saya. JKP ini macam sesi kaunseling tapi di bawah arahan Mahkamah.

Masa nie, saya dan Bahenol kena pergi ke Pejabat Agama (JAWI), di sana saya dan Bahenol masing-masing kena bawak ahli keluarga ataupun rakan yang tahu krisis rumahtangga kami.

Saya minta kakak sulung menjadi wakil JKP saya disebabkan kakak memang tahu apa yang terjadi dan masalah-masalah yang saya dan Bahenol alami. Manakala, Bahenol wakilkan kawannya.

Sesi ini pula ada 3 peringkat, peringkat pertama sesi saya, wakil bersama Pegawai Agama yang dilantik sebgai Pengerusi JKP.

Peringkat kedua sesi Bahenol, wakil bersama Pengerusi JKP. Peringkat ketiga pula adalah pilihan (optional) iaitu sesi empat mata; kiranya saya, wakil saya, Bahenol dan wakil beliau.

Tapi, saya tolak sesi ini sebab saya dah tahu nanti akan ada drama-drama. Pegawai Agama yang jadi Pengerusi JKP pun mengikut dan bersetuju agar tidak dibuat peringkat ketiga. Katanya, beliau dah banyak kali melihat akan terjadi pertengkaran dan pertikaian kedua-dua pihak.

Justeru, beliau kata nanti proses laporan akan dihantar ke Mahkamah dan Hakim akan membaca dan melihat penilaian beliau dalam sesi bicara kami yang seterusnya.

Hari bicara seterusnya, Laporan JKP di dalam Mahkamah. Masa nie Hakim bacakan Laporan dari Pegawai yang kendalikan kes kami iaitu sesi JKP.

Laporan tersebut menyatakan bahawa kedua pihak tiada jalan perdamaian dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk membuat keputusan.

Masa nie, Hakim memang tanya pada saya samada saya ingin teruskan bercerai atau hendak berbaik? Dan jawapan saya bahawa “Saya nak teruskan bercerai.” Ketika Hakim bertanya kepada Bahenol, jawapan beliau, “Tidak mahu bercerai.”

Disebabkan itu, Hakim kata kena ikut prosedur seterusnya iaitu “Hakam Keluarga.” Hakam Keluarga ini pula memerlukan wakil samada ahli keluarga ataupun rakan ataupun jiran yang kita perlu ceritakan dan beritahu mengenai krisis rumahtangga kita.

Seterusnya, para wakil ini iaitu di belah pihak perempuan (Plaintif) dan pihak lelaki (Defendan) akan duduk bersama untuk menulis Laporan Hakam dan seterusnya akan dibacakan di dalam Mahkamah pada masa perbicaraan.

Bagi wakil Hakam ini, saya minta Pakcik saya menjadi wakil. Pakcik juga merupakan wali saya disebabkan ayah saya dah lama meninggal dunia.

Manakala Bahenol meminta kawannya menjadi wakil Hakam. Saya perlu berjuma kawannnya kerana ini adalah prosedur yang ditetapkan Mahkamah manakala Bahenol perlu berjumpa dengan Pakcik saya, sama untuk menceritakan kisah sisinya.

Dipendekkan kisah, semasa perbicaraan berikutnya, pihak Hakam mendapati bahawa kedua pihak tidak boleh berbaik-baik lagi dan menyerahkan kepada Mahkamah selanjutnya.

Pada masa ini, Hakim bertanya kepada saya, “Plaintif adakah awak masih tetap mahu bercerai?” Dan jawapan saya adalah “Ya”, manakala Bahenol masih tetap tidak mahu bercerai dan tak mahu melafazkan talak.

Hakim menasihati agar jika tiada jalan penyelesaian dan kedua-dua pihak tak boleh berdamai, sewajarnya berpisah dahulu. Tetapi, Bahenol enggan dan katakan bahawa kuasa talak di tangannya.

Hakim membalas dan mengatakan, “Defendan, adakah awak tahu, jika awak enggan melafazkan, Mahkamah boleh menggunakan kuasa Mahkamah dan pada masa ini kuasa talak bukan lagi di tangan suami.” Tapi, Bahenol tetap angkuh dan katakan beliau tidak kisah.

Maka, Hakim mengarahkan kami melalui proses terakhir iaitu Hakam Mahkamah. Hakim katakan di dalam proses ini akan diketahui keputusan kerana kalini Mahkamah yang mengambil peranan. Secara ringkasnya, sesi Hakam Mahkamah sama sahaja seperti sesi Hakam Keluarga.

Ada wakil bagi pihak Plaintif dan Defendan tetapi wakil ini datangnya dari Pegawai yang dilantik oleh Mahkamah.

Wakil Hakam dari pihak Defendan pula akan berperanan untuk menjatuhkan talak kerana pada masa ini, kuasa talak berada pada Mahkamah dan bukan lagi pada kuasa suami.

Diringkaskan, semasa perbicaraan terakhir, pihak Hakam mendapati bahawa kedua-dua pihak memang tidak lagi boleh bersama dan berbaik-baik dan meminta Mahkamah agar membubarkan perkahwinan ini.

Saya ingat lagi, sebelum pihak Hakam Defendan nak menjatuhkan talak, beliau meminta saya untuk bermaaf-maafan pada suami (masatu) dan meminta menghalalkan semuanya.

Saya baru bangun untuk menghulurkan tangan dan Bahenol terus berkata di depan mic, “Saya tak akan maafkan dia. Saya tak akan halalkan makan minumnya dunia akhirat.”

Pada masa ini, Hakim yang membalas, “Defendan, awak taknak maafkan sudah. Awak taknak halalkan sudah. Hakam, lafazkan sekarang.”

Drama kan. Yang pasti orang di dalam Mahkamah memang melihat dan nampak. Tak apalah, saya malu cuma seketika dibandingkan dengan derita yang saya pendam dan telan selama bertahun. Apalah sangat.

Maka itulah proses cerai yang saya lalui. 7 bulan naik turun Mahkamah. Saya bercerai secara Hakam. Saya bukak kes cerai di bawah Seksyen 47 tak silap saya. Dalam masa kes cerai saya berjalan, saya juga perlu lalui kes hak jagaan anak dan nafkah anak.

Nantilah jika ada masa, saya ceritakan bagaimana saya buat kes anak saya melalui dan menggunakan Jabatan Bantuan Guaman (JBG). Saya rasa coretan ini pun dan cukup panjang takut nanti ada yang bosan membaca.

Sekian dari saya, #makanaktiga

– Rupa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *